Monday, 30 March 2015

Bab 1 : Psikologi Anak Bergantung Pada Kebahagiaan Rumah Tangga


Rumah tangga yang bahagia lahir dari hubungan suami isteri yang kekal mesra. Dan atmosfera positif sebegini sangat sangat penting dan bermakna dalam mencorak psikologi anak-anak ke arah kemajuan positif.  Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa inilah yang menjadi asas utama dalam membentuk psikologi yang sihat dalam diri anak-anak kita sejak mereka kecil lagi.

Justeru itu, mari kita sama-sama teliti ucapan Yang Mulia, Ayatullah Imam Ali Khamenei  yang mengandungi pelbagai tips dan nasihat bagi membina rumah tangga bahagia. Semoga Allah memberikan hidayah dan kekuatan kepada kita semua untuk mempraktikkan nasihat yang dikongsikan beliau. InshaAllah.




Membina Kehidupan Rumah Tangga Bahagia Oleh : Ayatullah Imam Ali Khamenei

1. Perlunya memilih pasangan yang sopan, jujur, dan serasi. (ini bagi mereka yang belum berumahtangga. Bagi yang sudah berumah tangga, sama-samalah memperbaiki diri. Pesanan dari Imam Khomeini:- selagi kita hidup di dunia ini selagi itulah wujud peluang untuk memajukan diri)

2. Perlunya berusaha memelihara ikatan perkahwinan agar ia berkekalan, dengan cara menunjukkan sikap setia, saling mencintai dan menghormati pasangan, serta hidup dengan kasih sayang.

3. Perlunya sikap toleransi, dan sama-sama membantu memperbaiki akhlak dan kelemahan masing-masing.

4. Wanita memiliki kekuatan emosi dan mental yang lebih kuat dari lelaki, justeru manfaatkan kekuatan ini dalam membantu memelihara ikatan dan kebahagiaan rumah tangga agar berkekalan.

5. Berusahalah mengamalkan nilai-nilai islamiah dalam keluarga, seperti solat pada awal waktunya. Ini akan mendatangkan kebaikan pada dirimu dan masyarakat sekelililing.

Dari Saidina Ali bin Abi Thalib:

"Nabi tidak pernah mendahulukan sesuatu apa pun melebihi solatnya, termasuk makan malam dan apa-apa perkara lain. Apabila waktu solat tiba, seolah-olah baginda tidak mengenal ahli keluarganya mahupun sahabat rapat baginda (kerana fikiran baginda sedang tertumpu pada mengerjakan solat),"

6. Keutamaan hijab dalam memelihara kestabilan rumah tangga di mana wanita menjauhkan diri dari mempamerkan kecantikannya kecuali kepada suami dan perlunya suami dan isteri saling menjaga pandangan dari tertarik kepada lelaki atau wanita lain.

7. Jangan jadikan perkahwinan sebagai suatu perkara biasa ibarat menukar-nukar pakaian atau pergi singgah dari satu kedai, ke satu kedai yang lain. Ini adalah gaya pemikiran Barat dimana wanita dan lelaki bebas bertukar pasangan dalam jangka masa yang singkat. Barat tidak menghargai dan tidak menghormati kemuliaan institusi keluarga, yang menjadikan suci dan mulia hubungan antara wanita dan lelaki. Dikeranakan mentaliti Barat ini, masyarakat mereka menjadi tidak teratur, dan mengalami pelbagai masalah dan penyakit sosial.



***



Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatullah Sayid Ali Khamenei, walaupun masa beliau dipenuhi dengan pelbagai kesibukan, beliau masih memenuhi tugasnya sebagai ulama untuk menikahkan pasangan dari dahulu sampai sekarang. Berikut adalah apa yang dipesan beliau kepada pasangan-pasangan yang akan melalui alam perkahwinan.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,


Sebelum saya mengisytiharkan anda berdua sebagai suami isteri, saya ingin menyampaikan beberapa pesanan kepada pengantin lelaki, pengantin perempuan dan keluarga mereka yang saya hormati.

