Sunday 5 April 2015

Bab 14.2 : Status & Kedudukan Wanita



Wanita memiliki status yang istimewa dan mulia di sisi Islam. Tidak wujud istilah seperti “golongan bawahan”, “kelas kedua” bagi kaum wanita. Persepsi sedemikian adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan jelasnya itu adalah bentuk pemikiran jahiliah yang masih tersisa walaupun selepas kedatangan Islam.

Ucapan Pemimpin Revolusi Islam, Yang Mulia Imam Khomeini dan Imam Ali Khamenei, cukup memberi gambaran yang jelas kepada kita akan status, dan peranan besar kaum wanita yang tidak boleh dipandang remeh.

____________________________________________________________________________________________________

Imam Khomeini
Ucapan kepada Para Wanita Qum (16 Mac 1979)

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang

Salam yang tiada hentinya buat wanita-wanita Iran! Salam sejahtera ke atas anda, para wanita terhormat. Semoga rahmat Allah tercurah ke atas anda, para wanita berhati singa, yang mana usaha murni mereka telah menyelamatkan Islam daripada belenggu perhambaan oleh pihak-pihak asing.

Saudari-saudariku yang berani, anda berlawan bergandingan bahu dengan lelaki dan telah memastikan kemenangan Islam. Saya berterima kasih kepada anda, para wanita Iran dan Qom. Semoga Allah dan Imam Zaman gembira dengan anda. Sambil mendukung bayi anda di tangan, anda turun ke jalan-jalan dan menyokong Islam dengan demonstrasi anda yang penuh bersemangat.

Saya telah mendengar apa yang berlaku di Qom dan di kota-kota lain; saya telah mendengar apa yang berlaku di Chahar Mardan. Saya berasa bangga dengan segala tindakan berani yang telah dicapai oleh para wanita Iran, di Qom dan di kota-kota lainnya kerana anda semua menjadi barisan hadapan kepada kemenangan kita  dan telah memberi semangat kepada para lelaki. Kaum lelaki kita terhutang budi pada keberanian anda, para wanita berhati singa; Saya terhutang budi kepada kedua-dua lelaki dan wanita yang mulia.

Islam memberikan perhatian khusus buat wanita. Islam muncul di Semenanjung Arab pada masa di mana wanita telah hilang maruah diri mereka, dan Islam mengangkat status mereka dan mengembalikan semula kehormatan mereka. Islam menjadikan wanita setara dengan lelakibahkan, ia menunjukkan perhatian kepada wanita yang tidak ia tunjukkan terhadap lelaki. Begitu juga dalam gerakan revolusi kita, wanita telah memperoleh kredit (penghargaan) yang lebih dari lelaki, kerana, wanita bukan sahaja menunjukkan keberanian diri mereka sendiri, tetapi juga melahirkan lelaki-lelaki yang berani. Sepertimana Al-Quran, kaum wanita memiliki peranan untuk membesarkan dan mengasuh manusia sejati. Seandainya negara tidak memiliki wanita-wanita yang berani untuk melahirkan insan-insan sejati, maka negara akan merosot dan akhirnya runtuh. Wanitalah yang mengukuhkan negara, dan menjadikan rakyatnya berani.

Pada zaman awal Islam, kaum wanita turut serta dalam peperangan bersama kaum lelaki. Kedudukan wanita adalah tinggi. Kaum wanita di sisi Islam menikmati kedudukan yang tinggi. Kita melihat bagaimana dalam gerakan ini, para wanita yang dihormati, berdiri berganding bahu bersama lelaki, bahkan berada di hadapan mereka, dalam garisan pertempuran. Mereka kehilangan bayi dan anak muda mereka, tetapi tetap mereka dengan beraninya terus menentang musuh."

Kita mahu wanita kita mencapai kedudukan tinggi kemanusiaan yang sebenar, bukannya menjadi alat mainan di tangan kaum lelaki, di tangan-tangan lelaki yang rosak akhlaknya.

