Tuesday 31 March 2015

Bab 4.1 : Fasa Pertama (0-7 tahun)

Ibu Bapa sebagai ‘Role Model’

Oleh sebab tahap pertama adalah masa bebas bermain, anak tersebut dianggap sebagai "tuan" bagi ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda, "Anak adalah tuan selama 7 tahun (yang pertama)." Ini adalah usia menjadi kanak-kanak dan bermain; dia belum lagi bersedia sepenuhnya untuk pendidikan melalui arahan secara formal.

Apa yang dikatakan di atas, bagaimanapun, tidaklah bermaksud seorang anak itu tidak boleh menangkap atau memahami apa-apa; bukan begitu. Anak secara berterusan dipengaruhi oleh atmosfera di tempat dia tinggal; dia belajar melalui pemerhatian dan tiruan.

Oleh itu, adalah benar-benar perlu bagi ibu bapa untuk memberikan anak contoh yang baik melalui tingkah laku mereka sendiri. Rasulullah SAW bersabda,

"Hormati anakmu dan ajarkan mereka tingkah laku yang baik, maka Allah akan mengampunkan (dosamu)."

Walaupun anak itu belum bersedia dengan arahan secara rasmi, namun para Imam kita telah menekankan bahawa isu-isu agama - yang paling asas dan mudah- perlu diperkenalkan kepada mereka secara beransur-ansur. "Beransur-ansur" adalah perkara paling penting untuk kita ingati pada fasa pertama ini. Hadis berikut yang diriwayatkan oleh 'Abdullah ibn Fazl dari Imam ke-5 atau ke-6 adalah sangat penting untuk kita fahami apakah yang dimaksudkan dengan "secara beransur-ansur".

·         "Apabila anak mencapai umur 3 tahun, ajarkan dia 7 kali membaca “La ilaha illa lah”.

·         Kemudian, biarkan dia sehingga umurnya 3 tahun, 7 bulan dan 20 hari; kemudian latihlah untuk mengucap “Muhammadun Rasulullah”.

·         Kemudian, biarkan dia sehingga lengkap umurnya 4 tahun, lalu ajarkan dia 7 kali membaca “Sallallahu 'ala Muhammadin wa aali Muhammad”.

·         Kemudian biarkan dia sehingga umurnya 5 tahun; lihat jika dia boleh membezakan antara tangan kanan dengan tangan kiri. Jika dia tahu perbezaannya, maka jadikan dia mengadap qiblat dan beritahu dia untuk melakukan sujud.

·         Ini harus berterusan hingga umurnya 6 tahun. Kemudian dia harus diberitahu untuk solat dan ajarkan ruku' dan sujud.

·         Apabila genap usianya 7 tahun, dia harus diminta untuk membasuh muka dan tangannya, dan diberitahu untuk melakukan solat.

·         Ini akan berterusan hinggalah dia mencapai usia 9 tahun, di mana dia harus diajar mengambil wudu dengan betul untuk solat.

·         Apabila dia belajar berwudu dan solat dengan betul, maka Allah mengampunkan dosa-dosa ibu bapanya."



Imam Khomeini dan Pendidikan Kanak-Kanak

Imam Khomeini percaya bahawa kanak-kanak harus diajar perkara betul perkara salah serta hukum-hukum Islam sebelum mereka menjadi Baaligh.

Kadang-kadang Imam akan bertanya pada anak lelaki saya yang berusia 8 tahun, "Sudahkah kamu solat?"

Saya akan menjawab, "Agha, dia belum baligh lagi." Imam akan berkata, "Kanak-kanak harus menjadikan solat sebagai habit (kebiasaan) mereka sebelum mereka menjadi Baaligh."

Setiap kali Imam melihat kanak-kanak, beliau akan bertanya, "Sudahkah kamu solat?" Jika kanak-kanak itu belum lagi solat, beliau akan memberikan tikar sembahyangnya dan berkata,

"Pergi dan ambillah wudukmu dan segera tunaikan solat." Selepas mereka selesai solat, beliau akan berkata,

"Alangkah baiknya jika kamu solat pada waktunya. Allah pasti menjadi lebih gembira."

Oleh : Mrs Fatema Tabatabai - menantu Imam Khomeini

Sumber:-
-Sumber : Tranquil Heart - 43 Recollections of Imam Khomeini Relating to Prayers




Kebebasan Bermain

Bermain adalah keperluan utama anak-anak yang harus dipenuhi. Permainan membantu perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak serta memajukan kebolehan bersosial di dalam dirinya. Hukum alam tidak mengecualikan sesiapapun termasuk para nabi dan hamba-hamba soleh yang lain. Mereka juga semasa di usia kanak-kanak, bermain sebagaimana lazimnya kanak-kanak lain bermain.

Imam Ja’far as Sadiq berkata: “Biarkan anakmu bermain sesuka hatinya sampai ia berumur 7 tahun,”

Beberapa poin penting :-

1.      Berikan kebebasan untuk anak-anak bermain tanpa larangan sama ada dari aspek waktu bermain, jenis permainan dan cara bermain, selagi mana permainan itu tidak membahayakan anak atau orang lain serta tidak bertentangan dengan etika Islam dan masyarakat.

2.      Dr. Spock mengatakan, “Tugas kita (ibu bapa) adalah membiarkan anak-anak mengurusi permainan mereka sehingga mereka belajar sesuatu dari permainan tersebut. Biarkan anak-anak mengikut daya khayal mereka. Hanya dengan cara inilah, permainan akan bermanfaat bagi mereka. Permainan haruslah menjadi guru bagi mereka. Dan jika anak merasakan perlu bantuan dari ibu bapa untuk menyelesaikan masalah dalam permainannya, maka tibalah giliran ibu bapa untuk membantunya,”

Shafwan Al-Jammal berkata, “Imam Musa yang kala itu masih kecil datang dengan membawa seekor binatang. Beliau berkata kepada binatang itu, “Sujudlah kepada Tuhanmu!”. Ayah beliau, Imam Ja’far As-Shadiq yang menyaksikan adegan itu terus mengangkat dan mendakap beliau.

