Saturday, 4 April 2015

Bab 12.4 : Tujuan dan Maksud Istikhara



Ayatullah Khomeini

“Terdapat dua makna bagi perkataan Istikhara. Salah satu daripadanya adalah pengertian yang sebenarnya dan ia adalah jenis istikahara yang disebut berkali-kali lebih banyak dari jenis istikhara lainnya di dalam hadis kita, dan ia adalah yang paling lazim, dan ia adalah dengan semata berdo’a dan meminta Allah SWT memberikan yang terbaik.

Istikhara jenis ini berakar umbi dalam tindakan berdo’a (kepada Allah SWT) dalam semua perkara yang dilakukan oleh seseorang itu, dan bukan sahaja ia adalah perbuatan yang terpuji bahkan adalah digalakkan (Mustahab) dalam Islam.

Satu lagi makna istikhara lain adalah apabila seseorang itu merasa keliru dan bingung sama ada untuk melaksanakan sesuatu perkara itu atau tidak, di mana perkara tersebut bukan sesuatu yang Allah telah perintahkan ke atas kita untuk melaksanakannya, di mana bimbingan-Nya pasti tersedia, intelek kita juga tidak dapat membantu dalam memutuskan sama ada perkara itu baik atau tidak. Jika tidak ada jalan lain bagi seseorang itu memutuskan sama ada untuk melaksanakan perkara itu atau tidak, dan dia berada dalam keadaan keliru dan tidak pasti, daripada dia sekadar meneka lalu melakukan perkara itu, dia sebaliknya berlindung kepada Allah Yang Maha Mengetahui, di mana semua yang kesempitan pergi kepada-Nya dan meminta petunjuk dari-Nya.

Sama ada Allah akan membimbingnya melalui hatinya sekaligus menyingkap jalan baginya untuk memilih, kerana secara realitinya Dia adalah Pengubah Hati (sehubungan dengan Istikhara spiritual)

Jika tidak, Dia akan menempatkan tangan seseorang itu di atas sebahagian dari Tasbih (jika dia melakukan istikhara dengan menggunakan buah Tasbih) atau Dia membimbing hati hamba-Nya melalui Al-Quran (jika dia menggunakan Al-Quran dalam istikharanya).

Bukankah seseorang yang keliru - walaupun setelah menggunakan logik akalnya dan  mendapatkan nasihat serta pertolongan dari orang lain - memerlukan bimbingan bagi membukakan jalan baginya? Apakah mungkin bagi seseorang itu untuk tidak memerlukan nasihat dan bimbingan, ketika mana cahaya inteleknya telah malap dan dia telah berusaha mendapatkan bantuan dari orang lain di sekitarnya (tetapi masih tidak menjumpakan penyelesaian),

Dalam salah satu ayat Al-Quran, Allah SWT selepas menyebut dan mengira segala kekuasaan dan nikmat yang diberikan-Nya, berfirman:

“Atau: Siapakah yang memperkenankan do’a orang yang menderita ketika dia menyeru kepada-Nya, dan (Siapakah) yang menghapuskan kejahatan?” (27:62)

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa contoh yang disebutkan oleh orang-orang yang menentang Istikhara, misalnya suatu insiden di mana terdapat seorang gadis yang menyukai seorang lelaki, dan dalam segala aspek mereka mempunyai keserasian, tetapi selepas bercakap dengan satu sama lain, Istikhara pun dilakukan, dan hasilnya adalah ‘tidak baik’, maka perbincangan tersebut terhenti begitu sahaja. Satu lagi contoh lain adalah mengenai seseorang yang mahu membeli sebuah rumah. Semuanya baik-baik sahaja dan segala aspek rumah itu tampak ideal. Orang itu kemudiannya melakukan Istikhara dan hasilnya adalah ‘tidak baik’, maka dia memutuskan untuk tidak membeli rumah tersebut.