Pertama sekali, saya harus nyatakan bahawa, sebaik sahaja saya mengisytiharkan anda berdua sebagai suami isteri, maka tertubuhlah satu hubungan suci antara kamu berdua. Benar, ia juga adalah hubungan manusia yang paling semulajadi fitrahnya, namun, Allah telah menjadikan hubungan naluri semulajadi ini sebagai satu hubungan suci yang akan menghasilkan buah (zuriat) yang sangat berharga. Oleh itu, keutamaan mendirikan rumah tangga tidak boleh dipandang remeh.

Satu dari kepincangan utama yang dilakukan oleh Barat hari ini adalah, perkahwinan dan pembentukan keluarga, telah dipandang remeh dan dipandang sebagai satu perkara yang tidak bernilai. Tamadun Barat melihat institusi penting ini, ikatan kuat ini, yang menyatukan lelaki dan perempuan, sebagai satu perkara biasa ibarat menukar-nukar baju atau ibarat pergi dari satu kedai ke kedai yg lain!

Dengan pandangan sebegini, emosi, citarasa dan naluri seseorang individu itu, telah siap menentang prinsip kesinambungan dalam hubungan kekeluargaan. Hal ini menyebabkan, setiap kali seseorang itu merasa tidak senang dengan suatu perkara, atau berhadapan dengan suatu masalah atau kekurangan, atau mengharapkan sesuatu yang lebih menyeronokkan, maka, asas kepada institusi kekeluargaan itu akan (serta-merta) terancam!

1. Namun Islam tidak merestui perbuatan seperti itu. (Konsep) keluarga dalam Islam adalah berdasarkan asas yang paling kukuh. Ia menyeru anda, supaya pertama sekali, harus sangat berhati-hati dalam memilih seorang yang sopan, jujur, serasi , untuk menjadi pasangan hidup anda, dan menyeru anda agar berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kebahagiaan hubungan anda berdua dan ikatan kemanusiaan ini kekal terpelihara. Anda harus melakukan yang terbaik untuk menjaga ikatan baru ini, seperti mana anda memelihara pucuk yang masih muda, supaya ia membesar menjadi sebuah pohon yang indah dan menghasilkan buah-buahan yang manis.

Apa jua tahap kewangan, saintifik, mahupun bidang profesional yang anda ceburi tidak relevan dalam hal ini. Kerana, asas kepada emosi manusia sekaitan dengan perkahwinan dan pembentukan sebuah keluarga adalah sama bagi para saintis, ahli akademik, ahli sukan, atau pekerja buruh biasa. Kerana, naluri perasaan ini dan prinsip keperluannya adalah sama bagi setiap manusia. Kaya atau miskin tidak membawa perbezaan apa-apa dalam hal ini. Setiap pasangan pasti menginginkan rumah mereka menjadi sebuah syurga yang aman, selesa, dan tenang selepas mereka menyelesaikan pekerjaan seharian mereka.

Setiap suami dan isteri memiliki keinginan dan harapan yang sama dalam kehidupan perkahwinan mereka: inginkan sebuah atmosfera keluarga yang manis dan bahagia. Mereka mungkin melakukan aktiviti perniagaan, aktiviti politik, pekerjaan dalam rumah, membesarkan anak-anak. Tidak kira bagaimana mereka membahagikan tugas mereka, kedua mereka terasa penat. Sama ada mereka membuat pekerjaan dalam rumah atau yang seorang lagi pulang dari tempat kerja, kedua-dua mereka mengharapkan suasana keluarga yang ceria. dan ini adalah satu harapan yang sangat wajar.

