Saturday, 4 April 2015

Bab 11.1 : Gangguan Fizikal/Seksual

Garis Panduan Melindungi Anak dari Gangguan Fizikal/Seksual


1.      Ibu bapa seharusnya berusaha membina hubungan karib dengan anak-anak terutama sejak dari mereka kecil lagi. Suatu hubungan di mana ibu bapa memperoleh kepercayaan dari anak-anak sehinggakan mereka menjadikan ibu bapa sebagai tempat untuk mengadu, mendapatkan nasihat dan bimbingan.

2.      Anak-anak yang kekurangan kasih sayang dan perhatian ibu bapa adalah antara golongan yang berisiko tinggi untuk jatuh ke dalam perangkap orang-orang yang menyimpan niat yang tidak elok.

3.      Ibu bapa perlu memberikan sedikit sebanyak garis panduan agar anak kecil boleh mengenal pasti tindakan/kelakuan yang bagaimana adalah tanda kepada gangguan fizikal/seksual.

4.      Gangguan fizikal/seksual terhadap kanak-kanak andai tidak ditangani dengan segera akan menyebabkan gangguan psikologikal seperti trauma yang berpanjangan dalam diri si anak. Mereka juga mungkin akan mempunyai beberapa tabiat yang diluar kebiasaan.

5.      Sikap hati-hati ibu bapa dalam melindungi anak dari gangguan fizikal/seksual tidak seharusnya terhad hanya terhadap orang asing, bahkan dari anak jiran, ahli keluarga sendiri, sepupu lelaki, ayah sedara bahkan orang-orang yang berumur 50-an ke atas. Tidak kurang kes-kes sebegini berlaku, akan tetapi jarang orang mahu mengetengahkannya.

6.      Hubungan karib antara ibu bapa dan anak akan memudahkan anak untuk mengadu kepada orang tua andai dia merasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Anak-anak harus diterangkan bahawa mereka bebas memberitahu apa saja kepada ibu bapa dan mereka tidak akan dimarahi atau dipersalahkan.

7.      Usah tinggalkan kanak-kanak dengan orang-orang yang berbeza jantina dalam bilik, rumah atau membiarkan mereka bermain tanpa pengawasan orang dewasa yang dipercayai.

8.      Anak-anak harus diajar untuk menolak pemberian atau hadiah seperti gula-gula atau apa saja dari orang asing tanpa terlebih dahulu memberitahu ibu bapa.

9.      Ibu bapa sendiri tidak seharusnya mudah-mudah menyerahkan anak-anak di bawah jagaan seseorang yang baru dikenali.

10.  Google di Internet mengenai “Child Abuse”, “Child Grooming”, untuk garis panduan lanjut mengenai perlindungan anak-anak dari gangguan fizikal/seksual. Kejadian ini boleh mula berlaku dari perbualan  ‘cyber’ di mana pemangsa menggunakan peluang itu untuk menarik dan membina kepercayaan dengan si mangsa.

11.  Hati-hati dari berkongsi foto anak-anak kecil di Facebook, Twitter, Istagram dan sebagainya, begitu juga mendedahkan lokasi di mana mereka kini berada.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.