Monday, 6 April 2015

Bab 14.5.2 : Falsafah & Hak Perceraian Wanita



Berikut pula petikan tulisan oleh anak murid Imam Khomeini, yaitu Ayatullah Muttahari:-

b)    Falsafah Perceraian

Ayatullah Muttahari32 :-

Mekanisme semulajadi perkahwinan, yang dijadikan Islam sebagai dasar kepada peraturan-peraturannya, adalah bahawa:- wanita itu haruslah mempunyai kedudukan yang terhormat dan disayangi dalam keluarga. Oleh itu, jika atas sebab tertentu si isteri jatuh dari kedudukan ini dan kehangatan cinta suami buatnya telah menjadi dingin dan telah hilang rasa sayangnya kepada sang isteri, maka asas dan tonggak utama keluarga itu telah pun musnah.

Dalam arti kata lain, sebuah unit sosial telah musnah disebabkan oleh peraturan semulajadi.  Islam melihat situasi ini dengan sesal, tetapi sebaik saja menjadi jelas bahawa asas semualajadi perkahwinan telah pun musnah, Islam tidak dapat membayangkan perkahwinan tersebut terus wujud dan hidup dari sudut perspektif undang-undang. Islam cuba, dan mengambil langkah-langkah khusus untuk memelihara kehidupan bekeluarga, bahawa wanita harus kekal dalam kedudukan disayangi dan sentiasa dicari, manakala lelaki dalam posisi pencari, pecinta, dan bersedia untuk membantu.

Islam menyarankan bahawa seorang wanita harus menjadikan dirinya menarik kepada suaminya, bahawa dia perlu menggunakan kemahiran-kemahirannya dengan cara baru untuk suaminya, memuaskan keperluan seksualnya dan bahawa dia tidak seharusnya menolak suaminya sekaligus mewujudkan rasa tekanan dan psikologi kompleks dalam diri suaminya. Sejajar dengan itu, Islam telah mengesyorkan kepada lelaki untuk bersikap baik dan penyayang kepada isterinya dan menunjukkan kasih sayang dan cintanya kepada isteri; dia tidak seharusnya bersikap diam-diam dalam (melahirkan) rasa cinta kepada isterinya. Tujuan Islam di sebalik saranan-saranan ini adalah supaya kenikmatan seksual hanya terbatas dalam persekitaran keluarga (antara suami isteri) sahaja. Persekitaran luar pula haruslah untuk pekerjaan dan aktiviti-aktiviti lainnya, dan bukannya tertumpu kepada kenikmatan seksual.

Saranan-saranan Islam kesemuanya didasarkan kepada prinsip ini bahawa hubungan di antara lelaki dan wanita di luar rangka perkahwinan mestilah dan haruslah sepenuhnya beretika dan tanpa daya tarikan seksual. Kesemua ini memiliki tujuan yang tunggal dan unik iaitu supaya unit-unit keluarga dalam masyarakat seharusnya terpelihara dan dilindungi daripada menjadi pecah dan musnah. 

Islam tidak pernah berkeinginan untuk menyatukan lelaki dan wanita secara paksaan. Islam (juga) sepenuhnya menentang perceraian tidak beretika, di mana seorang lelaki, selepas menjalani kehidupan dengan seorang wanita sebagai suami, dan selepas tinggal bersama dengannya buat suatu tempoh, berangan-angan inginkan seorang wanita baru, atau menjerumuskan diri dengan keinginan-keingan lain, dan menghalau jauh isteri yang dahulu. Namun, ubatnya, menurut Islam bukanlah dengan memaksa lelaki pengecut sebegini untuk menjaga isterinya. Penjagaan seperti ini secara hakikinya tidak bersesuaian dengan peraturan semulajadi kehidupan bekeluarga (di mana wanita berada pada kedudukan terhormat dan disayangi).

Jika isteri mahu kembali ke rumah suaminya dengan kuasa undang-undang dan pentadbiran, dia boleh secara paksa menempati rumah itu, tetapi dia tidak dapat memperoleh kembali kedudukan terhormat wanita dalam keluarga itu yang menjadi perantara dalam menghidupkan kembali kasih sayang dari suaminya dan memindahkannya (kasih sayang yang diterima itu) kepada anak-anaknya. Begitu juga dia tidak dapat dengan kaedah ini memenuhi gesaan batinnya untuk menerima kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dari suaminya.

