Sunday, 5 April 2015

Bab 14.4 : Kontroversi Ayat Quran (2:228 & 4:34)



a)    Lelaki “Selangkah ke Hadapan”

“Dan wanita memiliki hak-hak yang sama dengan hak-hak ke atas mereka dengan cara yang adil dan saksama; tetapi lelaki (suami) mempunyai satu tingkat yang lebih ke atas diri mereka (isteri).” (2:228)

Fatma: Ayat ini mungkin antara ayat Al-Quran yang paling kontroversi dan disalahtafsir mengenai hubungan antara suami dengan isteri. Adakah ayat ini hanya berkaitan dengan hak-hak dalam sebuah perkahwinan atau ia menjangkau keseluruhan masyarakat juga? Yang kedua, bolehkah anda menjelaskan keseluruhan ayat ini dan memetik beberapa contoh?

Sayyid: Ayat yang saudari sebutkan tadi, mungkin bukan terjemahan yang sesuai. Kadang kala, agak sukar untuk menterjemahkan maksud yang tepat perkataan bahasa Arab kepada bahasa Inggeris. Terdapat banyak perkataan Arab yang tidak dapat diterjemahkan dari makna asalnya atau maknanya ke dalam mana-mana bahasa.

Penterjemah perlu mencari perkataan-perkataan alternatif dalam usaha untuk secara tepat menterjemahkan istilah Arab tertentu. Dalam beberapa kes, arti yang tepat bagi perkataan tersebut boleh hilang, disalahgambarkan, atau disalahtafsir. Biar saya cuba terjemahkan ayat tersebut:

“Dan hak-hak para isteri – ke atas para suami mereka – adalah sama [sama adil/sama aktif] dengan kewajiban mereka – terhadap para suami mereka – tetapi para lelaki dalam tanggungjawab mereka – terhadap para isteri mereka – adalah selangkah ke hadapan : Wa lahunna methullathi ‘al ayhinna bil-ma’uruf: walir-rijaali ‘alayhin-na darajah. (2:228)

Mengenai soalan pertama saudari, para ulama Islam memberi komen bahawa ayat ini hanya berkaitan dengan hal-ehwal keluarga, tidak merangkumi hubungan antara lelaki dan wanita dalam masyarakat atau di luar institusi keluarga.

Dalam hal masyarakat, Al-Quran menyatakan lelaki dan wanita Muslim sama-sama berkongsi tanggungjawab moral dan sosial kehidupan secara sama rata. Tambahan lagi, mereka (lelaki dan wanita) adalah sama di hadapan undang-undang dan dalam semua kewajiban agama dan hukumannya.

Selain dari ayat ini, terdapat satu lagi ayat dalam Al-Quran yang berkaitan, dan oleh itu adalah penting untuk menjelaskan keduanya pada masa yang sama.

“Kaum lelaki adalah penyokong dan pemberi nafkah buat kaum wanita mengikut apa kelebihan [atau kemampuan] yang Allah telah berikan kepada satu pihak ke atas satu pihak yang lain dan kerana kaum lelaki menyokong kaum wanita dengan harta mereka. Oleh itu, wanita-wanita yang solehah adalah mereka yang benar-benar taat,”: Ar-rijaalu qaw-waamuuna ‘alan-nisaa-‘i bima faz-zalallaahu ba’-za hum ‘alaa ba ‘zinwwa bimaa ‘anfaquu min’amwaalihim. Fas-Saalihaatu qaanitaatun. (4:34)

Al-Quran telah menetapkan,

“Para lelaki dalam tanggungjawab mereka – terhadap para isteri mereka – adalah selangkah ke hadapan: walir-rijaali ‘alayhin-na darajah.” (2:228)

“Selangkah ke hadapan” yang dibicarakan Al-Quran bukanlah bermaksud sebuah kedudukan atau kemuliaan yang lebih tinggi. “Langkah” yang dimaksudkan Al-Quran adalah tugasan wajib yang diberikan kepada lelaki dalam menjaga wanita. Ia bukanlah sebuah darjat superioriti. Allah telah menetapkan kaum lelaki dengan tanggungjawab memelihara dan sepenuhnya memberi nafkah kepada wanita. Ini disokong oleh ayat yang menyatakan:

“Kaum lelaki adalah penyokong dan pemberi nafkah buat kaum wanita: ar-rijaalu qaw-waamuuna ‘alan-nisaa-‘i.” (4:34)

“Selangkah ke hadapan” sama sekali tidak (merujuk kepada) satu bentuk penguasaan atau keutamaan.

