Saturday 4 April 2015

Bab 11: Permasalahan Seksual dan Jantina



Pelbagai penyakit sosial seperti zina, sumbang mahram, onani, ketagihan kepada pornografi, cybersex, tidak hanya lahir dari pendedahan-pendedahan seksual yang diterima dari internet sahaja. Bahkan boleh jadi penyakit sosial ini lahir dari didikan keluarga sendiri yang mungkin saja mengabaikan beberapa faktor tertentu tanpa disedari.

Anak-anak yang terlibat dalam penyakit sosial akan mengalami pelbagai keadaan emosi dan psikologi yang tidak stabil. Sering merasa terganggu, tidak selamat dan mudah marah. Mereka juga mengalami kesukaran untuk memberikan fokus kepada pelajaran, pekerjaan mahupun keluarga mereka. Anak-anak yang menjadi mangsa kepada gejala sosial pula akan mengalami trauma berpanjangan dan hilang percaya kepada ahli keluarga sendiri serta orang lain. Hidupnya sentiasa dalam tekanan dan ketakutan. Sudah tentu ini memberi impak negatif yang sangat besar dalam kualiti kehidupannya di masa akan datang.

Berikut ulasan oleh Ayatullah Ibrahim Amini dalam bukunya “Principles of Upbringing Children” yang membincangkan lanjut isu ini dengan lebih mendalam.15

_______________________________________________________________

Seksualiti adalah salah satu naluri paling sensitif dalam diri manusia. Dan ia sebenarnya adalah naluri yang amat berguna kepada manusia. Ia akan mempunyai kedua-dua kesan positif dan negatif ke atas kehidupan psikologi dan fisiologi kehidupan manusia. Banyak tindakan manusia dan punca kepada beberapa penyakit fizikal dan psikologi boleh dikaitkan dengan naluri ini.

Jika asuhan seseorang individu itu berlaku dengan cara yang betul dan teliti, naluri seksualnya akan terbukti memberi manfaat dan kebahagiaan buat dirinya. Namun jika asuhannya berlaku dalam suasana penuh bernafsu, kelucahan dan melampaui batas, maka terdapat setiap kemungkinan bahawa naluri seksual ini menjadi punca kepada pelbagai penyakit fizik dan psikologi, yang boleh menjadi sebab kepada kemusnahan muktamad seseorang itu di dunia dan di akhirat.

Adalah tidak wajar untuk berfikir bahawa naluri seksual menzahirkan dirinya hanya selepas akil baligh. Naluri ini hadir dalam setiap individu sejak lahir lagi. Namun, ia kekal tidak aktif buat beberapa waktu. Walau bagaimanapun, ia menzahirkan dirinya pada masa yang berlainan semasa usia kanak-kanak dengan cara yang halus. Kadang-kadang kanak-kanak kecil mengusap-ngusap bahagian sulit mereka dan merasai kenikmatan. Ini menumbuhkan dalam diri mereka sejenis emosi. Mereka merasa senang apabila ibu bapa membelai dan mencium mereka. Mereka merasa tertarik kepada benda-benda dan orang-orang yang cantik, dan kadang-kala mereka meluahkan perasaan ini melalui kata-kata mereka.

Pada usia 2 atau 3 tahun, kanak-kanak mula membezakan antara budak lelaki dan perempuan dan saling melihat bahagian sulit satu sama lain dengan penuh minat. Apabila mereka membesar sedikit, mereka tertarik dengan gambar-gambar yang cantik. Mereka melihatnya dengan rasa teruja. Kadang kala mereka mungkin mengucapkan perkataan yang tidak baik. Mereka mula menunjukkan kecenderungan ke arah jantina berlainan. Mereka cuba untuk mendapatkan perhatian orang lain yang berlainan jantina. Kadang kala mereka turut bertanyakan soalan kepada ibu bapa mengenai seks. Mereka cuba untuk mencuri dengar bisikan rahsia antara ibu bapa. Mereka suka duduk dengan teman-teman di satu sudut sunyi dan saling bertukar rahsia. Semua ini membuktikan kanak-kanak memiliki naluri seks terpendam yang cuba mencari jalan untuk menzahirkan dirinya melalui perbuatan.

Tanpa ilmu dan bimbingan yang betul, naluri ini terus-menerus mendorong kanak-kanak (dalam setiap pemikiran dan tindakan mereka). Mereka tidak akan tahu apa yang mereka mahu. Perhatian mereka hanyalah untuk mendapatkan kenikmatan dari mana-mana sumber. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan kenikmatan ini.

