Friday, 3 April 2015

Bab 10.3 : Bahan Bacaan & Tontonan


Bahan Bacaan

Surat khabar, majalah, komik, novel (yang kebanyakan kini mudah diakses di laman internet) :- Ibu bapa harus peka dengan elemen-elemen seksual yang selalu sahaja diselitkan dalam bahan bacaan ini. Surat khabar tempatan sering memaparkan wanita seksi sebagai alat untuk menarik pelanggan. Majalah-majalah murahan juga menggunakan kaedah yang sama. Komik seperti Detektif Conan, Doraemon, dan komik-komik Jepun yang lain tidak terlepas dari elemen seksualiti yang merosakkan moral dan spiritual para pembaca.

Sebagai usaha untuk menarik minat anak membaca, tidak ada salahnya ibu bapa membelikan mereka majalah, novel dan sebagainya. Namun harus pastikan bahawa sumber bacaan mereka itu bersih dari elemen-elemen yang merosakkan. Alhamdulillah, kini terdapat pelbagai majalah Islamik, komik Islamik, serta novel Islamik yang membawa mesej utama Islam seperti nilai-nilai akhlak, kisah-kisah teladan, dan lain-lain untuk disajikan kepada para pembaca.

Nota : Kartoon Jepun dalam bentuk animasi mahupun komik sangat banyak memuatkan adegan-adegan seksual, dan ia dibiarkan berleluasa dijual di kedai-kedai tanpa kawalan dari pihak berkuasa.. Jika ibu bapa mahu memuatkan bahan bacaan ini di dalam perpustakaan peribadi di rumah, disarankan untuk baca terlebih dahulu komik-komik tersebut.

Tidak dinafikan jalan cerita kebanyakan kartoon Jepun sangat menarik menjadikan ia begitu popular, namun harus kita pertimbangkan apakah berbaloi menggadaikan moral diri dan anak-anak kita hanya semata-mata demi hiburan, yang besar kemungkinan berisiko menjadikan diri kita lebih lalai dan alpa dengan tujuan sebenar kita hidup di dunia ini.




Pesan Imam : Kepentingan Falsafah buat Kanak-Kanak

Imam Ali Khamenei :-


"Hari ini, dalam dunia di mana negara-negara secara materialnya semakin maju ke hadapan, salah satu tugasan dan bidang kajian yang penting adalah falsafah untuk anak-anak. Di dalam masyarakat kita, ramai yang tidak tahu bahawa falsafah adalah keperluan bagi kanak-kanak. Sebahagian pula menganggap falsafah hanyalah satu istilah pelik yang hanya ditangani oleh sebahagian orang dewasa yang telah tua!

Ini adalah tidak benar.

Falsafah adalah tentang membentuk pemikiran, mengajar kefahaman, dan membiasakan minda dengan proses memahami dan berfikir. Ini perlu diwujudkan dari peringkat awal lagi. Iaitu kanak-kanak harus dibiasakan dengan merenung dan berfikir rasional. Ini adalah sangat penting."47


Nota:

Anak-anak yang tidak diajar untuk berfikir secara rasional, akan cenderung memiliki personaliti yang goyah, yakni mudah terpengaruh, tidak memiliki pendirian, tidak pasti sebab di sebalik tindakan dan keputusan yang diambil. Antara contoh soalan-soalan berbentuk falsafah yang bertujuan menjawab pelbagai bentuk pertanyaan demi memperoleh pemahaman dan prinsip yang kukuh:-

Apa perlunya memakai hijab? Mengapa perlu solat? Apa kelebihan menutup aurat? Apa kelebihan berpuasa? Mengapa harus berbuat begitu tetapi tidak begini? Mengapa Tuhan boleh melihat kita tetapi kita tidak boleh melihat Tuhan? Mengapa kita tidak menyembah matahari? Mengapa perlu menyembah Tuhan yang tidak nampak? Apa bukti Tuhan wujud? Mengapa mengambil barang tanpa keizinan dikira salah? Apakah hormat itu hanya untuk orang tua sahaja atau pada semua orang? Mengapa perlu bekerja di siang hari? Apa perlunya siang dan malam? Untuk apa kita diciptakan?