Al-Quran mengingatkan kita bahawa lelaki dan wanita diciptakan dari intipati yang sama.

“[Allah] menciptakan kamu semua dari entiti yang satu: khalaqakum min-nafsinw-waahida.” (4:1)

Al-Quran secara konsisten merujuk kepada persamaan, kesetaraan, dan keseimbangan antara jantina. Ia menyisihkan faktor jantina dan tidak membuat sebarang perbezaan antara superioriti atau inferioriti lelaki dan wanita. Sebaliknya, adalah sifat taqwa seseorang itu yang membezakan tahap atau darjatnya, bukan jantina atau keturunan.

“Yang paling mulia di antara kamu [lelaki atau wanita] di sisi Allah adalah orang yang paling Taqwa di antara kamu: in-na ‘akramakum ‘indal-laahi ‘atqaakum.” (49:13)

________________________________________________________________________________________________

Nota: “Taqwa adalah keadaan minda & jiwa seseorang itu di mana dia sentiasa berjaga-jaga untuk melindungi rohnya dari melanggar peraturan-peraturan Allah SWT seperti yang telah digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Takut bukanlah maksud kepada Taqwa, takutkan azab Allah SWT adalah hasil akhir (sifat) Taqwa. Ianya bukan pengasingan diri tetapi adalah pelindung kepada diri; anda tidak lari dari persekitaran, tapi sebaliknya anda melindungi diri anda dari keburukan persekitaran itu.28” ~Sayyid Muhammad Rizvi~




Sayyid : Islam tidak bersifat memihak atau menunjukkan sifat berat sebelah menjaga kepentingan kaum lelaki. Keutamaan diberikan demi menjaga kebajikan umum masyarakat, bukannya (kepentingan) jantina. Ia adalah keseimbangan kepentingan antara kedua-dua jantina yang memberi manfaat kepada semua ahli masyarakat.

(Kepentingan menjaga kebajikan) seluruh masyarakat sentiasa mengatasi (kepentingan menjaga) satu bahagian dari masyarakat. Hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab bagi seorang wanita adalah sama besarnya dengan seorang lelaki, tetapi ia tidak seharusnya serupa. Sama dan serupa adalah dua hal yang berbeza.

“Maka sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-Rasul Kami dengan bukti yang jelas dan menurunkan bersama-sama mereka Kitab dan Mizan (Neraca/Penimbang), supaya umat manusia dapat melaksanakan keadilan sesama mereka.” (57:25)

Wanita dan lelaki adalah seimbang secara simetri berkenaan hubungan mereka dengan Allah. Manakala di satu sisi lain, keseimbangan simetri ini menjadi berbeza apabila menyentuh soal peranan dan tanggungjawab lelaki dan wanita, bukan sahaja terhadap diri mereka dan sesama mereka, tetapi juga terhadap masyarakat secara keseluruhannya. Tidak pernah dikatakan bahawa satu jantina melebihi jantina yang lain; secara asasnya, kedua-dua jantina mestilah berada dalam kadar yang sama (seiring) dengan satu sama lain, setiapnya mengiktiraf kepentingan sumbangan masing-masing tanpa berpihak.

Wanita dan lelaki di sisi Islam adalah saling melengkapi satu sama lain. Menurut satu hadis dari Rasulullah SAW, “Lelaki dan Wanita adalah saudara beradik kepada satu sama lain.”

Al-Quran mewajibkan ke atas suami secara eksklusif untuk memikul tanggungjawab menafkahi isterinya, dan menjaga kepentingan keluarganya. Di sisi Islam, seorang isteri tidak diwajibkan untuk menampung perbelanjaan kehidupan, dan adalah diwajibkan ke atas suami untuk menafkahi isterinya sesuai dengan kemampuannya.

Jika suaminya kaya, maka dia harus memberikan isterinya gaya hidup yang selesa (serba cukup), atau jika suaminya miskin, maka isterinya menjalani kehidupan yang sederhana24.