(Nota: namun kini keadaan sudah berubah, kanak-kanak telah terdedah pada adegan seksual di televisyen mahupun internet (melalui komputer atau telefon pintar) dan dengan mudah meniru perbuatan tersebut. Maka tidak hairanlah kita sering mendengar berita pelajar sekolah rendah berpelukan, melakukan perkara tidak sopan, membuka pakaian, kanak-kanak membuat hubungan sulit dengan anak jiran sebelah, dua beradik ditemui dalam keadaan mencurigakan, pelajar saling bertukar imej dan kata-kata lucah dan sebagainya. Sukar untuk dipercaya namun inilah realiti memedihkan yang semakin kerap terjadi. Sesungguhnya mencegah lebih mudah dari merawat)

Ibu bapa yang bertanggungjawab tidak akan bersikap tak endah dengan naluri anak-anak mereka ini. Mereka tidak boleh meneruskan (kehidupan mereka) tanpa merangka sebuah strategi untuk mengendalikan perkara ini dengan betul. Pendidikan seks adalah salah satu aspek yang paling sukar dan sensitif dalam pendidikan kanak-kanak. Sedikit kesilapan atau kecuaian oleh ibu bapa mungkin mendorong anak-anak mereka ke arah jurang kehancuran.

Ibu bapa perlu menumpukan perhatian mereka kepada hakikat bahawa sebelum akil baligh anak-anak tidak akan mempunyai fakulti penghasilan zuriat. Oleh itu Allah SWT telah memelihara naluri seks mereka supaya terpendam dalam diri mereka. Ini adalah demi kepentingan terbaik anak-anak di mana naluri seksual mereka tidak mengalami kebangkitan pra-matang (kebangkitan sebelum tiba masa yang betul). Jika ini berlaku terlalu awal, kanak-kanak itu akan mengalami pelbagai stigma sosial dan penyakit fizikal.

Ibu bapa harus menahan diri dari apa saja yang mungkin membangkitkan naluri seks dalam diri anak-anak. Mereka mesti menyediakan untuk anak-anak mereka persekitaran yang sihat di mana minda mereka tidak teralih ke arah kelahiran pra-matang naluri seksual. Ibu bapa yang mengambil berat dan teliti boleh memutuskan apa yang baik untuk anak-anak dan apa yang tidak. Tetapi di sini kita menyebut beberapa perkara yang perlu diingati ibu bapa dalam fikiran mereka :-

1.      Ibu bapa haruslah secara senyap-senyap memastikan bahawa anak-anak tidak menyentuh bahagian sulit mereka, tidak melihat model-model di majalah-majalah, mendengarkan lagu-lagu cinta dan menonton filem-filem romantik, memuji keindahan rupa paras orang lain, merenung wajah cantik dan bahagian anggota badan terdedah orang lain, mendengar penuh minat jenaka lucah atau gurauan ibu bapa atau orang-orang tua yang lain. Semua ini dan banyak lagi tarikan boleh menyebabkan gelora kepada naluri seksual si anak.

2.      Ibu bapa tidak seharusnya membenarkan anak-anak berusia 5-6 tahun dibiar tanpa pengawasan. Kadang kala mereka mungkin bermain dengan anggota sulit satu sama lain dan emosi-emosi akan bangkit dalam diri mereka.

3.      Anak-anak tidak seharusnya dibenarkan untuk berbaring di tempat tidur mereka apabila mereka terjaga. Sediakan katil berasingan untuk anak-anak berumur 6 tahun (dan ke atas). Jika anak-anak tidur di atas katil yang sama, tubuh mereka kemungkinan bergesel satu sama lain dan membangkitkan naluri seksual mereka.

4.      Ibu bapa tidak seharusnya menjadikan anak-anak berumur 5-6 tahun tidur bersama mereka di katil yang sama. Terutamanya jika anak itu berlainan jantina. Bahkan seorang ibu tidak seharusnya menggeselkan tubuhnya dengan tubuh anak perempuannya yang berusia 6 tahun.

