Friday, 3 April 2015

Bab 7 : Membina Persekitaran Positif

Persekitaran positif di sini merujuk kepada suasana dalam keluarga yang membawa kesan positif kepada pertumbuhan jiwa dan psikologi anak-anak. Memelihara persekitaran positif dalam keluarga adalah suatu usaha yang harus dilaksanakan secara berterusan di mana ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam perkara ini.

1.Menjauhi pertengkaran suami isteri

Untuk memiliki psikologi yang sihat dan seimbang, anak-anak memerlukan suasana yang tenang dan harmoni. Terutamanya hubungan antara kedua ibu bapanya. Kerana itu kita dinasihatkan agar jika terjadinya perbezaan pandangan antara pasangan, maka haruslah tidak menjurus kepada pertengkaran terutama di hadapan anak-anak. Anak-anak yang menyaksikan hubungan tidak harmoni antara ibu bapa akan merasa selalu bimbang, tidak selamat, dan tidak aman dalam dirinya. Anak-anak akan semakin terhakis rasa hormat dan sayangnya kepada ibu bapa dan berkemungkinan meniru sikap negatif yang ditonjolkan kepada mereka. Ada juga di kalangan mereka yang akan mengalami trauma berpanjangan sehingga takut untuk berumah tangga.

2.Membina hubungan komunikasi yang baik

Hubungan komunikasi di antara ahli keluarga dikatakan dalam keadaan baik dan harmoni apabila wujudnya persefahaman sesama mereka. Salah faham sering terjadi apabila kurangnya komunikasi di antara satu pihak dengan pihak yang lain. Antara suami dengan isteri, dan ibu bapa dengan anak-anak. Di sini kita menggalakkan konsep musyawarah di mana bapa memainkan peranan dalam menyemai konsep ini supaya menjadi kebiasaan dalam keluarga. Jika mahu keluar misalnya harus diberitahu destinasi dengan jelas, peranan dan tanggungjawab masing-masing, pukul berapa bertolak, barang apa yang perlu dibawa dan lain-lain. Hal ini kelihatan remeh namun inilah yang boleh mengundang salah faham dan bermasam muka sesama ahli keluarga.

3.Menggalakkan minat/hobi/aktiviti yang bermanfaat

Minat atau hobi yang bermanfaat wajar ditanam dalam diri anak. Dan pasti sekali ibu bapa sekali lagi harus menunjukkan contoh yang baik. Tidak mungkin kita mengajak anak-anak melakukan sesuatu yang bermanfaat andai diri sendiri gagal untuk melakukan hal tersebut. Aktiviti yang bermanfaat akan mewujudkan hubungan kerjasama yang baik, mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan mewujudkan suasana ceria dan mesra. Apakah contoh minat/hobi/aktiviti yang bermanfaat? Antaranya bergotong-royong, beriadah bersama-sama, bermain badminton, mengunjungi rumah sanak saudara, rumah anak-anak yatim, aktiviti menanam pokok, memasak, memancing, berenang serta kemahiran-kemahiran ‘survival’ lain yang berguna buat kehidupan anak-anak pada masa hadapan.

i)                  Minat Membaca

"Anak-anak perlu diajar tentang kemudaratan membuang masa, kerosakan-kerosakan menggunakan masa lapang secara sia-sia dan tidak bermanfaat. Mereka harus digalakkan untuk memanfaatkan masa lapang dan memiliki hobi-hobi yang berguna. Minat mereka dalam pelbagai bidang harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Ini termasuk potensi mereka dalam bidang agama seperti Tilawah (membaca) Al-Quran, menghafal Al-Quran, belajar bahasa Arab, kajian dalam subjek agama dan lain-lain. Tabiat yang dipelajari di zaman kanak-kanak kekal untuk jangka masa yang panjang. Jika seorang kanak-kanak biasa dengan tabiat membaca di masa lapangnya, maka ini mungkin akan menjadi tabiatnya seumur hidup. Tetapi kanak-kanak yang belajar untuk menghidupkan televisyen, dan hanya menonton televisyen sebagai hiburan dan untuk bersantai, maka dia akan melakukan pekara yang sama apabila dewasa."

