Tuesday, 31 March 2015
Bab 4: Tiga Fasa Kehidupan Anak
Sebelum
kita menyambung lanjut perbincangan mengenai psikologi dan kaedah mendidik anak
dalam pelbagai isu, mari kita perhatikan terlebih dahulu tulisan
dari Allamah Sayyid Sa’eed Akhtar Rizvi dalam bukunya yang bertajuk
“Kehidupan Keluarga Islam”. Tulisan beliau ini merupakan ringkasan tentang
hak-hak anak dan tiga fasa yang dilaluinya, serta garis panduan yang diberikan
Ahlul Bait kepada para ibu bapa untuk mengasuh anak dalam setiap fasa tersebut.
Status
dan Hak-Hak Anak
Allah
SWT telah menjadikan hati ibu bapa sebagai sumber kasih sayang bagi anak-anak
mereka. Kasih sayang terhadap anak telah "ditetapkan" oleh Allah
dalam sifat semulajadi keibubapaan itu sendiri. Adalah normal bagi
ibu bapa untuk menyayangi anaknya; adalah tidak normal bagi ibu bapa tidak
menyayangi anaknya. Ini merupakan peraturan semula jadi dan juga peraturan
agama.
Islam
telah memberikan beberapa garis panduan yang menarik kepada ibu bapa bagi
mengasuh anak-anak mereka - sejak dari lahir anak itu hingga umurnya 21 -
dengan cara didikan Islam yang betul.
Rasulullah SAW
(sallallahu alahi wa aalihi wassalam) bersabda
kepada Imam Ali as :
"Wahai
Ali, terdapat banyak hak anak-anak yang
wajib ke atas ibu bapanya sebagaimana banyaknya hak ibu bapa yang wajib ke atas
anaknya.
Beberapa Hak-Hak Asas
Hak
anak-anak ke atas ibu bapanya boleh diringkaskan di bawah enam perkara berikut.
i) HAK UNTUK HIDUP: Tiada ibu bapa yang berhak untuk menggugurkan anak atau
membunuhnya selepas lahir atas apa-apa sebab sekalipun. Al- Quran mengecam
keras orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana takutkan kemiskinan.
Allah berfirman:
"Jangan
membunuh anakmu kerana (takut akan) kemiskinan - Kami akan memberi rezeki
kepadamu dan kepada mereka (6:152)
Rasulullah
SAW bersabda, "Sesiapa yang menahan diri dari mendirikan rumah tangga
kerana takutkan kemiskinan, dia sesungguhnya telah berfikir buruk terhadap
Tuhan."
ii) HAK UNTUK BERASAL DARI SEBUAH KELUARGA: Tiada ibu bapa yang boleh menafikan anaknya, atau
menafikan anak itu dari nama keluarga.
iii) HAK UNTUK DIBERIKAN NAMA YANG BAIK : Imam Ali as berkata, "Kebaikan pertama ibu bapa
terhadap anaknya adalah memberikan dia nama yang baik. Oleh itu, anda harus
menamakan anak anda dengan nama yang baik." Kanak-kanak mendengar namanya
(dipanggil) siang dan malam; maka adalah wajar untuk kita percaya bahawa,
maksud di sebalik nama secara tidak sedar akan menguatkan ciri-ciri yang
dimaksudkan dari nama tersebut. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah nama mempunyai kesan psikologi ke atas
diri seseorang itu.
Nama
yang tidak elok, memberikan satu lagi kesan buruk. Setiap kali nama itu
dipanggil, orang tersebut akan merasa malu dan nama itu akan menjadi sumber
gangguan yang berterusan kepada dirinya, yang seterusnya memberi kesan kepada
perspektifnya terhadap masyarakat.
Rasulullah
SAW selalu menekankan aspek ini begitu banyak sekali sehingga Imam as-Sadiq
mengatakan, "Rasulullah SAW sering menukar nama-nama orang dan tempat yang
tidak elok.
iv) HAK MENDAPAT NAFKAH: Adalah hak anak untuk disediakan keperluan hidupnya oleh
ibu bapa; makanan, pakaian, tempat berlindung, perabot, dan apa sahaja yang
biasa diperlukan manusia untuk menjalani kehidupan terhormat.
v) HAK MENDAPAT PENDIDIKAN ASAS: Adalah hak anak untuk mendapat pendidikan asas sekular
mahupun agama.
vi) HAK DIBESARKAN CARA ISLAM: Adalah hak anak untuk dibesarkan dalam persekitaran rumah
yang bersifat Islami.
