Tuesday, 31 March 2015

Bab 4.1 : Fasa Pertama (0-7 tahun)

Ibu Bapa sebagai ‘Role Model’

Oleh sebab tahap pertama adalah masa bebas bermain, anak tersebut dianggap sebagai "tuan" bagi ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda, "Anak adalah tuan selama 7 tahun (yang pertama)." Ini adalah usia menjadi kanak-kanak dan bermain; dia belum lagi bersedia sepenuhnya untuk pendidikan melalui arahan secara formal.

Apa yang dikatakan di atas, bagaimanapun, tidaklah bermaksud seorang anak itu tidak boleh menangkap atau memahami apa-apa; bukan begitu. Anak secara berterusan dipengaruhi oleh atmosfera di tempat dia tinggal; dia belajar melalui pemerhatian dan tiruan.

Oleh itu, adalah benar-benar perlu bagi ibu bapa untuk memberikan anak contoh yang baik melalui tingkah laku mereka sendiri. Rasulullah SAW bersabda,

"Hormati anakmu dan ajarkan mereka tingkah laku yang baik, maka Allah akan mengampunkan (dosamu)."

Walaupun anak itu belum bersedia dengan arahan secara rasmi, namun para Imam kita telah menekankan bahawa isu-isu agama - yang paling asas dan mudah- perlu diperkenalkan kepada mereka secara beransur-ansur. "Beransur-ansur" adalah perkara paling penting untuk kita ingati pada fasa pertama ini. Hadis berikut yang diriwayatkan oleh 'Abdullah ibn Fazl dari Imam ke-5 atau ke-6 adalah sangat penting untuk kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan "secara beransur-ansur".

·         "Apabila anak mencapai umur 3 tahun, ajarkan dia 7 kali membaca “La ilaha illa lah”.

·         Kemudian, biarkan dia sehingga umurnya 3 tahun, 7 bulan dan 20 hari; kemudian latihlah untuk mengucap “Muhammadun Rasulullah”.

·         Kemudian, biarkan dia sehingga lengkap umurnya 4 tahun, lalu ajarkan dia 7 kali membaca “Sallallahu 'ala Muhammadin wa aali Muhammad”.

·         Kemudian biarkan dia sehingga umurnya 5 tahun; lihat jika dia boleh membezakan antara tangan kanan dengan tangan kiri. Jika dia tahu perbezaannya, maka jadikan dia mengadap qiblat dan beritahu dia untuk melakukan sujud.

·         Ini harus berterusan hingga umurnya 6 tahun. Kemudian dia harus diberitahu untuk solat dan ajarkan ruku' dan sujud.

·         Apabila genap usianya 7 tahun, dia harus diminta untuk membasuh muka dan tangannya, dan diberitahu untuk melakukan solat.

·         Ini akan berterusan hinggalah dia mencapai usia 9 tahun, di mana dia harus diajar mengambil wudu dengan betul untuk solat.

·         Apabila dia belajar berwudu dan solat dengan betul, maka Allah mengampunkan dosa-dosa ibu bapanya."



Imam Khomeini dan Pendidikan Kanak-Kanak

Imam Khomeini percaya bahawa kanak-kanak harus diajar perkara betul perkara salah serta hukum-hukum Islam sebelum mereka menjadi Baaligh.

Kadang-kadang Imam akan bertanya pada anak lelaki saya yang berusia 8 tahun, "Sudahkah kamu solat?"

Saya akan menjawab, "Agha, dia belum baligh lagi." Imam akan berkata, "Kanak-kanak harus menjadikan solat sebagai habit (kebiasaan) mereka sebelum mereka menjadi Baaligh."

Setiap kali Imam melihat kanak-kanak, beliau akan bertanya, "Sudahkah kamu solat?" Jika kanak-kanak itu belum lagi solat, beliau akan memberikan tikar sembahyangnya dan berkata,

"Pergi dan ambillah wudukmu dan segera tunaikan solat." Selepas mereka selesai solat, beliau akan berkata,

"Alangkah baiknya jika kamu solat pada waktunya. Allah pasti menjadi lebih gembira."

Oleh : Mrs Fatema Tabatabai - menantu Imam Khomeini

Sumber:-
-Sumber : Tranquil Heart - 43 Recollections of Imam Khomeini Relating to Prayers




Kebebasan Bermain

Bermain adalah keperluan utama anak-anak yang harus dipenuhi. Permainan membantu perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak serta memajukan kebolehan bersosial di dalam dirinya. Hukum alam tidak mengecualikan sesiapapun termasuk para nabi dan hamba-hamba soleh yang lain. Mereka juga semasa di usia kanak-kanak, bermain sebagaimana lazimnya kanak-kanak lain bermain.