Rasulullah SAW telah bersabda, “Apabila anak mencapai usia 7 tahun, aturkan katil berasingan buatnya.” (Makarim al Akhlaq v1, 256)

Imam Sadiq meriwayatkan dari nenek moyangnya, “Wanita dan anak kecil yang berumur 10 tahun mesti mempunyai katil individu yang berasingan.” (Wasail al Shiah, v14, m/s 268)

“Jika seorang ibu menggeselkan tubuhnya kepada tubuh anak perempuannya sendiri, dia sedang melakukan satu bentuk pencabulan.” (Wasail al Shiah, v14, m/s 170)

“Seorang lelaki tidak harus mencium anak perempuannya berusia 6 tahun, dan seorang wanita tidak harus mencium anak lelakinya berusia 7 tahun.” (Wasail al Shiah, vol 14, m/s 170)

5.      Menjadi satu amalan dalam banyak keluarga di mana para wanitanya bergerak ke sana sini dengan pakaian yang separuh terdedah. Ramai lelaki yang juga tidak ketinggalan melakukan perkara yang sama. Mereka hanya mengenakan pakaian dari paras pinggang hingga ke lutut dan bergerak ke sana sini dalam rumah dengan kehadiran anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan. Mereka fikir oleh sebab mereka semua adalah dari keluarga yang sama dan Mahram, atau hubungannya rapat, maka para wanita tidak perlu disembunyikan dari mereka. Ibu bapa juga berfikir anggota badan mereka yang terdedah tidak akan memberi kesan kepada anak-anak kerana mereka masih terlalu muda untuk sedar akan perkara seperti itu.

Mereka fikir dada anak perempuan mereka yang tidak ditutupi dengan kain (chador) dan bahagian anggota tubuh yang terdedah tidak akan memberi kesan kepada anak-anak lelaki mereka dengan cara apa pun. Ini kerana ibu bapa fikir anak-anak itu adalah adik-beradik satu sama lain.

Ini bukan pemikiran yang betul. Naluri seksual adalah salah satu naluri terkuat dan apabila ia teransang ia tidak akan membenarkan seseorang itu berfikir akan apa jua jenis hubungan. (sama ada mahram atau bukan, adik-beradik atau bukan, ipar atau bukan, besan atau bukan-penulis)

Amirul Mukminin Imam Ali berkata: “Adalah sangat mungkin bahawa hanya sekilas pandang sahaja, naluri cinta dan seks terjaga.” (Gharar al Hukm, m/s 416)

Dorongan berahi seperti itu boleh menjadi punca kepada akibat mudarat yang berlaku terhadap anak-anak yang tidak berdosa. Mungkin dalam keadaan seperti itu, anak mungkin akan melakukan pemerkosaan atau sumbang mahram. Atas apa jua perkara seperti itu, ibu bapalah yang akan bertanggungjawab atas sikap cuai mereka.

Di sini adalah bertepatan untuk menyertakan sebuah tulisan dari seorang intelektual :-

“Demi kesejahteraan psikologi anak-anak, kita tidak harus mendedahkan tubuh kita kepada mereka. Kadang kala anak-anak mungkin mengintip melalui celah pintu bilik air ketika kita sedang mandi atau menukar pakaian. Kita harus memastikan supaya anak-anak tidak mempunyai tabiat seperti itu.” (Paiwang hai Kudak wa Khanwada, m/s 177)

Adalah benar bahawa ibu bapa adalah mahram bagi anak-anak mereka dan boleh tinggal dalam rumah yang sama. Tetapi ibu bapa tidak seharusnya mengorbankan hak kolektif anak-anak demi keseronokan dan kebebasan mereka. Dengan cara ini ibu bapa akan mendedahkan anak-anak mereka kepada kehancuran. Akibatnya kehidupan mereka akan menjadi tercela dengan keaiban dan kemurungan.

Paha seseorang telah terdedah dari jubahnya. Rasulullah SAW perasan akan perkara ini lalu bersabda: “Sembunyikan pahamu, kerana ia adalah salah satu perkara yang tidak harus didedahkan kepada orang lain.” (Mustadrak al-wasail, Hakim, v4, m/s 181)

6.      Adalah tidak sesuai bagi anak lelaki umur 4 tahun untuk mandi bersama ibunya. Begitu juga anak perempuan berusia 4 tahun tidak harus mandi bersama ayahnya.

7.      Anak-anak dan orang muda tidak harus tinggal sendirian tanpa melakukan apa-apa. Bersendirian boleh menimbulkan keinginan melakukan onani (masturbasi).

8.      Bahagian sulit kanak-kanak lelaki mesti sentiasa ditutupi, dan tidak didedahkan kepada mana-mana adik beradiknya.

