Saturday, 4 April 2015

Bab 11.3 : Pendidikan Seksual Di Sisi Islam




Oleh Sayyid Muhammad Rizvi

“Apakah pandangan Islam mengenai pendidikan seksual? Biarlah saya memulakan dengan berkata bahawa Islam tidak menentang idea pendidikan seksual. Walau bagaimanapun persoalan yang penting adalah tentang kesesuaian umur bagi kandungan bahan tersebut, dan bahan serta kandungan itu sendiri. Islam adalah sebuah agama yang komprehensif (menyeluruh) yang berbicara tentang kesemua aspek kehidupan, termasuk perkahwinan dan seksualiti, bahkan isu-isu yang berkaitan dengannya. Dan itu adalah sebahagian daripada ajaran agama kita.

Oleh itu kita tidak bermasalah dengan idea yang dipanggil sebagai pendidikan seks, namun faktor umur yang menjadi isu bagi kita, begitu juga kandungannya.

Saya belum lagi melihat (kurikulum pendidikan seksual yang dicadangkan) secara terperinci tapi dari apa yang saya telah baca dari laporan tersebut, kelihatannya terdapat dua isu. Satu adalah nilai-nilai yang mereka  bawakan, dan satu lagi adalah mengenai keselamatan dan keamanan kanak-kanak. Mengenai apa yang mereka perlu tahu untuk menjaga diri mereka supaya selamat. Apabila berbicara soal keselamatan dan keamanan kanak-kanak, itu tidak menjadi isu bagi kita. Kita perlu sedar bahawa dalam masyarakat di mana gangguan seksual adalah masalah yang serius, dan masalah ini tidak mengenal bangsa mahupun agama. Semua masyarakat secara berbeza mengalami masalah ini.

Oleh itu, adalah penting bagi semua orang untuk melindungi anak-anak mereka yang masih kecil dan naif  dengan melengkapkan mereka:

1)     Dengan ilmu mengenai apa yang betul apa yang salah
2)     Dengan kebolehan untuk menyatakan “Tidak” apabila mereka didekati dengan cara yang salah.
3)     Dan bahkan mendidik mereka tentang risiko yang berkaitan dengan teknologi komunikasi.

Cuba fikirkan. Selain dari kewujudan orang ‘pervert’, lihatlah ISIS. Mereka sebenarnya menarik anak-anak muda dari Eropah dan Amerika Utara, melalui internet. Oleh itu jika alat ini boleh digunakan dengan cara menarik orang muda dari tempat yang sangat jauh untuk pergi dan berkhidmat untuk ISIS, di sinilah kita perlu sedar akan potensi media berkenaan dengan kaedah berkomunikasi yang dibincangkan.

Oleh itu saya tidak fikir kita mempunyai apa jua masalah apabila kita membicarakan sebuah kurikulum yang misalnya, bercakap tentang kepentingan mengajar kanak-kanak bagaimana melindungi diri mereka dari pelbagai jenis pervert. Bahkan anda juga akan dapati dalam Islam, banyak di antara ajarannya, yang mana sayangnya di dalam masyarakat moden ini, dalam masyarakat sekular ini, merendahkan kita sebagai Muslim kerana beberapa perkara yang kita pegang, mereka tidak sedar bahawa undang-undang itu dan tindakan-tindakan Islam itu, dan cara kita melakukan sesuatu perkara adalah sebenarnya menjurus ke arah pencegahan kepada situasi-situasi seperti ini.

Islam misalnya apabila berbicara mengenai asuhan anak-anak, ia mengatakan sebaik sahaja anak-anak yang berbeza jantina mencapai umur 6 TAHUN, tempat tidur mereka harus diasingkan. Mengapa? Inilah Islam. Sejak dari awal lagi dalam persekitaran keluarga ia membicarakan perkara ini bagi membasmi apa jua kemungkinan yang boleh menjurus ke arah kerosakan. Dan kerana inilah kita bercakap soal memelihara kehormatan mereka yang berlawanan jantina. Misalnya, kita (bahkan) tidak boleh menyentuh mereka yang tidak ada hubungan (darah) dengan kita, yang berbeza jantina.

Dan segala isu mengenai “Ohh lihat tu, mereka tidak berjabat tangan, ini adalah sikap biadap”. Ini tidak ada kena-mengena dengan sikap biadap. Kita.. sayangnya masih tidak dapat menyampaikan perspektif kita dengan cara di mana orang lain boleh memahaminya. Ini adalah satu batasan. Yaitu anda tidak boleh menyentuh seseorang yang berbeza jantina. Jika itu adalah batasannya, maka segala isu mengenai gangguan seksual di pejabat misalnya tidak akan berlaku. Ini adalah masalah yang besar, sangat besar. Bahkan masyarakat tidak banyak membicarakan perkara ini. Tetapi jika anda melihat beberapa kajian, ini adalah masalah yang serius.

Jadi seandainya anda bergerak maju dengan perspektif Islam, (yang tidak membenarkan bahkan menyentuh jantina berbeza) maka anda sudah pun memelihara diri anda supaya berada dalam lingkungan selamat.

Apabila kita berbicara mengenai isu interaksi antara berbeza jantina, interaksi itu, Islam mengatakan, haruslah dalam suasana yang formal. Bukannya dalam suasana percampuran yang bersifat sosial. Dan tentu sekali hal ini menjadi isu bahkan dalam komuniti kita sendiri. Segala perkara ini bukan bertujuan untuk merendahkan satu jantina dari jantina yang lain, atau bersikap biadap itu dan ini, tetapi semua ini adalah satu bentuk perlindungan sejak peringkat awal lagi agar gangguan/penyimpangan moral dapat dicegah. Begitu juga apabila kita berbicara mengenai isu Hijab, di mana Islam mengetengahkan elemen kesopanan. Semua itu sebenarnya menjurus kepada tujuan tersebut.