Imam Ja’far as Sadiq berkata: “Biarkan anakmu bermain sesuka hatinya sampai ia berumur 7 tahun,”

Beberapa poin penting :-

1.      Berikan kebebasan untuk anak-anak bermain tanpa larangan sama ada dari aspek waktu bermain, jenis permainan dan cara bermain, selagi mana permainan itu tidak membahayakan anak atau orang lain serta tidak bertentangan dengan etika Islam dan masyarakat.

2.      Dr. Spock mengatakan, “Tugas kita (ibu bapa) adalah membiarkan anak-anak mengurusi permainan mereka sehingga mereka belajar sesuatu dari permainan tersebut. Biarkan anak-anak mengikut daya khayal mereka. Hanya dengan cara inilah, permainan akan bermanfaat bagi mereka. Permainan haruslah menjadi guru bagi mereka. Dan jika anak merasakan perlu bantuan dari ibu bapa untuk menyelesaikan masalah dalam permainannya, maka tibalah giliran ibu bapa untuk membantunya,”

Shafwan Al-Jammal berkata, “Imam Musa yang kala itu masih kecil datang dengan membawa seekor binatang. Beliau berkata kepada binatang itu, “Sujudlah kepada Tuhanmu!”. Ayah beliau, Imam Ja’far As-Shadiq yang menyaksikan adegan itu terus mengangkat dan mendakap beliau.

3.      Orang tua sebaiknya ikut bermain bersama anak-anak. Ini akan menjadikan anak-anak merasa lebih gembira, merasa dihargai dan membantu mengembangkan potensi diri anak-anak seperti merasa yakin diri. Anak-anak juga akan menjadi lebih mesra dan akrab dengan kedua orang tuanya. Kisah Rasulullah SAW bermain dengan Hasan dan Husain diketahui kita semua. Bahkan ketika Rasulullah melaksanakan solat, cucunya menaiki punggung baginda. Apa yang harus kita lakukan jika situasi yang sama ini berlaku adalah membiarkan keadaan itu dan memindahkan mereka dengan lembut tanpa kekerasan.

Abdullah bin Zubair berkata, “Aku ingin bercerita kepada kalian tentang orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW dan paling baginda cintai, yaitu Al-Hasan bin Ali. Suatu hari aku melihat Rasulullah SAW sedang bersujud, tiba-tiba Al-Hasan datang dan menaiki leher atau punggung baginda. Rasulullah SAW tidak menurunkannya. Beliau menunggu sampai cucu kesayangannya itu turun dari baginda. Aku juga pernah melihat Rasulullah SAW sedang ruku’ lalu Al-Hasan datang dan keluar masuk di antara dua kaki beliau.”

4.      Menggunakan bahasa yang boleh difahami kanak-kanak. Atau dengan kata lain, ayah dan ibu berkelakuan seolah-olah mereka juga adalah anak kecil. Rasulullah SAW bersabda,

“Jika seseorang itu memiliki anak kecil hendaklah dia berkelakuan seperti anak kecil dan berbicara dengan bahasa mereka.”

Para pakar psikologi menyatakan, “Anda haruslah memperlakukan anak-anak seperti teman, ajaklah mereka melakukan suatu pekerjaan bersama kalian. Ikutlah dalam permainan mereka. Berbicaralah dengan bahasa cinta dan kasih sayang. Semua orang harus berusaha untuk menempatkan dirinya seperti anak kecil dan berbicara dengan bahasa mereka.”

5. Memperhatikan kelakuan anak-anak ketika bermain tanpa sepengetahuan mereka. Bermain dapat menjadi ukuran apakah perilaku anak normal atau tidak.  Ibu bapa boleh menggunakan peluang itu untuk memperhatikan kemampuan berbahasanya, berfikirnya dan sikap lembut atau keras si anak serta emosinya. Dengan itu, ibu bapa boleh merancang program pendidikan yang sesuai buat anak.

Sumber:-
Pendidikan Anak Menurut Ajaran Islam (m/s 62)

Menanam rasa cinta kepada Allah, Rasulullah dan AhlulBait

Rasa cinta kepada Allah SWT wajar disemai sejak anak-anak kita masih kecil lagi. Ini kerana rasa cinta kepada Allah SWT sangat memberi kesan kepada jiwa dan psikologi anak serta mempengaruhi tingkah laku dan tindakannya dalam meniti kehidupan di dunia ini. Rasa cinta kepada Allah SWT menjadi benteng kepada anak-anak dari melakukan apa jua perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT justeru melindungi dirinya dari perbuatan dosa dan tindakan yang mencelakakan diri sendiri.

