Monday, 30 March 2015

Bab 1.4 : Bapa Sebagai Ketua Keluarga



Salah satu tujuan perkahwinan adalah melahirkan anak-anak yang soleh, yang bukan saja menjadi penyejuk mata kepada diri dan pasangan hidup,

bahkan menjadi harapan bangsa dan negara andai anak-anak yang dilahirkan itu, berjaya dididik dengan baik oleh kedua ibu bapa agar menjadi seorang yang dapat berbakti kepada agama, masyarakat, negara dan umat manusia seluruhnya.

Islam sangat menitikberat pendidikan anak-anak dan Islam menyediakan garis panduan yang lengkap untuk membantu manusia membentuk sebuah keluarga yang berjaya, yang mampu melahirkan generasi berilmu pengetahuan yang memiliki akhlak mulia.

Selain memberikan garis panduan mengenai kriteria dalam memilih pasangan hidup, Islam juga menggariskan panduan mengenai tanggungjawab seorang lelaki yang bergelar ayah dan peranan seorang wanita yang bergelar ibu.

Di sini kita petik beberapa poin penting dari buku yang berjudul 'Sistem Pendidikan Islam' karangan Allama Baqir Sharif al-Qarashi. Semoga bermanfaat.

Kehidupan Keluarga Islam.

1. Islam memperuntukkan perhatian yang terperinci kepada (keadaan) rumah. Ia telah mengarahkan agar atmosfera kasih sayang dan kemesraan (antara ahli keluarga) harus wujud di dalam rumah.

2. Islam menggesa kerjasama antara pasangan dalam urusan kehidupan dan pengurusan hal ehwal dalam rumah tangga.

Rasulullah SAW selalu mengambil bahagian bersama isteri-isterinya dalam hal ehwal rumah tangga dan bersabda:

"Mengambil bahagian bersama isteri dalam hal-ehwal rumah adalah satu bentuk sedekah,"

Bapa sebagai Ketua Keluarga

1. Bukan sahaja bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungannya dan memenuhi keperluan mereka, tetapi bapa juga dikehendaki agar menyediakan pendidikan, disiplin, moral dan bimbingan kepada ahli keluarganya.

2. Adalah terbukti bahawa anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang dan perhatian bapa mengalami keadaan psikologi yang kompleks, tidak suka bersosial, dan tingkah laku yang buruk.

3. Bapa harus menyelimuti ahli keluarganya terutama isterinya, dengan kemesraan, kasih sayang dan kebaikan, serta memenuhi keperluan mereka sepenuhnya. Allah telah menetapkan ini sebagai satu dari hak-hak isteri.

4. Islam menggesa penjagaan isteri. Rasulullah SAW bersabda: "Yang terbaik antara kamu adalah yang terbaik kepada isteri mereka. Dan saya adalah yang terbaik kepada isteri-isteri saya."

Imam Al-Baqir berkata, "Semoga rahmat Allah tercurah ke atas mereka yang berhubungan baik dengan isteri-isterinya. Allah Yang Maha Agung memberikan lelaki isteri untuk dimiliki dan menjadikannya penjaga buat mereka.

Imam As-Sadiq berkata, "Takutlah kepada Allah sewaktu anda berurusan dengan kedua golongan lemah ini, yaitu wanita dan hamba."

5. Seorang lelaki itu tidak seharusnya membuatkan isterinya merasa tidak senang atau menyakiti isterinya.

Seorang lelaki bertanya kepada Imam Jafar As-Sadiq mengenai hak-hak seorang isteri ke atas suaminya. Imam menjawab:

"Dia harus memenuhi segala keperluan asasnya dan tidak menakutkannya dengan asyik memarahinya. Jika dia, selepas memenuhi keperluan isterinya, bersikap baik, penyayang terhadap isterinya, maka aku bersumpah demi Allah, dia telah memenuhi hak-hak isterinya."