Adalah jelas bahawa jawaban bagi mereka dan ribuan lagi seperti mereka berkenaan Istikhara (dan cara perlaksanaannya yang betul), adalah: Dalam contoh-contoh sebegini, hanya orang-orang yang tidak memiliki intelek, yang bersikap degil, dan yang tidak memiliki pemahaman yang betul mengenai Istikhara sahaja, yang akan melaksanakan (Istikhara) dalam contoh-contoh itu.  

Dan tanpa perlu diperjelaskan lagi, hadis-hadis yang datang kepada kita mengenai Istikhara tidak pernah menjanjikan kepada kita bahawa kita akan mencapai matlamat tanpa sebarang masalah atau kesukaran. Sebaliknya, apa yang dijanjikan adalah sesiapa yang meminta Allah kebaikan, akan diganjari kebaikan. Jika ianya baik bagi kehidupan seseorang itu di dunia ini, maka akan diperkenankan permintaannya, dan jika tidak, maka sebuah ganjaran akan tersimpan baginya di dalam kehidupan akhirat akan datang”.39

Ayatullah Hussain Madhahiri

“Saya tidak mengatakan bahawa anda harus sepenuhnya mengabaikan faktor-faktor lain. Saya mengatakan bahawa kriteria untuk perkahwinan seharusnya iman dan akhlak. Jika anda sukakan seorang gadis 70%, anda tidak perlu membuat alasan-alasan lanjut dalam memuktamadkan keputusan. Anda tidak perlu mengambil jalan keluar melakukan Istikhara, yang mana ia hanyalah untuk situasi-situasi tertentu sahaja ketika mana kebijaksanaan dan budi bicara manusia gagal, dan adalah mustahil untuk mendapatkan pandangan dan nasihat dari Mukminin lain (dalam membuat keputusan). Dalam situasi di mana kekeliruan mengatasi, barulah Istikhara dilakukan.

Tetapi dalam situasi di mana segalanya adalah jelas, di mana intelek boleh membimbing anda, di mana satu lamaran datang dari seorang pemuda yang baik dari segi taqwa dan moralnya, melakukan Istikhara (dalam situasi seperti ini) adalah tidak bermakna. Istikhara di sisi Islam, sebenarnya, bermaksud seseorang itu melakukan dua rakaat solat dan selepas itu mengucapkan kalimah-kalimah ini 100x, “Astakhirullaha be rehmateh” (Wahai Allah! Jadikanlah keputusanku ini terbaik buatku!). Selepas itu, dia haruslah menyibukkan dirinya dengan apa yang dia telah rancangkan. Pekerjaan itu akan, dengan izin Allah, mendatangkan kebaikan baginya.

Inilah Istikhara yang digalakkan oleh pengarang Kitabe Jawahir dalam buku beliau. Ia berarti meminta yang terbaik dari Allah dalam pekerjaan-pekerjaan anda. Ada kalanya apabila keputusan Istikhara negatif, orang-orang akan melakukannya berulang-ulang kali sehingga mereka mendapat keputusan yang positif. Ini benar-benar salah.

Kesimpulannya kami ingin menyatakan bahawa alasan-alasan yang diberikan ibu bapa atau anak-anak lelaki dan perempuan dalam usaha mengelak dan menangguhkan perkahwinan mestilah dijauhkan. Sebaliknya, kita harus menempatkan kepercayaan kita pada Allah. Allah akan menetapkan masa depan yang baik. Menurut Al-Quran seseorang itu tidak seharusnya bersedih dengan apa yang berlaku di masa lepas, dan tidak perlu takut dengan masa hadapan.

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah tidak ada kebimbangan ke atas mereka dan mereka tidak berdukacita (Surah Yunus, 10:62)

Wali-wali Allah tidak bersedih atas perkara lepas tidak juga mereka takut dengan masa hadapan kerana mereka meletakkan kepercayaan mereka pada Allah. Kita juga harus, dalam soal perkahwinan, berhenti membuat alasan-alasan dan melakukan keputusan positif dengan meletakkan kepercayaan penuh pada Allah SWT. Kesemua alasan-alasan ini telah ditolak dan disangkal oleh Nabi SAW, para Imam (a.s) dan para ulama.