9.      Jangan sesekali menggunakan kata-kata kesat (tidak sopan) terhadap anak-anak.

10.   Suami isteri tidak seharusnya tidur di atas satu tempat tidur di hadapan anak-anak mereka. Mereka tidak sepatutnya bermain gurau senda (antara suami isteri) sementara anak-anak berada di sekeliling.  Satu masalah kepada pasangan yang memiliki anak-anak adalah hubungan seksual antara suami isteri. Adalah hak pasangan untuk tidur bersama-sama. Tetapi apabila terdapat beberapa kanak-kanak dalam keluarga, akan adanya masalah untuk mendapatkan ruang privasi. Apa pun, mereka harus meneruskan hubungan peribadi mereka tanpa memberikan petunjuk mengenainya kepada anak-anak. Jika tidak, akan wujudnya bahaya keinginan seksual meningkat dalam diri anak-anak, dan pada usia mereka, ia akan terdedah kepada akibat-akibat yang dasyat.

Imam Ja’far as-Sadiq berkata: “Suami tidak harus pergi menghampiri isterinya ketika mana terdapat kanak-kanak di dalam bilik tidur mereka. Jika tidak, ia akan menjadi ibarat melakukan pemerkosaan.” (Wasail al Shiah, v14, m/s 94)

Rasulullah SAW telah bersabda: “Demi Allah! Seseorang yang sedang bersama isterinya ketika mana terdapat anak di dalam bilik itu, dan anak itu melihat mereka dan mendengar bunyi mereka, maka anak itu tidak akan pernah tenang. Sama ada dia adalah kanak-kanak perempuan atau lelaki, dirinya akan ternoda dengan perbuatan zina,”(hanya semata-mata dengan memerhatikan perbuatan tersebut)

Setiap kali Imam Zainal Abidin mahu menghampiri pasangannya, beliau selalu menghantar hamba-hambanya keluar, mengunci pintu dari dalam dan menurunkan langsir-langsir. (Wasail al Shiah, v14, m/s 94)

Rasulullah SAW telah melarang orang lelaki menghampiri isteri apabila terdapat bayi kecil melihat mereka dari buaian. (Mustadrak al-Wasail, v2, m/s 546)

Oleh itu suami isteri yang memiliki anak, tidak seharusnya bersikap bebas sebagaimana ketika sebelum mendapat anak. Untuk melindungi kesucian diri anak-anak, pasangan harus menyembunyikan sepenuhnya hubungan peribadi antara suami isteri dari anak-anak. Ini mungkin bukan proses yang mudah. Tetapi mereka tidak mempunyai alternatif lain. Mereka tidak seharusnya berfikir bahawa kanak-kanak adalah naif dan tidak mengerti apa-apa pada usia mereka. Tetapi sebaliknya, kanak-kanak adalah sangat tajam derianya. Mereka akan membuat kesimpulan sendiri dari apa yang mereka perhatikan. Mereka bersifat ingin tahu apa yang ibu bapa lakukan ketika bersendirian. Kadang-kadang mereka bahkan berpura-pura tidur untuk tahu dan lihat apa yang sedang berlaku. Mereka juga cuba untuk mengintip dari pintu-pintu dan tingkap-tingkap.

Adalah lebih baik jika ibu bapa mempunyai sebuah bilik persendirian, yang selamat untuk diri mereka di dalam rumah. Bilik ini hendaklah berada pada jarak tertentu dari kawasan anak-anak, sejauh yang boleh.

11.  Anak-anak haruslah dilatih untuk memberitahu kedatangan mereka apabila hendak masuk ke bilik ibu bapa. Ibu bapa harus mengelak melakukan hubungan intim ketika mana terdapat anak-anak berada di sekitar rumah, atau selagi mana mereka belum betul-betul nyenyak tidur.

Seorang intelektual Barat menulis :

“Kebanyakan rumah-rumah moden direka bentuk dengan cara di mana pereka pelan terlepas pandang akan ruang peribadi bagi hubungan intim penghuninya. Malah rumah hari ini boleh dikategorikan sebagai kediaman yang menentang keperluan seksual penghuninya. Kebanyakan kediaman dan rumah flat tidak memiliki bilik yang berasingan buat ibu bapa. Dan jika ada pun, dinding bilik-bilik tersebut begitu tipis di mana anak-anak yang tinggal bersebelahan boleh mendengar walaupun jika sekadar bisikan. Ia adalah realiti yang pahit kerana ibu bapa akan mengalami kelemasan akibat tidak ada tempat yang sesuai bagi hubungan peribadi mereka.” (Paiwand hai Kudak wa Khanwada, m/s 176)

12.  Tetapi, satu dari kekurangan ibu bapa tidur di bilik yang berasingan adalah mereka tidak akan tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak. Terutama sekali apabila terdapat budak lelaki yang besar sedikit dan terdapat juga budak perempuan di kalangan anak-anak mereka. Dalam situasi seperti ini, ibu bapa mungkin perlu mengorbankan keselesaan mereka. Jika ibu bapa perlu tidur bersama anak-anak dalam ruangan yang sama, maka mereka harus gunakan katil-katil yang berasingan. Untuk hubungan intim mereka pula, mereka harus mencari satu sudut sunyi di tengah malam di mana kesemua anak telah tidur.