Nabi bersabda:

"Mukmin yang paling sempurna adalah mereka yang terbaik dalam akhlaknya dan yang terbaik antara kamu adalah dia yang terbaik layanannya kepada keluarganya."

Imam Ali berkata,

"Demi Allah, aku tidak pernah membuat (Fatima) marah, atau memaksanya melakukan sesuatu perkara (tanpa kerelaannya) sehingga Allah mengambilnya pergi ke dunia yang lebih baik (alam akhirat). Dia juga tidak pernah membuatku marah dan tidak pernah tidak mematuhiku dalam apa-apa pun. Apabila aku melihatnya, segala kesedihanku hilang."

6. Sifat dan akhlak seorang bapa terhadap ahli keluarga (terutamanya isteri) meninggalkan pengaruh yang besar dalam diri anak. Personaliti anak-anak mencapai kesejahteraan hanya apabila mereka menerima layanan baik dari bapanya. Dan sebaliknya, tingkah laku serta kematangan anak-anak terjejas teruk dan merosot apabila bapa menggunakan kekasaran/sikap kurang ajar/tidak bersopan (sama ada terhadap isteri mahupun anak-anaknya)

7. Adalah wajib bagi seorang bapa, yang mana perkataan dan perbuatannya berpengaruh besar pada diri anak, untuk melindungi ahli keluarganya dari bahasa yang tidak sopan dan mencarut.

Anak-anak yang perasan akan sikap buruk ibu bapa tidak akan memiliki asuhan dan pertumbuhan yang kukuh. Begitu juga anak-anak yang perasan bapa mereka berbohong tidak akan mematuhi arahan bapanya yang benar dan ikhlas. Mereka meneruskan perbuatan dan tindakan bapa mereka. Oleh kerana itu, seorang bapa harus mempamerkan sifat-sifat mulia dan adab dalam kehidupan mereka agar menjadi teladan yang baik buat ahli keluarga.

8. Bapa harus mengambil inisiatif dalam mendisiplinkan anak-anak mereka sebaik sahaja perasan ketidakaturan tingkah-laku anak-anak atau kesalahan yang bertentangan dengan agama, tradisi sosial serta akhlak secara amnya. Proses mendisiplinkan anak adalah langkah yang mencukupi untuk membuang sifat jahat dan sikap memberontak dalam diri anak, dan Islam mengesahkan perkara ini. Rasulullah SAW bersabda:

"Disiplinkan anak-anakmu. Ini adalah lebih baik buatmu berbanding pemberian sedekah setiap hari." Baginda juga bersabda, "Jika kamu menghormati dan mendisiplinkan anak-anakmu secara tepat, Allah akan mengampunkan kamu."

Dalam banyak kes, ketidakaturan dalam diri anak adalah hasil dari pengabaian dan kegagalan bapa dalam mendisiplinkan anak-anak yang menyeleweng (dari akhlak dan tindakan yang sepatutnya).

Sheikh Naraqi berkata: Anak-anak yang diabaikan pada fasa terawal pembesarannya, kebanyakan mereka memilih tingkah laku yang buruk.

(Nota: InshaAllah kita akan sentuh mengenai cara mendisiplinkan anak-anak dalam bab seterusnya.)

9. Bapa harus melindungi anaknya dari api neraka. Dan ini dicapai melalui pendidikan (agama), disiplin dan membimbing anak-anak ke arah sifat-sifat mulia dan menjauhkan mereka dari kejahatan.

10. Bapa harus menjauhi dari mendedahkan anak-anak mereka dengan kehidupan mewah, jika tidak anak-anak akan menghabiskan masa hidup mereka dengan mencari kemewahan dan ini pasti sekali menyebabkan kerosakan (pada diri mereka).