Islam telah berusaha untuk menghapuskan sikap pengecut dalam perceraian yang tidak beretika ini, dan telah menasihatkan lelaki supaya harus bersikap pemurah terhadap isterinya dan berkelakuan terhadap isterinya dengan kasih sayang dan kebaikan. Walau bagaimanapun, dalam kapasitinya sebagai pemberi undang-undang, dan mengambil kira kedudukan wanita sebagai pusat dalam sistem keluarga dan sebagai perantara dalam penerimaan dan pemindahan sentimen, Islam tidak bersetuju dengan penjagaan wanita secara paksa dan wajib, di rumah seseorang yang tidak bertanggungjawab.

Apa yang Islam lakukan adalah sepenuhnya bertentangan dengan penyembah-penyembah Barat telah lakukan dan sedang lakukan. Islam dengan keras menentang sikap pengecut, tidak setia dan berfoya-foya, tetapi (dalam masa yang sama) ia tidak rela memaksa seorang wanita untuk terus tinggal bersama seorang yang pengecut dan tidak dapat dipercayai.

Hakikat bahawa Islam membezakan antara pembubaran perkahwinan dan perceraian perkahwinan serta telah menggariskan peraturan-peraturan berbeza bagi setiap darinya, menunjukkan hakikat bahawa kuasa cerai yang diberikan kepada lelaki tidak timbul atas tujuan Islam memihak kepada lelaki dengan memberikannya keistimewaan.  

Kepada lelaki (seperti di atas) harus dikatakan kepadanya, bahawa, supaya mereka tidak perlu berasa malu dengan teman-teman sekolah, kolej dan universiti, adalah satu idea yang bagus bagi mereka untuk berusaha menuntut sedikit ilmu dan belajar sesuatu. Mereka kemudian akan dapat membezakan antara pembubaran dan perceraian (dalam perkahwinan), dan mereka juga mungkin dapat menghayati falsafah Islam yang halus dan mendalam mengenai masyarakat dan kehidupan bekeluarga. Dengan itu, mereka tidak perlu berasa malu di hadapan teman-teman mereka dan boleh berjalan di hadapan mereka dengan rasa yakin diri. Walau bagaimanapun, malangnya kami katakan bahawa kejahilan adalah penyakit yang sepenuhnya tidak dapat disembuhkan. 

c)    Isteri Mendapat Hak Perceraian sebagai Hak Yang Diamanahkan

Sehingga kini perbincangan kita berputar sekitar hakikat perceraian sebagai hak alami yang khusus bagi lelaki. Walau bagaimanapun, seorang lelaki boleh memberikan isterinya hak perceraian sebagai wakil mutlak, atau dalam keadaan-keadaan tertentu mewakili dirinya. Ini adalah sesuatu yang unik yang mana mengikut fiqh Islam ianya boleh diterima, dan Undang-Undang Sivil Iran juga secara jelas menyebut hal ini.

Dengan cara ini, sejak dari zaman dahulu lagi, wanita-wanita yang memiliki sebab untuk berasa bimbang tentang sebahagian aspek bakal suaminya, menyimpan hak perceraian ini, selamat dalam tangan mereka, berupa ikatan syarat-syarat yang terkandung di dalam kontrak perkahwinan, dan menggunakannya apabila benar-benar perlu.

Oleh itu, di dalam perspektif Undang-Undang Islam, seorang wanita tidak mempunyai hak perceraian secara alami, tetapi sebagai hak yang ditetapkan, yaitu dalam bentuk syarat terkandung dalam kontrak perkahwinan, dia boleh memiliki hak itu.

