Sunday 5 April 2015

Bab 13: Ekonomi Keluarga & Zuhud Yang Disalaharti




1)    Ayatullah Ibrahim Amini:

Untuk mengatur nafkah buat isteri adalah wajib bagi suami. Seorang lelaki adalah bertanggungjawab untuk menanggung perbelanjaan isterinya seperti makanan, pakaian, rumah, doktor, dan ubat-ubatan. Dia dikira melakukan kesalahan jika tidak menafkahi isterinya dan boleh didakwa di sisi undang-undang.

Seseorang itu tidak boleh menjangkakan sebuah keluarga hidup tanpa apa-apa perbelanjaan. Mereka semua memerlukan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan sebuah tempat untuk didiami. Walau bagaimanapun, mereka mungkin meminta barangan yang tidak perlu di mana dalam hal itu seseorang boleh menidakkan mereka dan tidak mengikut pelbagai kehendak mereka.

Seorang lelaki yang bijaksana akan berbelanja mengikut pendapatannya. Dia haruslah mengkelaskan barangan yang perlu dan membelinya mengikut keutamaan bila mana yang dia mampu. Dia juga mestilah menyimpan sebahagian wang untuk waktu kecemasan. Sebahagian wang haruslah diasingkan bagi membayar sewa rumah atau membeli kediaman baru. Dia juga haruslah jangan lupa akan bil elektrik, air, gas dan telefon. Cukai harus dibayar dan perbelanjaan sekolah harus diingat dalam kepala. Dia mestilah secara serius menghindar diri dari terlalu banyak berbelanja dan membayar barangan yang tidak penting. Cara perbelanjaan yang berhemah tidak akan menjadikan seseorang itu bankrap atau dikelilingi hutang.

Allah melihat perbelanjaan yang seimbang sebagai tanda keimanan dan menyatakan di dalam Al-Quran: “

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (25:67)

Imam Sadiq menyatakan: “Aku menjamin seseorang itu, yang berbelanja dengan sederhana, bahawa dia tidak akan menjadi miskin.”

Imam Sadiq juga menyatakan: “Terdapat empat kumpulan manusia yang mana doanya tidak akan diterima; satu darinya adalah yang membazirkan kekayaannya dan kemudian dia meminta kepada Allah, Ya Allah! Kurniakanlah aku rezeki. Kemudian, Allah menjawab, bukankah Aku telah memerintahkan kamu agar besederhana (dalam berbelanja).”

Abdullah ibn Aban berkata: “Aku bertanya kepada Imam Musa ibn Ja’far mengenai menafkahi keluarga dan beliau menyatakan: ‘Berlebih-lebihan dan kikir kedua-duanya adalah dikeji. Seseorang tidak harus hilang kesederhaan (dalam berbelanja).”

Seorang lelaki yang bijaksana akan mengelak dari meminjam wang dan tidak akan membuat pinjaman untuk tujuan yang tidak penting. Ekonomi yang berdasarkan pinjaman (bersama riba), yang diperoleh daripada bank-bank dan institusi-institusi lain di sisi Islam dan di sisi logik adalah salah dan bukan sesuatu yang terpuji.

Membeli barang-barang dengan sistem sewa-beli, walaupun menjadikan rumah anda nampak bagus, tetapi ia mengambil keselesaan dan ketenangan minda dari anda.

Mengapa seseorang itu perlu membeli barang-barang yang tidak perlu dengan bayaran yang lebih mahal dan memenuhi poket bank secara ansuran? Kehidupan semacam apakah itu apabila kesemua barang diperoleh melalui harga sewa-beli? Bukankah lebih baik untuk seseorang itu menunggu dan menyimpan wangnya demi membeli barang-barang tersebut dengan harga yang lebih murah?

Memang benar bahawa menjana pendapatan adalah sukar dan ia berpengaruh besar ke atas kehidupan seseorang, walau bagaimanapun, lebih penting dari itu adalah cara seseorang membelanjakan wangnya. Terdapat keluarga yang mempunyai pendapatan yang bagus akan tetapi sentiasa di bawah hutang orang lain. Terdapat juga keluarga yang berpendapatan rendah tetapi hidup dengan selesa. Perbezaan antara keduanya adalah cara mereka membelanjakan pendapatan mereka. Oleh itu, adalah demi kebaikan keluarga seorang lelaki itu mengawal perbelanjaannya atau mengawal selia orang yang bertanggungjawab untuk itu.