“Buku yang baik adalah guru buat anak-anak”

Minat membaca bukan sahaja harus ditanam dalam diri anak-anak. Bahkan dalam diri kita sendiri. Kerana hanya dengan membaca kita beroleh pemahaman, yang memadamkan gelap kejahilan dalam diri. Imam Ali ada menyampai pesan: “Musuh terburuk adalah kejahilan diri”. Antara bahan-bahan bacaan yang bermanfaat :

1) Al-Quran - Tafsirnya
2) Nahjul Balaghah (surat, khutbah, pesanan Imam Ali)
3) Biografi/sejarah setiap Maksumeen
4) Ucapan-ucapan Wilayatul Fakih mengenai politik, akhlak, wanita, dan lain-lain


Semoga Allah membantu kita semua menjadi hamba-hamba-Nya yang berilmu, bijaksana, bertaqwa dan berakhlak mulia, InshaAllah.

Imam Ali as berkata:

"Buku adalah taman-taman bagi orang berilmu"

Rasulullah SAW bersabda :

"Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim. Orang ramai harus tahu bahawa Allah mencintai mereka yang menuntut ilmu"

Imam Ja’far as berkata:

"Seorang Muslim itu mempunyai tiga ciri: 1) ilmu yang mendalam mengenai agama,
2) pengurusan masa yang berkesan, dan 3) tabah dalam menghadapi ujian”


Imam Baqir as berkata :"Jika saya dibawakan seorang pemuda syiah yang tidak tekun dalam mempelajari (ilmu-ilmu agama), maka saya akan mendisiplinkannya,"


Rasulullah (s.’a.w) telah bersabda;

"Sesiapa yang mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu maka Allah akan memimpinnya mengikuti jalan ke syurga, sesungguhnya Malaikat akan melabuhkan sayap-sayapnya ke atas penuntut ilmu sebagai tanda meredhainya. Sesiapa sahaja yang berada di langit dan di bumi akan berdua agar Allah SWT mengampunkan penuntut ilmu termasuklah  ikan paus yang berada di laut.

Kelebihan orang yang menuntut ilmu di kalangan hamba Allah adalah seperti kelebihan bulan dari kalangan semua bintang-bintang di malam purnama,"




i)                  Kemahiran ‘Survival’

Kemahiran survival merujuk kepada kemahiran yang boleh membantu kita untuk meneruskan kehidupan, meraih pendapatan, mempertahankan maruah, nyawa dan membina ekonomi diri & keluarga yang stabil.

Kemahiran Memasak – Kemahiran ini selalu ditekankan buat anak perempuan sahaja. Namun hakikatnya kemahiran ini memberi manfaat kepada keduanya anak lelaki dan perempuan terutama apabila mereka sudah keluar meninggalkan ibu bapa dan perlu hidup berdikari.

*Anak-anak lelaki harus diajar bahawa pekerjaan rumah seperti memasak dan mencuci bukanlah pekerjaan wajib bagi wanita agar dewasa kelak mereka tidak melayan isteri mereka seperti hamba serta belajar menghargai, menghormati bahkan membantu isterinya. (Jauhi ‘asshobiyah’ jantina)

Kemahiran Pertanian – Ini meliputi bidang-bidang seperti penternakan dan tanaman di mana hasilnya bukan sahaja boleh diambil oleh diri dan keluarga, bahkan boleh dijual untuk menjana pendapatan keluarga. Ditekankan buat anak-anak lelaki agar membolehkan mereka menyara hidup diri dan keluarga kelak.  Ekonomi negara turut bergantung kepada penghasilan dalam negara khususnya bidang pertanian ini, agar tidak perlu bergantung pada barangan import.

Kemahiran Mempertahankan Diri – Sangat bermanfaat terutama bagi anak perempuan bagi melindungi dirinya dalam berhadapan dengan pelbagai kemungkinan bahaya. Taekwando, silat, tai chi, dan lain-lain.