Fasa 1119 Undang-Undang Sivil menggariskan :  Pihak-pihak dalam kontrak perkahwinan boleh mengemukakan apa-apa syarat yang tidak bertentangan dengan kontrak yang dinamakan yang berkaitan dengan kontrak perkahwinan atau beberapa ikatan kontrak yang lain. Sebagai contoh, mungkin terdapatnya syarat : bila mana suami berkahwin lagi, atau hilang bagi tempoh tertentu, atau berhenti menafkahi isterinya, atau mempunyai niat-niat jahat terhadap kehidupan isterinya, atau mula berkelakuan buruk sehinggakan kehidupan bersama mereka menjadi tidak tertanggung lagi, maka wanita menjadi wakil dan boleh melantik seorang peguam supaya selepas menegakkan syarat tersebut di dalam mahkamah dan di hadapan undang-undang, dia boleh menganggap dirinya telah bercerai.”

Seperti yang anda lihat, isu yang sering diulang-ulang, bahawa mengikut Undang-Undang Islam dan Undang-Undang Sivil Iran, perceraian adalah hak sebelah pihak dan sepenuhnya dinafikan bagi wanita, sesungguhnya adalah tidak benar.

Mengikut undang-undang Islam dan Sivil Iran, hak perceraian sebagai hak alami bukanlah untuk wanita, tetapi ia boleh wujud sebagai hak yang diberikan dan ditetapkan, dan (oleh itu) boleh digunakan oleh wanita.

Hak perceraian adalah hak alami bagi lelaki, dengan syarat dia berkelakuan normal terhadap isterinya. Kelakuan normal seorang suami terhadap isteri adalah, jika dia mahu tinggal bersama isteri maka dia harus menjaganya dengan baik, menghormati hak-haknya dan berkelakuan dengan kasih sayang dengannya. Dan dalam kes di mana tidak ada jalan baginya untuk meneruskan hidup dengan isteri, maka dia harus secara baik dan berhemah menceraikannya, yaitu, dia tidak seharusnya menahan diri dari menceraikan isterinya. Dia harus membayar apa yang sepatutnya kepada isteri, dan yang lebih utama dari itu adalah melahirkan rasa penghargaan. Dan memaklumkan kepadanya akan berakhirnya hubungan mereka sebagai suami isteri.

Namun, jika suami tidak bertindak mengikut kelakuan normal, apa yang harus dilakukan? Yaitu si lelaki tidak mahu hidup bersama isterinya, tidak berkelakuan akrab dan tidak juga menyediakan persekitaran yang bahagia dan Islami buat keluarganya, bahkan tidak juga melepaskan isterinya bagi menentukan nasib masa depan sendiri, dalam arti kata lain dia tidak peduli untuk melaksanakan tanggungjawab dalam kehidupan rumah tangga, tidak juga peduli untuk berusaha mewujudkan keadaan yang baik untuk isterinya, bahkan tidak juga setuju untuk menceraikan isterinya, dalam keadaan seperti ini apa yang harus dilakukan?

Perceraian normal adalah sama seperti kelahiran normal, yang mana (proses tersebut) berkembang dengan sendirinya, tetapi perceraian dari seorang lelaki yang tidak melaksanakan tugasnya sebagai suami dan tidak setuju untuk menceraikan isterinya, adalah sama seperti kelahiran abnormal yang mana, dengan pertolongan dari doktor dan pakar bedah, barulah bayi dapat dilahirkan.

Satu dari dua perkara sukar dalam masyarakat kita adalah sebahagian lelaki yang tidak berperikemanusiaan menahan diri dari perceraian, dan tindakan sangat kejam ini mereka lakukan atas nama dan dalih agama. Kekejaman seperti ini adalah punca dan cabang kepada persepsi salah mengenai Islam, yang mana, menurut mereka, berkata, “Seorang wanita harus menanggung kezaliman seperti itu ibarat pesakit kanser terminal. Ini telah mencipta satu gambaran terhadap Islam yang mana lebih berbahaya dari apa jua propaganda jahat terhadap keimanan kita.

(Merujuk ayat 2:231) Frasa “mengekalkan (isteri) dengan hormat atau melepaskan dengan baik” adalah sebuah prinsip dan peraturan umum dalam rangka yang diukir Al-Quran mengenai hak-hak seorang isteri.  Oleh itu, di bawah prinsip ini, dan selari dengan penekanan frasa “mengekalkan dengan hormat atau melepaskan dengan baik” yang diperintahkan, para suami adalah tidak dibenarkan untuk mengambil kesempatan (dengan menggunakan) autoriti mereka. Seorang lelaki tidak dibenarkan menyimpan isterinya secara paksaan jika dia tidak ada niat untuk hidup secara baik dengan isterinya dan hanya hendak menjadikan isterinya tertekan serta menghalangnya dari berkahwin dengan lelaki lain.