Tiga Fasa Kehidupan Kanak-Kanak
Islam
telah membahagikan asuhan anak-anak kepada tiga tahap dari lahir hingga umurnya
21. Pembahagian ini adalah berdasarkan hadis berikut oleh Rasulullah SAW:
"Anak
adalah tuan selama 7 tahun (yang pertama); seorang hamba selama 7 tahun (yang
kedua) dan seorang penasihat selama 7 tahun (seterusnya); oleh itu jika dia
membesar dengan karakter yang baik dalam tempoh 21 tahun, maka ia baik dan
bagus; jika tidak biarkan dia sendiri kerana anda telah dilepaskan
tanggungjawab anda di hadapan Allah SWT."
Hadis
yang sama juga telah dijelaskan oleh Imam Ja'far as-Sadiq sebagai berikut:
"Biarkan
anak anda bermain hingga umurnya 7 tahun, dan memastikan dia dengan anda (untuk
pendidikan dan latihan) selama tujuh tahun lagi; kemudian jika dia berjaya
(ianya baik dan bagus), jika tidak, tiada kebaikan baginya."
Bab 3.4 : Tidur Sekatil Dengan Bayi
Menurut
kajian terkini, otak bayi yang tidur sekatil bersama ibu ayah berkembang dengan
lebih baik!
Tidur
sekatil dengan bayi adalah lebih baik untuk perkembangan otak.
Bayi
sepatutnya tidur sekatil dengan ibunya sehingga umur 3 tahun kerana bagus untuk
jantung bayi. 'Bonding' (Ikatan) ibu dan anak sangat sukar sekiranya bayi tidur
berasingan. Kajian juga mengatakan bayi yang tidur berasingan mengalami masalah
‘behaviour’ (kelakuan) apabila besar.
Saranan
Dr Nils Bergman, daripada University of Cape Town, South Africa, tidurkan bayi
baru lahir di atas dada ibunya untuk beberapa minggu pertama supaya
perkembangan bayi optimal.
Nak bayi
pintar? Amalkanlah tidur sekatil dengan bayi. Peluk dan dakap bayi. Bayi yang
berasa selamat dan disayangi tentu sekali otak dan fizikalnya membesar dengan
baik. Begitu juga kelakuannya.
PASTIKAN:
1. Tilam katil keras ( firm ).
2. Cadar tegang dan kemas. Jangan
alas tilam dengan comforter/duvet yang boleh menyebabkan bayi lemas kerana
duvet menutupi hidungnya.
3. Jangan letak bantal yang besar
lagi empuk di sebelah bayi.
4. Tidurkan bayi terlentang ( on
his/her back ). Ada juga yang mencadang bayi tidur mengiring. Saya lebih suka
mengiringkan anak supaya dia tidak mudah tertelan semula muak susu. Saya juga
selalu menukar arah iringan bayi sepanjang 3 bulan yang pertama supaya bentuk
kepalanya cantik.
5. Bayi tidur sebelah ibu. Ibu tidur
sebelah ayah. Pastikan tepi katil selamat. Rapatkan ke dinding. Jangan biarkan
bayi tidur di sebelah ayahnya.
6. Ibu tidur mengadap bayi. Dakap dan
bermanjalah dengan bayi. Beritahu suami anda ini bukan untuk selamanya. Paling
singkat 3 tahun sahaja.
Inilah masanya BAYI DIDAHULUKAN. Tolong MANJAKAN bayi
anda.
7. Bacakan doa-doa dan ayat Al Quran
sebelum/setelah bayi tidur.
JANGAN
tidur dengan bayi anda sekiranya anda
1.
Mengalami berat badan berlebihan
2.
Perokok
3.
Tersangat letih
4. Makan
ubat
Ini
adalah pilihan untuk ibu yang khuatir untuk tidur bersama bayi... Tapi saya
lebih suka tidur bersentuhan kulit dengan bayi saya. The best bonding
experience, EVER!
MasyaAllah.
Sesungguhnya semuanya dari Allah swt.
Oleh:
Eliani Nik Nawi
FB/
Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Monday, 30 March 2015
Bab 3.3 : Kelebihan Susu Ibu - Dr Nur Hidayah
1. Penyusuan bayi dapat menyelamatkan
nyawa semasa bencana melanda.
Susu ibu
bukan sahaja mengandungi nutrisi lengkap untuk bayi, ia juga mengandungi
antibodi yang dapat melidungi bayi dari jangkitan kuman dan penyakit. Semasa
bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan sebagainya – kita terdedah dengan
ancaman penyakit berjangkit seperti kolera, demam kepialu, cirit-birit dan
sebagainya akibat persekitaran yang kotor, air yang tercemar dengan kumbahan
dan bangkai haiwan.
