Ayatullah Khomeini
“Terdapat dua makna bagi perkataan Istikhara. Salah satu
daripadanya adalah pengertian yang sebenarnya dan ia adalah jenis istikahara
yang disebut berkali-kali lebih banyak dari jenis istikhara lainnya di dalam
hadis kita, dan ia adalah yang paling lazim, dan ia adalah dengan semata berdo’a dan
meminta Allah SWT memberikan yang terbaik.
Istikhara
jenis ini berakar umbi dalam tindakan berdo’a (kepada Allah SWT) dalam semua
perkara yang dilakukan oleh seseorang itu, dan bukan sahaja ia adalah perbuatan
yang terpuji bahkan adalah digalakkan (Mustahab) dalam Islam.
Satu
lagi makna istikhara lain adalah apabila seseorang itu merasa keliru dan
bingung sama ada untuk melaksanakan sesuatu perkara itu atau tidak, di mana
perkara tersebut bukan sesuatu yang Allah telah perintahkan ke atas kita untuk
melaksanakannya, di mana bimbingan-Nya pasti tersedia, intelek kita juga tidak
dapat membantu dalam memutuskan sama ada perkara itu baik atau tidak. Jika
tidak ada jalan lain bagi seseorang itu memutuskan sama ada untuk melaksanakan
perkara itu atau tidak, dan dia berada dalam keadaan keliru dan tidak pasti,
daripada dia sekadar meneka lalu melakukan perkara itu, dia sebaliknya
berlindung kepada Allah Yang Maha Mengetahui, di mana semua yang kesempitan
pergi kepada-Nya dan meminta petunjuk dari-Nya.
Sama ada
Allah akan membimbingnya melalui hatinya sekaligus menyingkap jalan baginya
untuk memilih, kerana secara realitinya Dia adalah Pengubah Hati (sehubungan
dengan Istikhara spiritual)
Jika
tidak, Dia akan menempatkan tangan seseorang itu di atas sebahagian dari Tasbih
(jika dia melakukan istikhara dengan menggunakan buah Tasbih) atau Dia
membimbing hati hamba-Nya melalui Al-Quran (jika dia menggunakan Al-Quran dalam
istikharanya).
Bukankah
seseorang yang keliru - walaupun setelah menggunakan logik akalnya
dan mendapatkan nasihat serta pertolongan dari orang lain -
memerlukan bimbingan bagi membukakan jalan baginya? Apakah mungkin bagi
seseorang itu untuk tidak memerlukan nasihat dan bimbingan, ketika mana cahaya
inteleknya telah malap dan dia telah berusaha mendapatkan bantuan dari orang
lain di sekitarnya (tetapi masih tidak menjumpakan penyelesaian),
Dalam
salah satu ayat Al-Quran, Allah SWT selepas menyebut dan mengira segala
kekuasaan dan nikmat yang diberikan-Nya, berfirman:
“Atau:
Siapakah yang memperkenankan do’a orang yang menderita ketika dia menyeru
kepada-Nya, dan (Siapakah) yang menghapuskan kejahatan?” (27:62)
Walau
bagaimanapun, terdapat beberapa contoh yang disebutkan oleh orang-orang yang
menentang Istikhara, misalnya suatu insiden di mana terdapat seorang gadis yang
menyukai seorang lelaki, dan dalam segala aspek mereka mempunyai keserasian,
tetapi selepas bercakap dengan satu sama lain, Istikhara pun dilakukan, dan
hasilnya adalah ‘tidak baik’, maka perbincangan tersebut terhenti begitu
sahaja. Satu lagi contoh lain adalah mengenai seseorang yang mahu membeli
sebuah rumah. Semuanya baik-baik sahaja dan segala aspek rumah itu tampak
ideal. Orang itu kemudiannya melakukan Istikhara dan hasilnya adalah ‘tidak
baik’, maka dia memutuskan untuk tidak membeli rumah tersebut.