Akhir sekali, adalah diingatkan bahawa sifat bakhil adalah juga sesuatu yang tidak baik sebagaimana berbelanja secara berlebihan. Jika seseorang itu mempunyai pendapatan yang lebih, dia haruslah menjadikan keluarganya lebih selesa dan menyediakan keperluan utama mereka sebanyak yang mungkin.

Kekayaan dan wang semuanya adalah untuk berbelanja dan menyediakan keperluan-keperluan hidup, dan bukannya untuk ditimbunkan dan ditinggalkan (selepas mati).

Tanda kekayaan haruslah jelas dalam keluarga seseorang itu dan rumahnya. Apa gunanya bekerja keras dan tidak membelanjakannya?

Seseorang itu haruslah menggunakan kekayaannya untuk keselesaan keluarga dan dirinya. Adalah perkara yang dibenci untuk melihat seseorang yang mampu tetapi anak-anaknya mendahagakan pakaian dan makanan yang bagus. Anak-anak kepada seorang yang kedekut akan menunggu kematiannya untuk berkongsi kekayaannya.

Jika Allah Taala mengurniakan rezeki-Nya ke atas seseorang, rezeki ini haruslah jelas dalam kehidupan seseorang itu.

Rasulullah SAW menyatakan: “Dia bukanlah dari kami (pengikut Rasulullah SAW) yang memiliki wang tetapi menjauhkan keluarganya dari kekayaannya.”

Imam Musa ibn Ja’far menyatakan: “Ahli keluarga adalah tanggungan bagi seorang lelaki. Oleh itu sesiapa yang dianugerahkan rezeki oleh Allah, harus menyebarkan ia buat keselesaan tanggungannya, jika tidak rezeki tersebut akan diambil darinya.”

Imam Rida menyatakan: “Adalah layak bagi seorang lelaki untuk memberikan ahli keluarganya keselesaan dengan membelanjakan pendapatannya supaya mereka tidak menantikan kematiannya.”

Imam Ali menyatakan: “Aturkan buah-buahan buat tanggunganmu setiap hari Jumaat supaya mereka menjadi gembira dengan kedatangan ha
ri Jumaat90.”

2)    Ayatullah Murtadha Muttahari

Kisah Imam Ja’far dengan Kelompok Sufi

Sufyan Suri tergolong dalam kumpulan Muslim yang dipanggil sebagai Zahidi atau Sufi, yang muncul pada awal tahun 200 selepas Hijrah. Mereka menolak dunia, dan menganggap nikmat dan kelebihannya sebagai godaan-godaan untuk memalingkan manusia dari beribadah kepada Allah. Mereka menganjurkan kesederhanaan, dengan membataskan ia pada tahap asas untuk hidup.

Satu hari dia datang melawat Imam Ja’far Sadiq dan mendapati Imam berpakaian jubah putih yang anggun yang diperbuat daripada bahan yang mahal. Dia serta-merta mengkritiknya dengan berkata, “Anda tidak seharusnya berpakaian dengan jubah semewah ini. Ia bukan untuk anda menghiasi diri anda. Kesenangan dan keindahan dunia tidak seharusnya mencemarkan orang-orang alim seperti anda. Maksud saya, anda seharusnya menahan diri dari mengambil makanan yang baik dan pakaian yang bagus.”

Imam Ja’far as Sadiq tersenyum dan berkata, “Saya ingin menjelaskan sesuatu yang akan memberi manfaat kepada kamu di dunia dan di akhirat. Selain itu, jika kamu berhajat memperoleh lebih banyak ilmu mengenai Islam supaya kamu boleh menyampaikannya kepada orang lain, ia akan menjadi sangat berguna; tetapi jika tujuan kamu adalah untuk mewujudkan ketidakharmonian di kalangan Muslim, kamu akan abaikan apa sahaja yang saya katakan, sebagaimana yang dilakukan oleh semua penjaja kerosakan. Dengarkan baik-baik.

Kamu masih berpegang kepada keadaan awal Islam, Minda kamu membawakan imej kehidupan sederhana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Kamu fikir cara hidup  itu adalah wajib ke atas semua Muslim sehingga Hari Pengadilan. Sebenarnya, ia adalah sebaliknya. Nabi dan para sahabatnya yang beriman hidup pada zaman di mana umat Islam hidup dengan keperluan asas yang minimum.