Menurut pandangan Islam, frasa Al-Quran, “mengekalkan dengan hormat atau melepaskan dengan baik” adalah sebuah prinsip yang umum dan mutlak. Dalam rangka kerja tersebut, hak-hak wanita boleh dipelajari dan dipraktikkan.

Imam as-Sadiq dalam Al-Kafi m/s 205 berkata:

إذا أراد الرجُل أن يتزوَّج المرأة فليقُل: أقررتُ بالميثاق الذي أخذ الله: إمساكُ بِمعرُوفٍ أو تسريحٍ بِإحسان.
Yang bermaksud:- bila mana seorang lelaki mahu mengahwini seorang wanita dia haruslah berkata:

“Aku mengiktiraf janji yang diambil Allah dariku bahawa aku akan mengekalkan wanita ini dengan hormat atau melepaskannya dengan baik”

Pengulas-pengulas Sunni dan Syiah keduanya bersetuju bahawa “perjanjian serius” itu berarti perjanjian yang sama dengan Tuhan yang diambil dari kaum lelaki dengan frasa: “mengekalkan dengan hormat atau melepaskan dengan baik”. Ini adalah janji sama yang mana Imam Sadiq as berkata bahawa, ketika perkahwinan, si lelaki harus berjanji dan mengiktiraf (perjanjian) : “mengekalkan (isteri) dengan hormat atau melepaskan dengan baik”

Terdapat sebuah hadis Rasulullah SAW yang terkenal di mana baginda bersabda dalam haji terakhirnya yang telah diriwayatkan oleh kedua-dua sumber Sunni dan Syiah:

إتقوا الله في النساء فإنكُم أخذتُمُوهُنًّ بِأمانة الله واستحللتُم فُروجهُنَّ بِكلمة الله

“Wahai manusia, ingatlah Allah dan takutlah pada-Nya berkenaan dengan kaum wanita, kerana kamu telah mengambil mereka sebagai amanah dari Allah dan telah menjadikan kesucian mereka halal bagimu dengan kalimah Allah.”

Menurut Sheikh Tusi, dalam bukunya Khilaf, vol 2, m/s 185, selepas melahirkan pandangannya tentang masalah “mati pucuk”, berkata selepas terbukti bahawa seorang lelaki itu mati pucuk, maka isteri memiliki hak untuk membubarkan perkahwinan dan terdapat persetujuan pendapat di kalangan ulama dalam hal ini. Pada peringkat ini beliau berkata, “dan juga telah diperdebatkan pada dasarnya mengenai ayat “mengekalkan dengan hormat dan melepaskan dengan baik” bahawa oleh sebab lelaki yang mati pucuk tidak mampu memelihara isterinya dengan terhormat dan betul, maka dia seharusnya melepaskan isterinya (menceraikan)”

Dari semua ini, boleh difahami dengan pasti bahawa Islam tidak sesekali membenarkan lelaki licik untuk mengambil kesempatan ke atas hak perceraiannya, dan mengurung wanita sebagai tawanan.

Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan adalah dari sudut pendirian Islam, walaupun dengan segala usaha dilakukan Islam bagi memelihara keharmonian dalam keluarga, perceraian kehakiman (yakni pembubaran perkahwinan melalui hakim) hanya berlaku dalam kes-kes yang sangat jarang, terkecuali dan luar dari kebiasaan. Islam tidak pernah membenarkan perceraian terjadi dalam bentuk yang telah berlaku di Eropah dan Amerika, contoh-contoh yang mana telah pun kita baca di surat khabar. Misalnya, seorang isteri mengadu dan menuntut perceraian dari suaminya atas dasar kerana dia tidak menghargai filem kegemarannya, atau suaminya tidak mencium Fifi, anjingnya atau apa jua perkara tidak munasabah seperti ini, yang mana adalah gambaran kepada keruntuhan nilai-nilai kemanusiaan32”

Sumber :-

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.