3.      Orang tua sebaiknya ikut bermain bersama anak-anak. Ini akan menjadikan anak-anak merasa lebih gembira, merasa dihargai dan membantu mengembangkan potensi diri anak-anak seperti merasa yakin diri. Anak-anak juga akan menjadi lebih mesra dan akrab dengan kedua orang tuanya. Kisah Rasulullah SAW bermain dengan Hasan dan Husain diketahui kita semua. Bahkan ketika Rasulullah melaksanakan solat, cucunya menaiki punggung baginda. Apa yang harus kita lakukan jika situasi yang sama ini berlaku adalah membiarkan keadaan itu dan memindahkan mereka dengan lembut tanpa kekerasan.

Abdullah bin Zubair berkata, “Aku ingin bercerita kepada kalian tentang orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW dan paling baginda cintai, yaitu Al-Hasan bin Ali. Suatu hari aku melihat Rasulullah SAW sedang bersujud, tiba-tiba Al-Hasan datang dan menaiki leher atau punggung baginda. Rasulullah SAW tidak menurunkannya. Beliau menunggu sampai cucu kesayangannya itu turun dari baginda. Aku juga pernah melihat Rasulullah SAW sedang ruku’ lalu Al-Hasan datang dan keluar masuk di antara dua kaki beliau.”

4.      Menggunakan bahasa yang boleh difahami kanak-kanak. Atau dengan kata lain, ayah dan ibu berkelakuan seolah-olah mereka juga adalah anak kecil. Rasulullah SAW bersabda,

“Jika seseorang itu memiliki anak kecil hendaklah dia berkelakuan seperti anak kecil dan berbicara dengan bahasa mereka.”

Para pakar psikologi menyatakan, “Anda haruslah memperlakukan anak-anak seperti teman, ajaklah mereka melakukan suatu pekerjaan bersama kalian. Ikutlah dalam permainan mereka. Berbicaralah dengan bahasa cinta dan kasih sayang. Semua orang harus berusaha untuk menempatkan dirinya seperti anak kecil dan berbicara dengan bahasa mereka.”

5. Memperhatikan kelakuan anak-anak ketika bermain tanpa sepengetahuan mereka. Bermain dapat menjadi ukuran apakah perilaku anak normal atau tidak.  Ibu bapa boleh menggunakan peluang itu untuk memperhatikan kemampuan berbahasanya, berfikirnya dan sikap lembut atau keras si anak serta emosinya. Dengan itu, ibu bapa boleh merancang program pendidikan yang sesuai buat anak.

Sumber:-
Pendidikan Anak Menurut Ajaran Islam (m/s 62)

Menanam rasa cinta kepada Allah, Rasulullah dan AhlulBait

Rasa cinta kepada Allah SWT wajar disemai sejak anak-anak kita masih kecil lagi. Ini kerana rasa cinta kepada Allah SWT sangat memberi kesan kepada jiwa dan psikologi anak serta mempengaruhi tingkah laku dan tindakannya dalam meniti kehidupan di dunia ini. Rasa cinta kepada Allah SWT menjadi benteng kepada anak-anak dari melakukan apa jua perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT justeru melindungi dirinya dari perbuatan dosa dan tindakan yang mencelakakan diri sendiri.

Ibu bapa mungkin boleh memantau anak ketika mereka masih kecil dan di waktu mereka berada dekat di samping kita. Namun kelak anak-anak akan menjejak usia remaja, dewasa dan melangkah jauh dari ibu bapa. Mereka akan berhadapan dengan pelbagai persoalan, rintangan, cabaran dan godaan kehidupan. Seandainya anak itu sejak dari kecil lagi telah disemai jiwanya untuk mencintai Allah, sentiasa merasakan diri diperhati Allah, dan sentiasa ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka pasti sekali rasa kejiwaan ini menjadi pelindung atau pendinding terkuat untuk dirinya.

Persoalannya, bagaimana kita ingin menanam rasa cinta kepada Allah SWT dalam jiwa anak-anak. Apakah cukup sekadar membaca Al-Quran, menunaikan solat, menutup aurat dan menghafal doa sahaja.

Rasa cinta sebagaimana kita semua sedar atau pun tidak, hanya tumbuh apabila seseorang itu dapat melihat kebaikan dan keindahan sesuatu objek itu. Ia tidak boleh tumbuh melalui kaedah kekerasan, ugutan mahupun ancaman. Ia hanya akan tumbuh apabila kita belajar untuk mensyukuri pemberian dan anugerah Allah SWT.  Maka ini berarti andai ibu bapa mahu menyemai rasa cinta dalam diri anak-anak kepada Allah SWT, ibu bapa haruslah berusaha memperkenalkan kebaikan dan keindahan Allah kepada anak-anak.

Begitu juga dalam usaha kita menanam rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan para AhlulBait baginda, ini boleh dilakukan dengan menceritakan kepada anak-anak akan keindahan akhlak mereka, kebaikan dan kemurahan hati mereka, keberanian dan sifat rendah diri mereka, kejujuran dan keadilan mereka. Dalam masa yang sama ibu bapa dapat melatih anak-anak untuk mengambil mereka sebagai contoh terbaik dalam menjalani kehidupan. Ini dapat melindungi anak-anak dari cenderung mengambil orang lain sebagai contoh mereka. Misalnya hari ini, generasi muda kita banyak dipengaruhi oleh artis-astis, pelakon-pelakon Barat dan terikut-ikut tingkah laku dan gaya pemikiran idola mereka. Ini terjadi kerana anak-anak tidak dilatih untuk mengenal idola terbaik dalam hidup mereka yaitu Rasulullah SAW dan para AhlulBaitnya.

Ibu bapa juga boleh berkongsi cerita dengan anak-anak akan kisah para ulama masa kini yang menjadikan AhlulBait sebagai contoh mereka. Kisah-kisah orang soleh, kisah para nabi juga merupakan antara yang wajar dikongsi kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi, moga-moga dengan itu bukan sahaja dapat menumbuh rasa cinta anak-anak pada golongan mulia ini bahkan berusaha belajar untuk mengenal nilai-nilai mulia yang seharusnya mereka terapkan dalam kehidupan ini.