Apabila ibu bapa seorang yang bertanggungjawab dan memiliki kemahuan, mereka akan menjumpakan penyelesaian bagi masalah tanpa banyak kesulitan.


Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang suci:-

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa peribadi bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Quran, 24:58)


13.  Sebelum akil baligh, anak-anak bertanyakan soalan-soalan mengenai seks secara langsung atau tidak langsung. Sebahagian ibu bapa mengelak soalan-soalan seperti ini. Sebagai contoh, mereka menjawab, “Diam, jangan tanyakan soalan-soalan karut macam tu!”, “Ini tak ada kena-mengena dengan kamu!”, “Kamu akan faham semuanya bila kamu dah besar nanti!” Mereka berjaya mendiamkan anak-anak dengan jawaban kabur ini buat sementara waktu.

Tetapi sebahagian ibu bapa memberikan jawaban-jawaban kepada pertanyaan anak. Namun, jawaban-jawabannya sangat salah dan bertentangan dari fakta sebenar. Kanak-kanak secara halus memahami bahawa ibu bapanya tidak berkata benar kepadanya.

Kedua-dua sikap di atas adalah salah. Kerana kanak-kanak bertanya atas dasar rasa dahaganya terhadap ilmu, dan jika dia tidak diberi jawaban yang sepatutnya, maka dia mungkin akan merasa lebih ingin tahu dan mendapatkan info dari orang lain yang mungkin bukan terbaik dalam memelihara kepentingannya. Nasib baik, soalan-soalan yang ditanyakan kanak-kanak mengenai seks sebelum mereka akil baligh, tidaklah begitu sukar sehingga ibu bapa susah untuk menjawabnya.

Satu soalan yang mengganggu setiap kanak-kanak adalah perbezaan antara bahagian sulit budak lelaki dengan budak perempuan. Kanak-kanak sepenuhnya memahami terdapat perbezaan antara bahagian sulitnya dengan kakaknya. Tetapi dia ingin tahu mengapa ada perbezaan ini? Kadang-kadang dia takut jika di dalam dirinya mempunyai beberapa kecacatan kerana itu dia tidak serupa seperti kakaknya. Di waktu yang lain dia berfikir bahawa kakaknya yang ada kecacatan. Dia ingin tahu punca kepada perbezaan ini dan meminta penjelasan dari ibu bapa. Adalah tugas ibu bapa untuk memberikan jawaban yang memuaskan kepada anak ini.

Mereka harus memberitahunya bahawa semua budak lelaki adalah sama sepertinya dan semua budak perempuan adalah sama seperti kakaknya. Kemudian budak lelaki membesar menjadi ayah dan budak perempuan membesar menjadi ibu.  Mereka akan mempunyai anak-anak sendiri dan kitaran hidup ini akan berterusan dan terus berterusan.

Anda (ibu bapa) tidak seharusnya membayangkan walau sesaat pun bahawa anak itu mahu tahu kesemua fakta mengenai seks dalam satu jalan. Dia hanya mahukan jawaban kepada apa yang tersirat di fikirannya pada waktu itu saja. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Sebelum kanak-kanak mencapai usia pemahaman, dia harus diberitahu tentang seks pada batas yang benar-benar diperlukan saja dan yang boleh difahaminya secara mudah. Jika anda tidak membalas pertanyaannya, dia mungkin akan mengutip maklumat yang berbahaya dari kanak-kanak nakal yang lebih berusia dalam kawasan kejiranan, atau dari budak-budak lelaki di sekolah. Jika anda membimbingnya dengan betul, dia akan selamat dari maklumat memudaratkan yang didapati dari pihak-pihak lain.