Oleh itu apabila timbul isu pendidikan kanak-kanak tentang bagaimana melindungi mereka agar aman dan selamat daripada ‘perverts’ di dalam masyarakat yang datang dalam pelbagai bentuk yang berbeza, kita tidak bermasalah dalam hal ini. Masalah yang kita ada adalah dua isu ini, yaitu kesesuaian umur, dan isi kandungannya serta bahan yang mereka sediakan dalam kurikulum pendidikan seksual tersebut. Kerana kita percaya bahawa isu yang berkaitan dengan nilai-nilai, haruslah berada di bawah pengawasan ibu bapa dan institusi keagamaan mereka. Ia bukan tugas kerajaan untuk terlibat dalam mengajari anak-anak mengenai nilai-nilai. Kita harus sedar bahawa anak-anak ini datang dari pelbagai latar belakang budaya, dan agama. Nilai antara mereka mungkin sahaja tidak sama. Sebagai contoh, antara yang diajarkan dalam kurikulum ini adalah mengenai hubungan sejenis dan ia diajarkan pada murid darjah 3. Boleh anda bayangkan? Sebagaimana pihak gereja tidak boleh memaksa kerajaan menerima nilai mereka. Begitu juga kerajaan tidak boleh memaksakan nilai mereka kepada institusi gereja. Dan anda tidak boleh memaksakan satu set nilai ke atas semua orang. Oleh itu berdasarkan undang-undang akta pendidikan Kanada, ibu bapa mempunyai hak untuk menarik balik anak mereka dari mengikuti subjek ini.

Kita sebagai Muslim harus sedar bahawa kita mempunyai satu tugasan yaitu untuk mendidik anak-anak kita mengenai isu berkaitan seksualiti, di sekolah-sekolah agama kita, dan kelas hujung minggu. Tentu sekali ia haruslah berdasarkan nilai-nilai Islam, diajarkan pada umur yang sesuai dan isi kandungannya haruslah berdasarkan nilai-nilai agama kita. Kita tidak melarikan diri daripada membincangkan isu ini.

Cuma kita harus sentiasa mempertimbangkan faktor umur, tempat dan bahkan hadirinnya. Sebagai contoh, jika kita mempunyai majlis atau khutbah Jumaat, kita tidak boleh membincangkan segalanya di sini. Kerana anda mempunyai pelbagai lapisan generasi duduk di tengah para hadirin. Ibu bapa bersama anak-anak mereka duduk bersebelahan, Jadi adalah penting untuk memahami bahawa iya, Islam berkata “Tidak ada malu dalam mempelajari agama” , tetapi itu tidaklah berarti anda mengatakan apa sahaja yang anda mahu di mana-mana sahaja yang anda mahu, dan dengan apa sahaja cara. Anda perlu mengambil kira tempat dan hadirin anda.

Bahkan Allah SWT tidak mengelak dari membicarakan hal ini seperti di dalam Surah an-Nisa, di mana Dia berfirman, “Jika kamu ‘menyentuh’ wanita…”. Kita semua faham apa yang dimaksudkan Allah Taala apabila Dia menyebut “menyentuh wanita”. Bahkan Allah Taala juga melaksanakan konsep haya’ (elemen kesopanan) dalam membicarakan aspek tertentu. Dia telah memberikan kita ‘aqal, Dia tahu kita faham apa yang Dia maksudkan. Allah Taala juga menggunakan bahasa yang sesuai dalam membicarakan isu ini. Oleh itu adalah penting bagi kita mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum ingin menyampaikan sesuatu perkara. Kita harus mempertimbangkan faktor umur, hadirin, dan juga isi kandungannya.

Hari ini, Alhamdulillah terdapat informasi sahih yang tersedia online. Di sini saya menekankan ‘informasi yang sahih’. Tidak semua yang berada di internet adalah sahih atau boleh dipercayai. Anda harus meneliti sumbernya. Oleh itu bagi yang mungkin mahu mendirikan rumah tangga, terdapat bahan yang sahih tersedia online, mereka boleh belajar apa yang betul dan apa yang salah dan segala perspektif Islam mengenainya. Tidak semestinya tulisan saya, tetapi saya gunakan ia sebagai contoh di sini, yaitu buku saya, ‘Marriage and Morals in Islam’ membicarakan tentang segala isu ini, dengan jelas, untuk memastikan mesejnya dapat disampaikan.




Jadi, bahannya ada di luar sana, dan kita tidak mengelak dari membincangkan isu ini. Kita hanya mengambil berat akan kesesuaian umur dan kandungannya. Kita mahu anak kita diajarkan perkara-perkara yang berdasarkan Islam seperti yang dibawakan oleh Ahlul Bait a.s. Saya boleh katakan pada anda bahawa anak-anak anda lebih tahu tentang isu ini berbanding diri anda. Satu perbezaannya adalah mereka tahu dari pelbagai sumber yang tidak Islamik. Tidakkah anda mahu mereka mengetahuinya daripada sudut perspektif Islam mengenai isu ini? Islam adalah agama yang merangkumi segala aspek kehidupan. Dan inilah keindahan Islam81

Sumber:-
81.Sayyid Muhammad Rizvi : Sexual Education :Discreation not Denial, https://www.youtube.com/watch?v=tlesgCzY298

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.