11. Pengawasan bapa (terhadap anak-anak) harus dimulakan pada tahun-tahun terawal masa kanak-kanak.

12. Adalah penting juga bagi bapa untuk memilih pengasuh dan ibu susuan yang suci dan beragama. Susu wanita tidak miliki keberkatan kecuali jika ia dihasilkan dari sumber pendapatan yang halal. Anak-anak yang dibesarkan hasil dari makanan haram cenderung ke arah kejahatan dan perkara-perkara haram.

13. Membawa anak-anak jauh dari ransangan dan aktiviti seksual

Islam telah memberi amaran kepada pasangan agar tidak melakukan hubungan badan berdekatan dengan anak-anak mereka (walaupun ketika anak mereka masih bayi), kerana ini boleh menyalakan nafsu mereka dan memberikan mereka motif ke arah pencabulan dan kerosakan akhlak. Rasulullah SAW bersabda:

"Aku bersumpah dengan jiwaku, kejayaan tidak akan menghampiri anak yang melihat atau bahkan mendengar nafas pasangan yang sedang bersama. Zina adalah hasilnya."

Pakar pendidikan seksual juga mengesahkan keperluan membawa anak-anak jauh dari hubungan seksual. Sir Pepsi berkata, "Deria seksual wujud dalam setiap manusia termasuk bayi di mana ia mula mencurah keluar selepas akil baligh. Oleh itu, adalah sangat sangat penting untuk mengelak apa jua aktiviti yang membangkitkan deria ini sebelum tiba masa yang sepatutnya.


Minda anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang mereka perasan. Atas sebab itu, adalah penting untuk membawa mereka jauh dari apa jua perkara yang boleh membangkitkan nafsu dan merosakkan moral (termasuklah menonton movie, atau membaca novel/komik yang tidak sopan), demi melindungi mereka dari penyimpangan dan ketidakaturan.





Soalan no 156: Mengapa anak-anak saya tidak menghormati saya?

"Anak saya yang tua tidak menghormati saya, dan yang muda pula sudah mula meniru sikapnya, walaupun saya rasa saya tidak pernah gagal dalam memenuhi mana-mana hak mereka. Anda rasa apa sebabnya jadi begitu?"

Jawaban:

Apabila bapa menzahirkan kasih sayangnya kepada anak-anaknya dengan cara yang berbeza dan dalam pelbagai keadaan, anak-anak akan tambah menghormati beliau. Kecuali jika terdapat kecacatan tertentu di mentaliti anak-anak yang mana itu bukanlah kesalahan dari pihak bapa. Bapa adalah faktor pertama dalam menentukan bentuk hubungan yang terjalin antara dia dan anak-anaknya. Seorang bapa yang tidak membenarkan anaknya melahirkan pandangan dan pemikirannya secara bebas, tidak wajar mengharap anaknya itu akan menghormatinya sejak dari saat dia membuka matanya terhadap kehidupan.

Bapa yang melayan anaknya dengan cara paksaan, menjerit kepadanya, mengutuknya atau mungkin juga menamparnya jika dia lewat melaksanakan arahan, akan memusnahkan apa jua alasan untuk membuatkan kanak-kanak itu menghormatinya.

Bapa yang tidak menunjukkan mereka kasih-sayang dan penghormatan yang sama, harus menerima hakikat bahawa anak-anak juga tidak akan menghormatinya kerana dia sendiri tidak menghormati mereka. Bapa yang membiarkan anaknya terlibat dalam budaya tidak baik, bersahabat dgn kawan-kawan yang mencurigakan serta bersikap tidak ambil peduli dengan mana-mana tabiat buruk mereka, tidak akan menjumpakan sesuatu dalam diri mereka yang boleh menggembirakan hatinya.

Sedara yang dikasihi, selagi anda tidak mengabaikan hak-hak anak-anak anda, mungkin ada sebab lain mengapa mereka tidak menghormati anda. Antaranya mungkin kerana mereka itu remaja. Ini adalah tempoh yang bersifat sementara dan akan hilang bila menjejaki usia antara 25-30 tahun. Jika anak anda lebih tua dari umur itu, sikapnya terhadap anda mungkin terjadi kerana dia mempunyai pemikiran yang bertentangan dengan anda.

