d) Sayyid Moustafa Qazwini
Fatma: Anda menyatakan
sebelum ini bahawa wanita memiliki pilihan berkaitan dengan beberapa garis
panduan yang disarankan. Adakah anda bermaksud bahawa hak-hak tersebut adalah
berbentuk pilihan? (hak-hak seperti mendapat nafkah dll)
Sayyid :
Ketika membuat kontrak perkahwinan, hak-hak yang disebutkan sebentar tadi
adalah secara automatik bermula. Pasangan tidak semestinya perlu menyemak
setiap hak-hak tersebut dan bersetuju; (kerana) ia sudah tetap sebagai sebuah
platform untuk melindungi hak-hak mereka dalam perkahwinan atau menguatkuasakan
hak-hak tersebut. Namun, yang menariknya, jika satu dari kedua pihak memilih
untuk mengubah suai atau melepaskan hak perkahwinan tertentu, atas persetujuan
pihak satu lagi dan tidak melanggar undang-undang Islam (Shariah), maka mereka
boleh berbuat sedemikian.
Fatma :
Andaian saya adalah undang-undang Al-Quran sentiasa mengatasi perubahan atau
pengubah suaian yang dilakukan oleh mana-mana orang.
Sayyid :
Benar, undang-undang Al-Quran tidak sesekali boleh diubah suai atau
diketepikan; namun, hak-hak boleh. Dalam Islam, terdapat dua peraturan prosedur
dan perilaku yang berbeza. Satu dipanggil sebagai Huqum dan
satu lagi dipanggil Haqq.
Fatma :
Boleh anda jelaskan Huqum dan Haqq?
Sayyid : Huqum adalah sebuah keputusan – perintah Ilahi, satu
perintah, yang ditetapkan Allah. Tiada siapa yang boleh mengubah, mengubahsuai,
mengabaikan atau menangguhkannya dengan apa jua cara. Ambil ini sebagai contoh,
mematuhi pemakaian hijab. Tiada siapa yang seharusnya berhujah bahawa, pada hari
dan zaman ini, atau kerana seorang wanita itu tinggal di kawasan tertentu, maka
dia tidak perlu mematuhi hijab, atau kerana suaminya tidak mahu dia mematuhinya.
Mematuhi
pemakaian hijab tidak
bergantung pada seseorang individu hanya kerana dia tidak dapat melihat sebab
di sebalik peraturan itu. Hijab adalah
satu kewajiban; ia adalah satu ketetapan yang diperintah Allah. Tiada siapa
yang boleh mengatasi peraturan seperti itu, sebagaimana solat, puasa, sedekah,
pergi menunaikan hajj, tidak minum arak, berjudi dan seterusnya. Ini semua
adalah ketetapan, peraturan yang diwajibkan ke atas setiap Muslim untuk
mengikutinya.
Haqq (Huquq), dalam bidang hak-hak dan
tanggungjawab perkahwinan, juga dikira sebagai peraturan wajib yang walau
bagaimanapun, boleh diubah, dilepaskan, diubahsuai, atau menjadi bersyarat,
asalkan kedua-dua pihak bersetuju dan perubahan tersebut tidak bertentangan dengan
undang-undang Islam (Shariah). Di sisi
ini Al-Quran telah bermurah hati. Al-Quran memberikan manusia kebebasan untuk
menjalani kehidupan mereka mengikut kesesuaian mereka.
Hak-hak
perkahwinan yang disenaraikan adalah tidak boleh dibatalkan, namun ia boleh
diubah suai. Undang-Undang Islam (Shariah)
membenarkan pasangan untuk meletakkan klausa, menetapkan terma, atau menolak
mana-mana bahagian kontrak perkahwinan mereka dengan syarat kedua pihak
sama-sama bersetuju, dan perubahan tersebut tidak bertentangan dengan
undang-undang Islam. Allah berkehendak agar manusia menjalani kehidupan yang
berdasarkan kepada persetujuan bersama di dalam lingkungan peraturan-peraturan
yang ditetapkan (Huqum). Allah tidak
mahu menetapkan kepada orang ramai bagaimana mereka harus menjalani kehidupan
mereka secara keseluruhannya. Allah mahu pasangan yang berkahwin untuk
bersetuju dengan apa yang dilihat terbaik dalam mendefinisikan sebuah kehidupan
terhormat. Persetujuan bersama, kerjasama, dan terpeliharanya kepentingan
bersama, adalah faktor-faktor terbinanya sebuah hubungan yang sihat dan kekal
sepanjang hayat.
Adalah
sangat digalakkan bahawa, sebelum perkahwinan, pasangan saling bersetuju dengan
perkara-perkara yang mereka anggap penting dan relevan. Jika pasangan mencapai
satu perjanjian bersama yang boleh diterima, dan ia adalah di dalam batasan
undang-undang Islam, maka tidak perlu untuk merujuk kepada hak-hak perkahwinan
yang disebutkan tadi. Ulama-ulama Islam hanya merujuk kepada hak-hak
perkahwinan apabila pasangan telah menerima hak-hak tersebut dan salah satu
dari mereka menentangnya.