Imam Hasan berkata, “Mereka yang mengenal Allah akan mencintai Allah”

Ibu bapa juga boleh memperkenalkan Allah SWT kepada anak melalui soalan-soalan yang sering diajukan mereka. Anak-anak semakin mereka boleh berfikir dan berbicara akan selalu sahaja mengajukan pertanyaan demi pertanyaan untuk memenuhi rasa ingin tahu mereka. “Dari mana dia datang, siapakah yang menciptakan kedua orang tuanya?” Dan ibu bapa harus berusaha memberikan jawaban dengan bahasa yang mudah, yang boleh difahami anaknya. Apa jua kebaikan dan kelebihan yang didapatkan si anak kaitkanlah ia dengan kemurahan dan kasih sayang Allah SWT. Ini secara tidak langsung mendidik jiwa anak agar melihat segala kebaikan itu adalah dari Allah SWT dan belajar bersyukur kepada-Nya.

“Tak Kenal Maka Tak Cinta”.

Semoga Allah menyemai hati-hati kita dengan rasa cinta kepada-Nya. Cinta kepada Allah adalah kunci segala kebahagiaan dan ketenangan abadi..






Bab 4: Tiga Fasa Kehidupan Anak

Sebelum kita menyambung lanjut perbincangan mengenai psikologi dan kaedah mendidik anak dalam pelbagai isu, mari kita perhatikan terlebih dahulu tulisan dari Allamah Sayyid Sa’eed Akhtar Rizvi dalam bukunya yang bertajuk “Kehidupan Keluarga Islam”. Tulisan beliau ini merupakan ringkasan tentang hak-hak anak dan tiga fasa yang dilaluinya, serta garis panduan yang diberikan Ahlul Bait kepada para ibu bapa untuk mengasuh anak dalam setiap fasa tersebut.


Status dan Hak-Hak Anak

Allah SWT telah menjadikan hati ibu bapa sebagai sumber kasih sayang bagi anak-anak mereka. Kasih sayang terhadap anak telah "ditetapkan" oleh Allah dalam sifat semulajadi keibubapaan itu sendiri.  Adalah normal bagi ibu bapa untuk menyayangi anaknya; adalah tidak normal bagi ibu bapa tidak menyayangi anaknya. Ini merupakan peraturan semula jadi dan juga peraturan agama.



Islam telah memberikan beberapa garis panduan yang menarik kepada ibu bapa bagi mengasuh anak-anak mereka - sejak dari lahir anak itu hingga umurnya 21 - dengan cara didikan Islam yang betul.


 Rasulullah SAW (sallallahu alahi wa aalihi wassalam) bersabda kepada Imam Ali as :

"Wahai Ali, terdapat banyak  hak anak-anak yang wajib ke atas ibu bapanya sebagaimana banyaknya hak ibu bapa yang wajib ke atas anaknya. 

Beberapa Hak-Hak Asas

Hak anak-anak ke atas ibu bapanya boleh diringkaskan di bawah enam perkara berikut.


i) HAK UNTUK HIDUP: Tiada ibu bapa yang berhak untuk menggugurkan anak atau membunuhnya selepas lahir atas apa-apa sebab sekalipun. Al- Quran mengecam keras orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana takutkan kemiskinan. Allah berfirman:

"Jangan membunuh anakmu kerana (takut akan) kemiskinan - Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka (6:152)

Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang menahan diri dari mendirikan rumah tangga kerana takutkan kemiskinan, dia sesungguhnya telah berfikir buruk terhadap Tuhan."


ii) HAK UNTUK BERASAL DARI SEBUAH KELUARGA: Tiada ibu bapa yang boleh menafikan anaknya, atau menafikan anak itu dari nama keluarga. 


iii) HAK UNTUK DIBERIKAN NAMA YANG BAIK : Imam Ali as berkata, "Kebaikan pertama ibu bapa terhadap anaknya adalah memberikan dia nama yang baik. Oleh itu, anda harus menamakan anak anda dengan nama yang baik." Kanak-kanak mendengar namanya (dipanggil) siang dan malam; maka adalah wajar untuk kita percaya bahawa, maksud di sebalik nama secara tidak sedar akan menguatkan ciri-ciri yang dimaksudkan dari nama tersebut. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah nama mempunyai kesan psikologi ke atas diri seseorang itu.

Nama yang tidak elok, memberikan satu lagi kesan buruk. Setiap kali nama itu dipanggil, orang tersebut akan merasa malu dan nama itu akan menjadi sumber gangguan yang berterusan kepada dirinya, yang seterusnya memberi kesan kepada perspektifnya terhadap masyarakat.
Rasulullah SAW selalu menekankan aspek ini begitu banyak sekali sehingga Imam as-Sadiq mengatakan, "Rasulullah SAW sering menukar nama-nama orang dan tempat yang tidak elok.

iv) HAK MENDAPAT NAFKAH: Adalah hak anak untuk disediakan keperluan hidupnya oleh ibu bapa; makanan, pakaian, tempat berlindung, perabot, dan apa sahaja yang biasa diperlukan manusia untuk menjalani kehidupan terhormat.


v) HAK MENDAPAT PENDIDIKAN ASAS: Adalah hak anak untuk mendapat pendidikan asas sekular mahupun agama.


vi) HAK DIBESARKAN CARA ISLAM: Adalah hak anak untuk dibesarkan dalam persekitaran rumah yang bersifat Islami.

Tiga Fasa Kehidupan Kanak-Kanak


Islam telah membahagikan asuhan anak-anak kepada tiga tahap dari lahir hingga umurnya 21. Pembahagian ini adalah berdasarkan hadis berikut oleh Rasulullah SAW:

"Anak adalah tuan selama 7 tahun (yang pertama); seorang hamba selama 7 tahun (yang kedua) dan seorang penasihat selama 7 tahun (seterusnya); oleh itu jika dia membesar dengan karakter yang baik dalam tempoh 21 tahun, maka ia baik dan bagus; jika tidak biarkan dia sendiri kerana anda telah dilepaskan tanggungjawab anda di hadapan Allah SWT."