Kanak-kanak
dan bayi terutamanya adalah golongan yang mudah diserang oleh penyakit dalam
keadaan begini. Makanan yang paling selamat
bagi bayi adalah susu ibu. Oleh itu – amat digalakkan untuk para ibu
untuk meneruskan penyusuan di kala menghadapi bencana alam.
2. Tekanan dan kelaparan tidak menjejaskan
kualiti dan jumlah susu ibu yang dihasilkan.
Kebanyakan
ibu risau tidak dapat meneruskan penyusuan semasa bencana akibat tertekan
dengan persekitaran serta mereka sendiri berfikir yang keadaan ibu yang lapar
tidak mampu menghasilkan susu untuk bayi. Ini tidak benar sama sekali. Susu ibu
dihasilkan dengan menggunakan stor simpanan di dalam badan ibu. Nutrisi yang
dikandung dalam susu ibu tidak terjejas walaupun si ibu dalam keadaan
kebuluran. Yang penting, si ibu perlu
diberikan sokongan moral dan emosi untuk teruskan menyusu anak mereka.
Kepada
tenaga bantuan bencana alam, adalah penting untuk memastikan ibu-ibu yang
menyusu mendapat ruang yang lebih privasi untuk memudahkan ibu menyusu dengan
aman. Berikan keutamaan bekalan makanan untuk si ibu yang menyusu supaya mereka
lebih bertenaga untuk meneruskan penyusuan dan menjaga keperluan bayi mereka.
Jika jumlah susu badan berkurangan, galakkan ibu untuk menyusu lebih kerap –
setiap 2 jam sekali atau 8-12 kali dalam sehari
3. Bayi yang kurang sihat lebih memerlukan
susu badan
Kanak-kanak
dan bayi 5 kali lebih mudah meninggal dunia, mengalami dehidrasi melampau
akibat diserang penyakit berjangkit khasnya diarrhea (cirit-birit). Bayi yang
menyusu badan mempunyai kurang risiko untuk mengalami cirit-birit. Bagi bayi
yang telah diserangkan penyakit, teruskan penyusuan bayi kerana susu ibu
mengandungi faktor imun dan nutrien yang dapat membantu melawan penyakit. Malah
susu ibu mengandungi kandungan air yang tinggi dan mampu mengurangkan risiko
dehidrasi. Air kosong, teh, air garam atau ‘electrolyte solutions’ bukan lah
alternatif yang sama baik jika dibandingkan dengan susu ibu.
4. Bagi ibu yang tidak pernah menyusukan badan –
mereka boleh memulakan semula penyusuan.
Untuk
ibu yang tidak pernah menyusu, mungkin mereka beranggapan adalah mustahil untuk
mereka memulakan penyusuan semula khususnya semasa keadaan yang tertekan
seperti bencana alam. Namun, tiada yang mustahil dalam hidup ini. Proses untuk
memulakan penyusuan bayi dinamakan relaktasi. Ada banyak cara dan teknik yang
boleh digunakan untuk memperkenalkan bayi kembali kepada penyusuan badan.
5. Susu formula boleh membahayakan bayi
khususnya yang berusia kurang dari 6 bulan
Keadaan
persekitaran yang kotor dan tiada bekalan air bersih atau kemudahan memasak
boleh menyebabkan kesukaran untuk menyediakan susu formula yang selamat. Jika
si ibu perlu memberi susu tepung formula untuk bayi atau anak mereka,
diingatkan untuk HANYA menggunakan air bersih yang telah dididih
sekurang-kurangnya 1 minit lebih pada suhu tinggi. Ini untuk memastikan kuman
dalam air mati dan tidak membawa mudarat.
Bekas
susu yang digunakan juga perlu dibasuh dengan air bersih dan dinyahkuman dengan
seeloknya. Bagi ibu yang menyusu badan secara langsung, langkah keselamatan ini
tidak diperlukan kerana susu badan sudah dalam keadaan steril.
6. Penyusuan bayi memudahkan si ibu
Bagi ibu
yang menyusu badan – adalah mudah untuk mereka menyusu di mana-mana mereka
berada. Malah, mereka boleh menggunakan kain gendong untuk membantu mereka
menyusu ‘on-the-go’ di tempat awam ataupun keadaan bergerak sekalipun.