Oleh itu, kehidupan mereka tidak berbeza dari kehidupan orang-orang Islam yang lain. Walau bagaimanapun, apabila sesebuah negara itu memperoleh sumber yang banyak dan mencapai nikmat-nikmat yang diciptakan untuk manusia, maka mereka yang paling dekat dengan Allah adalah lebih layak menerima nikmat tersebut daripada orang lain, orang-orang soleh dan bertaqwa lebih layak daripada orang-orang zalim dan menindas, orang-orang mukmin lebih layak daripada orang yang tidak beriman.

Kamu menganggap ia berdosa bagi saya untuk menikmati nikmat Allah. Biar saya memberitahu kamu sesuatu. Sejak saya mencapai usia kematangan, saya telah memastikan bahagian yang ditetapkan Allah untuk kaum kerabat, orang-orang miskin, orang yang memerlukan, musafir, tawanan dan sesiapa sahaja yang memiliki hak ke atas saya, sampai kepada mereka sebelum matahari tenggelam. Tidak pernah walau seketika saya mengabaikan atau menangguhkan pelaksanaan tugas-tugas saya terhadap saudaraku”.

Sufyan terkesima. Dia tidak mempunyai jawaban, maka dia bangkit dan pergi kepada para sahabatnya, dan berkongsikan perbualannya dengan Imam a.s. Mereka memutuskan untuk menyediakan hujah yang kuat terhadap Imam, dengan bukti sokongan dari Al-Quran dan as-Sunnah.

Beberapa hari kemudian, kumpulan tersebut melawat Imam dan berkata, “Sahabat kami tidak dapat mengemukakan hujahnya mengenai cara hidup sederhana dengan cara yang meyakinkan, oleh itu kami telah datang dengan persediaan untuk mengalahkan hujah anda atas dasar bukti yang tidak boleh dinafikan.”

“Kamu adalah dialu-alukan untuk membentangkan hujah kamu yang disokong bukti,” Imam menjawab.

“Bukti kami adalah berdasarkan kepada Al-Quran itu sendiri,” mereka bermula dengan yakin.

“Bukti manakah yang boleh mengatasi ayat-ayat Al-Quran. Teruskan. Saya lebih dari minat untuk mendengarnya,” beliau menjawab.

“Dua ayat Al-Quran ini adalah mencukupi untuk membuktikan hujah dan kepercayaan kami. Allah Taala telah memuji sebahagian sahabat Nabi sebagai berikut:

Walaupun kemiskinan tidak membolehkan mereka untuk memenuhi keperluan mereka sendiri, mereka mengambil kira keperluan orang lain lebih dari keperluan diri sendiri dan menolong mereka. Mereka sesungguhnya akan memperoleh kejayaan, yaitu orang-orang yang bebas dari sikap bakhil dan kikir.’

dan

Walaupun mereka sendiri kelaparan, mereka memberi makan orang miskin, anak yatim dan tawanan.’

Sebaik sahaja ketua kumpulan mereka berhenti bercakap, salah seorang daripada hadirin bersuara.

“Sepanjang yang saya faham, anda sendiri merasa ragu dan tidak pasti dengan kepercayaan anda sendiri. Anda berhajat untuk membunuh segala kepentingan peribadi dalam harta dan pemilikan seseorang, supaya orang-orang harus mengagihkan segala kepunyaan mereka kepada para pengemis seperti anda, sementara anda hidup dengan rezeki hasil titik peluh mereka. Lagipun, saya tidak pernah melihat anda mengamalkan apa yang anda nasihatkan. Anda tidak pernah menahan diri dari mengambil makanan yang baik untuk diri anda tetapi mahu menghalang orang Islam lain dari nikmat itu.”

Imam mendiamkan para sahabatnya dengan berkata, ‘Ledakan kata seperti itu tidak akan mencapai apa-apa,’

Beliau kemudian menghadap para Sufi dan bertanya, ‘Kamu memetik ayat Al-Quran, tetapi adakah kamu tahu mana satu ayat yang telah dimansuhkan dan mana satu ayat yang diwahyukan untuk menggantikan ayat tersebut; mana satu ayat yang jelas dan mana satu yang tidak jelas? Ramai orang di kalangan ummah disesatkan kerana kurangnya pengetahuan tentang Al-Quran.’