Kemahiran Berenang – Kemahiran yang boleh membantu dalam keadaan kecemasan. Juga merupakan satu bentuk senaman yang baik untuk kesihatan tubuh.

Kemahiran Memancing – Juga antara kemahiran ‘survival’ yang bermanfaat.





4.Menghidupkan suasana Islamik

Suasana Islamik merujuk kepada suasana yang selari dengan nilai-nilai Islam. Misalnya:-

-          mengamalkan gaya hidup sihat (seperti senaman)
-          pemakanan yang sihat,
-          menjaga kebersihan dalam dan luar rumah,
-          menyediakan bahan bacaan yang sihat dan bermanfaat buat anak-anak,
-          begitu juga rancangan televisyen yang tidak merosakkan moral anak. 

Jauhi dari membuka lagu-lagu yang melalaikan atau musik yang berisiko merosakkan jiwa ahli keluarga. Sebaliknya hidupkan suasana rumah dengan ayat-ayat Al-Quran,  melaksanakan solat berjemaah di awal waktu, melakukan tazkirah 5-10 minit dan lain-lain.

InshaAllah ibu bapa boleh melaksanakan ini semua dengan kasih sayang dan kelembutan yang menarik minat anak-anak untuk turut serta dan sama-sama memelihara suasana positif ini. 



i)                  Info: Merokok


a)     Merokok boleh menyebabkan buta

Penyelidikan di serata dunia telah mengenal pasti merokok merupakan faktor yang menyumbang kepada berlakunya penyakit katarak.

Mereka yang kuat merokok dan telah merokok untuk tempoh yang lama dikatakan lebih berisiko menjadi buta akibat penyakit katarak.

b)     Merokok boleh menyebabkan kanser

Nikotin mungkin menyebabkan perokok merasa tenang namun tar mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dengan 60 daripadanya bersifat karsinogen iaitu pencetus kanser. Kajian saintifik menunjukkan terdapat begitu banyak bahan kimia berbahaya terkandung di dalam rokok.


c)      Merokok menjejaskan kehidupan sosial

Karbon monoksida pula sejenis gas berbahaya yang jika disedut dengan banyak boleh mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke tisu-tisu dan menyebabkan sukar bernafas dan cepat letih.

d)     Merokok menjejaskan kehidupan seksual, emosi dan psikologi

Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi.

Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

e)     Merokok boleh menyebabkan mandul, bayi cacat

"Mereka juga mudah mendapat penyakit berkaitan saluran pernafasan, strok, osteoporosis, jantung dan mandul," Bagi perokok wanita pula, mereka mungkin mengalami putus haid awal, melahirkan bayi cacat, keguguran, bronkitis, batuk, ulser peptik, otot lemah, penyakit gusi dan kerosakan mata.

f)     Merokok memudaratkan orang sekeliling

“Menurut Dr. Selvaraju, perokok pasif atau mereka yang dikelilingi perokok aktif terdedah kepada risiko kanser paru-paru dan penyakit jantung, masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis, sakit atau pedih mata, bersin dan batuk-batuk, sakit kerongkong dan sakit kepala84.”




i)                  Info: Musik


a)     Imam Ali Khamenei,

"Jika pendengar berpandangan bahawa musik yang didengar itu bukan lahwi musik atau ghina, maka tidak ada masalah untuk mendengar lagu-lagu itu31, "

*Lahwi music - musik yang boleh menyebabkan manusia itu jauh dari Allah, jauh dari moraliti yang baik, dan menyebabkan seseorang itu condong pada dosa.

*ghina - suara/nyanyian yang sesuai untuk perhimpunan lahw/yang melalaikan

Oleh itu jika seseorang itu berpendapat bahawa sesuatu musik itu tidak mengandungi unsur lahwi/ghina, maka tiada bantahan untuk mendengar musik seperti itu.