Juga,
mereka tidak memerlukan alatan tambahan seperti alat sterilisasi, botol susu,
bekas air masak dan sebagainya untuk menyediakan susu mereka kerana susu badan
sudah tersedia untuk digunakan. Ini memudahkan si ibu untuk bergerak
menyelamatkan diri tanpa dibebankan untuk membawa bekalan susu tepung dan
alatan tambahan untuk menyusu.
7. Penyusuan bayi dapat menenangkan bayi dan
ibu:
Semasa
menyusu – hormon oksitosin dirembeskan. Hormon ini berupaya untuk menenangkan
emosi ibu yang tertekan akibat menghadapi bencana. Bayi yang menyusu juga
senang ditenangkan kerana semasa menyusu, si bayi berada di dalam dakapan erat
ibu. Keadaan ini menggalakkan rasa selamat dan aman bagi si bayi.
8. Penyusuan bayi membantu regulasi suhu badan
bayi:
Semasa
bencana, bayi terdedah dengan hawa sejuk dan panas persekitaran. Penyusuan bayi
dapat melaraskan suhu bayi melalui mekanisma termoregulator yang diaktifkankan
oleh dakapan kulit ibu ke kulit bayi secara langsung. Dengan cara ini kita
dapat melindungi bayi dari kesan ‘hypothermia’ (kejatuhan suhu badan).
Sumber:
Subscribe
Percuma : Tips Penyusuan Bayi - http://www.nuhalittleshop.com/ebook-percuma-survival-di-awal-penyusuan/
Bab 3.2 : Perhatian Terhadap Susu Ibu
Susu ibu
merupakan makanan utama bagi bayi yang baru lahir. Bukan sahaja kerana ia
bersesuaian dengan tubuh dan sistem dalaman bayi, bahkan kajian menunjukkan
bayi yang menerima susu ibu akan memiliki psikologi yang lebih aman dan tenang
kerana dia merasakan kehangatan kasih sayang dari ibunya. Justeru itu dalam
aspek ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:-
1. Keadaan emosi dan psikologi si ibu yang menyusu bayinya: Harus dalam keadaan
tenang dan stabil. Ahlul Bait menekankan pentingnya suami isteri
menjalin hubungan baik penuh kasih sayang sesama mereka, sedaya upayanya
menjauhi perkara yang boleh menjejas emosi kedua mereka kerana ia memberi kesan
terus kepada jiwa anak yang menyusu.
Professor Louis Cablan menegaskan, “Anak yang mendapat curahan
kasih sayang yang cukup dari ibu pada tahun pertama dan kedua akan selalu
merasa aman. Dia tidak akan merasa gelisah atau takut dan mudah menyesuaikan
diri saat mencecah usia 3-4 tahun. Anak yang merasa aman memiliki kestabilan
mental dan mudah bergaul dengan siapa saja dan bergabung dengan anak-anak
seusianya.”
2. Pemakanan ibu yang menyusu: Harus mengandungi nutrien yang mencukupi dan
seimbang kerana kuantiti dan kualiti susu bergantung pada makanan ibu. Antara
makanan yang bagus untuk ibu menyusu adalah kurma, madu, telur, susu dan
buah-buahan. Nutrien yang mencukupi sangat penting bagi pertumbuhan
fizikal dan psikologikal anak.
3. Jika si ibu tidak
dapat menyusukan anaknya (atas sebab sakit misalnya) : Maka disarankan untuk
mendapatkan ibu susuan yang solehah, atau jika ini tidak mungkin mendapatkan
ibu susuan bukan Islam dengan syarat dia tidak meminum minuman keras atau apa
saja yang membahayakan kesihatan anak.
Allama Tabatabai dalam
Tafsir al-Mizan ada menjelaskan lanjut mengenai penyusuan anak, beliau berkata
:- (Merujuk ayat 2:233)
“Ini
adalah cabang kepada hak-hak si ibu dan pengelakkan mudarat kepada mana-mana
pihak. Pengasuhan dan penyusuan anak bukanlah satu kewajiban bagi si ibu; ia
adalah haknya dan dia boleh mengetepikan haknya jika dia mahu. Oleh itu tidak
ada masalah sama sekali seandainya ibu bapa dengan persetujuan bersama menyapih
anak sebelum cukup dua tahun. Begitu juga si ayah boleh mendapatkan ibu susuan
bagi anak itu, jika si ibu memulangkan anak itu padanya dan enggan
menyusukannya; atau jika si ibu jatuh sakit atau tidak cukup susunya atau
sebab-sebab lain. Tetapi adalah wajib ke atas si ayah untuk memberikan ibu
susuan itu haknya (bayaran) tanpa melanggar mana-mana haknya, sebagaimana yang
difirmankan Allah: “dan jika kamu berkehendak mendapatkan ibu susuan buat
anakmu, maka tidak ada salahnya bagi kamu selagi kamu serahkan (upah) dengan
cara yang sepatutnya.”