Soalan-soalan ini apabila dihadapi dengan jawaban yang baik dari ibu bapa, maka ia tidak akan membawa anak itu ke mana-mana melainkan tersingkapnya kebijaksanaan dan kasih sayang Allah kepada dirinya. Dengan ini keyakinan dirinya, tujuan hidupnya, prinsip moralnya menjadi lebih jelas, lebih kukuh, dan tidak mudah diganggu-gugat oleh pengaruh Barat yang penuh dengan unsur materialistiknya. InsyaAllah. 



Movie/Drama/Animasi

Apa yang ditonton dan didengari oleh anak-anak secara tidak langsung akan mempengaruhi pemikiran, karakter dan psikologi mereka. Ibu bapa harus memberi perhatian pada apa yang ditonton anak-anak, sama ada di kaca televisyen, di panggung wayang atau di dalam internet. Hari ini terdapat pelbagai cerita yang memasukkan elemen tidak sopan disajikan buat tatapan generasi muda. Adegan tidak sopan dipertontonkan tanpa batas. Semua ini mengancam moral dan spiritual anak-anak kita.

Adalah lebih selamat jika ibu bapa sendiri memilih atau menyediakan koleksi cerita yang telah ditapis sendiri di mana adegan tidak sopan telah siap dibuang. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan software “Freemake Video Converter” seperti yang telah dilakukan di blog ini:- koleksifilteredmovie.blogspot.com. Seandainya ibu bapa dapat menyediakan koleksi cerita Islam seperti kisah para Nabi, maka itu tentunya jauh lebih baik.

Banyak movie hari ini bukan sahaja memaparkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, bahkan keganasan, penggunaan bahasa kesat dan lain-lain. Cerita yang mengandungi elemen-elemen sebegini juga harus sedaya upaya kita elakkan. Anak-anak sangat mudah meniru apa yang mereka lihat dan apa yang mereka dengar.

Dr. Jalal Baremani14, seorang pakar psikiatrik berkata: “Movie yang menakutkan mempunyai impak negatif ke atas minda kanak-kanak. Didapati bahawa kanak-kanak yang menonton filem yang memaparkan perbuatan ganas cuba untuk meniru hero tersebut dan memukul adik lelaki atau adik perempuannya. Movie seperti itu boleh memiliki kesan yang sangat negatif terhadap personaliti masa depan kanak-kanak tersebut. Dengan menonton movie yang menakutkan, anak-anak menjadi lemah dan penakut. Movie yang ganas pula memotivasikan mereka untuk turut menjadi ganas. Kesan negatif pendedahan-pendedahan ini akan berada dalam minda individu tersebut dan mereka juga mungkin akan termotivasi untuk melakukan tindakan-tindakan ganas.”


Nota : Televisyen juga sering memaparkan iklan-iklan tidak sopan dan selingan musik yang kuat. Seandainya aspek ini diabaikan oleh ibu bapa dan dibiarkan tanpa kawalan, maka proses mengasuh anak akan menjadi lebih sukar. Dan besar kemungkinan anak-anak itu telah terjerumus ke dalam gejala sosial tanpa ibu bapa sedari. Nauzubillah.. Semoga Allah membantu para ibu bapa melindungi anak-anak mereka dari sebarang kerosakan fizikal, moral mahupun spiritual.


Kita benar-benar memerlukan movie/kartoon bersifat Islamik yang terhindar dari elemen-elemen yang menjatuhkan moral dan sarat dengan kisah penuh pengajaran dan teladan.

Dalam ibu bapa berusaha melarang dan mengawal bahan bacaan dan tontonan anak-anak, usah dilupakan agar menyediakan sekali alternatif positif bagi anak-anak dan perlu memberikan penjelasan akan baik buruk setiap tindakan.

Alternatif :

Movie
-Movie Islamik (Boleh didapati di Youtube, ShiaSource dll)

Bahan Bacaan
-Novel Islamik

Sumber:-
14.Principles of Upbringing Children oleh Ayatullah Ibrahim Amini (m/s 226)





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.