Persekitaran
positif di sini merujuk kepada suasana dalam keluarga yang membawa kesan
positif kepada pertumbuhan jiwa dan psikologi anak-anak. Memelihara
persekitaran positif dalam keluarga adalah suatu usaha yang harus dilaksanakan
secara berterusan di mana ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam perkara
ini.
1.Menjauhi pertengkaran suami isteri
Untuk
memiliki psikologi yang sihat dan seimbang, anak-anak memerlukan suasana yang
tenang dan harmoni. Terutamanya hubungan antara kedua ibu bapanya. Kerana itu
kita dinasihatkan agar jika terjadinya perbezaan pandangan antara pasangan,
maka haruslah tidak menjurus kepada pertengkaran terutama di hadapan anak-anak.
Anak-anak yang menyaksikan hubungan tidak harmoni antara ibu bapa akan merasa
selalu bimbang, tidak selamat, dan tidak aman dalam dirinya. Anak-anak akan
semakin terhakis rasa hormat dan sayangnya kepada ibu bapa dan berkemungkinan
meniru sikap negatif yang ditonjolkan kepada mereka. Ada juga di kalangan
mereka yang akan mengalami trauma berpanjangan sehingga takut untuk berumah
tangga.
2.Membina hubungan komunikasi yang baik
Hubungan
komunikasi di antara ahli keluarga dikatakan dalam keadaan baik dan harmoni
apabila wujudnya persefahaman sesama mereka. Salah faham sering terjadi apabila
kurangnya komunikasi di antara satu pihak dengan pihak yang lain. Antara suami
dengan isteri, dan ibu bapa dengan anak-anak. Di sini kita menggalakkan konsep
musyawarah di mana bapa memainkan peranan dalam menyemai konsep ini supaya
menjadi kebiasaan dalam keluarga. Jika mahu keluar misalnya harus diberitahu
destinasi dengan jelas, peranan dan tanggungjawab masing-masing, pukul berapa
bertolak, barang apa yang perlu dibawa dan lain-lain. Hal ini kelihatan remeh
namun inilah yang boleh mengundang salah faham dan bermasam muka sesama ahli
keluarga.
3.Menggalakkan minat/hobi/aktiviti yang bermanfaat
Minat
atau hobi yang bermanfaat wajar ditanam dalam diri anak. Dan pasti sekali ibu
bapa sekali lagi harus menunjukkan contoh yang baik. Tidak mungkin kita
mengajak anak-anak melakukan sesuatu yang bermanfaat andai diri sendiri gagal
untuk melakukan hal tersebut. Aktiviti yang bermanfaat akan mewujudkan hubungan
kerjasama yang baik, mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan mewujudkan
suasana ceria dan mesra. Apakah contoh minat/hobi/aktiviti yang bermanfaat?
Antaranya bergotong-royong, beriadah bersama-sama, bermain badminton,
mengunjungi rumah sanak saudara, rumah anak-anak yatim, aktiviti menanam pokok,
memasak, memancing, berenang serta kemahiran-kemahiran ‘survival’ lain yang
berguna buat kehidupan anak-anak pada masa hadapan.
i) Minat Membaca
"Anak-anak
perlu diajar tentang kemudaratan membuang masa, kerosakan-kerosakan menggunakan
masa lapang secara sia-sia dan tidak bermanfaat. Mereka harus digalakkan untuk
memanfaatkan masa lapang dan memiliki hobi-hobi yang berguna. Minat mereka dalam
pelbagai bidang harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Ini termasuk potensi mereka
dalam bidang agama seperti Tilawah (membaca) Al-Quran, menghafal Al-Quran,
belajar bahasa Arab, kajian dalam subjek agama dan lain-lain. Tabiat yang
dipelajari di zaman kanak-kanak kekal untuk jangka masa yang panjang. Jika
seorang kanak-kanak biasa dengan tabiat membaca di masa lapangnya, maka ini
mungkin akan menjadi tabiatnya seumur hidup. Tetapi kanak-kanak yang belajar
untuk menghidupkan televisyen, dan hanya menonton televisyen sebagai hiburan
dan untuk bersantai, maka dia akan melakukan pekara yang sama apabila
dewasa."