Islam tidak mahu manusia memiliki keinginan-keinginan yang besar. Usah inginkan lebih dan lebih lagi. Jika anda mempunyai seorang isteri, anda tidak seharusnya berkeinginan untuk beristeri lagi. Berbelanjalah secukupnya untuk hidup dengan selesa. Quran mengecam gaya hidup mewah dengan tegas sekali.

“Dan apabila Kami ingin membinasakan sesebuah negeri, Kami sampaikan perintah (terlebih dahulu) kepada penduduknya yang melampau dalam kemewahan (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat, maka layaklah negeri itu dibinasakan, dan Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya,” (Surah al-Isra, 17:16)

Al-Quran menyatakan jika sesebuah komuniti menjerumuskan diri dalam kehidupan penuh kemewahan, maka pasti sekali ia akan dibinasakan. Gaya hidup sebegini mendorong mereka untuk menjerumuskan diri dalam perkara-perkara terlarang.40” (Nota: Tidak ada salahnya berusaha untuk hidup selesa tetapi jauhi gaya hidup penuh kemewahan, fesyen, pembaziran)

Ayatullah Sayyid Hussain Tabatabai

“Apabila seseorang itu berniat untuk melaksanakan sesuatu tindakan, maka dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk meneliti tindakan tersebut, dan sedaya-upaya merenung dan berfikir menggunakan kemampuan yang diberikan Allah kepadanya sama ada harus atau tidak melaksanakan perkara itu.

Dalam keadaan di mana dia tidak dapat membuat keputusan (sama ada terdapat kebaikan untuknya dalam tindakan itu) maka dia harus mendapatkan nasihat dari orang lain dan menjadikan keputusannya bergantung kepada nasihat orang lain yang mampu memberikan nasihat (yang bernas) dan boleh membezakan antara yang baik dan buruk.

Dia harus bergantung kepada rasional mereka untuk memutuskan sama ada meneruskan tindakan itu atau meninggalkannya. Jika cara ini juga tidak memberi hasil, maka dia tidak mempunyai alternatif lain kecuali dia memohon kepada Tuhan dan meminta bimbingan-Nya kepada apa yang benar-benar terbaik baginya.

Pada hakikatnya, inilah Istikhara. Ini tidak patut dianggap sebagai “mendapatkan pengetahuan ghaib” atau pencerobohan terhadap perlindungan dan penguasaan Allah SWT ke atas kita.

Secara ringkasnya, tiada kewajiban di sisi agama apabila seseorang itu melaksanakan Istikhara, oleh kerana Istikhara tidak berperanan apa-apa kecuali menentukan jalan mana yang harus diambil seseorang itu. Istikhara tidak mengubah peraturan Allah, juga tidak memberitahu hamba Allah itu tentang apa yang tersembunyi di sebalik tirai pengetahuan Allah SWT. Satu-satunya perkara yang dilakukan Istikhara adalah memberitahu “Apa yang memberikan kebaikan utama kepada seseorang yang sedang mencari yang terbaik dalam melaksanakan atau tidak melaksanakan sesuatu tindakan.”

Istikhara adalah cara untuk menyelamatkan seseorang itu dari keraguan dan ketidakpastian. Namun, bagi kesan-kesan selanjutnya yang akan berlaku pada masa hadapan dalam melaksanakan sesuatu tindakan itu atau tidak, ia bukanlah akibat dari Istikhara tadi, dan Istikhara tidak mempunyai kaitan dengan ini.

Masa depan seseorang yang melakukan Istikhara sama ada baik atau buruk sama sahaja dengan seseorang yang tidak melakukan Istikhara yang meneruskan kehidupannya dengan menggunakan intelek dirinya sendiri dan mendapatkan nasihat dari orang lain. Pendek kata, Istikhara bukanlah apa-apa kecuali suatu tindakan yang memberikan “kepuasan pada hati”, “menghapuskan keraguan dan ketidakpastian”, dan adalah alat untuk “harapan, kesejahteraan, dan kebahagiaan.”

