Monday, 6 April 2015

Bab 14.5.3 : Perbezaan Huqum & Haqq



d)    Sayyid Moustafa Qazwini

Fatma: Anda menyatakan sebelum ini bahawa wanita memiliki pilihan berkaitan dengan beberapa garis panduan yang disarankan. Adakah anda bermaksud bahawa hak-hak tersebut adalah berbentuk pilihan? (hak-hak seperti mendapat nafkah dll)

Sayyid : Ketika membuat kontrak perkahwinan, hak-hak yang disebutkan sebentar tadi adalah secara automatik bermula. Pasangan tidak semestinya perlu menyemak setiap hak-hak tersebut dan bersetuju; (kerana) ia sudah tetap sebagai sebuah platform untuk melindungi hak-hak mereka dalam perkahwinan atau menguatkuasakan hak-hak tersebut. Namun, yang menariknya, jika satu dari kedua pihak memilih untuk mengubah suai atau melepaskan hak perkahwinan tertentu, atas persetujuan pihak satu lagi dan tidak melanggar undang-undang Islam (Shariah), maka mereka boleh berbuat sedemikian.

Fatma : Andaian saya adalah undang-undang Al-Quran sentiasa mengatasi perubahan atau pengubah suaian yang dilakukan oleh mana-mana orang.

Sayyid : Benar, undang-undang Al-Quran tidak sesekali boleh diubah suai atau diketepikan; namun, hak-hak boleh. Dalam Islam, terdapat dua peraturan prosedur dan perilaku yang berbeza. Satu dipanggil sebagai Huqum dan satu lagi dipanggil Haqq.

Fatma : Boleh anda jelaskan Huqum dan Haqq?

SayyidHuqum adalah sebuah keputusan – perintah Ilahi, satu perintah, yang ditetapkan Allah. Tiada siapa yang boleh mengubah, mengubahsuai, mengabaikan atau menangguhkannya dengan apa jua cara. Ambil ini sebagai contoh, mematuhi pemakaian hijab. Tiada siapa yang seharusnya berhujah bahawa, pada hari dan zaman ini, atau kerana seorang wanita itu tinggal di kawasan tertentu, maka dia tidak perlu mematuhi hijab, atau kerana suaminya tidak mahu dia mematuhinya.

Mematuhi pemakaian hijab tidak bergantung pada seseorang individu hanya kerana dia tidak dapat melihat sebab di sebalik peraturan itu. Hijab adalah satu kewajiban; ia adalah satu ketetapan yang diperintah Allah. Tiada siapa yang boleh mengatasi peraturan seperti itu, sebagaimana solat, puasa, sedekah, pergi menunaikan hajj, tidak minum arak, berjudi dan seterusnya. Ini semua adalah ketetapan, peraturan yang diwajibkan ke atas setiap Muslim untuk mengikutinya.

Haqq (Huquq), dalam bidang hak-hak dan tanggungjawab perkahwinan, juga dikira sebagai peraturan wajib yang walau bagaimanapun, boleh diubah, dilepaskan, diubahsuai, atau menjadi bersyarat, asalkan kedua-dua pihak bersetuju dan perubahan tersebut tidak bertentangan dengan undang-undang Islam (Shariah). Di sisi ini Al-Quran telah bermurah hati. Al-Quran memberikan manusia kebebasan untuk menjalani kehidupan mereka mengikut kesesuaian mereka.

Hak-hak perkahwinan yang disenaraikan adalah tidak boleh dibatalkan, namun ia boleh diubah suai. Undang-Undang Islam (Shariah) membenarkan pasangan untuk meletakkan klausa, menetapkan terma, atau menolak mana-mana bahagian kontrak perkahwinan mereka dengan syarat kedua pihak sama-sama bersetuju, dan perubahan tersebut tidak bertentangan dengan undang-undang Islam. Allah berkehendak agar manusia menjalani kehidupan yang berdasarkan kepada persetujuan bersama di dalam lingkungan peraturan-peraturan yang ditetapkan (Huqum). Allah tidak mahu menetapkan kepada orang ramai bagaimana mereka harus menjalani kehidupan mereka secara keseluruhannya. Allah mahu pasangan yang berkahwin untuk bersetuju dengan apa yang dilihat terbaik dalam mendefinisikan sebuah kehidupan terhormat. Persetujuan bersama, kerjasama, dan terpeliharanya kepentingan bersama, adalah faktor-faktor terbinanya sebuah hubungan yang sihat dan kekal sepanjang hayat.

Adalah sangat digalakkan bahawa, sebelum perkahwinan, pasangan saling bersetuju dengan perkara-perkara yang mereka anggap penting dan relevan. Jika pasangan mencapai satu perjanjian bersama yang boleh diterima, dan ia adalah di dalam batasan undang-undang Islam, maka tidak perlu untuk merujuk kepada hak-hak perkahwinan yang disebutkan tadi. Ulama-ulama Islam hanya merujuk kepada hak-hak perkahwinan apabila pasangan telah menerima hak-hak tersebut dan salah satu dari mereka menentangnya.