Kekayaan bukanlah persoalannya. Ramai orang kaya tetapi tidak bahagia dalam kehidupan rumah tangganya: hidupnya mungkin dipenuhi dengan persengketaan, cemburu, dan harapan-harapan yang salah. Lelaki atau wanita yang memiliki kedudukan, yang sering memerintah orang lain, berkemungkinan akan berhadapan dengan banyak masalah peribadi di rumah. Dia mungkin akan mempunyai pasangan yang pemarah, tidak cocok, dan pemalas.

Oleh itu, perkara-perkara seperti kekayaan, pangkat sosial, tinggal di bandar, mahupun kawasan pedalaman tidak mengubah atmosfera kekeluargaan jika pasangan itu tidak saling memahami dan bersikap toleransi dalam hubungan peribadi mereka.

Kerana itu di dalam Quran ada menyatakan: "Dia yang menciptakan kamu dari diri yang satu, dan Dia menciptakan pasangan yang sejenis (sama spesies) buatnya, supaya kamu memperoleh ketenangan di antara satu dengan lain." (7:189)

Ayat Al-Quran ini membawa arti : "hidup bersama-sama dengan kasih sayang dan menemukan ketenangan dan keamanan sesama pasangan kamu".

Suami dan isteri harus menjadi sumber keamanan, ketenangan, kasih sayang dan istirehat buat satu dengan yang lain. Dan anda, lelaki dan wanita, harus sentiasa ingat. perkahwinanmu akan menghasilkan sebuah keluarga. Tempat tinggalmu harus menjadi tempat istirehat, yang aman, selamat untuk kedua kamu dan anak-anakmu.

2. Poin seterusnya yang harus saya sebutkan adalah, atmosfera yang dialu-alukan itu (yang dipenuhi dengan kasih sayang dan ketenangan itu) tidak datang secara automatik, anda harus berusaha untuk itu ! Untuk mencipta atmosfera ini, pasangan haruslah saling berbuat baik dan saling mencintai.  Anda mungkin akan bertanya: Bagaimana caranya? Seperti pepatah mengatakan, "Anda tidak boleh membuahkan rasa cinta dan kasih sayang dengan sebatang kayu!"

Cinta itu ibarat bunga yang lembut, ia harus disirami, diperhati dan dijaga rapi. Apa jua perkara yang anda lakukan untuk memiliki bunga yang cantik harus juga anda lakukan untuk (menjaga & memelihara) cinta. Ini semua berada dalam tanganmu, wahai pemuda pemudi sekalian. Cara untuk mencapai (suasana yang penuh dengan kasih sayang dan ketenangan) adalah dengan cara anda bersikap setia antara satu sama lain, dan dengan menunjukkan kasih sayang serta perhatianmu kepada pasanganmu. Buktikan bahawa anda saling memerlukan antara satu sama lain, dan ini semua akan membantu mengukuhkan rasa cinta di dalam hati pasanganmu.
                                    
Segala peraturan Islam tentang Hijab, tujuan utamanya adalah untuk melindungi ikatan perkahwinan. Jika anda sebagai pasangan muda yang baru berkahwin tidak memberi perhatian kepada perkara ini, tidak berada di rumah, matamu tertarik pada lelaki lain atau wanita lain, hatimu cenderung kepada godaan-godaan di luar, dan anda terlibat dalam hubungan luar dengan wanita atau lelaki lain yang anda temui di banyak tempat dalam pelbagai rupa dan warna, maka, akibat dari segala perkara ini ke atas hubungn perkahwinan anda adalah memudaratkan.

Pertama, pasanganmu akan perlahan-lahan hilang rasa tarikan yang dia ada padamu ketika waktu mula-mula dahulu, yang mana rasa tarikan ini sangat penting bagi mewujudkan rasa cinta dan kasih sayang antara satu sama lain. Bahkan seandainya seseorang itu memiliki keindahan seperti Nabi Yusuf sekalipun, lama-lama ia menjadi perkara biasa saja. Kerana itu, sepertimana kuntuman bunga, perkahwinanmu dan rasa kasih sayang antara anda berdua harus sentiasa dipelihara dan dijaga rapi.