Hadis yang sama juga telah dijelaskan oleh Imam Ja'far as-Sadiq sebagai berikut:

"Biarkan anak anda bermain hingga umurnya 7 tahun, dan memastikan dia dengan anda (untuk pendidikan dan latihan) selama tujuh tahun lagi; kemudian jika dia berjaya (ianya baik dan bagus), jika tidak, tiada kebaikan baginya."


Bab 3.4 : Tidur Sekatil Dengan Bayi


Menurut kajian terkini, otak bayi yang tidur sekatil bersama ibu ayah berkembang dengan lebih baik!

Tidur sekatil dengan bayi adalah lebih baik untuk perkembangan otak.

Bayi sepatutnya tidur sekatil dengan ibunya sehingga umur 3 tahun kerana bagus untuk jantung bayi. 'Bonding' (Ikatan) ibu dan anak sangat sukar sekiranya bayi tidur berasingan. Kajian juga mengatakan bayi yang tidur berasingan mengalami masalah ‘behaviour’ (kelakuan) apabila besar.

Saranan Dr Nils Bergman, daripada University of Cape Town, South Africa, tidurkan bayi baru lahir di atas dada ibunya untuk beberapa minggu pertama supaya perkembangan bayi optimal.

Nak bayi pintar? Amalkanlah tidur sekatil dengan bayi. Peluk dan dakap bayi. Bayi yang berasa selamat dan disayangi tentu sekali otak dan fizikalnya membesar dengan baik. Begitu juga kelakuannya.

PASTIKAN:

1.      Tilam katil keras ( firm ).

2.      Cadar tegang dan kemas. Jangan alas tilam dengan comforter/duvet yang boleh menyebabkan bayi lemas kerana duvet menutupi hidungnya.

3.      Jangan letak bantal yang besar lagi empuk di sebelah bayi.

4.      Tidurkan bayi terlentang ( on his/her back ). Ada juga yang mencadang bayi tidur mengiring. Saya lebih suka mengiringkan anak supaya dia tidak mudah tertelan semula muak susu. Saya juga selalu menukar arah iringan bayi sepanjang 3 bulan yang pertama supaya bentuk kepalanya cantik.

5.      Bayi tidur sebelah ibu. Ibu tidur sebelah ayah. Pastikan tepi katil selamat. Rapatkan ke dinding. Jangan biarkan bayi tidur di sebelah ayahnya.

6.      Ibu tidur mengadap bayi. Dakap dan bermanjalah dengan bayi. Beritahu suami anda ini bukan untuk selamanya. Paling singkat 3 tahun sahaja.

Inilah masanya  BAYI DIDAHULUKAN. Tolong MANJAKAN bayi anda.

7.      Bacakan doa-doa dan ayat Al Quran sebelum/setelah bayi tidur.


JANGAN tidur dengan bayi anda sekiranya anda

1. Mengalami berat badan berlebihan
2. Perokok
3. Tersangat letih
4. Makan ubat

Ini adalah pilihan untuk ibu yang khuatir untuk tidur bersama bayi... Tapi saya lebih suka tidur bersentuhan kulit dengan bayi saya. The best bonding experience, EVER!

MasyaAllah. Sesungguhnya semuanya dari Allah swt.

Oleh: Eliani Nik Nawi
FB/ Perkembangan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Monday 30 March 2015

Bab 3.3 : Kelebihan Susu Ibu - Dr Nur Hidayah



1. Penyusuan bayi dapat menyelamatkan nyawa semasa bencana melanda.

Susu ibu bukan sahaja mengandungi nutrisi lengkap untuk bayi, ia juga mengandungi antibodi yang dapat melidungi bayi dari jangkitan kuman dan penyakit. Semasa bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan sebagainya – kita terdedah dengan ancaman penyakit berjangkit seperti kolera, demam kepialu, cirit-birit dan sebagainya akibat persekitaran yang kotor, air yang tercemar dengan kumbahan dan bangkai haiwan.

Kanak-kanak dan bayi terutamanya adalah golongan yang mudah diserang oleh penyakit dalam keadaan begini. Makanan yang paling selamat bagi bayi adalah susu ibu. Oleh itu – amat digalakkan untuk para ibu untuk meneruskan penyusuan di kala menghadapi bencana alam.

2. Tekanan dan kelaparan tidak menjejaskan kualiti dan jumlah susu ibu yang dihasilkan.

Kebanyakan ibu risau tidak dapat meneruskan penyusuan semasa bencana akibat tertekan dengan persekitaran serta mereka sendiri berfikir yang keadaan ibu yang lapar tidak mampu menghasilkan susu untuk bayi. Ini tidak benar sama sekali. Susu ibu dihasilkan dengan menggunakan stor simpanan di dalam badan ibu. Nutrisi yang dikandung dalam susu ibu tidak terjejas walaupun si ibu dalam keadaan kebuluran. Yang penting, si ibu perlu diberikan sokongan moral dan emosi untuk teruskan menyusu anak mereka.

Kepada tenaga bantuan bencana alam, adalah penting untuk memastikan ibu-ibu yang menyusu mendapat ruang yang lebih privasi untuk memudahkan ibu menyusu dengan aman. Berikan keutamaan bekalan makanan untuk si ibu yang menyusu supaya mereka lebih bertenaga untuk meneruskan penyusuan dan menjaga keperluan bayi mereka. Jika jumlah susu badan berkurangan, galakkan ibu untuk menyusu lebih kerap – setiap 2 jam sekali atau 8-12 kali dalam sehari

3. Bayi yang kurang sihat lebih memerlukan susu badan

Kanak-kanak dan bayi 5 kali lebih mudah meninggal dunia, mengalami dehidrasi melampau akibat diserang penyakit berjangkit khasnya diarrhea (cirit-birit). Bayi yang menyusu badan mempunyai kurang risiko untuk mengalami cirit-birit. Bagi bayi yang telah diserangkan penyakit, teruskan penyusuan bayi kerana susu ibu mengandungi faktor imun dan nutrien yang dapat membantu melawan penyakit. Malah susu ibu mengandungi kandungan air yang tinggi dan mampu mengurangkan risiko dehidrasi. Air kosong, teh, air garam atau ‘electrolyte solutions’ bukan lah alternatif yang sama baik jika dibandingkan dengan susu ibu.