___________________________________


b)    Suami dan “Kepatuhan Mutlak”

1) “Dan wanita memiliki hak-hak yang seimbang dengan hak-hak ke atas diri mereka secara adil dan saksama; tetapi lelaki (tanggungjawabnya) adalah setingkat lebih tinggi dari mereka.” (2:228) –[ terjemahan yang lebih tepat telah dibincang di atas -penulis.]

2) "Lelaki adalah penyokong dan pemberi nafkah bagi kaum wanita” (4:34)

Sebahagian orang telah mengambil kedua-dua ayat ini dan secara negatif menafsirkannya sebagai satu bentuk dominasi lelaki, atau

sebagai satu bentuk superioriti ke atas wanita, bahkan mendefinisikan ayat-ayat ini sebagai isteri terpaksa menyerahkan dirinya mengikut kehendak suaminya tanpa syarat/secara mutlak.

Tafsiran-tafsiran ini adalah sepenuhnya bertentangan dengan asas-asas dan prinsip-prinsip Islam. Islam, dengan jalan atau cara apa sekalipun, tidak membenarkan apa jua kawalan mutlak (terhadap orang lain).

Islam dengan keras menentang kezaliman, penindasan, pemerintahan diktator, penganiayaan atau pelanggaran hak-hak asasi. Al-Quran secara khusus menyatakan :-

“Layanlah mereka (isteri) secara adil” (2:228),

dan

“Hiduplah bersama mereka berdasarkan belas ihsan dan keadilan” (4:19)

Ayat-ayat ini, antara banyak ayat lain yang terdapat dalam Al-Quran, serta ratusan hadis-hadis terkenal Nabi, merupakan asas kepada perkahwinan.

“Dan hak-hak para isteri – ke atas para suami mereka – adalah sama dengan kewajiban mereka – terhadap para suami mereka” (2:228)

Ayat ini mengesahkan bahawa suami bukanlah pasangan berkuasa yang tidak boleh dipersoalkan, bukan juga seorang yang dikurniakan kepatuhan mutlak.

Allah telah berbicara jelas dalam ayat ini bahawa hak-hak isteri adalah sama dengan hak-hak suami. Untuk menjelaskan lagi, hak-hak dalam perkahwinan adalah tertakluk kepada syarat, dan bergantung kepada kepatuhan dua hala di mana setiap pasangan mempunyai satu set tanggungjawab atau tugasan (masing-masing) yang mesti dipenuhi.
.
Jika salah satu atau kedua-dua mereka gagal untuk melaksanakan tugasnya, maka satu arahan dan keputusan akan dilaksanakan.30

______________________________________


Pandangan Pemimpin Tertinggi mengenai Peranan Wanita dan Hak-Hak Mereka dalam Masyarakat

c)    Berkongsi tugas –Imam Ali Khamenei

“Lelaki dan wanita memiliki sifat-sifat semulajadi yang berbeza. Di dalam keluarga, wanita tidak seharusnya diharapkan untuk melakukan perkara yang sama seperti yang lelaki lakukan atau memiliki sifat yang sama sebagaimana lelaki. Begitu juga, lelaki tidak seharusnya diharapkan untuk memiliki sifat yang sama seperti wanita.

Lelaki dan wanita setiap mereka mempunyai ciri-ciri semulajadi dan emosi yang berbeza. Ia adalah untuk kebaikan manusia dan masyarakat di mana emosi lelaki dan wanita diambil kira dalam keluarga. Jika ciri-ciri ini diperhatikan, kedua-dua lelaki dan wanita akan merasa bahagia.

Tetapi lelaki dan wanita tidak berhak untuk menindas atau cuba mendominasi satu sama lain. Terdapat sebahagian lelaki yang berfikir wanita harus melakukan semua perkara yang berkaitan dengan mereka. Tentu sekali dalam sebuah keluarga seorang lelaki dan wanita yang saling mencintai akan secara sukarela melakukan apa sahaja untuk satu sama lain. Namun melakukannya secara sukarela adalah berbeza dari merasakan atau bertindak dengan cara di mana wanita seolah-olah harus menjadi seperti hamba di rumah. Kepercayaan seperti ini tidak wujud dalam Islam31.


Sumber:-

24.A New Perspective : Women of Islam oleh Sayyid Moustafa Qazwini http://www.al-islam.org/wii-persp-edt2/




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.