Nabi bersabda, “Bila-bila masa sahaja Istikhara memberikan hasil tidak baik, bergantunglah kepada Allah dan teruskan dengan pekerjaan itu.”39


Ayatullah Shahid Murtadha Muttahari

“…. Jenis percakapan apakah ini bahawa (hanya) Ulama sahaja yang mesti melakukan Istikhara! Berapa banyak masalah timbul disebabkan oleh salah faham ini! Seorang ‘Alim sedang duduk di rumahnya, sibuk menelaah atau menulis, telefon berbunyi dan orang di telefon itu meminta: “Tuan, maaf mengganggu tuan, Saya memerlukan Istikhara…..”

Walau begitu, saya sendiri melakukan Istikhara (untuk orang lain), dan saya tidak menentang perkara ini, tetapi adalah lebih baik bahawa setiap individu melakukan Istikhara sendiri. Bahkan sesetengah orang menyatakan adalah tidak dibenarkan bagi seseorang itu melakukan Istikhara untuk orang lain dan setiap orang harus melakukan Istikharanya sendiri!”39

Ayatullah Shahid Husany Dastzhaib Shirazi

“Istikhara secara istilahnya bermaksud untuk “memohon yang terbaik” dari Allah. Ya Allah! Aku sedang kebingungan dan tidak tahu sama ada redhaMu adalah dalam tugasan ini atau sebaliknya. Aku mohon kepada-Mu jadikanlah jelas keredhaanMu buatku.

Namun, dalam keadaan ini, adalah perlu bagi seseorang itu untuk berdo’a kepada Allah SWT, dan Istikhara sebenar hanyalah doa ini. Jika dengan kaedah ini, kekeliruan seseorang masih tidak hilang, maka tidak ada masalah demi menghilangkan keraguan dan ketidakpastian maka seseorang itu bertindak mengikut apa yang telah disebut dalam hadis sama ada menggunakan Tasbih atau Al-Quran, dia boleh cuba untuk mempermudah kesukarannya.

Walau bagaimanapun, dua syarat haruslah dipenuhi, pertama seseorang itu mestilah dalam keadaan berdo’a, artinya dia berada dalam keadaan di mana dia benar-benar mengharapkan: “Ya Allah! Tolonglah hilangkan keraguan dalam diriku melalui  berkat Al-Quran yang mulia.”

Syarat kedua, yang mana adalah yang paling penting, adalah pemahaman terhadap konteks dan maksud ayat Al-Quran termasuklah perkara-perkara khusus sehubungan dengan Istikhara.

Harus diketahui bahawa Al-Quran tidak diwahyukan sekadar untuk melakukan Istikhara. Sebaliknya, ia adalah kitab ilmu dan Hikmah, yang membimbing seseorang itu kepada jalan kehambaan kepada Allah. Usah salah faham dengan saya, saya tidak menentang Istikhara menggunakan Al-Quran, tetapi dua syarat utama itu mestilah dipenuhi (terlebih dahulu).

Dalam situasi di mana selepas berfikir, berdo’a dan meminta nasihat dari orang lain, seseorang itu masih juga dalam keadaan ragu, maka cara terbaik untuk menghilangkan ketidakpastian ini yang mana turut disebut dalam hadis-hadis, adalah dengan melakukan Istikhara.”39

Ayatullah al Uzma Shaykh Muhammad Taqi Behjat

“Mengenai keadaan di mana seseorang itu harus melakukan Istikhara selepas mendapatkan nasihat dari orang-orang yang berilmu dan berpengetahuan, jika masih lagi wujud rasa ragu, maka barulah selepas itu seseorang itu melakukan Istikhara.