Sebagai
contoh, terdapat beberapa kes di mana sesetengah isteri, terutamanya wanita
yang telah berusia, meletakkan satu klausa di dalam kontrak perkahwinan mereka
yaitu melepaskan hak hubungan intim dengan suami. Jika lelaki bersetuju, maka
kontrak itu tidak bermasalah. Walaupun ianya mungkin kelihatan lain dari
kebiasaan, adalah masih di dalam linkungan hak wanita itu untuk meletakkan
syarat ini asalkan lelaki bersetuju. Mungkin tujuan perkahwinannya adalah tidak
bersifat peribadi. Mungkin ia lebih kepada sebuah kontrak perniagaan, hak
sosial, atau satu bentuk perlindungan. Adalah dalam batasan hak wanita itu
untuk meletakkan syarat seperti itu atau apa jua syarat, asalkan ubah suai
tersebut mendapat persetujuan bersama dan tidak bertentangan dengan undang-undang
Islam yang wajib.
Satu
lagi contoh lain, seorang lelaki yang mahu berkahwin boleh mengajukan syarat
ini kepada isteri, “Saya akan mengahwinimu dengan syarat kamu bersetuju ini
akan menjadi rumah sederhana kamu, kereta jimat kamu, dan ini jumlah duit yang
akan kamu terima setiap bulan…”. Jika wanita bersetuju, maka kontrak itu tidak
bermasalah, walaupun lelaki itu mampu menyediakan gaya hidup yang lebih baik,
dan mungkin memilih untuk bersederhana atas sebab-sebab peribadi. Sebagai
contoh, dia mungkin takut wanita itu akan meninggalkannya, atau wanita itu
menggunakan duitnya untuk saudara-maranya. Lelaki tersebut memiliki hak untuk
bersikap sederhana dan berhati-hati dalam perbelanjaannya.
Fatma :
Jika pasangan memutuskan, untuk menambah atau menghapus hak-hak (Huquq), mereka
boleh berbuat sedemikian, betul?
Sayyid :
Hanya jika ubah suai tersebut berada dalam batasan agama dan setiap mereka
bersetuju. Selagi mana ia tidak dilarang agama, maka mereka boleh menambah atau
menghapus apa sahaja yang mereka mahu.
Fatma :
Al-Quran telah menetapkan bahawa seorang lelaki wajib memberikan nafkah sesuai
dengan kemampuannya. Jadi bagaimana para ulama membezakan ayat-ayat yang
merupakan kewajiban tetap (Huqum), dan ayat-ayat yang dibenarkan untuk diubah (Haqq)?
Sayyid : Pertama sekali, kaedah
yang digunakan oleh para ulama dalam membezakan antara perintah wajib (Huqum),
seperti solat, puasa, atau bersedekah dengan sebahagian peraturan yang
boleh diubahsuai (Haqq), adalah apabila ia berdasarkan kontrak sosial seperti
perkahwinan, perceraian, atau perjanjian perniagaan.
Fatma :
Bolehkah seorang wanita menetapkan syarat bahawa suaminya tidak akan mengahwini
isteri kedua?
Sayyid :
Adalah termasuk dalam batasan haknya untuk mengenakan peraturan itu, asalkan
suaminya bersetuju.
Fatma :
Tetapi anda menyebut bahawa syarat yang diletakkan tidak harus bertentangan
dengan ajaran agama, sedangkan dalam Islam lelaki dibenarkan berkahwin sehingga
empat wanita.
Sayyid :
Kunci perkataannya adalah “dibenarkan”, artinya ia diizinkan
(bukannya diwajibkan). Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa mengahwini
isteri kedua bukanlah satu perkara yang diwajibkan, ia adalah perkara yang
dibenarkan (mubah). Terdapat perbezaan antara perbuatan yang wajib dan yang
dibenarkan. Jika poligami adalah wajib, maka wanita sama sekali tidak berhak
mengenakan sekatan seperti itu.
Apabila
seorang isteri menetapkan dalam kontrak perkahwinannya bahawa dia tidak mahu
suaminya mengahwini wanita lain, pada dasarnya dia menyatakan, “Selagi anda
berkahwin dengan saya, anda tidak boleh melakukan perbuatan yang dibenarkan
(yakni berpoligami), dan, jika anda mahu juga, maka anda harus menceraikan saya
sebelum anda melakukannya.” Dia tidak menyatakan bahawa lelaki itu tidak boleh
berkahwin dengan wanita lain. Dia tidak menyatakan adalah haram baginya untuk
berbuat demikian; ia adalah dibenarkan (halal). Dia
boleh berkahwin dengan wanita lain, tetapi dalam kontrak perkahwinan isterinya
secara khusus menyatakan jika dia mahu mengahwini wanita lain, maka dia harus
menceraikan isterinya terlebih dahulu.
Fatma :
Apabila pasangan mengubah suai kontrak perkahwinan mereka, mestikah ia
didokumenkan bersama seorang Imam (ulama Islam) atau dilakukan di mahkamah
Syariah?
Sayyid :
Adalah sangat disyorkan agar pasangan mendokumentasikan (merekod) segala syarat
yang diubahsuai dan mendapatkan dua orang saksi yang adil. Dokumen tersebut
akan berfungsi sebagai peringatan dan keselamatan jika berlakunya masalah di
masa hadapan.24
Sumber:-
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.