Seperti yang telah disebutkan, rasa cinta dan sayang itu tidak boleh dipandang remeh; anda sendiri harus berusaha mewujudkan rasa cinta dan sayang itu. Di Barat, dalam komuniti-komuniti tertentu, pemuda dan gadis melakukan banyak hubungan seksual sebelum mereka bernikah. Kerana itulah umur mereka berkahwin meningkat melebihi komuniti lain, selalunya umurnya antara 20-30 tahun, dan dalam banyak contoh, ada yang mencecah lebih 30 tahun. Dalam komuniti-komuniti seperti ini, kedua lelaki dan wanita, terutamanya lelaki, terlibat dalam pelbagai macam hubungn seksual sebelum mereka bernikah. Maka, perkahwinan bagi mereka tidak ada apa-apa yang baru, tidak ada apa-apa yang penting! Nah, bagaimana mereka boleh dibandingkan dengan pemuda Muslim yang menjaga dirinya dari perkara-perkara haram dan hidup dengan menjaga kehormatan dan maruah diri? Adakah kedua kumpulan lelaki dan wanita yang berbeza ini memiliki nilai yang sama dalam hal perkahwinan? Adakah mereka memiliki rasa hormat yang sama terhadap perkahwinan dan hidup bekeluarga? Tentu tidak !

Seseorang itu harus sentiasa ingat bahawa tidak ada wanita dan lelaki yang sempurna tanpa kesalahan, kecacatan, atau kelemahan, dan tiada yang sempurna. Kerana itu anda harus sedar bahawa kesemua undang-undang Islam dan peraturannya adalah demi memelihara ikatan perkahwinan. Dan Hijab adalah untuk tujuan begini. Ia berarti tidak mempamerkan tubuh anda untuk orang lain, tidak muncul di khayalak tanpa pakaian yang teratur, sopan, dan tidak meransang motif-motif yang tidak sepatutnya yang dilarang. Supaya segala daya tarikan itu hanya diperuntukkan buat pasangan hidupmu yang tercinta sahaja.




Oleh itu, suami dan isteri harus melakukan bahagian mereka, bermula dari hari pertama perkahwinan mereka, untuk menyemai dan menyemarakkan rasa kasih sayang yang Tuhan ciptakan dalam hati dan jiwa mereka selepas mereka berkahwin dalam majlis yang halal. Mereka harus sentiasa berusaha untuk menyemarakkan rasa cinta dan kasih sayang tersebut dan mengukuhkannya. Untuk mencapai ini, seperti yang telah saya katakan, adalah dengan saling membantu dan menjaga keperluan masing-masing, dan keperluan keluarga. Sebagai satu pasangan yang jujur, mereka harus menyimpan rahsia masing-masing, tidak mendedahkannya kepada sesiapa pun walaupun kepada saudara terdekat, dan memelihara imej kehidupan bekeluarga mereka. Dengan cara ini, anda pasti akan menikmati kehidupan yang bahagia dan manis bersama-sama.


3. Perkara ketiga yang ingin saya sebutkan di sini adalah pentingnya memiliki sikap toleransi. Toleransi mungkin bukanlah pendekatan terbaik dalam aspek-aspek kehidupan tertentu, tetapi, arena paling sesuai untuk bersikap toleransi adalah dalam kehidupan bekeluarga. Sebagai pasangan yang baru saja berkahwin, anda akan secara perlahan-lahan mengenali lebih banyak karakter pasanganmu. Janganlah penemuan itu menyebabkan anda murung. Lagi pula tidak ada lelaki atau wanita ideal di dunia ini. Oleh itu, anda haruslah bersikap tolak-ansur apabila berdepan dengan keadaan-keadaan seperti pasangan sedang marah, ungkapan kata-kata keras dan apa jua semacam itu. Rasa cinta dan sayang pula, adalah penawar di waktu keadaan-keadaan yang tidak menyenangkan seperti itu.