Pelbagai jenis dan kaedah Istikhara telah disebut dalam Mafatih Jinan dan pelbagai buku-buku hadis. Mengenai persoalan sama ada seseorang itu boleh melakukan Istikhara dengan Al-Quran atau buah Tasbih untuk dirinya atau tidak, harus dinyatakan di sini bahawa jika segala syarat dan etika dipatuhi, maka tidak ada masalah.

Namun, dalam situasi seperti ini, adalah lebih baik untuk memberikan sedekah, dan meneruskan sesuatu pekerjaan itu39.”


Ayatullah Sayyid Imam Ali Khamenei

Q1423: Adakah wajib untuk bertindak mengikut keputusan Istikhara?

A : Ianya tidak wajib . Namun, adalah lebih baik untuk bertindak selari dengan keputusan Istikhara itu.

Q1424: Mengikut kepercayaan umum, adalah tidak perlu melakukan Istikhara ketika hendak melaksanakan kerja-kerja memberi derma. Oleh itu adakah dibenarkan untuk beristikhara bagi menentukan kaedah terbaik dalam melakukan kerja-kerja memberi derma, atau demi mengelakkan masalah-masalah yang mungkin berlaku dalam proses memberi derma tersebut? Dan adakah Istikhara merupakan suatu cara untuk mengetahui perkara-perkara ghaib yang tidak ada sesiapa pun tahu melainkan Allah?

A: Istikhara haruslah dilaksanakan dengan tujuan untuk menyelesaikan rasa ragu-ragu, ketidakpastian dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Oleh itu, kerja-kerja pemberian derma yang tidak membawa kepada rasa ragu-ragu, ia tidak memerlukan Istikhara. Istikhara bukanlah cara untuk meramal masa depan seseorang atau masa depan sesuatu tugasan.

Q:1426: Adakah sesuai untuk melakukan Istikhara dengan Al-Quran, atau Tasbih dalam perkara-perkara penting seperti  perkahwinan?

A: Dalam membuat keputusan mengenai sesuatu perkara,  adalah lebih baik berfikir dalam-dalam akan perkara tersebut, dan bertanyakan pandangan orang-orang yang berpengalaman dan boleh dipercayai. Jika langkah-langkah ini masih gagal untuk menghilangkan rasa ragu-ragu dalam membuat keputusan, maka seseorang itu boleh beralih kepada Istikhara.41


Muhammad Baqir Haideri 

Istikhara adalah suatu tradisi Islam yang kuat berakar umbi dalam budaya Syi’ah terutama di Iran, India dan Pakistan. Malangnya, telah didapati bahawa kebanyakan orang ramai mempunyai pandangan yang salah tentang Istikhara dan penggunaannya. Apabila satu isu penting timbul dalam kehidupan mereka, tanpa berlengah dan berhenti untuk berfikir dan bertanyakan nasihat orang lain, mereka akan terus mencari petunjuk dari Yang Ghaib dan melakukan Istikhara tradisional. Orang tersebut, tanpa mengikut syarat-syarat dan etika tertentu, tanpa bertangguh akan mencapai Quran atau Tasbih dan….

Golongan semacam ini, tanpa memikirkan langsung akan keputusan Istikharanya, jika mereka melihat keputusan tersebut sebagai bertepatan dengan apa yang mereka benar-benar ingin laksanakan dan apa yang mereka fikir adalah terbaik untuk diri mereka, mereka akan melaksanakan keputusan Istikhara itu.  Tetapi jika keputusannya adalah ‘negatif’, mereka tetap akan melaksanakan (tindakan yang sama) juga demi mendapatkan apa yang mereka inginkan.

Manakala, satu lagi golongan, berfikir bahawa keputusan Istikhara adalah ibarat Al-Quran yaitu ia adalah wahyu dari Allah justeru melihat keputusan Istikhara sebagai satu perkara yang wajib diterima dan meletakkan nasib kehidupan dan masa depan mereka kepada keputusan Istikhara.