Adalah
jelas bahawa jawaban bagi mereka dan ribuan lagi seperti mereka berkenaan
Istikhara (dan cara perlaksanaannya yang betul), adalah: Dalam contoh-contoh
sebegini, hanya orang-orang yang tidak memiliki intelek, yang bersikap degil,
dan yang tidak memiliki pemahaman yang betul mengenai Istikhara sahaja, yang
akan melaksanakan (Istikhara) dalam contoh-contoh itu.
Dan
tanpa perlu diperjelaskan lagi, hadis-hadis yang datang kepada kita mengenai
Istikhara tidak pernah menjanjikan kepada kita bahawa kita akan mencapai
matlamat tanpa sebarang masalah atau kesukaran. Sebaliknya, apa yang dijanjikan
adalah sesiapa yang meminta Allah kebaikan, akan diganjari kebaikan. Jika ianya
baik bagi kehidupan seseorang itu di dunia ini, maka akan diperkenankan
permintaannya, dan jika tidak, maka sebuah ganjaran akan tersimpan baginya di
dalam kehidupan akhirat akan datang”.39
Ayatullah Hussain Madhahiri
“Saya
tidak mengatakan bahawa anda harus sepenuhnya mengabaikan faktor-faktor lain.
Saya mengatakan bahawa kriteria untuk perkahwinan seharusnya iman dan akhlak.
Jika anda sukakan seorang gadis 70%, anda tidak perlu membuat alasan-alasan
lanjut dalam memuktamadkan keputusan. Anda tidak perlu mengambil jalan keluar
melakukan Istikhara, yang mana ia hanyalah untuk situasi-situasi tertentu
sahaja ketika mana kebijaksanaan dan budi bicara manusia gagal, dan adalah
mustahil untuk mendapatkan pandangan dan nasihat dari Mukminin lain (dalam
membuat keputusan). Dalam situasi di mana kekeliruan mengatasi, barulah
Istikhara dilakukan.
Tetapi
dalam situasi di mana segalanya adalah jelas, di mana intelek boleh membimbing
anda, di mana satu lamaran datang dari seorang pemuda yang baik dari segi taqwa
dan moralnya, melakukan Istikhara (dalam situasi seperti ini) adalah tidak
bermakna. Istikhara di sisi Islam, sebenarnya, bermaksud seseorang itu
melakukan dua rakaat solat dan selepas itu mengucapkan kalimah-kalimah ini
100x, “Astakhirullaha be rehmateh” (Wahai Allah! Jadikanlah keputusanku ini
terbaik buatku!). Selepas itu, dia haruslah menyibukkan dirinya dengan apa yang
dia telah rancangkan. Pekerjaan itu akan, dengan izin Allah, mendatangkan
kebaikan baginya.
Inilah
Istikhara yang digalakkan oleh pengarang Kitabe Jawahir dalam buku beliau. Ia
berarti meminta yang terbaik dari Allah dalam pekerjaan-pekerjaan anda. Ada
kalanya apabila keputusan Istikhara negatif, orang-orang akan melakukannya
berulang-ulang kali sehingga mereka mendapat keputusan yang positif. Ini
benar-benar salah.
Kesimpulannya
kami ingin menyatakan bahawa alasan-alasan yang diberikan ibu bapa atau
anak-anak lelaki dan perempuan dalam usaha mengelak dan menangguhkan
perkahwinan mestilah dijauhkan. Sebaliknya, kita harus menempatkan kepercayaan
kita pada Allah. Allah akan menetapkan masa depan yang baik. Menurut Al-Quran
seseorang itu tidak seharusnya bersedih dengan apa yang berlaku di masa lepas,
dan tidak perlu takut dengan masa hadapan.
“Ketahuilah!
Sesungguhnya wali-wali Allah tidak ada kebimbangan ke atas mereka dan mereka
tidak berdukacita (Surah Yunus, 10:62)
Wali-wali
Allah tidak bersedih atas perkara lepas tidak juga mereka takut dengan masa
hadapan kerana mereka meletakkan kepercayaan mereka pada Allah. Kita juga
harus, dalam soal perkahwinan, berhenti membuat alasan-alasan dan melakukan
keputusan positif dengan meletakkan kepercayaan penuh pada Allah SWT. Kesemua
alasan-alasan ini telah ditolak dan disangkal oleh Nabi SAW, para Imam (a.s)
dan para ulama.