Sebagai contoh, terdapat beberapa kes di mana sesetengah isteri, terutamanya wanita yang telah berusia, meletakkan satu klausa di dalam kontrak perkahwinan mereka yaitu melepaskan hak hubungan intim dengan suami. Jika lelaki bersetuju, maka kontrak itu tidak bermasalah. Walaupun ianya mungkin kelihatan lain dari kebiasaan, adalah masih di dalam linkungan hak wanita itu untuk meletakkan syarat ini asalkan lelaki bersetuju. Mungkin tujuan perkahwinannya adalah tidak bersifat peribadi. Mungkin ia lebih kepada sebuah kontrak perniagaan, hak sosial, atau satu bentuk perlindungan. Adalah dalam batasan hak wanita itu untuk meletakkan syarat seperti itu atau apa jua syarat, asalkan ubah suai tersebut mendapat persetujuan bersama dan tidak bertentangan dengan undang-undang Islam yang wajib.

Satu lagi contoh lain, seorang lelaki yang mahu berkahwin boleh mengajukan syarat ini kepada isteri, “Saya akan mengahwinimu dengan syarat kamu bersetuju ini akan menjadi rumah sederhana kamu, kereta jimat kamu, dan ini jumlah duit yang akan kamu terima setiap bulan…”. Jika wanita bersetuju, maka kontrak itu tidak bermasalah, walaupun lelaki itu mampu menyediakan gaya hidup yang lebih baik, dan mungkin memilih untuk bersederhana atas sebab-sebab peribadi. Sebagai contoh, dia mungkin takut wanita itu akan meninggalkannya, atau wanita itu menggunakan duitnya untuk saudara-maranya. Lelaki tersebut memiliki hak untuk bersikap sederhana dan berhati-hati dalam perbelanjaannya.

Fatma : Jika pasangan memutuskan, untuk menambah atau menghapus hak-hak (Huquq), mereka boleh berbuat sedemikian, betul?

Sayyid : Hanya jika ubah suai tersebut berada dalam batasan agama dan setiap mereka bersetuju. Selagi mana ia tidak dilarang agama, maka mereka boleh menambah atau menghapus apa sahaja yang mereka mahu.

Fatma : Al-Quran telah menetapkan bahawa seorang lelaki wajib memberikan nafkah sesuai dengan kemampuannya. Jadi bagaimana para ulama membezakan ayat-ayat yang merupakan kewajiban tetap (Huqum), dan ayat-ayat yang dibenarkan untuk diubah (Haqq)?

Sayyid : Pertama sekali, kaedah yang digunakan oleh para ulama dalam membezakan antara perintah wajib (Huqum), seperti solat, puasa, atau bersedekah dengan sebahagian peraturan yang boleh diubahsuai (Haqq), adalah apabila ia berdasarkan kontrak sosial seperti perkahwinan, perceraian, atau perjanjian perniagaan.

Fatma : Bolehkah seorang wanita menetapkan syarat bahawa suaminya tidak akan mengahwini isteri kedua?

Sayyid : Adalah termasuk dalam batasan haknya untuk mengenakan peraturan itu, asalkan suaminya bersetuju.

Fatma : Tetapi anda menyebut bahawa syarat yang diletakkan tidak harus bertentangan dengan ajaran agama, sedangkan dalam Islam lelaki dibenarkan berkahwin sehingga empat wanita.

Sayyid : Kunci perkataannya adalah “dibenarkan”, artinya  ia diizinkan (bukannya diwajibkan). Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa mengahwini isteri kedua bukanlah satu perkara yang diwajibkan, ia adalah perkara yang dibenarkan (mubah). Terdapat perbezaan antara perbuatan yang wajib dan yang dibenarkan. Jika poligami adalah wajib, maka wanita sama sekali tidak berhak mengenakan sekatan seperti itu. 

Apabila seorang isteri menetapkan dalam kontrak perkahwinannya bahawa dia tidak mahu suaminya mengahwini wanita lain, pada dasarnya dia menyatakan, “Selagi anda berkahwin dengan saya, anda tidak boleh melakukan perbuatan yang dibenarkan (yakni berpoligami), dan, jika anda mahu juga, maka anda harus menceraikan saya sebelum anda melakukannya.” Dia tidak menyatakan bahawa lelaki itu tidak boleh berkahwin dengan wanita lain. Dia tidak menyatakan adalah haram baginya untuk berbuat demikian; ia adalah dibenarkan (halal). Dia boleh berkahwin dengan wanita lain, tetapi dalam kontrak perkahwinan isterinya secara khusus menyatakan jika dia mahu mengahwini wanita lain, maka dia harus menceraikan isterinya terlebih dahulu.

Fatma : Apabila pasangan mengubah suai kontrak perkahwinan mereka, mestikah ia didokumenkan bersama seorang Imam (ulama Islam) atau dilakukan di mahkamah Syariah?

Sayyid : Adalah sangat disyorkan agar pasangan mendokumentasikan (merekod) segala syarat yang diubahsuai dan mendapatkan dua orang saksi yang adil. Dokumen tersebut akan berfungsi sebagai peringatan dan keselamatan jika berlakunya masalah di masa hadapan.24


Sumber:-
24.A New Perspective : Women of Islam oleh Sayyid Moustafa Qazwini http://www.al-islam.org/wii-persp-edt2/


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.