Sumber
-Pendidikan
Anak Menurut Ajaran Islam (m/s 43)
Bab 3.1 : Selepas Kelahiran - Amalan Sunnah Menyambut Bayi
Sebaik
sahaja bayi selamat dilahirkan, terdapat beberapa perkara Sunnah yang boleh
diamalkan para ibu bapa sedaya yang termampu :
1. Memandikan bayi dan membaluti
tubuhnya dengan kain putih
2. Kemudian, membacakan azan di
telinga kanannya dan iqamah di telinga kirinya, (Sebaik-baiknya dilakukan oleh
datuknya jika beliau hadir bersama- sebagai tanda menghormati orang yang lebih
tua).
Imam Ja’far berkata:
“Rasulullah SAW bersabda: Jika
seseorang diberi anugerah anak oleh Allah SWT, hendaknya ia mengumandangkan
suara azan di telinga kanan anaknya itu dan iqamah di telingan kirinya kerana
hal tersebut dapat menjauhkannya dari bisikan dan godaan Syaitan yang
terkutuk,”
3. Memberikan nama kepada
bayi (Dapatkan nasihat dari ahli keluarga yang lebih berusia sebelum membuat
keputusan).
Rasulullah SAW bersabda : “Jika seseorang dikurniakan empat orang
anak lelaki tetapi tidak menamakan satu pun dari mereka dengan namaku, berarti
dia telah membenciku,”
Imam Ja’far as-Sadiq berkata : “Tidak
satupun anak-anak lelaki yang lahir dalam
keluarga kami kecuali kami
menamakannya Muhammad. Selepas 7 hari, barulah
kami mengganti nama tersebut dan
menetapkannya.”
*Perkongsian
pengalaman anak meragam : Anak yang berada dalam kandungan digalakkan diberikan
nama ketika berusia 4 bulan 10 hari (saat dimana janin ditiupkan roh). Terdapat
kes di mana anak meragam selepas dilahirkan, dan sebaik sahaja ibu bapa
memanggilnya dengan nama asal yang diberikan sewaktu dia berada dalam
kandungan, maka bayi itu kembali pulih. (Dalam kes ini ibu bapa mungkin terlupa
bahawa mereka telah memberikan nama kepada bayi ketika dalam kandungan, dan
apabila bayi dilahirkan, mereka memberikan nama yang berbeza, dan natijahnya
bayi meragam mungkin kerana merasa tidak serasi dengan nama baru yang
diberikan.
4. Melaksanakan aqiqah sebagai tanda
kesyukuran . Digalakkan untuk dilakukan pada hari ke-7 kelahiran bayi – di mana
rambut bayi dicukur dan dibasuh dengan air saffron, menyembelih seekor kambing
(digalakkan dilakukan pada hari yang sama) di mana dagingnya diagihkan kepada
fakir miskin dan para tetamu. Rujuk aplikasi Islam Toolkit untuk perincian
lanjut.
5. Dapatkan berat rambut bayi yang
telah dicukur, dan bersedekah perak seberat rambutnya kepada fakir miskin.
6. Mengkhatan anak lelaki
: Imam
Ja’far as-Sadiq berkata: “Khatankanlah anak kalian pada hari ke-7, kerana
hal itu lebih bersih baginya dan mempercepat tumbuhnya daging.”
7. Mengadakan walimah/Majlis bagi
menyambut kelahiran bayi. Dapatkan ahli keluarga, sahabat-sahabat untuk
berkongsi kegembiraan menyambut orang baru. Ini adalah Sunnah Nabi dan para
Ahlul Bait.
Sumber
:
-Ceramah
oleh Sayyed Muhammad Rizvi (Rituals for Newborn)
-Pendidikan
Anak Menurut Ajaran Islam (m/s 38-39)
Bab 2 : Semasa dalam Kandungan
Peranan ibu
Apabila
seseorang wanita itu mengandung, maka di situ bermulalah pengaruh seorang ibu
terhadap anak di dalam kandungannya. Psikologi serta emosi ibu yang mengandung
mempengaruhi psikologi dan keadaan anak yang bakal dilahirkan. Begitu juga
amalan-amalan dan pemakanan yang diambil juga memberikan pengaruh kepada anak.
Seandainya ibu mengandung sering merasa cemas, tidak tenteram, yang mana
mengakibatkan ketidakstabilan kepada emosi dan psikologinya, maka pengaruh
negatif akan memberi kesan kepada anak yang dikandungnya.