Islam tidak mahu manusia memiliki keinginan-keinginan
yang besar. Usah inginkan lebih dan lebih lagi. Jika anda mempunyai seorang
isteri, anda tidak seharusnya berkeinginan untuk beristeri lagi. Berbelanjalah
secukupnya untuk hidup dengan selesa. Quran mengecam gaya hidup mewah dengan
tegas sekali.
“Dan
apabila Kami ingin membinasakan sesebuah negeri, Kami sampaikan perintah
(terlebih dahulu) kepada penduduknya yang melampau dalam kemewahan (supaya
taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat, maka layaklah negeri itu
dibinasakan, dan Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya,” (Surah al-Isra,
17:16)
Al-Quran
menyatakan jika sesebuah komuniti menjerumuskan diri dalam kehidupan penuh
kemewahan, maka pasti sekali ia akan dibinasakan. Gaya hidup sebegini mendorong
mereka untuk menjerumuskan diri dalam perkara-perkara terlarang.40” (Nota: Tidak ada salahnya berusaha
untuk hidup selesa tetapi jauhi gaya hidup penuh kemewahan, fesyen, pembaziran)
Ayatullah Sayyid Hussain Tabatabai
“Apabila
seseorang itu berniat untuk melaksanakan sesuatu tindakan, maka dia tidak
mempunyai pilihan lain kecuali untuk meneliti tindakan tersebut, dan
sedaya-upaya merenung dan berfikir menggunakan kemampuan yang diberikan Allah
kepadanya sama ada harus atau tidak melaksanakan perkara itu.
Dalam
keadaan di mana dia tidak dapat membuat keputusan (sama ada terdapat kebaikan
untuknya dalam tindakan itu) maka dia harus mendapatkan nasihat dari orang lain
dan menjadikan keputusannya bergantung kepada nasihat orang lain yang mampu
memberikan nasihat (yang bernas) dan boleh membezakan antara yang baik dan
buruk.
Dia
harus bergantung kepada rasional mereka untuk memutuskan sama ada meneruskan
tindakan itu atau meninggalkannya. Jika cara ini juga tidak memberi hasil, maka
dia tidak mempunyai alternatif lain kecuali dia memohon kepada Tuhan dan
meminta bimbingan-Nya kepada apa yang benar-benar terbaik baginya.
Pada
hakikatnya, inilah Istikhara. Ini tidak patut dianggap sebagai “mendapatkan
pengetahuan ghaib” atau pencerobohan terhadap perlindungan dan penguasaan Allah
SWT ke atas kita.
Secara
ringkasnya, tiada kewajiban di sisi agama apabila seseorang itu melaksanakan
Istikhara, oleh kerana Istikhara tidak berperanan apa-apa kecuali menentukan
jalan mana yang harus diambil seseorang itu. Istikhara tidak mengubah peraturan
Allah, juga tidak memberitahu hamba Allah itu tentang apa yang tersembunyi di
sebalik tirai pengetahuan Allah SWT. Satu-satunya perkara yang dilakukan
Istikhara adalah memberitahu “Apa yang memberikan kebaikan utama kepada
seseorang yang sedang mencari yang terbaik dalam melaksanakan atau tidak
melaksanakan sesuatu tindakan.”
Istikhara
adalah cara untuk menyelamatkan seseorang itu dari keraguan dan ketidakpastian.
Namun, bagi kesan-kesan selanjutnya yang akan berlaku pada masa hadapan dalam
melaksanakan sesuatu tindakan itu atau tidak, ia bukanlah akibat dari Istikhara
tadi, dan Istikhara tidak mempunyai kaitan dengan ini.
Masa
depan seseorang yang melakukan Istikhara sama ada baik atau buruk sama sahaja
dengan seseorang yang tidak melakukan Istikhara yang meneruskan kehidupannya
dengan menggunakan intelek dirinya sendiri dan mendapatkan nasihat dari orang
lain. Pendek kata, Istikhara bukanlah apa-apa kecuali suatu tindakan yang
memberikan “kepuasan pada hati”, “menghapuskan keraguan dan ketidakpastian”,
dan adalah alat untuk “harapan, kesejahteraan, dan kebahagiaan.”