4. Bagi ibu yang tidak pernah menyusukan badan – mereka boleh memulakan semula penyusuan.

Untuk ibu yang tidak pernah menyusu, mungkin mereka beranggapan adalah mustahil untuk mereka memulakan penyusuan semula khususnya semasa keadaan yang tertekan seperti bencana alam. Namun, tiada yang mustahil dalam hidup ini. Proses untuk memulakan penyusuan bayi dinamakan relaktasi. Ada banyak cara dan teknik yang boleh digunakan untuk memperkenalkan bayi kembali kepada penyusuan badan.

5. Susu formula boleh membahayakan bayi khususnya yang berusia kurang dari 6 bulan

Keadaan persekitaran yang kotor dan tiada bekalan air bersih atau kemudahan memasak boleh menyebabkan kesukaran untuk menyediakan susu formula yang selamat. Jika si ibu perlu memberi susu tepung formula untuk bayi atau anak mereka, diingatkan untuk HANYA menggunakan air bersih yang telah dididih sekurang-kurangnya 1 minit lebih pada suhu tinggi. Ini untuk memastikan kuman dalam air mati dan tidak membawa mudarat.

Bekas susu yang digunakan juga perlu dibasuh dengan air bersih dan dinyahkuman dengan seeloknya. Bagi ibu yang menyusu badan secara langsung, langkah keselamatan ini tidak diperlukan kerana susu badan sudah dalam keadaan steril.

6. Penyusuan bayi memudahkan si ibu

Bagi ibu yang menyusu badan – adalah mudah untuk mereka menyusu di mana-mana mereka berada. Malah, mereka boleh menggunakan kain gendong untuk membantu mereka menyusu ‘on-the-go’ di tempat awam ataupun keadaan bergerak sekalipun.

Juga, mereka tidak memerlukan alatan tambahan seperti alat sterilisasi, botol susu, bekas air masak dan sebagainya untuk menyediakan susu mereka kerana susu badan sudah tersedia untuk digunakan. Ini memudahkan si ibu untuk bergerak menyelamatkan diri tanpa dibebankan untuk membawa bekalan susu tepung dan alatan tambahan untuk menyusu.

7. Penyusuan bayi dapat menenangkan bayi dan ibu:

Semasa menyusu – hormon oksitosin dirembeskan. Hormon ini berupaya untuk menenangkan emosi ibu yang tertekan akibat menghadapi bencana. Bayi yang menyusu juga senang ditenangkan kerana semasa menyusu, si bayi berada di dalam dakapan erat ibu. Keadaan ini menggalakkan rasa selamat dan aman bagi si bayi.

8. Penyusuan bayi membantu regulasi suhu badan bayi:

Semasa bencana, bayi terdedah dengan hawa sejuk dan panas persekitaran. Penyusuan bayi dapat melaraskan suhu bayi melalui mekanisma termoregulator yang diaktifkankan oleh dakapan kulit ibu ke kulit bayi secara langsung. Dengan cara ini kita dapat melindungi bayi dari kesan ‘hypothermia’ (kejatuhan suhu badan).

Sumber:


Bab 3.2 : Perhatian Terhadap Susu Ibu



Susu ibu merupakan makanan utama bagi bayi yang baru lahir. Bukan sahaja kerana ia bersesuaian dengan tubuh dan sistem dalaman bayi, bahkan kajian menunjukkan bayi yang menerima susu ibu akan memiliki psikologi yang lebih aman dan tenang kerana dia merasakan kehangatan kasih sayang dari ibunya. Justeru itu dalam aspek ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:-

1.      Keadaan emosi dan psikologi si ibu yang menyusu bayinya: Harus dalam keadaan tenang dan stabil. Ahlul Bait menekankan pentingnya suami isteri menjalin hubungan baik penuh kasih sayang sesama mereka, sedaya upayanya menjauhi perkara yang boleh menjejas emosi kedua mereka kerana ia memberi kesan terus kepada jiwa anak yang menyusu.

Professor Louis Cablan menegaskan, “Anak yang mendapat curahan kasih sayang yang cukup dari ibu pada tahun pertama dan kedua akan selalu merasa aman. Dia tidak akan merasa gelisah atau takut dan mudah menyesuaikan diri saat mencecah usia 3-4 tahun. Anak yang merasa aman memiliki kestabilan mental dan mudah bergaul dengan siapa saja dan bergabung dengan anak-anak seusianya.”

2.      Pemakanan ibu yang menyusu: Harus mengandungi nutrien yang mencukupi dan seimbang kerana kuantiti dan kualiti susu bergantung pada makanan ibu. Antara makanan yang bagus untuk ibu menyusu adalah kurma, madu, telur, susu dan buah-buahan.  Nutrien yang mencukupi sangat penting bagi pertumbuhan fizikal dan psikologikal anak.

3.      Jika si ibu tidak dapat menyusukan anaknya (atas sebab sakit misalnya) : Maka disarankan untuk mendapatkan ibu susuan yang solehah, atau jika ini tidak mungkin mendapatkan ibu susuan bukan Islam dengan syarat dia tidak meminum minuman keras atau apa saja yang membahayakan kesihatan anak.