Apa-apa pun saya ingin menasihati setiap bapa agar tidak menjadikan dirinya seperti seorang pegawai tentera, rumahnya sebagai kem tentera, dan anak-anaknya sebagai askar-askar! Para bapa haruslah, sejak awal-awal lagi menanamkan kasih sayang dalam hati anak-anaknya dan mendidik mereka dengan cara di mana anak-anak merasakan mereka mempunyai personaliti tersendiri dalam rumah dan kehidupan mereka.

Pendidikan moral dan nilai-nilai yang diajarkan Islam adalah mencukupi untuk menjadikan manusia itu sempurna, tetapi adalah tugas para bapa dan ibu-ibu, serta anak-anak untuk berpegang teguh (dan mengamalkan) ajaran ini agar dapat melindungi mereka dari masalah-masalah pendidikan yang boleh menyusahkan kehidupan keluarga mereka . Tentu sekali, mencegah lebih baik dari merawat tetapi kebanyakan orang tidak ambil berat tentang perkara ini.




Berikut pula adalah perkongsian dari Sayed Moustafa Qazwini :-

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata,

"Saya hampir-hampir tidak mampu melindungi diri saya dari dosa, dan sekarang Tuhan mahu saya melindungi isteri dan anak-anak saya (dari dosa)? Ini adalah terlalu berat buat saya Ya Rasulullah! Ini adalah beban yang besar buat saya!

Rasulullah SAW berkata kepadanya,

"Dengarkan ini baik-baik, adalah mencukupi bagi anda untuk memerintahkan mereka apa yang anda sendiri lakukan, dan melarang mereka apa yang anda sendiri melarang dirimu dari melakukannya,”

Artinya anda harus menjadi 'role model',  menjadi contoh, sebuah contoh yang jujur bagi keluarga anda, anak-anak anda.

Seorang ayah yang tidak solat tidak boleh mengharapkan anak lelakinya untuk berdiri menunaikan solat malam. Seorang ibu yang tidak mengenakan tudung, hijab dan menjaga kesucian diri, tidak boleh mengharapkan anak perempuannya untuk menjaga diri.

Kita harus menjadi 'role-model' buat mereka. Mereka belajar dari kita. Ya, mereka memang memerhatikan (tingkah-laku) kita. Apabila kita berbohong di rumah, mereka belajar dari kita. Mereka mula berbohong di kemudian harinya. Kita harus berhati-hati bagaimana kita menjaga tingkah-laku kita.

Dan kita harus praktikkan apa yang kita katakan.

Saya tahu ada ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menjadi seperti malaikat, suci (dari dosa). Tetapi bagaimana dengan ayahnya. Apakah dia baik, suci? Kita tidak boleh menyimpan harapan tinggi seperti itu ketika mana diri kita sendiri ada kalanya bersikap hipokrit. Kita harus praktikkan apa yang kita serukan di hadapan ahli keluarga dan anak-anak kita.”


________________________________________________________________________



Begitulah sedikit sebanyak rumusan tentang peranan, tanggungjawab, dan pengaruh seorang bapa sebagai ketua keluarga dalam mendidik, mengasuh dan membentuk psikologi anak-anak. Bapa ibarat pengemudi kapal yang menentukan hala tuju anak-anak kapal yang lain. Seorang lelaki yang bertanggungjawab pastinya akan berusaha membawa ahli keluarganya ke destinasi yang selamat.

Firman Allah di dalam Al-Quranul Karim, “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu,”


(At-Tahrim, 66:6)





Kini kita perhatikan pula peranan, tanggungjawab dan pengaruh seorang ibu dalam rumah tangga. 

Rujuk Bab 1.5. Ibu Sebagai Permaisuri, Bidadari rumah Tangga

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.