Kaum wanita menikmati kedudukan yang terhormat; mereka mempunyai ‘kebebasan memilih’ sebagaimana lelaki. Tuhan telah menciptakan kamu sebagai makhluk yang bebas dan memberikan kamu harga diri. Sebagaimana Tuhan telah menetapkan undang-undang dan sekatan buat kaum lelaki untuk melindungi mereka dari kerosakan, begitu juga Dia telah menetapkan undang-undang buat kaum wanita. Ini adalah untuk kebaikan kamu; semua undang-undang Islam adalah baik untuk masyarakat. Mereka yang mahu melihat wanita sebagai alat permainan di tangan manusia yang tidak bermoral, mereka adalah pengkhianat-pengkhianat.

Wanita tidak seharusnya tertipu, mereka tidak seharusnya menyangka kedudukan mereka dalam kehidupan ini memanggil mereka agar keluar ke jalan-jalan dengan bermekap dan berpakaian cantik, tanpa hijab, tanpa pakaian. Ini bukan peranan wanita; ini adalah peranan patung.

Wanita mesti berani, mereka mesti melibatkan diri mereka dalam menentukan nasib negara, mereka adalah pencipta kepada manusia sejati, pendidik kepada umat manusia.

Semoga Tuhan melindungi anda para wanita Iran, para wanita Qom, dari bahaya-bahaya orang-orang korup, manusia tapi realitinya adalah haiwan. Sebagaimana kamu sentiasa turut serta dalam gerakan di negara ini, dan memainkan peranan dalam kemenangannya, maka hari ini juga kamu mesti meneruskan penyertaan dan bangkit semula setiap kali wujud keperluan. Negara ini adalah milik kamu. Kesemua rakyat Iran, lelaki dan wanita, mesti bersama-sama memperbaiki kerosakan yang dilakukan regim terdahulu, tangan lelaki sahaja tidak cukup untuk mencapai tugasan ini. Lelaki dan wanita mesti bekerjasama dalam hal ini.

Semoga Tuhan mengurniakan anda semua kehormatan, kesihatan, kebahagiaan dan kesempurnaan iman dan akhlak.

Salam ke atas anda semua, para wanita yang dikasihi lagi dihormati22.”




Imam Ali Khamenei
Petikan Ucapan Sempena Pertemuan dengan Wanita-Wanita Elit (19 April 2014)23

Perjumpaan ini diadakan sempena ulang tahun kelahiran Sayyidah Fatimah Zahra (semoga Allah merahmatinya).

-Isu Wanita adalah Isu Penting
-Status dan Kedudukan Fatimah Zahra
-Tiga sebab mengapa pandangan Barat harus dielakkan
- Kedudukan sebenar Wanita di Sisi Islam

____________________________________________________

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Pertama sekali, saya ingin mengalu-alukan kehadiran para wanita di dalam pertemuan ini dan saya ucapkan tahniah kepada anda semua bersempena dengan hari ulang tahun kelahiran Fatimah Zahra AS, Hari Wanita dan, Hari Ibu.

Seperti yang telah ditekankan dalam pertemuan ini, pertembungan hari-hari penting di negara ini dengan hari ulang tahun kelahiran Fatimah Zahra, adalah sebuah peluang untuk kita memahami dan mengambil pengajaran dari kehidupan manusia yang agung ini.

Pertama sekali, kedudukan spiritual Fatimah Zahra (semoga Allah merahmatinya) adalah antara kedudukan spiritual terbaik yang hanya dimiliki oleh segelintir individu tertentu. Beliau adalah maksum. Kemaksuman adalah khusus buat segelintir individu yang dipilih Allah SWT, dan Fatimah Zahra adalah salah seorang daripadanya.

Kita perlu mengambil kira hakikat bahawa wanita Muslim ini yang merupakan mujahid (pejuang) di jalan Allah, hanya hidup sehingga usianya 20 tahun. Tentu sekali, riwayat yang berbeza menyatakan bahawa umurnya adalah antara 18-25 tahun ketika beliau mati syahid.