Ibu bapa mungkin boleh memantau anak ketika mereka masih kecil dan di waktu mereka berada dekat di samping kita. Namun kelak anak-anak akan menjejak usia remaja, dewasa dan melangkah jauh dari ibu bapa. Mereka akan berhadapan dengan pelbagai persoalan, rintangan, cabaran dan godaan kehidupan. Seandainya anak itu sejak dari kecil lagi telah disemai jiwanya untuk mencintai Allah, sentiasa merasakan diri diperhati Allah, dan sentiasa ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka pasti sekali rasa kejiwaan ini menjadi pelindung atau pendinding terkuat untuk dirinya.

Persoalannya, bagaimana kita ingin menanam rasa cinta kepada Allah SWT dalam jiwa anak-anak. Apakah cukup sekadar membaca Al-Quran, menunaikan solat, menutup aurat dan menghafal doa sahaja.

Rasa cinta sebagaimana kita semua sedar atau pun tidak, hanya tumbuh apabila seseorang itu dapat melihat kebaikan dan keindahan sesuatu objek itu. Ia tidak boleh tumbuh melalui kaedah kekerasan, ugutan mahupun ancaman. Ia hanya akan tumbuh apabila kita belajar untuk mensyukuri pemberian dan anugerah Allah SWT.  Maka ini berarti andai ibu bapa mahu menyemai rasa cinta dalam diri anak-anak kepada Allah SWT, ibu bapa haruslah berusaha memperkenalkan kebaikan dan keindahan Allah kepada anak-anak.

Begitu juga dalam usaha kita menanam rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan para AhlulBait baginda, ini boleh dilakukan dengan menceritakan kepada anak-anak akan keindahan akhlak mereka, kebaikan dan kemurahan hati mereka, keberanian dan sifat rendah diri mereka, kejujuran dan keadilan mereka. Dalam masa yang sama ibu bapa dapat melatih anak-anak untuk mengambil mereka sebagai contoh terbaik dalam menjalani kehidupan. Ini dapat melindungi anak-anak dari cenderung mengambil orang lain sebagai contoh mereka. Misalnya hari ini, generasi muda kita banyak dipengaruhi oleh artis-astis, pelakon-pelakon Barat dan terikut-ikut tingkah laku dan gaya pemikiran idola mereka. Ini terjadi kerana anak-anak tidak dilatih untuk mengenal idola terbaik dalam hidup mereka yaitu Rasulullah SAW dan para AhlulBaitnya.

Ibu bapa juga boleh berkongsi cerita dengan anak-anak akan kisah para ulama masa kini yang menjadikan AhlulBait sebagai contoh mereka. Kisah-kisah orang soleh, kisah para nabi juga merupakan antara yang wajar dikongsi kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi, moga-moga dengan itu bukan sahaja dapat menumbuh rasa cinta anak-anak pada golongan mulia ini bahkan berusaha belajar untuk mengenal nilai-nilai mulia yang seharusnya mereka terapkan dalam kehidupan ini.

Imam Hasan berkata, “Mereka yang mengenal Allah akan mencintai Allah”

Ibu bapa juga boleh memperkenalkan Allah SWT kepada anak melalui soalan-soalan yang sering diajukan mereka. Anak-anak semakin mereka boleh berfikir dan berbicara akan selalu sahaja mengajukan pertanyaan demi pertanyaan untuk memenuhi rasa ingin tahu mereka. “Dari mana dia datang, siapakah yang menciptakan kedua orang tuanya?” Dan ibu bapa harus berusaha memberikan jawaban dengan bahasa yang mudah, yang boleh difahami anaknya. Apa jua kebaikan dan kelebihan yang didapatkan si anak kaitkanlah ia dengan kemurahan dan kasih sayang Allah SWT. Ini secara tidak langsung mendidik jiwa anak agar melihat segala kebaikan itu adalah dari Allah SWT dan belajar bersyukur kepada-Nya.

“Tak Kenal Maka Tak Cinta”.

Semoga Allah menyemai hati-hati kita dengan rasa cinta kepada-Nya. Cinta kepada Allah adalah kunci segala kebahagiaan dan ketenangan abadi..






No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.