14.  Apabila anak anda mencapai akil baligh, dan anda tahu naluri seksualnya telah terbangun pada kadar tertentu, dan terdapat metamorphosis (perubahan secara fizikal, hormone, dll) yang laju dalam dirinya, maka pada waktu yang sesuai, anda harus memberitahu ini kepadanya :-

“Apabila anak-anak semakin membesar, mereka akan mempunyai keinginan untuk mempunyai seorang teman hidup. Yang perempuan sukakan lelaki sebagai teman hidup dan lelaki sukakan perempuan sebagai teman hidupnya. Tidak ada masalah dalam hal ini. Jika teman hidup itu seorang yang sholeh dan lemah-lembut, maka beruntunglah bagi lelaki dan perempuan itu. Tetapi, jika teman hidup seseorang itu buruk tingkah-lakunya maka itu boleh menjadi satu sumpahan bagi dirinya.

Selepas berkahwin, tanggungjawab menjadi berlipat kali ganda. Perbelanjaan isteri, dan apabila ketibaan anak, perbelanjaan terus menggunung banyaknya. Semua tanggungjawab ini harus ditanggung oleh suami. Kamu juga haruslah menamatkan pendidikanmu dengan baik supaya mendapat pekerjaan yang bagus. Kemudian, kita boleh aturkan perkahwinan kamu. Belajarlah bersungguh-sungguh dalam pelajaranmu. Jika kamu seorang yang berkebolehan, orang-orang akan sukakan kamu dan kamu juga boleh dapat pasangan yang bagus untuk dirimu.

Berhati-hati dari melakukan onani. Ia adalah dosa. Ia juga merosakkan kesihatan seseorang itu. Orang yang melakukannya, mungkin tidak akan mampu berkahwin kelak.

Jauhi teman-teman yang jahat akhlaknya, dan jangan mengambil tabiat dari teman-teman buruk. Sebahagian dari tabiat tersebut akan menghancurkan diri sendiri.”

15.  Apabila kanak-kanak membesar, mereka mula tumbuh bulu rambut di bahagian ketiak dan kawasan pubik mereka. Kanak-kanak menjadi takut apabila melihat perubahan ini untuk kali yang pertama. Pandulahlah mereka dengan sewajarnya. Jelaskan kepada mereka kaedah menyingkir bulu rambut yang berlebihan. Budak perempuan pula mula mengalami haid. Apabila dia melihat tompokan darah di pakaiannya, dia menjadi takut. Pandulah dia mengenai kitaran haid yang dialami oleh anak perempuan yang telah mencapai akil baligh. Dadanya mula membesar. Sebahagian budak perempuan menjadi bimbang melihat perubahan ini juga.

Begitu juga apabila anak lelaki menunjukkan tanda-tanda akil baligh, dia akan melihat mimpi yang meresahkan dalam tidurnya. Ketika bermimpi emosinya akan meningkat dan ejakulasi akan berlaku. Kadang kala, kanak-kanak lelaki yang naif mereka fikir bahawa mereka telah melakukan dosa. Mereka merasa bimbang dan menyimpan dalam hati sebagai rahsia yang sangat dijaga. Dalam waktu-waktu seperti itu, adalah tugas ibu bapa untuk mempersiapkan mentaliti anak lebih awal.

Si ibu harus meyakinkan anak gadisnya dan menjelaskan padanya bahawa tumbuh bulu rambut di bahagian tertentu badan dan melalui kitaran haid setelah mencapai akil baligh adalah fenomena yang normal bagi anak perempuan. Dia harus ajarkan anaknya tentang bagaimana menjaga kebersihan diri sewaktu haid dan kaedah membersihkan selepas tamat haid. Anak gadis itu juga harus diberitahu bahawa sewaktu haid dia tidak boleh berpuasa atau melakukan solat wajib. Puasa Ramadhan yang tertinggal sewaktu haid, dia boleh menggantinya di kemudian hari, bila-bila dia senang.

Si ayah juga harus memberitahu anak lelakinya bahawa dia sekarang sudah meningkat dewasa. Akan tumbuh bulu rambut di ketiaknya dan di kawasan pubik. Dia akan mengalami mimpi yang beremosi dan ejakulasi. Ini adalah fenomena normal bagi semua budak lelaki yang telah mencapai akil baligh. Dia tidak perlu merasa bimbang. Setiap kali dia berejakulasi dalam mimpinya, maka dia perlu melakukan mandi wajib. Bapa harus menjelaskan kaedah mandi wajib tersebut. Dengan cara ini, ibu bapa boleh merehatkan minda anak-anak mereka yang kini berada di ambang kehidupan dewasa.


Ikuti kisah benar - Bahaya Tidak Asingkan Tempat Tidur Anak :-


Sumber:
15.Principles of Upbringing Children oleh Ayatullah Ibrahim Amini (m/s 228)

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.