‘Kami harus akui bahawa kami ada dimaklumkan sedikit, tetapi sudah tentu tidak mencukupi.’

“Masalah kamu oleh itu, adalah sama seperti orang-orang lain yang menyimpang. Kamu juga perlu mempunyai tingkat pengetahuan yang sama tentang Hadis-Hadis, sebelum mewujudkan satu set kepercayaan yang memisahkan kamu dari mereka yang tahu tentang itu semua. Mari kita bincangkan dua ayat yang kamu telah petik. Dalam kedua-duanya,  Yang Maha Kuasa tidak mengisytiharkan bahawa menikmati rahmat pemberiannya-Nya sebagai sesuatu yang dilarang (haram).

(Di dalam ayat tersebut) Dia memuliakan sifat rendah diri, kemurahan hati, dan pengorbanan diri. Dia memuji orang-orang tersebut yang, pada masa-masa tertentu mengutamakan keperluan orang lain lebih daripada diri mereka sendiri, dan mereka tidak menggunakan pendapatan sah mereka untuk diri sendiri sebaliknya menawarkan ia kepada orang lain yang memerlukan. Mereka tidak dikira berdosa jika mereka tidak berbuat sedemikian, kerana Yang Maha Kuasa tidak memerintahkan mereka untuk berbuat begitu, dan tidak juga menghalang mereka dari melakukannya. Sekaligus menyempurnakan jiwa besar dan kemurahan hati, mereka memberikan apa yang mereka perlukan dan menderita kesusahan diri. Ganjaran buat mereka pastinya ada di sisi Allah Taala.

Ayat-ayat yang kamu petik tidak membuktikan hujah kamu, kerana kamu mengecam orang-orang yang menggunakan wang hasil titik peluh mereka untuk menikmati kurniaan Allah SWT, yang mana Al-Quran tidak membenarkan kamu dalam melakukannya.

(Tindakan) orang-orang soleh itu menggambarkan contoh kemuncak kemurahan hati dan berbuat kebajikan, tetapi tidak lama dari itu Allah SWT menurunkan peraturan-peraturan yang menentukan setakat manakah berbelanja untuk orang lain. Peraturan baru ini menjadi wajib ke atas semua orang Islam, sekaligus memansuhkan contoh awal tadi. Allah SWT mengehadkan orang-orang mukmin daripada mengagihkan pendapatan mereka kepada orang lain tanpa memenuhi (terlebih dahulu) keperluan ahli keluarga mereka sendiri, kerana yang lemah, yang tua, anak-anak dalam keluarga menghadapi kesukaran untuk menanggung kepayahan yang dipaksakan ke atas mereka.

Sebagai contoh, saya mempunyai sebuku roti. Saya menyedekahkan kesemuanya. Keluarga saya kelaparan, sedangkan, menyediakan makanan untuk mereka adalah satu kewajiban ke atas saya. Sebahagian mereka mungkin jatuh sakit bahkan meninggal. Rasulullah SAW dengan jelas menyatakan peraturan-peraturan dalam memberi sedekah, yaitu:

Jika seseorang mempunyai beberapa keping roti, kurma, atau wang, yang ingin dia agihkan, dia haruslah terlebih dahulu berkongsikannya dengan ibu bapanya, kemudian isterinya, anak-anaknya dan dirinya, kemudian saudara-mara yang mempunyai pertalian darah dengannya mengikut tertib menurun, dan kemudian, di tempat keempat, orang-orang lain sebagai sedekah.’

Maka sedekah berada paling akhir antara kesemuanya. Apabila Nabi SAW mendengar seorang penduduk Madinah mengagihkan segala hartanya sebagai sedekah sebelum meninggal dunia, dengan tidak meninggalkan apa-apa buat keluarganya sendiri, sehingga mereka terpaksa mengemis untuk terus hidup, baginda berasa sangat tidak senang sekali. Baginda berkata, baginda tidak akan membenarkan dia dikebumikan di tanah perkebumian orang Islam seandainya baginda tahu perkara ini.