Nabi
bersabda, “Bila-bila masa sahaja Istikhara memberikan hasil tidak baik,
bergantunglah kepada Allah dan teruskan dengan pekerjaan itu.”39
Ayatullah Shahid Murtadha Muttahari
“….
Jenis percakapan apakah ini bahawa (hanya) Ulama sahaja yang mesti melakukan
Istikhara! Berapa banyak masalah timbul disebabkan oleh salah faham ini!
Seorang ‘Alim sedang duduk di rumahnya, sibuk menelaah atau menulis, telefon
berbunyi dan orang di telefon itu meminta: “Tuan, maaf mengganggu tuan, Saya
memerlukan Istikhara…..”
Walau
begitu, saya sendiri melakukan Istikhara (untuk orang lain), dan saya tidak
menentang perkara ini, tetapi adalah lebih baik bahawa setiap individu
melakukan Istikhara sendiri. Bahkan sesetengah orang menyatakan adalah tidak
dibenarkan bagi seseorang itu melakukan Istikhara untuk orang lain dan setiap
orang harus melakukan Istikharanya sendiri!”39
Ayatullah Shahid Husany Dastzhaib Shirazi
“Istikhara
secara istilahnya bermaksud untuk “memohon yang terbaik” dari Allah. Ya Allah!
Aku sedang kebingungan dan tidak tahu sama ada redhaMu adalah dalam tugasan ini
atau sebaliknya. Aku mohon kepada-Mu jadikanlah jelas keredhaanMu buatku.
Namun, dalam keadaan ini, adalah perlu bagi seseorang itu
untuk berdo’a kepada Allah SWT, dan Istikhara sebenar hanyalah doa ini. Jika dengan kaedah ini, kekeliruan seseorang masih tidak
hilang, maka tidak ada masalah demi menghilangkan keraguan dan ketidakpastian
maka seseorang itu bertindak mengikut apa yang telah disebut dalam hadis sama
ada menggunakan Tasbih atau Al-Quran, dia boleh cuba untuk mempermudah
kesukarannya.
Walau
bagaimanapun, dua syarat haruslah dipenuhi, pertama seseorang itu mestilah
dalam keadaan berdo’a, artinya dia berada dalam keadaan di mana dia benar-benar
mengharapkan: “Ya Allah! Tolonglah hilangkan keraguan dalam diriku
melalui berkat Al-Quran yang mulia.”
Syarat
kedua, yang mana adalah yang paling penting, adalah pemahaman terhadap konteks
dan maksud ayat Al-Quran termasuklah perkara-perkara khusus sehubungan dengan
Istikhara.
Harus
diketahui bahawa Al-Quran tidak diwahyukan sekadar untuk melakukan Istikhara.
Sebaliknya, ia adalah kitab ilmu dan Hikmah, yang membimbing seseorang itu
kepada jalan kehambaan kepada Allah. Usah salah faham dengan saya, saya tidak
menentang Istikhara menggunakan Al-Quran, tetapi dua syarat utama itu mestilah
dipenuhi (terlebih dahulu).
Dalam
situasi di mana selepas berfikir, berdo’a dan meminta nasihat dari orang lain,
seseorang itu masih juga dalam keadaan ragu, maka cara terbaik untuk
menghilangkan ketidakpastian ini yang mana turut disebut dalam hadis-hadis,
adalah dengan melakukan Istikhara.”39
Ayatullah al Uzma Shaykh Muhammad Taqi Behjat
“Mengenai
keadaan di mana seseorang itu harus melakukan Istikhara selepas mendapatkan
nasihat dari orang-orang yang berilmu dan berpengetahuan, jika masih lagi wujud
rasa ragu, maka barulah selepas itu seseorang itu melakukan Istikhara.
