Tuesday, 31 March 2015

Bab 4: Tiga Fasa Kehidupan Anak

Sebelum kita menyambung lanjut perbincangan mengenai psikologi dan kaedah mendidik anak dalam pelbagai isu, mari kita perhatikan terlebih dahulu tulisan dari Allamah Sayyid Sa’eed Akhtar Rizvi dalam bukunya yang bertajuk “Kehidupan Keluarga Islam”. Tulisan beliau ini merupakan ringkasan tentang hak-hak anak dan tiga fasa yang dilaluinya, serta garis panduan yang diberikan Ahlul Bait kepada para ibu bapa untuk mengasuh anak dalam setiap fasa tersebut.


Status dan Hak-Hak Anak

Allah SWT telah menjadikan hati ibu bapa sebagai sumber kasih sayang bagi anak-anak mereka. Kasih sayang terhadap anak telah "ditetapkan" oleh Allah dalam sifat semulajadi keibubapaan itu sendiri.  Adalah normal bagi ibu bapa untuk menyayangi anaknya; adalah tidak normal bagi ibu bapa tidak menyayangi anaknya. Ini merupakan peraturan semula jadi dan juga peraturan agama.



Islam telah memberikan beberapa garis panduan yang menarik kepada ibu bapa bagi mengasuh anak-anak mereka - sejak dari lahir anak itu hingga umurnya 21 - dengan cara didikan Islam yang betul.


 Rasulullah SAW (sallallahu alahi wa aalihi wassalam) bersabda kepada Imam Ali as :

"Wahai Ali, terdapat banyak  hak anak-anak yang wajib ke atas ibu bapanya sebagaimana banyaknya hak ibu bapa yang wajib ke atas anaknya. 

Beberapa Hak-Hak Asas

Hak anak-anak ke atas ibu bapanya boleh diringkaskan di bawah enam perkara berikut.


i) HAK UNTUK HIDUP: Tiada ibu bapa yang berhak untuk menggugurkan anak atau membunuhnya selepas lahir atas apa-apa sebab sekalipun. Al- Quran mengecam keras orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana takutkan kemiskinan. Allah berfirman:

"Jangan membunuh anakmu kerana (takut akan) kemiskinan - Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka (6:152)

Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang menahan diri dari mendirikan rumah tangga kerana takutkan kemiskinan, dia sesungguhnya telah berfikir buruk terhadap Tuhan."


ii) HAK UNTUK BERASAL DARI SEBUAH KELUARGA: Tiada ibu bapa yang boleh menafikan anaknya, atau menafikan anak itu dari nama keluarga. 


iii) HAK UNTUK DIBERIKAN NAMA YANG BAIK : Imam Ali as berkata, "Kebaikan pertama ibu bapa terhadap anaknya adalah memberikan dia nama yang baik. Oleh itu, anda harus menamakan anak anda dengan nama yang baik." Kanak-kanak mendengar namanya (dipanggil) siang dan malam; maka adalah wajar untuk kita percaya bahawa, maksud di sebalik nama secara tidak sedar akan menguatkan ciri-ciri yang dimaksudkan dari nama tersebut. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah nama mempunyai kesan psikologi ke atas diri seseorang itu.

Nama yang tidak elok, memberikan satu lagi kesan buruk. Setiap kali nama itu dipanggil, orang tersebut akan merasa malu dan nama itu akan menjadi sumber gangguan yang berterusan kepada dirinya, yang seterusnya memberi kesan kepada perspektifnya terhadap masyarakat.
Rasulullah SAW selalu menekankan aspek ini begitu banyak sekali sehingga Imam as-Sadiq mengatakan, "Rasulullah SAW sering menukar nama-nama orang dan tempat yang tidak elok.

iv) HAK MENDAPAT NAFKAH: Adalah hak anak untuk disediakan keperluan hidupnya oleh ibu bapa; makanan, pakaian, tempat berlindung, perabot, dan apa sahaja yang biasa diperlukan manusia untuk menjalani kehidupan terhormat.


v) HAK MENDAPAT PENDIDIKAN ASAS: Adalah hak anak untuk mendapat pendidikan asas sekular mahupun agama.


vi) HAK DIBESARKAN CARA ISLAM: Adalah hak anak untuk dibesarkan dalam persekitaran rumah yang bersifat Islami.

Tiga Fasa Kehidupan Kanak-Kanak


Islam telah membahagikan asuhan anak-anak kepada tiga tahap dari lahir hingga umurnya 21. Pembahagian ini adalah berdasarkan hadis berikut oleh Rasulullah SAW:

"Anak adalah tuan selama 7 tahun (yang pertama); seorang hamba selama 7 tahun (yang kedua) dan seorang penasihat selama 7 tahun (seterusnya); oleh itu jika dia membesar dengan karakter yang baik dalam tempoh 21 tahun, maka ia baik dan bagus; jika tidak biarkan dia sendiri kerana anda telah dilepaskan tanggungjawab anda di hadapan Allah SWT."

Hadis yang sama juga telah dijelaskan oleh Imam Ja'far as-Sadiq sebagai berikut:

"Biarkan anak anda bermain hingga umurnya 7 tahun, dan memastikan dia dengan anda (untuk pendidikan dan latihan) selama tujuh tahun lagi; kemudian jika dia berjaya (ianya baik dan bagus), jika tidak, tiada kebaikan baginya."


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.