Beliau adalah seorang wanita muda yang menikmati kedudukan spiritual yang agung setara dengan para wali, nabi-nabi dan seumpamanya, dan beliau digelarkan sebagai penghulu kepada semua wanita oleh para utusan Tuhan. Selain daripada kedudukan spiritual beliau, setiap ciri-ciri cemerlangnya dan setiap peranan penting di dalam kehidupan peribadi wanita hebat ini, mengandungi pengajaran.

Kesolehannya, kesopanannya, dan kesuciannya, jihadnya, penjagaan beliau terhadap suaminya, cara beliau mengasuh anak-anaknya, pengetahuan beliau mengenai politik, dan kehadiran beliau dalam masa-masa kritikal kehidupan individu pada masa itu - sama ada ketika zaman kanak-kanaknya atau di zaman remajanya, atau selepas perkahwinannya - setiap darinya mengandungi pengajaran. Ia adalah pengajaran bukan sahaja buat anda para wanita, tetapi buat seluruh umat manusia.

Oleh itu, kita harus memberikan sepenuh perhatian kepada kehidupan Fatimah Zahra AS. Kita harus memahami kehidupan beliau dengan sebuah perspektif baru dan kita harus menjadikannya sebagai model untuk diri kita dalam arti kata yang sebenar.

Saya menghadiri banyak pertemuan dengan ibu-ibu dan isteri-isteri para syuhada serta para veteran kurang upaya. Apabila seorang wanita yang mengorbankan dirinya, menghabiskan seluruh hidup beliau mengurus dan memperbaiki kehidupan seorang veteran perang yang kurang upaya, demi mendapatkan keredhaan Allah, ini bukanlah satu pencapaian yang kecil.

Seorang ibu yang telah mengorbankan dua, tiga, empat syuhada di jalan Tuhan dan telah berdiri teguh walaupun dalam keadaan sedemikian, turut menasihati kita agar berdiri teguh juga. Seseorang benar-benar merasa rendah diri melihat kehebatan seperti ini. Ini adalah realiti wanita dalam masyarakat kita yang mana merupakan realiti yang penting dan gemilang.

____________________________________________________

Memberikan perhatian kepada isu keluarga - terutamanya isu kesihatan wanita, keselamatan, ketenangan dan kehormatan wanita di dalam persekitaran keluarga - adalah salah satu isu utama.

Isu wanita dan isu keluarga adalah isu utama kita semua. Tentu sekali isu wanita tidak boleh dipisahkan dari isu keluarga. Saya ingin menambah bahawa jika seseorang mahu membincangkan isu wanita dengan memisahkan ia dari isu keluarga, mereka akan menghadapi masalah-masalah tertentu dalam memahami dan menjumpakan penawarnya. Kedua-dua isu ini harus dikaji bersama-sama.

Apa yang ingin saya bincangkan hari ini dengan anda semua adalah dua, tiga perkara. Satu darinya adalah jika kita mahu berfikir dan bertindak dengan betul mengenai isu wanita - sama ada dalam sesebuah organisasi atau mana-mana pusat - dan jika kita tidak mahu membuat kesilapan dalam hal ini, kita harus bersihkan fikiran kita sepenuhnya dari idea basi produk-produk Barat.

Jika anda mahu mencari penyelesaian yang tepat dalam menangani isu wanita, dan memenuhi keperluan-keperluan utamanya, dan jika anda mahu bergerak maju serta mencapai hasil pada jangka masa panjang, maka anda harus jernihkan fikiran anda dari pemikiran-pemikiran Barat tentang isu wanita.

Pemikiran-pemikiran dan pandangan Barat mengenai isu wanita bukanlah sumber kebahagiaan dan bimbingan buat masyarakat manusia.