“Buku
yang baik adalah guru buat anak-anak”
Minat
membaca bukan sahaja harus ditanam dalam diri anak-anak. Bahkan dalam diri kita
sendiri. Kerana hanya dengan membaca kita beroleh pemahaman, yang memadamkan
gelap kejahilan dalam diri. Imam Ali ada menyampai pesan: “Musuh terburuk
adalah kejahilan diri”. Antara bahan-bahan bacaan yang bermanfaat :
1)
Al-Quran - Tafsirnya
2)
Nahjul Balaghah (surat, khutbah, pesanan Imam Ali)
3)
Biografi/sejarah setiap Maksumeen
4)
Ucapan-ucapan Wilayatul Fakih mengenai politik, akhlak, wanita, dan lain-lain
Semoga
Allah membantu kita semua menjadi hamba-hamba-Nya yang berilmu, bijaksana,
bertaqwa dan berakhlak mulia, InshaAllah.
Imam Ali
as berkata:
"Buku
adalah taman-taman bagi orang berilmu"
Rasulullah
SAW bersabda :
"Menuntut
ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim. Orang ramai harus tahu bahawa Allah
mencintai mereka yang menuntut ilmu"
Imam
Ja’far as berkata:
"Seorang
Muslim itu mempunyai tiga ciri: 1) ilmu yang mendalam mengenai agama,
2)
pengurusan masa yang berkesan, dan 3) tabah dalam menghadapi ujian”
Imam
Baqir as berkata :"Jika saya dibawakan seorang pemuda syiah yang tidak
tekun dalam mempelajari (ilmu-ilmu agama), maka saya akan
mendisiplinkannya,"
Rasulullah
(s.’a.w) telah bersabda;
"Sesiapa
yang mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu maka Allah akan memimpinnya
mengikuti jalan ke syurga, sesungguhnya Malaikat akan melabuhkan sayap-sayapnya
ke atas penuntut ilmu sebagai tanda meredhainya. Sesiapa sahaja yang berada di
langit dan di bumi akan berdua agar Allah SWT mengampunkan penuntut ilmu
termasuklah ikan paus yang berada di laut.
Kelebihan
orang yang menuntut ilmu di kalangan hamba Allah adalah seperti kelebihan bulan
dari kalangan semua bintang-bintang di malam purnama,"
i) Kemahiran ‘Survival’
Kemahiran
survival merujuk kepada kemahiran yang boleh membantu kita untuk meneruskan
kehidupan, meraih pendapatan, mempertahankan maruah, nyawa dan membina ekonomi
diri & keluarga yang stabil.
Kemahiran Memasak – Kemahiran ini selalu ditekankan
buat anak perempuan sahaja. Namun hakikatnya kemahiran ini memberi manfaat
kepada keduanya anak lelaki dan perempuan terutama apabila mereka sudah keluar
meninggalkan ibu bapa dan perlu hidup berdikari.
*Anak-anak
lelaki harus diajar bahawa pekerjaan rumah seperti memasak dan mencuci bukanlah
pekerjaan wajib bagi wanita agar dewasa kelak mereka tidak melayan isteri
mereka seperti hamba serta belajar menghargai, menghormati bahkan membantu
isterinya. (Jauhi ‘asshobiyah’ jantina)
Kemahiran Pertanian – Ini meliputi
bidang-bidang seperti penternakan dan tanaman di mana hasilnya bukan sahaja
boleh diambil oleh diri dan keluarga, bahkan boleh dijual untuk menjana
pendapatan keluarga. Ditekankan buat anak-anak lelaki agar membolehkan mereka
menyara hidup diri dan keluarga kelak. Ekonomi negara turut
bergantung kepada penghasilan dalam negara khususnya bidang pertanian ini, agar
tidak perlu bergantung pada barangan import.
Kemahiran Mempertahankan Diri –
Sangat bermanfaat terutama bagi anak perempuan bagi melindungi dirinya dalam
berhadapan dengan pelbagai kemungkinan bahaya. Taekwando, silat, tai chi, dan
lain-lain.