Allama Tabatabai dalam Tafsir al-Mizan ada menjelaskan lanjut mengenai penyusuan anak, beliau berkata :- (Merujuk ayat 2:233)

“Ini adalah cabang kepada hak-hak si ibu dan pengelakkan mudarat kepada mana-mana pihak. Pengasuhan dan penyusuan anak bukanlah satu kewajiban bagi si ibu; ia adalah haknya dan dia boleh mengetepikan haknya jika dia mahu. Oleh itu tidak ada masalah sama sekali seandainya ibu bapa dengan persetujuan bersama menyapih anak sebelum cukup dua tahun. Begitu juga si ayah boleh mendapatkan ibu susuan bagi anak itu, jika si ibu memulangkan anak itu padanya dan enggan menyusukannya; atau jika si ibu jatuh sakit atau tidak cukup susunya atau sebab-sebab lain. Tetapi adalah wajib ke atas si ayah untuk memberikan ibu susuan itu haknya (bayaran) tanpa melanggar mana-mana haknya, sebagaimana yang difirmankan Allah: “dan jika kamu berkehendak mendapatkan ibu susuan buat anakmu, maka tidak ada salahnya bagi kamu selagi kamu serahkan (upah) dengan cara yang sepatutnya.”

Sumber
-Pendidikan Anak Menurut Ajaran Islam (m/s 43)

Bab 3.1 : Selepas Kelahiran - Amalan Sunnah Menyambut Bayi




Sebaik sahaja bayi selamat dilahirkan, terdapat beberapa perkara Sunnah yang boleh diamalkan para ibu bapa sedaya yang termampu :

1.      Memandikan bayi dan membaluti tubuhnya dengan kain putih

2.      Kemudian, membacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kirinya, (Sebaik-baiknya dilakukan oleh datuknya jika beliau hadir bersama- sebagai tanda menghormati orang yang lebih tua).

 Imam Ja’far berkata:

“Rasulullah SAW bersabda: Jika seseorang diberi anugerah anak oleh Allah SWT, hendaknya ia mengumandangkan suara azan di telinga kanan anaknya itu dan iqamah di telingan kirinya kerana hal tersebut dapat menjauhkannya dari bisikan dan godaan Syaitan yang terkutuk,”

3.      Memberikan nama kepada bayi (Dapatkan nasihat dari ahli keluarga yang lebih berusia sebelum membuat keputusan).

Rasulullah SAW bersabda : “Jika seseorang dikurniakan empat orang anak lelaki tetapi tidak menamakan satu pun dari mereka dengan namaku, berarti dia telah membenciku,”

Imam Ja’far as-Sadiq berkata : “Tidak satupun anak-anak lelaki yang lahir dalam
keluarga kami kecuali kami menamakannya Muhammad. Selepas 7 hari, barulah
kami mengganti nama tersebut dan menetapkannya.”

*Perkongsian pengalaman anak meragam : Anak yang berada dalam kandungan digalakkan diberikan nama ketika berusia 4 bulan 10 hari (saat dimana janin ditiupkan roh). Terdapat kes di mana anak meragam selepas dilahirkan, dan sebaik sahaja ibu bapa memanggilnya dengan nama asal yang diberikan sewaktu dia berada dalam kandungan, maka bayi itu kembali pulih. (Dalam kes ini ibu bapa mungkin terlupa bahawa mereka telah memberikan nama kepada bayi ketika dalam kandungan, dan apabila bayi dilahirkan, mereka memberikan nama yang berbeza, dan natijahnya bayi meragam mungkin kerana merasa tidak serasi dengan nama baru yang diberikan.

4.      Melaksanakan aqiqah sebagai tanda kesyukuran . Digalakkan untuk dilakukan pada hari ke-7 kelahiran bayi – di mana rambut bayi dicukur dan dibasuh dengan air saffron, menyembelih seekor kambing (digalakkan dilakukan pada hari yang sama) di mana dagingnya diagihkan kepada fakir miskin dan para tetamu. Rujuk aplikasi Islam Toolkit untuk perincian lanjut.


5.      Dapatkan berat rambut bayi yang telah dicukur, dan bersedekah perak seberat rambutnya kepada fakir miskin.

6.       Mengkhatan anak lelaki : Imam Ja’far as-Sadiq berkata: “Khatankanlah anak kalian pada hari ke-7, kerana hal itu lebih bersih baginya dan mempercepat tumbuhnya daging.”

7.      Mengadakan walimah/Majlis bagi menyambut kelahiran bayi. Dapatkan ahli keluarga, sahabat-sahabat untuk berkongsi kegembiraan menyambut orang baru. Ini adalah Sunnah Nabi dan para Ahlul Bait.


Sumber : 
-Ceramah oleh Sayyed Muhammad Rizvi (Rituals for Newborn)
-Pendidikan Anak Menurut Ajaran Islam (m/s 38-39)

Bab 2 : Semasa dalam Kandungan




Peranan ibu

Apabila seseorang wanita itu mengandung, maka di situ bermulalah pengaruh seorang ibu terhadap anak di dalam kandungannya. Psikologi serta emosi ibu yang mengandung mempengaruhi psikologi dan keadaan anak yang bakal dilahirkan. Begitu juga amalan-amalan dan pemakanan yang diambil juga memberikan pengaruh kepada anak. Seandainya ibu mengandung sering merasa cemas, tidak tenteram, yang mana mengakibatkan ketidakstabilan kepada emosi dan psikologinya, maka pengaruh negatif akan memberi kesan kepada anak yang dikandungnya.

Oleh itu, ibu yang mengandung disarankan berhati-hati bukan saja dari segi pemakanan (yang pastinya harus datang dari sumber rezeki yang halal) bahkan menjaga soal halal haram dalam segala tindakannya. Mendengar dan melihat perkara-perkara yang baik seperti membacakan ayat-ayat suci Al-Quran akan memberikan impak yang positif pada anak dalam kandungan. Kajian menunjukkan bahawa apa yang sering didengar ibu mengandung akan terakam kemas di dalam kotak memori anaknya. Andai si ibu suka mendengarkan musik, maka tidak mustahil anak yang dikandungnya turut meminati perkara yang sama. Maka di sini kita dapat lihat betapa besarnya pengaruh seorang ibu kepada anak sejak dalam kandungan lagi.

