Sunday, 5 April 2015

Bab 14.1 : Asal Usul Wanita (Dari Tulang Rusuk?)



Wanita sebagaimana lelaki dicipta dari tanah, bukan dari tulang rusuk lelaki. Ayat Quran jelas menyatakan bahawa Adam dan Hawa dicipta pada masa yang sama dari satu entiti tanah yang dibahagi dua.

Sayyid Moustafa Qazwini

Fatma : Saya telah membaca dalam beberapa rujukan Islam bahawa Hawa dicipta dari tulang rusuk ataupun sisa ciptaan Adam, saya selalu mengaitkan konsep ini dengan kepercayaan Kristian bukannya Islam. Apakah pendirian Islam terhadap isu ini?

Sayyid : “Terdapat beberapa rujukan Islam yang tidak jelas yang mendakwa bahawa Hawa dicipta dari tulang rusuk atau sisa ciptaan Adam, tetapi tidak ada bukti kukuh akan kesahihan rujukan tersebut… Berbalik kepada persoalan anda, terdapat beberapa hadis Islam yang berasal dari kitab-kitab terdahulu, yang mendakwa Hawa dicipta dari ruling rusuk Adam atau sisa ciptaannya, tetapi sumber-sumber sahih MENAFIKAN kebenaran dakwaan tersebut.




Foto : “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu, yang telah menjadikan kamu dari “Satu Entiti/Diri Yang Satu” dan menciptakan pasangannya dari jenis yang sama, dan membiakkan dari keduanya (Adam dan Hawa) – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah…” (Quran 4:1)

“Terdapat sebahagian ulama Islam mendakwa bahawa lelaki dicipta terlebih dahulu, kemudian wanita diciptakan dari sisa bahan ciptaan lelaki. Walau bagaimanapun dengan mengkaji ayat di atas, Allah menunjukkan bahawa wanita dan lelaki telah dicipta pada masa yang sama, dan penciptaan mereka adalah dari bahan yang sama.

Inilah yang dimaksudkan dengan “satu entiti/diri yang satu; min-nafsin waahida”. Penciptaan manusia adalah suatu dikotomi dimana satu tubuh atau jisim dibahagikan kepada dua bahagian. Oleh itu, kedua jantina dicipta dari bahan yang serupa, pada masa yang sama, dan oleh itu tidak ada elemen dalam penciptaan jantina (yang menunjukkan salah satunya) lebih superior dari yang lain24.”


Ayatullah Sayyid Hussain Tabatabai

Menurut Allama Tabatabai, ayat ini menunjukkan bahawa Adam dan Hawa berasal dari satu entiti, dari spesies yang sama, justeru memiliki nilai kemanusiaan yang serupa, dan bahawa semua manusia adalah anak cucu kepada pasangan asal ini yaitu Adam dan Hawa (tanpa campur tangan dari spesies lain). Oleh itu, ini menunjukkan bahawa pendapat yang menyatakan Hawa dicipta dari sisa atau tulang rusuk Adam, dan pendapat yang menyatakan bahawa anak-anak lelaki Adam-Hawa berkahwin dengan jin-jin adalah tidak tepat. Beliau menulis :

“Ayat ini (4:1) menyeru agar mereka takut kepada Tuhan mereka, menyeru kepada sifat Taqwa, mengenai diri mereka, kerana mereka semua adalah manusia, serupa dalam kemanusiaan mereka, tidak ada perbezaan di antara mereka dalam realiti ini, lelaki atau wanita, besar atau kecil, tua atau muda, lemah atau kuat, semua mereka adalah sama dalam kemanusiaan mereka. Oleh itu, kaum lelaki tidak harus menindas wanita, begitu juga tidak harus seseorang yang besar dan kuat menginjak-injak rakan-rakan yang lebih kecil dan lemah darinya,”





Foto : “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu semua dari lelaki dan wanita dan menjadikan kamu semua berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih taqwanya di antara kamu…” (Quran 49:13)


(Merujuk ayat Quran, 49:13) “Ayat ini bertujuan untuk menunjukkan bahawa semua manusia adalah satu/sama (dalam aspek kemanusiaan) sepertimana semua manusia lain, dan tidak ada perbezaan di antara mereka dalam aspek ini kerana setiap mereka lahir dari seorang bapa manusia dan seorang ibu manusia; oleh itu tiada siapa di antara mereka yang seharusnya berfikir bahawa dirinya lebih superior dari yang lain, kerana tidak ada perbezaan atau superioriti kecuali melalui Taqwa.”

“Walaupun dengan maksud yang jelas ini, beberapa pentafsir telah menulis bahawa ayat ini (4:1) cenderung menunjukkan bahawa pasangan diperoleh dari (sisa) diri yang satu dan dicipta dari salah satu bahagiannya. Penjelasan ini bertujuan untuk menjadikan ayat ini selari dengan beberapa hadis, yang menyatakan Allah telah mencipta isteri Adam dari salah satu tulang rusuknya. Tetapi hakikatnya ayat ini tidak menyokong pandangan sedemikian.”




Foto: “…dan membiakkan dari keduanya (Adam dan Hawa) – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai,” (Quran, 4:1)


“Ayat ini secara jelas menunjukkan bahawa bangsa manusia berasal dari Adam dan Hawa tanpa pihak lain mempunyai apa-apa bahagian di dalamnya. Allah berfirman [dan membiakkan dari keduanya, lelaki dan perempuan yang ramai], Allah tidak berfirman [dan membiakkan dari keduanya & pihak lain]. Lanjutan dari tafsiran ini, kita tiba kepada dua kesimpulan berikut :-

“Perkahwinan generasi pertama selepas Adam dan isterinya (iaitu anak-anak mereka yang terdekat) dilakukan di antara saudara lelaki dan perempuan (anak lelaki Adam berkahwin dengan anak perempuan Adam), kerana mereka adalah satu-satunya manusia lelaki dan perempuan pada masa itu. Tidak ada masalah dalam hal ini. Kerana ia adalah soal hukum dan ia bergantung kepada budi bicara Allah SWT.Dia boleh menghalalkannya di satu masa dan tidak membenarkannya di masa yang lain59.”


Nota :
Kita, tidak mengatakan hukum Allah itu mudah berubah-ubah, tetapi kita telah melihat beberapa contoh dalam sejarah di mana, dalam proses menjadikan Islam itu satu agama yang sempurna, Allah tidak menurunkan segala syariat sekaligus dalam satu masa, tetapi sedikit demi sedikit, mengikut keadaan dan situasi yang dialami masyarakat pd zaman itu.

Ali Ibn Abi Talib:

"Dalam apa jua keadaan, berbaik-baiklah dengan isteri-isterimu, dan bertuturlah dengan mereka dengan bicara yang mesra dan tutur kata yang baik, mudah-mudahan mereka akan menukar tindakan mereka ke arah yang lebih baik,"

"Wanita adalah amanah Allah kepadamu. Maka jangan lukai mereka dan jangan menjadikan hidup sukar buat mereka,"


Sumber:-
24.A New Perspective : Women of Islam oleh Sayyid Moustafa Qazwini http://www.al-islam.org/wii-persp-edt2/


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.