Oleh
itu, ibu yang mengandung disarankan berhati-hati bukan saja dari segi pemakanan
(yang pastinya harus datang dari sumber rezeki yang halal) bahkan menjaga soal
halal haram dalam segala tindakannya. Mendengar dan melihat perkara-perkara
yang baik seperti membacakan ayat-ayat suci Al-Quran akan memberikan impak yang
positif pada anak dalam kandungan. Kajian menunjukkan bahawa apa yang sering
didengar ibu mengandung akan terakam kemas di dalam kotak memori anaknya. Andai
si ibu suka mendengarkan musik, maka tidak mustahil anak yang dikandungnya
turut meminati perkara yang sama. Maka di sini kita dapat lihat betapa besarnya
pengaruh seorang ibu kepada anak sejak dalam kandungan lagi.
Amalan
yang digalakkan dilakukan oleh wanita semasa mengandung boleh dirujuk dalam
mana-mana buku khusus tentang itu. Aplikasi android “Islam Toolkit” yang boleh
dimuat turun melalui telefon pintar turut mengandungi perkongsian amalan ibu
mengandung dari bulan pertama hingga bulan kesembilan secara terperinci. Ini
termasuk membaca surah Al-Quran tertentu, pengambilan makanan tertentu, galakan
solat di awal waktu, cuba untuk sentiasa dalam keadaan berwudu dan lain-lain.
Semoga
Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepada semua wanita mengandung untuk cuba
melaksanakan amalan-amalan ini, mudah-mudahan aspek spiritual, fizikal dan
psikologi anak lebih terjamin dengan amalan-amalan yang disarankan Islam ini.
Peranan ayah
Wanita
yang mengandung tidak mungkin mencapai kestabilan emosi dan psikologinya
kecuali dengan bantuan dan kerjasama dari ahli keluarga terutama suaminya. Kehadiran suami di sisinya
sangat bermakna lebih-lebih lagi apabila kata-kata semangat dan pujukan sering
dihadiahkan kepada isteri ketika mana dia sedang melalui fasa-fasa mengandung
yang penuh dengan cabaran. Rasa mual, muntah tanpa henti, sukar
tidur malam, sakit kepala, demam dan macam-macam lagi simptom yang mungkin
dialami wanita yang sedang mengandung.
Selain
dari seorang ayah itu bertanggungjawab untuk menyediakan pemakanan dari sumber
rezeki yang halal kepada
isterinya, dia juga harus berusaha untuk memastikan emosi dan psikologi
isterinya dalam keadaan stabil. Memujuknya bukan dengan menggunakan kata-kata
kasar, dan bersabar mendengar keluh resah dari sang ibu yang sedang mengalami
perubahan luar biasa dalam tubuhnya.“Ketenangan
dan keseimbangan mental sang ibu sangat mempengaruhi keselamatan janin semasa
dalam kandungan juga keselamatan anak di masa menyusui.”
Iya,
hanya sang suami saja yang boleh memberikan ketenangan kepada isterinya. Andai
suami terpaksa berjauhan dengan isteri, berikan dia kata-kata semangat dan doa
agar terus tabah. Membacakan untuknya ayat-ayat Quran buat menenangkan hatinya
dan berusaha pulang untuk melawat dan melihat keadaan isteri. Seorang wanita itu menjadi lebih sensitif terutama
ketika dia hamil, dan sangat memerlukan kasih sayang, rasa simpati dan
perhatian yang lebih dari pasangan hidupnya.
Memang
benar seorang wanita itu apabila dia mengandung, maka beberapa ketidakselesaan
akan dirasakannya, namun segala ini tidak sia-sia dan Islam menyatakan bahawa
terdapat ganjaran yang besar buat wanita yang mengandung.
Imam Ja'far as-Sadiq
berkata:
"Setiap
kali seorang wanita mengandung, sepanjang tempoh dia mengandung, dia mempunyai
status yang sama seperti orang yang berpuasa, orang yang pada malam harinya
beribadat, dan orang yang berjihad di jalan Allah dengan nyawa dan hartanya.