Ayahanda saya Imam Muhammad al-Baqir membacakan kepada saya sabda Rasulullah SAW seperti berikut:

Letakkan anak-anakmu di tempat pertama dalam senarai berbelanja. Disusuli dengan  mereka-mereka yang seterusnya dalam pertalian darah.’

Al-Quran menyatakan:
        
Orang-orang yang soleh dan bertaqwa adalah mereka yang tidak kikir dan bakhil, dan tidak terlalu bermurah hati dan boros dalam bersedekah, tetapi sentiasa sederhana dan seimbang.”

Setiap kali Allah SWT mengecam sifat bakhil, Dia juga mengecam sikap berlebih-lebihan dalam amalan bersedekah. Bersederhana adalah peraturannya. Adalah tidak wajar untuk mengagihkan kesemua kekayaan seseorang itu sebagai sedekah dan kemudian berdoa kepada Allah untuk memberi rezeki. Ingat, Tuhan tidak menerima doa dari orang-orang seperti itu. Rasulullah SAW mengkelaskan orang-orang yang mana doa mereka tidak diterima. Mereka adalah:


1)     Orang-orang yang mengharapkan perkara buruk buat ibu bapanya

2)     Orang-orang yang meminjamkan duit kepada orang lain tanpa saksi atau perjanjian bertulis/surat perakuan, dengan itu dengan sengaja membahayakan hak-hak mereka.

3)     Orang-orang yang berdoa agar diselamatkan dari isteri-isteri mereka, melepaskan hak perceraian yang ada pada mereka, atau bersikap takut dan tidak menggunakan hak mereka.

4)     Orang-orang yang duduk bermalasan di rumah dan berdoa untuk diberikan rezeki, menggambarkan sikap tamak dan jahil; dianugerahkan dengan kapasiti untuk bergerak dan menjadi aktif oleh Tuhan mereka; diberikan anggota tubuh dan otot-otot yang kuat, tangan, kaki, mata, telinga dan aqal, untuk melihat, mendengar, berfikir, dan mencipta kaedah untuk memanfaatkan kurnian-kurniaan ini bagi mencari rezeki.

Tujuan organ-organ ini diciptakan adalah supaya manusia harus bekerja keras dan memanfaatkan ia untuk mencapai apa sahaja yang diperlukan untuk memelihara kehidupan; untuk kemajuan; dan untuk mentaati perintah-perintah Ilahi sebagai sebuah tanda kesyukuran, dan bukannya menjadi beban kepada orang lain. Jika manusia berusaha gigih dan mencuba seperti yang diperintahkan, maka pasti diikuti rezeki. Jika dia mencuba dan tidak berjaya, dia tetap memperoleh kepuasan bahawa dia telah melaksanakan tanggungjawabnya. Dia tidak akan merasa bersalah jika dia mencuba tetapi ditakdirkan tidak berjaya.

Orang-orang yang dikurniakan kekayaan yang banyak tetapi membazirkannya melalui kedermawanan yang banyak, dan kemudian berdoa untuk mendapat lagi rezeki, Allah SWT memberi respon kepada orang-orang seperti itu dengan bertanyakan mereka:

·         Mengapa kamu tidak besederhana?

·         Bukankah aku telah memerintahkan agar besederhana dalam kedermawanan?

·         Bukankah aku telah memberimu amaran dari berlebihan dalam sedekah?

5)     Doa orang-orang yang melibatkan kezaliman terhadap seseorang. (juga tidak diterima)

Allah SWT telah menjelaskan batas kedermawanan dan bersedekah, terutamanya selepas satu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Ada suatu masa di mana Nabi SAW mempunyai beberapa keping syiling emas, yang mana baginda berhajat mahu menyedekahkannya. Baginda tidak mahu menyimpannya semalaman. Sepanjang siang baginda mengagihkan syiling-syiling tersebut sehingga tiada yang tersisa. Esok paginya, seorang miskin berdiri di depan pintunya meminta sedekah, meminta bantuan. Baginda tidak memiliki apa-apa untuk diberikan kepada orang miskin itu. Ayat 29 Surah Isra’ turun sebagaimana berikut:

Dan janganlah engkau menutup telapak tanganmu seketatnya, dan janganlah pula engkau membukanya sebegitu luas sehingga tiada yang tersisa untuk diberikan kepada peminta sedekah, menjadikan engkau merasa malu dan sesal,’

Hadis-hadis dari Rasulullah SAW menyokong peraturan yang dinyatakan Al-Quran. Mereka yang percaya pada Al-Quran juga percaya pada Hadis.

