Kasih sayang adalah salah satu keperluan asas manusia.
Tidak kira anak kecil, remaja, bahkan orang dewasa sentiasa memerlukan kasih
sayang. Ini adalah
makanan kepada emosi, psikologi bahkan spiritual setiap manusia. Seandainya
ibu bapa hanya memenuhi keperluan fizikal anak-anak seperti menyediakan
makanan, minuman, permainan dan lain-lain, namun ini tidak mencukupi andai
tidak diiringi dengan kasih sayang.
Tanpa
kasih sayang, tidak mungkin seseorang anak itu boleh tumbuh membesar dengan
memiliki psikologi dan emosi yang sihat, Kurangnya kasih sayang boleh
menjadikan seseorang itu mudah rasa cemburu, merasa rendah diri, terasa
diketepikan, terasa tidak dipedulikan dan bermacam-macam lagi psikologi
kompleks yang boleh timbul akibat kurangnya kasih sayang.
Bahkan dalam soal memelihara hubungan mesra suami
isteri, tanpa kasih sayang dan perhatian terhadap sesama pasangan, atmosfera
rumah tangga menjadi tawar dan hambar. Walaupun mungkin pasangan tersebut
tinggal di sebuah rumah banglo yang besar, dikelilingi taman-taman bunga, dan
memiliki ‘bodyguard’ yang ramai. Kes putus cinta yang sering dialami remaja
pula menjadikan mereka tertekan, ada yang mengambil dadah, dan tidak kurang
yang membunuh diri kerana merasakan hidup sudah hilang artinya tanpa kasih
sayang.
Nah, contoh ini saja sudah cukup untuk kita akui bahawa
kasih sayang dan perhatian adalah keperluan setiap orang terutama anak-anak
kecil yang baru mahu mengenal dunia. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa
kasih sayang adalah keperluan hidup kita yang ketiga selepas makanan dan
minuman.
Persoalannya,
bagaimana sebagai ibu bapa, kita mahu menzahirkan kasih sayang tersebut..?
Bagi
anak yang berada di peringkat bayi, pastinya dia memerlukan pelukan, dakapan,
ciuman dari ibu dan ayah. Bayi juga memerlukan suasana yang tenang dan damai
untuk ketenangan dirinya. Oleh itu sebolehnya jauhi bayi itu dari suasana yang
boleh membuatkan dia terkejut. Sebolehnya bayi itu harus sentiasa dekat dengan
kedua ibu bapanya, terutama ibunya.
Anak
kecil yang dipisahkan dari kasih sayang ibu pasti akan terganggu kestabilan
emosi dan psikologinya. Oleh itu, bagi wanita yang bekerja, disarankan berusaha
untuk membahagi masa dengan baik agar dapat memperuntukkan masa bersama
anaknya. Hakikatnya, perpisahan anak dari si ibu, bukan sahaja memberi kesan
kepada si anak, tetapi juga kepada si ibu. Pengalaman dari seorang ibu yang
berpisah dari anaknya kerana menuntut ilmu di luar negara menceritakan bahawa
sepanjang perpisahan itu, si ibu dan si anak sama-sama sering jatuh
sakit.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.