Dan apabila wanita ini melahirkan anaknya, Allah akan mengurniakan ganjaran
yang sangat banyak di mana tiada sesiapapun yang tahu batasan ganjaran tersebut
kerana besarnya ganjaran itu. Dan pabila wanita ini menyusukan anaknya, untuk
setiap susuan itu, Allah akan mengganjarinya dengan pahala seperti melepaskan
seorang hamba dari keturunan 'Ismail, dan apabila tempoh menyusukan anak telah
tamat, salah seorang dari malaikat Allah yang hebat akan menepuk sebelahnya
sambil berkata: "Mulakanlah berbuat amal, sesungguhnya Allah telah
mengampunkan kesemua dosa kecilmu"
Dan bagi
lelaki yang bertungkus-lumus bekerja mencari rezeki yang halal:-
Imam
Muhammad al-Baqir berkata :-
“Dia
yang (berusaha bekerja) mencari rezeki di dunia ini agar tidak bergantung
dengan orang lain dalam memenuhi keperluannya, dan untuk memberi nafkah kepada
ahli keluarganya, serta untuk menghulurkan kasih sayang buat jiran-jirannya,
maka dia akan bertemu Allah, Yang Maha Kuasa pada Hari Pengadilan dengan wajah
yang bercahaya seperti bulan penuh,”
Rasulullah
SAW bersabda:
“Orang
yang tidur pada malam harinya kerana penat bekerja mencari rezeki yang halal,
maka dosa-dosanya diampunkan Allah SWT,”
Sumber
: Pendidikan Anak Menurut Ajaran Islam (m/s12)
Bab 1.5 : Ibu sebagai Permaisuri, Bidadari Rumah Tangga
Mengutip
kembali kata-kata Imam Ali Khamenei mengenai tugas seorang ibu/isteri dalam
menjaga urusan rumah tangga khususnya mengasuh
anak:-
Tugasan
Isteri Benar-Benar Penting
Tugas
istri di dalam rumah tidak kurang pentingnya dari tugasnya di luar rumah dan
penatnya juga tidak lebih sedikit dari tugas di luar rumah. Bahkan (tugas
isteri di dalam rumah) boleh jadi lebih penat dan lebih sulit dari tugas di
luar rumah. Selain dia harus mengatur persekitaran rumah, ia perlu usaha dan
kerja keras. Kerana pengurus di dalam rumah adalah istri. Yang mengurus rumah adalah istri yakni orang yang
benar-benar menguasai keadaan persekitaran rumah tangga. Persekitaran dalam
rumah tangga ada di bawah pengawasan, pemikiran dan pengurusannya. Sebuah
pekerjaan yang sangat sulit. Sebuah pekerjaan yang halus dan
anggun. Hanya keanggunan wanita yang bisa menanggung pekerjaan ini. Tidak ada
seorang lelakipun yang bisa melakukan keanggunan ini.
(Khutbah
Nikah 6/6/1381)
Istri di
dalam rumah bukan seorang penganggur. Sebagian orang berkhayal bahwa istri di
dalam rumah adalah penganggur. Tidak! Istri di dalam rumah sedang mengerjakan
paling banyak pekerjaan dan paling sulit pekerjaan serta paling halus
pekerjaannya.
(Khutbah
Nikah 18/12/1376)
Sebagian
orang menganggap bahwa bila seorang istri,misalnya pekerjaannya adalah sebagai
suri rumah tangga berarti ini sebuah penghinaan terhadap istri. Tidak! Ini
bukan sebuah penghinaan. Bahkan pekerjaan
yang paling penting bagi seorang istri adalah menjaga kehidupan rumah tangga
agar tetap teguh.
(Khutbah
Nikah 8/3/1381)
Mengasuh Anak, Seni yang Agung
Sebagian
pekerjaan rumah sangat sulit. Mengasuh anak merupakan pekerjaan yang sangat
sulit. Kalian bayangkan pekerjaan apapun
yang paling sulit pada hakikatnya mudah dibanding mengasuh anak. Mengasuh anak
adalah seni yang sangat agung. Para suami tidak akan bisa melakukannya
meskipun hanya sehari. Para istri melakukan pekerjaan besar ini dengan
terperinci, cermat dan halus. Allah Swt telah menetapkan kemampuan ini pada
fitrah mereka. Mengasuh anak sebagai
pekerjaan yang sulit ini mampu membuat seseorang menjadi tua dan benar-benar
lelah.
(Khutbah
Nikah 22/8/1374)
_____________________________________________________________________________
Mudah-mudahan
petikan kata-kata Rahbar ini bukan sahaja dapat membantu kita
menyedari betapa pentingnya peranan seorang wanita dalam mengurus rumah tangga
serta mengasuh anak, bahkan betapa mulianya
pekerjaan ini yang mungkin selalu sahaja dipandang rendah oleh masyarakat moden
tetapi jahil. Status ibu dalam masyarakat harus sentiasa
dipandang tinggi dan dimuliakan agar kaum wanita itu sentiasa mendapat
penghormatan yang sewajarnya dalam masyarakat justeru dapat melaksanakan
peranan mereka dengan lebih efektif lagi, InshaAllah.