Salman Al-Farisi dan Abu Dzar adalah dua orang mukmin yang soleh dan taqwa yang kamu semua telah dengar tentang mereka. Cara hidup mereka adalah seperti yang telah dijelaskan di atas.

Salman Al-Farisi selalu menyisihkan sejumlah wang yang akan meliputi perbelanjaan tahunannya, demi mengelakkan sebarang kesulitan sebaik sahaja beliau menerima pendapatan tahunannya daripada Bait ul Maal. Orang ramai mempersoalkan tindakan beliau ini, dengan berkata, “Anda adalah seorang yang begitu alim, akan tetapi anda menyiapkan bekalan untuk diri anda selama setahun. Andai kata anda mati dalam tempoh seminggu, apa kebaikan bekalan itu kepada anda?”

‘Mungkin juga saya tidak mati. Mengapa anda mengandaikan saya akan mati dan tidak mengandaikan bahawa saya mungkin hidup  buat sepanjang tahun? Jika saya masih hidup setahun ini, saya akan memerlukan segala keperluan kehidupan. Anda tidak sedar bahawa seseorang yang mengalami masalah kewangan tidak mampu beribadah atau mentaati Tuhannya secara tenang dan mudah sebagaimana seseorang yang mana keperluannya telah terjaga,’ adalah jawaban bijak beliau.

Di satu sisi lain, Abu Dzar mempunyai beberapa ekor unta, dan beberapa kawanan biri-biri. Dia hidup dengan susu kambing betina dan menyembelih seekor kambing untuk memenuhi keinginannya kepada daging, memberi makan tetamunya, atau memenuhi keperluan seseorang. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa menyimpan bahagiannya semasa mengagihkan daging.

Bolehkah kamu menamakan sesiapa yang lebih alim dari mereka? Kamu semua telah membaca bagaimana Nabi SAW memuji tingkat iman dan taqwa mereka. Orang-orang ini tidak pernah mengabaikan keperluan mereka sendiri atas nama ketaqwaan dan ketaatan. Hari ini, kalian menyeru kepada satu cara hidup yang mengetepikan keperluan keluarga, keperluan diri, memisahkan diri dari dunia, dan mengagihkan semua harta sebagai sedekah. Tiada sahabat mulia Nabi yang mengamalkan cara hidup begini. Saya serius memberi amaran kepada kamu dengan sebuah hadis yang disebut oleh ayahanda dan nenek moyang saya tentang apa yang disabdakan Rasulullah SAW:

Seorang Mukmin yang beriman merupakan gabungan kepada sifat-sifat aneh (yang terpuji). Sama ada tubuhnya dipotong-potong, atau semua negara di timur dan di barat menjadi miliknya dia tetap orang yang sama; bersyukur dan taat kepada Allah Taala, kerana, kedua-dua keadaan itu – kesusahan dan kemakmuran – adalah sama-sama baik dan mulia baginya.’

Adakah kamu fikir kesukaran adalah keadaan ter-utama bagi seorang Mukmin untuk menggambarkan kebaikan dan kemuliaan dirinya? Kamu telah tersilap. Nilai seorang Mukmin bergantung kepada jiwanya, agamanya dan imannya. Sama ada kesukaran atau kemakmuran, dia sepenuhnya sedar akan tanggungjawab dan tugas-tugasnya, dan dia melaksanakannya dengan sempurna. Sebab itulah keadaan luaran tidak menentukan kemuliaannya; sebaliknya akhlak dan tingkah lakunya yang sempurna rapi dalam keadaan senang dan selesa, susah derita, yang menentukan (kemuliaannya).

Saya ingin tahu sama ada perkataan saya sehingga kini telah memuaskan kamu atau tidak. Adakah kamu masih perlukan penjelasan lanjut tentang topik ini?”

Mereka tidak tahu untuk berkata apa lagi.