Kedua-dua golongan ini benar-benar tidak memahami maksud sebenar Istikhara dan cara penggunaannya yang betul, kerana tidak memberikan perhatian kepada langkah yang pertama, yaitu menggunakan aqal dan intelek seseorang itu dan kemudian mencari penyelesaian dengan mendapatkan nasihat dari orang lain, memainkan peranan yang sangat penting dan memiliki kesan yang besar terhadap keputusan sebenar Istikhara.

Golongan yang pertama, disebabkan oleh kekeliruan minda mereka sendiri terhadap Istikhara dan melaksanakannya tanpa berlengah, telah secara tidak sengaja, terjebak dalam dosa besar yakni merendah dan mempermainkan Ayat Suci Al-Quran. Mereka telah memilih nasib masa depan mereka sendiri yang dikawal oleh hawa nafsu mereka dan kepentingan diri mereka, dan bahkan untuk sebahagian yang lain, tanpa melaksanakan Istikhara, turut terjebak dalam dosa ini.

Dosa golongan yang kedua tidak kurang sedikit dari golongan pertama, kerana tanpa asas apa pun – sama ada dari aspek logika atau agama, telah menjadikan satu kewajiban bagi diri mereka untuk mengikut hasil Istikhara, yang mana tujuan sebenarnya adalah untuk membuang rasa ragu-ragu dan menjadikan hati seseorang itu tenang.

Jika seseorang itu boleh mencapai keadaan ini dengan kaedah yang lebih baik seperti berfikir dan mendapatkan nasihat orang-orang lain, maka adalah tidak perlu baginya untuk mencari penyelesaian dengan Istikhara, tanpa mempedulikan apa yang bakal terjadi terhadap seseorang yang bertindak mengikut hasil Istikhara yang dilaksanakan dalam keadaan keliru dan jahil dan tanpa mengikut syarat dan etika yang diperlukan.

Hasil pandangan sedemikian mengenai Istikhara adalah orang tersebut tidak menggunakan aqalnya dalam kehidupan sehari-hari dan berakhir dengan kegagalan dalam roda kehidupan yang dilaluinya. Disebabkan hal ini, dia hilang ganjaran sebenar di dunia yang datang dari penggunaan inteleknya dan mendapatkan nasihat dari orang lain.”39


Istikhara dengan Al-Quran


Imam Jaafar berkata : Jangan membuat ramalan (tilik nasib) dengan Al-Quran

Maksud kepada “membuat ramalan dengan Al-Quran” (dalam hadis di atas) yang dilarang, adalah percubaan untuk mendapatkan ilmu ghaib, meramal peristiwa masa depan, dan percubaan mencari/meramal akibat kepada sesuatu tindakan yang dilakukan seseorang pada masa hadapan.

Namun, mencari apa yang terbaik dengan menggunakan Al-Quran yang mana bahkan ditekankan dalam Al-Quran, pada realitinya, hanyalah untuk membebaskan seseorang itu dari keraguan dan ketidakpastian serta membimbingnya untuk memilih antara dua jalan. (sama ada untuk melaksanakan sesuatu tindakan atau sebaliknya)

Selain itu, seseorang haruslah memberikan perhatian kepada hakikat ini bahawa tidak ada satu keadaan sekalipun di mana Istikhara seharusnya dilakukan – sama ada dengan Al-Quran atau Tasbeeh, atau kertas – sebelum seseorang itu (terlebih dahulu) menggunakan aqal pemberian Ilahi atau mendapatkan nasihat dari orang-orang lain serta bimbingan. Ketiga-tiga jenis Istikhara ini tidak menetapkan tanggungjawab seseorang itu, sebaliknya, ia hanyalah memandu seseorang itu (dalam membuat keputusan) dan menghilangkan rasa keraguan dan ketidakpastian dari pemikirannya, dan itupun setelah seseorang itu berfikir dalam-dalam mengenai tugasannya, meminta nasihat dari orang lain, tetapi masih menemui jalan buntu. 39


Sumber :-
39. Buku : Istikhara Seeking The Best from Allah oleh Ayatullah Muhammad Baqer Haidari


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.