Thursday, 2 April 2015

Bab 5 : Kasih Sayang dan Perhatian



Kasih sayang adalah salah satu keperluan asas manusia. Tidak kira anak kecil, remaja, bahkan orang dewasa sentiasa memerlukan kasih sayang. Ini adalah makanan kepada emosi, psikologi bahkan spiritual setiap manusia. Seandainya ibu bapa hanya memenuhi keperluan fizikal anak-anak seperti menyediakan makanan, minuman, permainan dan lain-lain, namun ini tidak mencukupi andai tidak diiringi dengan kasih sayang.

Tanpa kasih sayang, tidak mungkin seseorang anak itu boleh tumbuh membesar dengan memiliki psikologi dan emosi yang sihat, Kurangnya kasih sayang boleh menjadikan seseorang itu mudah rasa cemburu, merasa rendah diri, terasa diketepikan, terasa tidak dipedulikan dan bermacam-macam lagi psikologi kompleks yang boleh timbul akibat kurangnya kasih sayang.

Bahkan dalam soal memelihara hubungan mesra suami isteri, tanpa kasih sayang dan perhatian terhadap sesama pasangan, atmosfera rumah tangga menjadi tawar dan hambar. Walaupun mungkin pasangan tersebut tinggal di sebuah rumah banglo yang besar, dikelilingi taman-taman bunga, dan memiliki ‘bodyguard’ yang ramai. Kes putus cinta yang sering dialami remaja pula menjadikan mereka tertekan, ada yang mengambil dadah, dan tidak kurang yang membunuh diri kerana merasakan hidup sudah hilang artinya tanpa kasih sayang.

Nah, contoh ini saja sudah cukup untuk kita akui bahawa kasih sayang dan perhatian adalah keperluan setiap orang terutama anak-anak kecil yang baru mahu mengenal duniaTidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kasih sayang adalah keperluan hidup kita yang ketiga selepas makanan dan minuman.

Persoalannya, bagaimana sebagai ibu bapa, kita mahu menzahirkan kasih sayang tersebut..?

Bagi anak yang berada di peringkat bayi, pastinya dia memerlukan pelukan, dakapan, ciuman dari ibu dan ayah. Bayi juga memerlukan suasana yang tenang dan damai untuk ketenangan dirinya. Oleh itu sebolehnya jauhi bayi itu dari suasana yang boleh membuatkan dia terkejut. Sebolehnya bayi itu harus sentiasa dekat dengan kedua ibu bapanya, terutama ibunya.

Anak kecil yang dipisahkan dari kasih sayang ibu pasti akan terganggu kestabilan emosi dan psikologinya. Oleh itu, bagi wanita yang bekerja, disarankan berusaha untuk membahagi masa dengan baik agar dapat memperuntukkan masa bersama anaknya. Hakikatnya, perpisahan anak dari si ibu, bukan sahaja memberi kesan kepada si anak, tetapi juga kepada si ibu. Pengalaman dari seorang ibu yang berpisah dari anaknya kerana menuntut ilmu di luar negara menceritakan bahawa sepanjang perpisahan itu, si ibu dan si anak sama-sama sering jatuh sakit.  

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.