Imam merasakan mereka memerlukan bimbingan lagi, maka beliau meneruskan, “Biar saya jelaskan dari satu lagi sudut. Pada zaman awal Islam, setiap orang Islam perlu bertempur dengan 10 orang kafir. Jika dia gagal melakukannya, dia dikira berdosa, ingkar,  dan bersalah kerana mengabaikan tugas. Apabila jumlah umat Islam bertambah, Allah Taala dengan belas kasih-Nya merubah peraturan tersebut, dan seorang Muslim hanya perlu bertempur dengan dua orang kafir sahaja.

Satu lagi perspektif lain adalah sistem keadilan Islam. Saya ingin bertanya kepada kalian apakah undang-undang Islam yang telah ditetapkan bagi memastikan keadilan untuk yang ditindas dan hukuman bagi penjenayah?

Kita andaikan terdapat satu dakwaan dikemukakan terhadap kamu, di mahkamah, oleh isterimu. Mengadu tentang pengabaian dalam menyediakan keperluan asas kehidupan. Hakim memerintahkan agar kamu menunaikan keperluan-keperluan sah isterimu. Bagaimanakah kamu akan bertindak balas terhadap keputusan itu, dan bagaimana kamu akan membayar perbelanjaan isterimu? Adakah kamu akan mengisytiharkan bahawa kamu telah melepaskan dirimu dari pekerjaan duniawi yang bermanfaat dan menghabiskan masamu dengan beribadah kepada Tuhan?

Adakah alasan kamu itu dikira sah dan munasabah? Adakah keputusan hakim itu adil dan saksama, atau sebaliknya? Jika kamu mengisytiharkan keputusan itu sebagai tidak adil, maka kamu akan secara terbuka menafikan kebenaran, selain dari memperdayakan seluruh umat dengan kemunafikan kamu. Jika kamu bersetuju bahawa keputusan tersebut adalah adil, maka alasan kamu akan menjadi tidak sah. Ini benar-benar membuktikan kesalahan sistem kepercayaan kamu, membuktikan ia tidak rasional, tidak  masuk aqal dan tidak boleh dipraktikkan.

Sekarang mari kita lihat perbelanjaan wajib dan tidak wajib, yang mana, sebagai seorang Islam, seseorang itu terikat dalam menunaikannya. Sebagai contoh, ada masanya Zakat perlu ditunaikan, dan pada masa lain denda bagi beberapa perbuatan salah dikenakan. Jika seluruh umat mengamalkan cara hidup kamu yang zuhud yang menafikan keperluan diri, apakah yang akan terjadi pada sistem kewangan asas ini? Zakat adalah wajib ke atas emas, perak, biri-biri, unta, lembu dan haiwan peliharaan lainnya, kurma, kismis dan yang sejenis dengannya. Apa yang akan berlaku pada dana Zakat?  Bukankah ia telah ditetapkan sebagai kewajiban bagi membantu kehidupan orang-orang miskin dan memerlukan, dan pemilik bagi memperoleh manfaat dari berkah kehidupan?

Tujuan undang-undang ini adalah untuk memberi motivasi kepada manusia agar mencapai sebanyak mana yang dia mampu berdasarkan potensinya dan menikmati manfaat dari kurniaan-kurniaan tersebut. Jika tujuan agama adalah untuk menafikan nikmat-nikmat kehidupan, dan menjalani sebuah kehidupan yang menjurus ke arah kemiskinan, maka pastinya orang-orang miskin telah mencapai tingkat kesempurnaan seperti yang dikehendaki Pencipta. Oleh itu, seharusnya tiada siapa yang menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka, mereka harus dibiarkan bersendirian dalam keadaan itu supaya mereka tidak jatuh dari tingkat kesempurnaan. Di satu sisi lain, orang-orang miskin juga seharusnya menafikan segala bentuk bantuan, kerana mereka tidak mahu kehilangan makam kesempurnaan itu.

Apa yang kamu sarankan adalah sesiapa yang memiliki harta seharusnya menyedekahkan kesemuanya, mengagihkannya kepada orang lain, justeru membatalkan Zakat, yakni undang-undang Ilahi yang mengagihkan kekayaan.

Biar saya memberi amaran kepada kamu, bahawa kamu sedang melangkah di jalan yang sangat merbahaya dan menyimpang akibat dari kejahilan diri, tidak membiasakan diri dengan kajian-kajian Al-Quran, dan ketidaksedaran terhadap Sunnah dan Hadis Rasulullah SAW. Selain daripada ini, kalian menafikan kesahihan hadis-hadis tersebut, yang tidak menyokong, mencadang atau menggalakkan sebaliknya menolak cara hidup kalian, walaupun pada hakikatnya, Al-Quran menyokong saranan-saranan dalam hadis-hadis ini.