Pelbagai
jenis dan kaedah Istikhara telah disebut dalam Mafatih Jinan dan pelbagai
buku-buku hadis. Mengenai persoalan sama ada seseorang itu boleh melakukan
Istikhara dengan Al-Quran atau buah Tasbih untuk dirinya atau tidak, harus
dinyatakan di sini bahawa jika segala syarat dan etika dipatuhi, maka tidak ada
masalah.
Namun,
dalam situasi seperti ini, adalah lebih baik untuk memberikan sedekah, dan
meneruskan sesuatu pekerjaan itu39.”
Ayatullah Sayyid Imam Ali Khamenei
Q1423:
Adakah wajib untuk bertindak mengikut keputusan Istikhara?
A :
Ianya tidak wajib . Namun, adalah lebih baik untuk bertindak selari dengan
keputusan Istikhara itu.
Q1424:
Mengikut kepercayaan umum, adalah tidak perlu melakukan Istikhara ketika hendak
melaksanakan kerja-kerja memberi derma. Oleh itu adakah dibenarkan untuk
beristikhara bagi menentukan kaedah terbaik dalam melakukan kerja-kerja memberi
derma, atau demi mengelakkan masalah-masalah yang mungkin berlaku dalam proses
memberi derma tersebut? Dan adakah Istikhara merupakan suatu cara untuk
mengetahui perkara-perkara ghaib yang tidak ada sesiapa pun tahu melainkan
Allah?
A:
Istikhara haruslah dilaksanakan dengan tujuan untuk menyelesaikan rasa
ragu-ragu, ketidakpastian dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Oleh itu,
kerja-kerja pemberian derma yang tidak membawa kepada rasa ragu-ragu, ia tidak
memerlukan Istikhara. Istikhara bukanlah
cara untuk meramal masa depan seseorang atau masa depan sesuatu tugasan.
Q:1426:
Adakah sesuai untuk melakukan Istikhara dengan Al-Quran, atau Tasbih dalam
perkara-perkara penting seperti perkahwinan?
A: Dalam
membuat keputusan mengenai sesuatu perkara, adalah lebih baik
berfikir dalam-dalam akan perkara tersebut, dan bertanyakan pandangan
orang-orang yang berpengalaman dan boleh dipercayai. Jika langkah-langkah ini
masih gagal untuk menghilangkan rasa ragu-ragu dalam membuat keputusan, maka
seseorang itu boleh beralih kepada Istikhara.41
Muhammad Baqir Haideri
Istikhara
adalah suatu tradisi Islam yang kuat berakar umbi dalam budaya Syi’ah terutama
di Iran, India dan Pakistan. Malangnya, telah didapati bahawa kebanyakan orang
ramai mempunyai pandangan yang salah tentang Istikhara dan penggunaannya.
Apabila satu isu penting timbul dalam kehidupan mereka, tanpa berlengah dan
berhenti untuk berfikir dan bertanyakan nasihat orang lain, mereka akan terus
mencari petunjuk dari Yang Ghaib dan melakukan Istikhara tradisional. Orang
tersebut, tanpa mengikut syarat-syarat dan etika tertentu, tanpa bertangguh
akan mencapai Quran atau Tasbih dan….
Golongan
semacam ini, tanpa memikirkan langsung akan keputusan Istikharanya, jika mereka
melihat keputusan tersebut sebagai bertepatan dengan apa yang mereka
benar-benar ingin laksanakan dan apa yang mereka fikir adalah terbaik untuk
diri mereka, mereka akan melaksanakan keputusan Istikhara
itu. Tetapi jika keputusannya adalah ‘negatif’, mereka tetap akan
melaksanakan (tindakan yang sama) juga demi mendapatkan apa yang mereka
inginkan.
Manakala,
satu lagi golongan, berfikir bahawa keputusan Istikhara adalah ibarat Al-Quran
yaitu ia adalah wahyu dari Allah justeru melihat keputusan Istikhara sebagai
satu perkara yang wajib diterima dan meletakkan nasib kehidupan dan masa depan
mereka kepada keputusan Istikhara.