Nota: Maka dapat kita lihat bahawa penilaian terhadap sesuatu musik itu bergantung kepada individu. Jika musik itu melalaikan, maka seharusnya dijauhkan. Harus lebih berhati-hati jika musik itu mempunyai kesan ke atas emosi kita (dimana ia menjadikan kita condong ke arah negatif, ke arah perlakuan dosa, serta melalaikan). Dari sudut pandangan saintifik, sesungguhnya musik itu memiliki impak ke atas saraf kita sekaligus memberi kesan pada emosi, mentaliti kita juga.


b)     Sheikh Mansour Leghaei

Soalan:
Adakah nashid Islam dikira Haram? Bagaimana dengan Sami Yusuf dan Maher Zain sebagai contohnya, yang mana lagu mereka adalah berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT

Jawaban:
Alatan musik yang digunakan dalam keramaian dosa (seperti kelab malam atau tempat-tempat di mana orang berkumpul melakukan dosa) adalah haram. Alatan yang digunakan untuk tujuan selain dari keramaian dosa, adalah dibenarkan untuk digunakan. Oleh itu, nashid Islam yang tidak menggunakan alatan musik tersebut boleh didengari dengan syarat liriknya bebas dari elemen yang tidak sepatutnya.

Juga adalah penting untuk diingati bahawa lelaki tidak boleh mendengar nyanyian wanita, walaupun lirik dan alatan musiknya tidak bermasalah. Secara umumnya, walaupun sebahagian musik adalah dibenarkan untuk didengari, namun sentiasa ada ruang bagi kita mengambil langkah hati-hati dengan tidak mendengar musik.85

Subscribe Percuma:  Kelebihan Alunan Al-Quran Kepada Anak Anda : http://member.islamicparentingnetwork.net/wp/daftar-4/

5.Saling Menghormati

Hubungan antara ahli keluarga tidak akan terjalin mesra tanpa sikap saling menghormati. Jika wujudnya sikap saling menghormati antara suami isteri maka setiap dari mereka akan berusaha menjaga hati pasangan dan menjauhi dari mengeluarkan kata-kata tajam atau menaikkan suara. Setiap dari mereka juga akan berusaha menjaga budi bicara, menjauhi sikap angkuh, memerintah sana sini atau melayan orang lain dengan kasar. Begitu juga jika sikap saling menghormati wujud antara anak sulung dengan adik-adik, maka tidak akan timbul sikap negatif seperti suka memerintah, menyakiti hati adik, atau bertindak kasar sesama mereka. Sebaliknya sikap menghormati menjadikan kita saling menjaga adab, saling menjaga hati dan perasaan, saling ingin berbuat kebaikan dan menjauhi sikap angkuh. Aspek ini adalah sangat penting dalam mencipta suasana harmoni antara ahli keluarga. Suasana yang penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang..

Ibu bapa harus menunjukkan contoh yang baik dalam hal ini. Jangan sampai adik merasa dibuli oleh anak sulung, atau ada anak-anak yang terasa diketepi disisihkan kerana jantinanya perempuan. Anak lelaki dan anak perempuan harus menerima penghormatan yang sama dari ibu bapa, tidak boleh salah satunya dilayan seperti raja/puteri dan salah satunya dilayan seperti hamba, asyik diperintah melakukan itu dan ini ketika yang lain hanya ‘relax’ tanpa berbuat apa-apa.

Seandainya anak merasakan diri mereka tidak dihormati, maka mereka akan merasa rendah diri, ada yang cenderung untuk melahirkan rasa kecewa mereka dengan marah-marah dan memberontak. Ada yang cuba menarik perhatian keluarga dengan melakukan tindakan-tindakan yang tidak disenangi ibu bapa. Rasa cemburu, rasa rendah diri pastinya boleh menjejaskan pertumbuhan psikologi dan emosi anak-anak kita.

Semoga Allah membantu kita untuk menyemai sikap saling menghormati dalam diri, pasangan dan ahli keluarga kita. InshaAllah.


Perkongsian Lanjut Pengalaman Ibu Bapa :-


Perkongsian Lanjut Anak Hyperaktif, Autisme, Masalah Psikologi :-

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.