Iya,
masyarakat yang hebat yang matang pasti tidak akan menafikan peranan kaum
wanita dalam melahirkan dan mencorak generasi akan datang. Sebaliknya
masyarakat yang mundur adalah mereka yang memandang rendah kaum wanita, tidak
menghormati mereka dan mengabaikan hak-hak mereka yang telah ditetapkan Allah
SWT. Semoga para ibu terus termotivasi dalam usaha membentuk
generasi soleh yang cemerlang, InshaAllah.
Imam
Khomeini, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam turut tidak ketinggalan menekankan
peranan wanita dalam mengasuh anak dan melahirkan generasi terbilang yang akan
mencorak masa depan negara. Sama-sama kita perhatikan kata-kata beliau ini:
Imam
Khomeini:-
"Jangan
fikir anak anda hanya sebagai kanak-kanak sahaja, kerana suatu hari, apabila
dia memasuki masyarakat, dia bakal menjadi
seorang pemimpin kepada masyarakat, dan, jika tidak diasuh dengan baik, dia
boleh memimpin masyarakat ke arah kerosakan,"
"Peranan
wanita dalam masyarakat adalah lebih penting dari lelaki, kerana selain dari
mereka sendiri menjadi anggota aktif masyarakat dalam pelbagai bidang, wanita
juga melatih anggota-anggota aktif (yakni anak-anak). Khidmat seorang ibu kepada masyarakat adalah lebih
besar dari seorang guru, bahkan dari sesiapa pun. Dan ini yang
dikehendaki para nabi, bahawa mereka mahu wanita menjadi orang-orang yang
melatih masyarakat dan memberikan kepada masyarakat, lelaki-lelaki dan
wanita-wanita yang pemberani.
Semasa anakmu berada di pangkuanmu, berikan mereka
asuhan Islam, ajarkan mereka untuk menjadi manusia yang luhur supaya
apabila kamu menghantar mereka ke sekolah rendah, kamu menghantar anak-anak
yang baik, bermoral dan berkelakuan bagus."
Anda
harus beringat untuk memberikan anak-anak di bawah jagaanmu asuhan agama,
asuhan moral. Jika anda menyerahkan seorang anak yang soleh dan komited kepada
masyarakat, anda akan melihat bahawa pada suatu hari nanti dialah yang akan
merubah masyarakat, kerana tidak mustahil
seorang individu mampu merubah keseluruhan masyarakat."
Peranan Wanita dalam Revolusi
Imam
Khomeini:-
“Dalam gerakan revolusi kami, kaum wanita memperoleh kredit lebih dari lelaki, kerana adalah kaum wanita, yang bukan sahaja mempamerkan keberanian diri mereka sendiri, tetapi juga melahirkan manusia-manusia pemberani,
Sebagaimana Al-Quran, wanita (juga) memiliki peranan
untuk mengasuh dan melahirkan manusia sejati. Seandainya negara tidak
memiliki wanita pemberani yang melahirkan manusia sejati, negara tersebut akan
merosot dan roboh.Adalah kaum wanita yang mengukuhkan negara, dan menjadikan
mereka berani"
Alhamdulillah
kita sudah pun selesai membincangkan keutamaan peranan ibu dan bapa dalam
mengasuh dan mendidik anak. Kita sama-sama sedar bahawa kedua-dua
lelaki dan wanita memiliki tanggungjawab bersama dalam mengasuh dan mencorak
anak-anak ke arah satu tujuan yang agung, yaitu menjadikan mereka insan yang
berguna, dan hamba Allah yang soleh-solehah, InshaAllah.
Seterusnya
kita akan membincangkan kaedah mendidik anak yang disarankan oleh Islam melalui
Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW serta Ahlulbait baginda dengan lebih
terperinci, satu fasa demi satu fasa. Sejak anak itu di peringkat bayi dalam
kandungan, selepas dia dilahirkan, meniti usia kanak-kanak, remaja, dewasa, dan
akhirnya menjadi matang bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Dalam
masa yang sama psikologi anak dalam melalui fasa-fasa tersebut serta potensi
dalaman dirinya juga akan sama-sama kita bincangkan.
Semoga
Allah membantu kita berusaha yang terbaik dalam melaksanakan misi agung ini,
InshaAllah.
Tiada
kejayaan dan kekuatan melainkan dengan pertolongan-Nya.
Subscribe to:
Posts (Atom)