Kemahiran Berenang – Kemahiran yang
boleh membantu dalam keadaan kecemasan. Juga merupakan satu bentuk senaman yang
baik untuk kesihatan tubuh.
Kemahiran Memancing – Juga antara
kemahiran ‘survival’ yang bermanfaat.
4.Menghidupkan suasana Islamik
Suasana
Islamik merujuk kepada suasana yang selari dengan nilai-nilai Islam. Misalnya:-
- mengamalkan gaya hidup sihat
(seperti senaman)
- pemakanan yang sihat,
- menjaga kebersihan dalam dan luar
rumah,
- menyediakan bahan bacaan yang
sihat dan bermanfaat buat anak-anak,
- begitu juga rancangan televisyen
yang tidak merosakkan moral anak.
Jauhi
dari membuka lagu-lagu yang melalaikan atau musik yang berisiko merosakkan jiwa
ahli keluarga. Sebaliknya hidupkan suasana rumah dengan ayat-ayat
Al-Quran, melaksanakan solat berjemaah di awal waktu, melakukan
tazkirah 5-10 minit dan lain-lain.
InshaAllah
ibu bapa boleh melaksanakan ini semua dengan kasih sayang dan kelembutan yang
menarik minat anak-anak untuk turut serta dan sama-sama memelihara suasana
positif ini.
i) Info: Merokok
a) Merokok boleh menyebabkan buta
Penyelidikan di serata dunia telah mengenal pasti merokok
merupakan faktor yang menyumbang kepada berlakunya penyakit katarak.
Mereka yang kuat merokok dan telah merokok untuk tempoh yang lama
dikatakan lebih berisiko menjadi buta akibat penyakit katarak.
b) Merokok boleh menyebabkan kanser
Nikotin mungkin menyebabkan perokok merasa tenang namun tar
mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dengan 60 daripadanya bersifat karsinogen
iaitu pencetus kanser. Kajian saintifik menunjukkan terdapat begitu banyak
bahan kimia berbahaya terkandung di dalam rokok.
c) Merokok menjejaskan kehidupan
sosial
Karbon monoksida pula sejenis gas berbahaya yang jika disedut
dengan banyak boleh mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke
tisu-tisu dan menyebabkan sukar bernafas dan cepat letih.
d) Merokok menjejaskan kehidupan seksual, emosi dan
psikologi
Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut
memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi.
Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya,
Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan
emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.
e) Merokok boleh menyebabkan mandul, bayi cacat
"Mereka juga mudah mendapat penyakit berkaitan saluran
pernafasan, strok, osteoporosis, jantung dan mandul," Bagi perokok wanita
pula, mereka mungkin mengalami putus haid awal, melahirkan bayi cacat,
keguguran, bronkitis, batuk, ulser peptik, otot lemah, penyakit gusi dan
kerosakan mata.
f) Merokok memudaratkan orang sekeliling
“Menurut Dr. Selvaraju, perokok pasif atau mereka yang dikelilingi
perokok aktif terdedah kepada risiko kanser paru-paru dan penyakit jantung,
masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis, sakit atau pedih
mata, bersin dan batuk-batuk, sakit kerongkong dan sakit kepala84.”
i) Info: Musik
a) Imam Ali Khamenei,
"Jika
pendengar berpandangan bahawa musik yang didengar itu bukan lahwi musik atau
ghina, maka tidak ada masalah untuk mendengar lagu-lagu itu31, "
*Lahwi
music - musik yang boleh menyebabkan manusia itu jauh dari Allah, jauh dari
moraliti yang baik, dan menyebabkan seseorang itu condong pada dosa.
*ghina -
suara/nyanyian yang sesuai untuk perhimpunan lahw/yang melalaikan
Oleh itu
jika seseorang itu berpendapat bahawa sesuatu musik itu tidak mengandungi unsur
lahwi/ghina, maka tiada bantahan untuk mendengar musik seperti itu.
