Friday 3 April 2015

Bab 10.1 : Telefon Pintar/Komputer



1.     Akses kepada Internet

Ibu bapa yang mudah menyerahkan telefon pintar kepada anaknya perlu lebih berjaga-jaga dari aspek ini juga. Akses telefon pintar kepada internet membolehkan si anak melayari pelbagai laman sosial, seperti Youtube, Google Image tanpa kawalan, tanpa batasan. Pernah terjadi di luar pengetahuan ibu bapa di mana anaknya melayari laman Youtube menonton adegan-adegan tidak sopan. Mungkin anak ini tidak sengaja membuka aplikasi tersebut di telefon pintar.

Di sini ibu bapa digalakkan untuk memuat-turun aplikasi seperti “Kid’s Place” di telefon pintar. Aplikasi ini menghalang anak-anak dari membuka aplikasi-aplikasi lain kecuali yang dibenarkan ibu bapa sahaja.

Di Iran, laman-laman seksual diblok, begitu juga laman seperti Youtube dan Facebook. Mungkin ini usaha kerajaan mereka dalam melindungi masyarakat dari kerosakan moral dan spiritual mereka.

2.     Youtube/Facebook

Laman Youtube membolehkan pengguna memuat naik apa sahaja video. Video ilmu, ceramah, tutorial adalah antara video-video yang bermanfaat. Kerana itu pada era masa kini, terdapat sebahagian para pelajar menjadikan Youtube sebagai ‘guru kedua’ selepas cikgu-cikgu mereka di sekolah.

Namun pada masa yang sama, terdapat juga video-video tidak sopan yang menjadi ancaman kepada moral dan spiritual kita dan anak-anak kita. Ini yang harus diberi perhatian. Anak-anak harus diberikan penerangan akan perkara ini agar mereka berjaga-jaga dan menjauhi perkara negatif ini. Latihlah anak-anak untuk ingat bahawa Allah Taala itu Maha Melihat segala perbuatan kita, dan apa jua perkara tidak sopan yang ditonton, akan menjadi racun kepada hati, roh, dan jiwa kita. Para pelajar pula akan mengalami kesukaran untuk memberi fokus pada pelajaran mereka. Ahli ibadah pula tidak dapat memberi fokus pada ibadah mereka. Jadi tidak ada sebab mengapa harus merugikan diri dengan mendekati perkara yang negatif seperti ini.

InshaAllah, anak-anak yang telah tersemai dalam jiwanya rasa cinta kepada Allah, tidak merasa sukar untuk menghindarkan diri mereka dari perkara-perkara dosa. 

Sering terjadi, video tidak sopan muncul ketikamana kita melayari laman Youtube ini tanpa disengajakan. Maka antara cara untuk mengurangkan kejadian seperti ini, pengguna boleh menetapkan Setting ‘Safe Search” di bahagian bawah laman Youtube tersebut.  Namun ini hanya boleh dilakukan seandainya pengguna menggunakan komputer/laptop ketika melayari laman Youtube ini.

Bagi pengguna Facebook pula, pasti mereka berhadapan dengan pelbagai iklan yang tidak sopan, yang sering muncul secara tiba-tiba ketika melayari laman Facebook. Perkara ini boleh dikurangkan dengan cara menggunakan Extension “Adblock” di Google Chrome. Extension ini akan blok pelbagai iklan di Facebook, dan juga di laman internet yang lain. Pengguna juga boleh memuat turun software K9 Protection untuk blok laman-laman porno di internet. Sekali lagi, kaedah-kaedah ini hanya boleh dilakukan untuk komputer/laptop sahaja.

3.     Jenayah Cyber

Dengan berleluasanya laman sosial seperti Facebook, Twitter, Yahoo Messenger, MSN, dan aplikasi di telefon pintar seperti Whatsapp, Wechat, dan sebagainya, anak-anak memiliki kebolehan untuk berinteraksi dengan sesiapa saja di mana jua tanpa had dan batas. Orang-orang tua kita dahulu selalu berpesan “Jangan bicara dengan orang asing”. Namun hari ini ia sukar untuk dikekang kerana wujudnya pelbagai kemudahan sosial. Di sini ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak agar berhati-hati, jauhkan dari berkongsi info peribadi dengan orang yang tidak dikenali, jangan melayan watak-watak yang mencurigakan yang menegur mereka di internet, dan lain-lain.

Perkara ini harus diambil serius oleh kita semua. Jenayah cyber tidak boleh dipandang ringan. Telah terjadi beberapa kali di mana mangsa yang berkongsi foto-foto personal di alam maya menerima ugutan sekiranya tidak membayar sejumlah wang. Tidak kurang juga penjenayah dapat mengesan lokasi mangsa, mendapat tahu mangsa keseorangan di rumah (kerana mangsa meng-update statusnya di Facebook bahawa ibu bapanya keluar rumah), lalu mengambil kesempatan ke atas mangsa.