Amalan yang digalakkan dilakukan oleh wanita semasa mengandung boleh dirujuk dalam mana-mana buku khusus tentang itu. Aplikasi android “Islam Toolkit” yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar turut mengandungi perkongsian amalan ibu mengandung dari bulan pertama hingga bulan kesembilan secara terperinci. Ini termasuk membaca surah Al-Quran tertentu, pengambilan makanan tertentu, galakan solat di awal waktu, cuba untuk sentiasa dalam keadaan berwudu dan lain-lain.

Semoga Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepada semua wanita mengandung untuk cuba melaksanakan amalan-amalan ini, mudah-mudahan aspek spiritual, fizikal dan psikologi anak lebih terjamin dengan amalan-amalan yang disarankan Islam ini.


Peranan ayah


Wanita yang mengandung tidak mungkin mencapai kestabilan emosi dan psikologinya kecuali dengan bantuan dan kerjasama dari ahli keluarga terutama suaminya. Kehadiran suami di sisinya sangat bermakna lebih-lebih lagi apabila kata-kata semangat dan pujukan sering dihadiahkan kepada isteri ketika mana dia sedang melalui fasa-fasa mengandung yang penuh dengan cabaran.  Rasa mual, muntah tanpa henti, sukar tidur malam, sakit kepala, demam dan macam-macam lagi simptom yang mungkin dialami wanita yang sedang mengandung.

Selain dari seorang ayah itu bertanggungjawab untuk menyediakan pemakanan dari sumber rezeki yang halal kepada isterinya, dia juga harus berusaha untuk memastikan emosi dan psikologi isterinya dalam keadaan stabil. Memujuknya bukan dengan menggunakan kata-kata kasar, dan bersabar mendengar keluh resah dari sang ibu yang sedang mengalami perubahan luar biasa dalam tubuhnya.“Ketenangan dan keseimbangan mental sang ibu sangat mempengaruhi keselamatan janin semasa dalam kandungan juga keselamatan anak di masa menyusui.”

Iya, hanya sang suami saja yang boleh memberikan ketenangan kepada isterinya. Andai suami terpaksa berjauhan dengan isteri, berikan dia kata-kata semangat dan doa agar terus tabah. Membacakan untuknya ayat-ayat Quran buat menenangkan hatinya dan berusaha pulang untuk melawat dan melihat keadaan isteri. Seorang wanita itu menjadi lebih sensitif terutama ketika dia hamil, dan sangat memerlukan kasih sayang, rasa simpati dan perhatian yang lebih dari pasangan hidupnya.

Memang benar seorang wanita itu apabila dia mengandung, maka beberapa ketidakselesaan akan dirasakannya, namun segala ini tidak sia-sia dan Islam menyatakan bahawa terdapat ganjaran yang besar buat wanita yang mengandung.

Imam Ja'far as-Sadiq berkata:

"Setiap kali seorang wanita mengandung, sepanjang tempoh dia mengandung, dia mempunyai status yang sama seperti orang yang berpuasa, orang yang pada malam harinya beribadat, dan orang yang berjihad di jalan Allah dengan nyawa dan hartanya. Dan apabila wanita ini melahirkan anaknya, Allah akan mengurniakan ganjaran yang sangat banyak di mana tiada sesiapapun yang tahu batasan ganjaran tersebut kerana besarnya ganjaran itu. Dan pabila wanita ini menyusukan anaknya, untuk setiap susuan itu, Allah akan mengganjarinya dengan pahala seperti melepaskan seorang hamba dari keturunan 'Ismail, dan apabila tempoh menyusukan anak telah tamat, salah seorang dari malaikat Allah yang hebat akan menepuk sebelahnya sambil berkata: "Mulakanlah berbuat amal, sesungguhnya Allah telah mengampunkan kesemua dosa kecilmu"

Dan bagi lelaki yang bertungkus-lumus bekerja mencari rezeki yang halal:-

Imam Muhammad al-Baqir berkata :-

“Dia yang (berusaha bekerja) mencari rezeki di dunia ini agar tidak bergantung dengan orang lain dalam memenuhi keperluannya, dan untuk memberi nafkah kepada ahli keluarganya, serta untuk menghulurkan kasih sayang buat jiran-jirannya, maka dia akan bertemu Allah, Yang Maha Kuasa pada Hari Pengadilan dengan wajah yang bercahaya seperti bulan penuh,”

Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang tidur pada malam harinya kerana penat bekerja mencari rezeki yang halal, maka dosa-dosanya diampunkan Allah SWT,”

Sumber : Pendidikan Anak Menurut Ajaran Islam (m/s12)

Bab 1.5 : Ibu sebagai Permaisuri, Bidadari Rumah Tangga




Mengutip kembali kata-kata Imam Ali Khamenei mengenai tugas seorang ibu/isteri dalam menjaga urusan rumah tangga khususnya mengasuh anak:-                                                   

Tugasan Isteri Benar-Benar Penting

Tugas istri di dalam rumah tidak kurang pentingnya dari tugasnya di luar rumah dan penatnya juga tidak lebih sedikit dari tugas di luar rumah. Bahkan (tugas isteri di dalam rumah) boleh jadi lebih penat dan lebih sulit dari tugas di luar rumah. Selain dia harus mengatur persekitaran rumah, ia perlu usaha dan kerja keras. Kerana pengurus di dalam rumah adalah istri. Yang mengurus rumah adalah istri yakni orang yang benar-benar menguasai keadaan persekitaran rumah tangga. Persekitaran dalam rumah tangga ada di bawah pengawasan, pemikiran dan pengurusannya. Sebuah pekerjaan yang sangat sulit. Sebuah pekerjaan yang halus dan anggun. Hanya keanggunan wanita yang bisa menanggung pekerjaan ini. Tidak ada seorang lelakipun yang bisa melakukan keanggunan ini.

(Khutbah Nikah 6/6/1381)

Istri di dalam rumah bukan seorang penganggur. Sebagian orang berkhayal bahwa istri di dalam rumah adalah penganggur. Tidak! Istri di dalam rumah sedang mengerjakan paling banyak pekerjaan dan paling sulit pekerjaan serta paling halus pekerjaannya.