Nota:
Maka dapat kita lihat bahawa penilaian terhadap sesuatu musik itu bergantung
kepada individu. Jika musik itu melalaikan, maka seharusnya dijauhkan. Harus
lebih berhati-hati jika musik itu mempunyai kesan ke atas emosi kita (dimana ia
menjadikan kita condong ke arah negatif, ke arah perlakuan dosa, serta
melalaikan). Dari sudut pandangan saintifik, sesungguhnya musik itu memiliki
impak ke atas saraf kita sekaligus memberi kesan pada emosi, mentaliti kita
juga.
b) Sheikh Mansour Leghaei
Soalan:
Adakah
nashid Islam dikira Haram? Bagaimana dengan Sami Yusuf dan Maher Zain sebagai
contohnya, yang mana lagu mereka adalah berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW dan
Allah SWT
Jawaban:
Alatan
musik yang digunakan dalam keramaian dosa (seperti kelab malam atau
tempat-tempat di mana orang berkumpul melakukan dosa) adalah haram. Alatan yang
digunakan untuk tujuan selain dari keramaian dosa, adalah dibenarkan untuk
digunakan. Oleh itu, nashid Islam yang tidak menggunakan alatan musik tersebut
boleh didengari dengan syarat liriknya bebas dari elemen yang tidak sepatutnya.
Juga
adalah penting untuk diingati bahawa lelaki tidak boleh mendengar nyanyian
wanita, walaupun lirik dan alatan musiknya tidak bermasalah. Secara umumnya,
walaupun sebahagian musik adalah dibenarkan untuk didengari, namun sentiasa ada
ruang bagi kita mengambil langkah hati-hati dengan tidak mendengar musik.85
5.Saling Menghormati
Hubungan
antara ahli keluarga tidak akan terjalin mesra tanpa sikap saling menghormati.
Jika wujudnya sikap saling menghormati antara suami isteri maka setiap dari
mereka akan berusaha menjaga hati pasangan dan menjauhi dari mengeluarkan
kata-kata tajam atau menaikkan suara. Setiap dari mereka juga akan berusaha
menjaga budi bicara, menjauhi sikap angkuh, memerintah sana sini atau melayan
orang lain dengan kasar. Begitu juga jika sikap saling menghormati wujud antara
anak sulung dengan adik-adik, maka tidak akan timbul sikap negatif seperti suka
memerintah, menyakiti hati adik, atau bertindak kasar sesama mereka. Sebaliknya
sikap menghormati menjadikan kita saling menjaga adab, saling menjaga hati dan
perasaan, saling ingin berbuat kebaikan dan menjauhi sikap angkuh. Aspek ini
adalah sangat penting dalam mencipta suasana harmoni antara ahli keluarga.
Suasana yang penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang..
Ibu bapa
harus menunjukkan contoh yang baik dalam hal ini. Jangan sampai adik merasa
dibuli oleh anak sulung, atau ada anak-anak yang terasa diketepi disisihkan
kerana jantinanya perempuan. Anak lelaki dan anak perempuan harus menerima
penghormatan yang sama dari ibu bapa, tidak boleh salah satunya dilayan seperti
raja/puteri dan salah satunya dilayan seperti hamba, asyik diperintah melakukan
itu dan ini ketika yang lain hanya ‘relax’ tanpa berbuat apa-apa.
Seandainya
anak merasakan diri mereka tidak dihormati, maka mereka akan merasa rendah
diri, ada yang cenderung untuk melahirkan rasa kecewa mereka dengan marah-marah
dan memberontak. Ada yang cuba menarik perhatian keluarga dengan melakukan
tindakan-tindakan yang tidak disenangi ibu bapa. Rasa cemburu, rasa rendah diri
pastinya boleh menjejaskan pertumbuhan psikologi dan emosi anak-anak kita.
Semoga
Allah membantu kita untuk menyemai sikap saling menghormati dalam diri,
pasangan dan ahli keluarga kita. InshaAllah.
Perkongsian
Lanjut Pengalaman Ibu Bapa :-
Perkongsian
Lanjut Anak Hyperaktif, Autisme, Masalah Psikologi :-
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.