Kedua-dua
golongan ini benar-benar tidak memahami maksud sebenar Istikhara dan cara
penggunaannya yang betul, kerana tidak memberikan perhatian kepada langkah yang
pertama, yaitu menggunakan aqal dan intelek seseorang itu dan kemudian mencari
penyelesaian dengan mendapatkan nasihat dari orang lain, memainkan peranan yang
sangat penting dan memiliki kesan yang besar terhadap keputusan sebenar
Istikhara.
Golongan
yang pertama, disebabkan oleh kekeliruan minda mereka sendiri terhadap
Istikhara dan melaksanakannya tanpa berlengah, telah secara tidak sengaja,
terjebak dalam dosa besar yakni merendah dan mempermainkan Ayat Suci Al-Quran.
Mereka telah memilih nasib masa depan mereka sendiri yang dikawal oleh hawa
nafsu mereka dan kepentingan diri mereka, dan bahkan untuk sebahagian yang
lain, tanpa melaksanakan Istikhara, turut terjebak dalam dosa ini.
Dosa
golongan yang kedua tidak kurang sedikit dari golongan pertama, kerana tanpa
asas apa pun – sama ada dari aspek logika atau agama, telah menjadikan satu
kewajiban bagi diri mereka untuk mengikut hasil Istikhara, yang mana tujuan
sebenarnya adalah untuk membuang rasa ragu-ragu dan menjadikan hati seseorang
itu tenang.
Jika
seseorang itu boleh mencapai keadaan ini dengan kaedah yang lebih baik seperti
berfikir dan mendapatkan nasihat orang-orang lain, maka adalah tidak perlu
baginya untuk mencari penyelesaian dengan Istikhara, tanpa mempedulikan apa
yang bakal terjadi terhadap seseorang yang bertindak mengikut hasil Istikhara
yang dilaksanakan dalam keadaan keliru dan jahil dan tanpa mengikut syarat dan
etika yang diperlukan.
Hasil
pandangan sedemikian mengenai Istikhara adalah orang tersebut tidak menggunakan
aqalnya dalam kehidupan sehari-hari dan berakhir dengan kegagalan dalam roda
kehidupan yang dilaluinya. Disebabkan hal ini, dia hilang ganjaran sebenar di
dunia yang datang dari penggunaan inteleknya dan mendapatkan nasihat dari orang
lain.”39
Istikhara dengan Al-Quran
Imam
Jaafar berkata : Jangan membuat ramalan (tilik nasib) dengan Al-Quran
Maksud
kepada “membuat ramalan dengan Al-Quran” (dalam hadis di atas) yang dilarang,
adalah percubaan untuk mendapatkan ilmu ghaib, meramal peristiwa masa depan,
dan percubaan mencari/meramal akibat kepada sesuatu tindakan yang dilakukan
seseorang pada masa hadapan.
Namun,
mencari apa yang terbaik dengan menggunakan Al-Quran yang mana bahkan
ditekankan dalam Al-Quran, pada realitinya, hanyalah untuk membebaskan
seseorang itu dari keraguan dan ketidakpastian serta membimbingnya untuk
memilih antara dua jalan. (sama ada untuk melaksanakan sesuatu tindakan atau
sebaliknya)
Selain
itu, seseorang haruslah memberikan perhatian kepada hakikat ini bahawa tidak
ada satu keadaan sekalipun di mana Istikhara seharusnya dilakukan – sama ada
dengan Al-Quran atau Tasbeeh, atau kertas – sebelum seseorang itu (terlebih
dahulu) menggunakan aqal pemberian Ilahi atau mendapatkan nasihat dari
orang-orang lain serta bimbingan. Ketiga-tiga jenis Istikhara ini tidak
menetapkan tanggungjawab seseorang itu, sebaliknya, ia hanyalah memandu
seseorang itu (dalam membuat keputusan) dan menghilangkan rasa keraguan dan
ketidakpastian dari pemikirannya, dan itupun setelah seseorang itu berfikir
dalam-dalam mengenai tugasannya, meminta nasihat dari orang lain, tetapi masih
menemui jalan buntu. 39
Sumber
:-
39. Buku
: Istikhara Seeking The Best from Allah oleh Ayatullah Muhammad Baqer Haidari
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.