Satu lagi perkara yang kedua lelaki dan wanita harus tahu adalah, wanita itu biasanya lebih kuat dari lelaki dari aspek tolak-ansur emosinya dan kesabarannya. Anda mungkin berfikir ramai lelaki kuat dengan fizikalnya berbanding wanita. Sebenarnya tidak begitu, kerana itu hanya luaran saja. Mereka (lelaki) mungkin nampak kuat secara fizikalnya, tetapi dari aspek kekuatan emosi dan kekuatan mental, wanita lebih kuat. Wanita memiliki darjah kesabaran dan tolak-ansur yang tinggi dan memiliki cara dan kaedah mereka yang tersendiri untuk memastikan hubungan keluarga terpelihara. Wanita selalunya lebih mudah mengenal-pasti punca kelemahan pasangannya, mereka selalunya lebih nampak akan kelebihan-kelebihan dan titik kelemahan pasangannya, dan kerana itu wanita adalah yang terbaik dalam membantu lelaki mewujudkan hubungan keluarga yang manis dan bahagia.



4. Satu lagi poin saya adalah soal bermewah-mewahan, Majlis-majlis dan pelbagai lagi perbelanjaan yang berlebih-lebihan. Apa yang telah saya nasihatkan selama ini tentang batasan kuantiti Mahar tidaklah bermaksud jumlah Mahar yang besar akan membatalkan kontrak perkahwinan. Tidak.. Saya hanya menekankah bahawa perkahwinan itu adalah ikatan antara manusia, ianya adalah hubungan atau perjanjian antara dua hati dua jiwa. Tetapi sekiranya ia dikaburi dengan perkara-perkara kebendaan atau kemewahan dari mana-mana pihak, ianya akan bertukar menjadi perjanjian bisnes ibarat bertukar barangan-barangan di bazar ! Di satu sisi lain pula, mahar sebegini (yang mahal) akan meletakkan beban nilai hantaran yang tinggi ke atas pihak suami. Oleh itu, wanita tidak harus mengatakan, "Mahar saudara saya adalah sebanyak ini dan ini, oleh itu mahar saya haruslah lebih tinggi dari mereka,". Kerana itu, saya menasihatkan anda (para wanita) untuk tidak memilih mahar atau hantaran yang mahal. Biarkan ia dalam jumlah yang biasa, yang berpatutan mengikut keperluanmu dan jangan pergi lebih jauh dari itu.



5. Perkara terakhir yang harus sentiasa diingati, adalah soal membantu memperbaiki nilai-nilai Islam dan moral satu sama lain. Anda harus cuba menjadikan imanmu lebih teguh dan kuat dalam mengharungi kehidupan perkahwinanmu, juga dalam aspek sosial yang anda hadapi, sama ada di pejabat, di bengkel, gimnasium sukan, dan lain-lain yang semacam itu. Adalah melalui perbuatanmu, tindakanmu, dan tingkah-lakumulah yang kelak akan mempengaruhi orang lain dalam hal-hal keagamaan. Dengan ini, anda akan membangkitkan nilai-nilai keagamaan dalam diri orang lain dan membantu mereka mngukuhkan nilai-nilai itu. Laksanakanlah solat harianmu pada waktunya di mana jua anda berada. Mungkin, akan ada yang datang dan membantah, "anda boleh solat nanti-nanti saja!" Jangan pedulikan bantahan itu dan tenanglah bahawa contohmu itu akan mempengaruhi orang lain kelak. Tingkah-laku seperti ini akan mendatangkan kebaikan padamu dan juga pada masyarakat di sekelilingmu.




Saya berharap, Inshaallah, moga-moga saranan-saranan saya ini boleh membantu anda semua menjadikan kehidupan rumah tangga anda supaya lebih teguh, manis dan berkekalan.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.