Kamu enggan menyerah dalam memperjuangkan agama versi ciptaan kamu ini, yang mana kamu dengan jahilnya mengamalkannya, sebuah cara hidup yang menyimpang, yang mana tidak ada kena-mengenanya dengan Islam. Selain itu, kamu memaksa orang lain untuk mengamalkannya! Kamu, sedihnya, tidak dapat membezakan antara ayat yang dimansuhkan dan ayat yang ditetapkan; yang jelas dan yang samar; yang wajib dan yang dilarang, tidak juga dapat menguraikan perbezaan halus dan aspek-aspek istimewa yang tersembunyi di dalamnya, namun dengan bangganya menerbitkan sebuah pandangan kehidupan berdasarkan Al-Quran.

Biar saya tanyakan padamu mengenai doa Sulaiman bin Daud. Di dalam Al-Quran, ia berbunyi seperti berikut:

Wahai Penciptaku! Kurniakan aku sebuah kerajaan, yang sepertinya tidak akan dimiliki oleh yang lain’

Allah telah memberikan beliau sebuah kerajaan semacam itu. Tidak syak lagi bahawa seorang nabi tidak boleh berdoa atau meminta apa-apa yang tidak betul atau tidak baik. Baik Al-Quran, mahupun mana-mana mukmin, tiada yang mengisytiharkan bahawa keinginan ini adalah keinginan yang jahat, tiada juga yang mempersoalkan sebab di sebalik keinginan untuk mendapatkan kerajaan yang sebegitu besar, yang tidak terbanding kehebatan dan keagungannya. Sama seperti kes bapanya, Daud.

Begitu juga, sebelum beliau, datangnya Yusuf. Yusuf secara rasminya membuat permintaan dari raja yang memerintah, ‘Jadikanlah aku Menteri Perbendaharaan Negeri, kerana aku seorang yang jujur dan boleh dipercayai.’ Secara beransur-ansur, beliau menjadi Pentadbir kepada seluruh kerajaan, dari Mesir hingga ke Yemen. Kebuluran telah melanda teruk kawasan-kawasan di sekitarnya. Kafilah orang ramai akan datang untuk membeli bijirin dari mereka dan pulang semula ke rumah. Tidak ada walau satu insiden pun yang menunjukkan Yusuf pernah melakukan apa-apa kesalahan. Beliau menunaikan tugasannya dengan penuh amanah dan telus.

Al-Quran juga menyebut kisah Zulqarnain. Beliau mencintai Allah dan dicintai oleh-Nya, oleh itu Dia mengurniakan beliau segala ilmu pengetahuan yang diperlukan dan kekuasaan dalam sekelip mata dan menjadikan beliau pemerintah bagi semua negara di timur dan barat Bumi.

Saudara sekalian!

·         Berhentilah dari cara hidup yang berbahaya dan menyimpang ini, dan amalkanlah prinsip-prinsip Islam yang betul.

·         Terimalah apa sahaja yang diisytiharkan Allah tentang apa yang ‘boleh’, dan yang ‘tidak boleh’, dan berhentilah dari membuat peraturan-peraturan kamu sendiri.

·         Jangan masuk campur dalam urusan-urusan yang kamu tidak fahami.

·         Belajarlah dari mereka yang tahu.

·         Berusaha gigihlah dalam mendapatkan ilmu tentang ayat-ayat yang dimansuhkan dan yang ditetapkan, yang jelas dan yang samar, apa yang wajib dan apa yang dilarang. Bukan sahaja kamu akan mendapati ilmu ini bermanfaat, bahkan ia akan membebaskan kamu dari kejahilan dan penyimpangan ini.

·         Jauhilah diri kamu dari kejahilan, kerana ia selalu bersama dengan majoriti.

Sayangnya, hanya sedikit sahaja yang menggunakan aqal dan mencari kebijaksanaan. Allah Taala menyatakan di dalam Al-Quran:

Hikmah adalah jauh, jauh lebih unggul dari mana-mana orang yang dikira bijaksana.91” 


Sumber:-

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.