Tidak kurang juga kewujudan ramai orang yang berpura-pura alim, dengan meletakkan profile wanita bertudung, lelaki berserban, dengan tutur kata “MasyaAllah ya Ukhti, Subhanallah, InshaAllah” tetapi rupa-rupanya selalu menghantar mesej peribadi dengan elemen-elemen lucah, mengganggu isteri/suami orang, dengan tujuan untuk mengambil kesempatan dan merosakkan rumah tangga mereka.

Nah, bagaimana pula dengan sikap anak-anak kita terutama anak-anak perempuan yang mudah terikut-ikut trend memuat naik gambar sebenar lalu dikongsi dipertontonkan di khayalak ramai termasuk lelaki yang bukan mahram? Ini bukan sahaja meningkatkan risiko bahaya bagi dirinya, bahkan bertentangan dengan konsep hijab yang diajar Islam yang menekankan agar wanita tidak mempamerkan dirinya di khayalak ramai. “Kerana wanita itu adalah khazanah, dan untuk mempertontonkan khazanah berharga di khayalak ramai, akan mendedahkan dirinya kepada bahaya dan menjatuhkan martabat dirinya sendiri.”


4.     Dosa Cyber

Islam memberi penekanan agar wanita dan lelaki sentiasa menjaga batas dalam pergaulan. Saranan ini merangkumi semua situasi termasuklah pergaulan di alam maya. Budaya memuatnaik foto yang memaparkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita adalah satu tindakan yang dilarang di sisi Islam. Bukan sahaja ia boleh mengundang dosa dan ketidak-redhaan Allah SWT, bahkan boleh mencetuskan fitnah.

Sebagai contoh, seorang foto wanita bertudung labuh bergambar mesra berdua bersama tunang atau kekasihnya. Hal sebegini boleh memberi imej yang negatif dan mengelirukan mengenai peribadi seorang muslimah sebenar.  Seorang muslimah sebenar seharusnya menitik berat nilai kesopanan, rasa malu, menjaga batas pergaulan, menjauhi sikap mempamerkan diri dan yang paling utama menjauhi apa jua perkara yang boleh mendatangkan fitnah sekaligus boleh menjatuhkan maruah dirinya.

Begitu juga sikap berkongsi status atau posting atau foto yang mengandungi unsur yang tidak sopan haruslah dijauhkan. Apa jua yang memiliki unsur seksual mestilah dijauhkan. Selain dari kita harus mempamerkan akhlak Islam yang mementingkan kesopanan, kita juga bertanggungjawab memelihara dan melindungi masyarakat dari apa jua perkara yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral mereka. Tutur kata harus dijaga dan perkataan lucah, makian, mencarut harus dihindari sama sekali walaupun di dalam alam cyber.

Menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita tidak terhad bagi mereka yang belum berkahwin, bahkan mereka yang sudah berkahwin harus sentiasa beringat juga dalam memerhatikan aspek ini, di mana perbualan yang menjurus ke arah kecurangan, luahan perasaan dari berbeza jantina, fitnah harus dihindari sebaik mungkin. Tidak sedikit kes perceraian yang disebabkan oleh hubungan suami/isteri dengan teman mereka di alam maya. Keutuhan rumah tangga harus sentiasa menjadi keutamaan kita semua dan menjaga batas adalah salah satu langkah menghindari faktor-faktor yang berisiko ke arah kemusnahan rumah tangga.

Berikut perkongsian artikel dari page FB “Membina Keluarga Sakinah”

Menjaga Batas Pergaulan

Kalau kita analisa kes punca keretakan rumah tangga, kes pergaduhan, kes isteri tinggalkan suami atau suami tinggalkan isteri, antara sebabnya adalah tidak menjaga batas pergaulan. Contohnya:

Si A sudah berkahwin tetapi selalu chatting dengan kawan lelaki dengan alasan itu kawan lama. Akhirnya teralih rasa cinta rindu pada kawan lama sampai dia sanggup tinggalkan suami dan anak-anak...

Tu kisah benar tu. Puncanya satu sahaja. Tidak menjaga batas. Dengan itu dia mendedahkn diri sendiri pada godaan syaitan dan dedahkan org lain pada godaan yang sama..

Kesimpulannya, apabila kita menjaga batas dalam pergaulan, bukan sahaja kita melindungi diri sendiri bahkan kita melindungi orang lain dan yang paling penting kita dapat melindungi institusi keluarga yang kita dah susah payah bina selama ini..

Maka sama-samalah saling menolong menjaga hati. Jangan sampai terbit rasa cinta dan rindu pada orang yang tidak halal/bukan mahram. Dan jangan sampai dua perasaan itu mengaburi aqal yang cuba menilai apa yang penting, apa yang lebih utama. Akhlak, agama atau rupa kekayaan semata? Anak isteri, atau pempuan lain yang menjadi igauan hati..?

Silap langkah boleh membawa padah..
Pikir-pikirkan92.



Sumber:



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.