(Khutbah Nikah 18/12/1376)

Sebagian orang menganggap bahwa bila seorang istri,misalnya pekerjaannya adalah sebagai suri rumah tangga berarti ini sebuah penghinaan terhadap istri. Tidak! Ini bukan sebuah penghinaan. Bahkan pekerjaan yang paling penting bagi seorang istri adalah menjaga kehidupan rumah tangga agar tetap teguh.

(Khutbah Nikah 8/3/1381)

Mengasuh Anak, Seni yang Agung

Sebagian pekerjaan rumah sangat sulit. Mengasuh anak merupakan pekerjaan yang sangat sulit. Kalian bayangkan pekerjaan apapun yang paling sulit pada hakikatnya mudah dibanding mengasuh anak. Mengasuh anak adalah seni yang sangat agung. Para suami tidak akan bisa melakukannya meskipun hanya sehari. Para istri melakukan pekerjaan besar ini dengan terperinci, cermat dan halus. Allah Swt telah menetapkan kemampuan ini pada fitrah mereka. Mengasuh anak sebagai pekerjaan yang sulit ini mampu membuat seseorang menjadi tua dan benar-benar lelah.

(Khutbah Nikah 22/8/1374)

_____________________________________________________________________________


Mudah-mudahan petikan kata-kata Rahbar  ini bukan sahaja dapat membantu kita menyedari betapa pentingnya peranan seorang wanita dalam mengurus rumah tangga serta mengasuh anak, bahkan betapa mulianya pekerjaan ini yang mungkin selalu sahaja dipandang rendah oleh masyarakat moden tetapi jahil.  Status ibu dalam masyarakat harus sentiasa dipandang tinggi dan dimuliakan agar kaum wanita itu sentiasa mendapat penghormatan yang sewajarnya dalam masyarakat justeru dapat melaksanakan peranan mereka dengan lebih efektif lagi, InshaAllah.

Iya, masyarakat yang hebat yang matang pasti tidak akan menafikan peranan kaum wanita dalam melahirkan dan mencorak generasi akan datang. Sebaliknya masyarakat yang mundur adalah mereka yang memandang rendah kaum wanita, tidak menghormati mereka dan mengabaikan hak-hak mereka yang telah ditetapkan Allah SWT.  Semoga para ibu terus termotivasi dalam usaha membentuk generasi soleh yang cemerlang, InshaAllah.




Imam Khomeini, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam turut tidak ketinggalan menekankan peranan wanita dalam mengasuh anak dan melahirkan generasi terbilang yang akan mencorak masa depan negara. Sama-sama kita perhatikan kata-kata beliau ini:

Imam Khomeini:-

"Jangan fikir anak anda hanya sebagai kanak-kanak sahaja, kerana suatu hari, apabila dia memasuki masyarakat, dia bakal menjadi seorang pemimpin kepada masyarakat, dan, jika tidak diasuh dengan baik, dia boleh memimpin masyarakat ke arah kerosakan,"

"Peranan wanita dalam masyarakat adalah lebih penting dari lelaki, kerana selain dari mereka sendiri menjadi anggota aktif masyarakat dalam pelbagai bidang, wanita juga melatih anggota-anggota aktif (yakni anak-anak). Khidmat seorang ibu kepada masyarakat adalah lebih besar dari seorang guru, bahkan dari sesiapa pun. Dan ini yang dikehendaki para nabi, bahawa mereka mahu wanita menjadi orang-orang yang melatih masyarakat dan memberikan kepada masyarakat, lelaki-lelaki dan wanita-wanita yang pemberani.

Semasa anakmu berada di pangkuanmu, berikan mereka asuhan Islam, ajarkan mereka untuk menjadi manusia yang luhur supaya apabila kamu menghantar mereka ke sekolah rendah, kamu menghantar anak-anak yang baik, bermoral dan berkelakuan bagus."

Anda harus beringat untuk memberikan anak-anak di bawah jagaanmu asuhan agama, asuhan moral. Jika anda menyerahkan seorang anak yang soleh dan komited kepada masyarakat, anda akan melihat bahawa pada suatu hari nanti dialah yang akan merubah masyarakat, kerana tidak mustahil seorang individu mampu merubah keseluruhan masyarakat."

Peranan Wanita dalam Revolusi

Imam Khomeini:-

“Dalam gerakan revolusi kami, kaum wanita memperoleh kredit lebih dari lelaki, kerana adalah kaum wanita, yang bukan sahaja mempamerkan keberanian diri mereka sendiri, tetapi juga melahirkan manusia-manusia pemberani,
Sebagaimana Al-Quran, wanita (juga) memiliki peranan untuk mengasuh dan melahirkan manusia sejati. Seandainya negara tidak memiliki wanita pemberani yang melahirkan manusia sejati, negara tersebut akan merosot dan roboh.Adalah kaum wanita yang mengukuhkan negara, dan menjadikan mereka berani"





Alhamdulillah kita sudah pun selesai membincangkan keutamaan peranan ibu dan bapa dalam mengasuh dan mendidik anak.  Kita sama-sama sedar bahawa kedua-dua lelaki dan wanita memiliki tanggungjawab bersama dalam mengasuh dan mencorak anak-anak ke arah satu tujuan yang agung, yaitu menjadikan mereka insan yang berguna, dan hamba Allah yang soleh-solehah, InshaAllah.

Seterusnya kita akan membincangkan kaedah mendidik anak yang disarankan oleh Islam melalui Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW serta Ahlulbait baginda dengan lebih terperinci, satu fasa demi satu fasa. Sejak anak itu di peringkat bayi dalam kandungan, selepas dia dilahirkan, meniti usia kanak-kanak, remaja, dewasa, dan akhirnya menjadi matang bersedia untuk mendirikan rumah tangga. 

Dalam masa yang sama psikologi anak dalam melalui fasa-fasa tersebut serta potensi dalaman dirinya juga akan sama-sama kita bincangkan.

Semoga Allah membantu kita berusaha yang terbaik dalam melaksanakan misi agung ini, InshaAllah.

Tiada kejayaan dan kekuatan melainkan dengan pertolongan-Nya.