1. Pertama sekali, pemikiran mereka adalah berdasarkan materialistik (kebendaan) dan tidak memiliki unsur ketuhanan. Nah, ini adalah salah. Apa sahaja ilmu atau sekolah intelektual yang berasaskan kepada pemahaman dan kepercayaan materialistik secara asasnya adalah salah. Pengertian terhadap kebenaran penciptaan harus diketahui, difahami, dan diikuti bersama dengan pengertian terhadap ketuhanan, kepercayaan pada kewujudan dan kekuasaan Tuhan dan kehadiran-Nya serta kekuasaan-Nya. Justeru itu, oleh sebab dasar dan akar pemikiran Barat adalah bersifat materialistik, maka mereka salah. Ini adalah sebab pertama.

2. Sebab yang kedua adalah pandangan ekonomi, berdasarkan keuntungan, seperti perniagaan telah mempengaruhi pandangan Barat terhadap isu wanita. Di Eropah, wanita tidak berhak memiliki sesuatu. Harta wanita adalah milik lelaki dan suaminya. Mereka tidak berhak memiliki sesuatu atas nama mereka. Dan apabila demokrasi dipromosikan di Barat, wanita tidak memiliki hak untuk mengundi.

Dalam dunia seperti itu, para pelabur secara tiba-tiba memikirkan isu revolusi industri, kilang-kilang, dan kehadiran berkesan wanita di kilang dengan kos yang rendah. Kemudian, mereka memberikan hak mengundi kepada wanita untuk menarik mereka ke kilang-kilang dan memberikan mereka gaji yang rendah. Secara asasnya, kemasukan wanita dalam arena pekerjaan mempunyai keperluan dan hasil-hasil yang tersendiri yang mana berterusan hingga ke hari ini.

Oleh itu, selain dari pandangan Barat adalah bersifat materialistik dan tidak Ilahiah, ia juga diiringi dengan pandangan ekonomi, berdasarkan keuntungan seperti perniagaan.

3. Satu lagi sebab mengapa kita harus menghindari perspektif Barat tentang isu wanita adalah, dalam pandangan tersebut, wanita adalah alat untuk memuaskan nafsu. Ini tidak boleh dinafikan. Mereka mungkin berkata, "Tidak, tidak bukan begitu." Namun, jika seseorang melihat kehidupan mereka, dia akan melihat bahawa inilah pandangan yang dominan (menguasai pemikiran mereka).

Dalam persekitaran sosial (Barat), lebih ramai wanita muncul dengan cara yang tidak sopan, maka lebih bagus.

Mereka tidak berpandangan begitu untuk kaum lelaki. Dalam mesyuarat rasmi, kaum lelaki, harus berpakaian dengan betul. Mereka harus memakai tai dan kot. Mereka harus berpakaian formal dalam majlis seumpama itu. Tetapi dalam mesyuarat rasmi, kaum wanita muncul dengan cara yang berbeza (yaitu berpakaian tidak sopan). Ini tidak ada falsafah dan sebab lain kecuali kaum wanita harus menghiburkan mata bernafsu kaum lelaki.

Hari ini, dunia Barat adalah seperti ini. Ia adalah secara praktikalnya penindasan terbesar yang ditunjukkan dunia Barat terhadap wanita.

______________________________________________________


Wanita adalah sumber ketenteraman di rumah. Mereka adalah satu sumber kedamaian buat lelaki dan anak-anak termasuk kanak-kanak perempuan & lelaki. Jika wanita itu sendiri tidak menikmati ketenangan psikologi, maka mereka tidak dapat berkongsi ketenangan mereka dengan keluarga mereka. Seorang wanita yang dimalukan, dihina dan ditekan kerana pekerjaannya tidak mampu menjadi wanita terhormat dalam rumahnya. Dia tidak akan mampu menjadi pengurus keluarga. Sedangkan, pada hakikatnya, wanita adalah pengurus dalam keluarga.Ini adalah isu utama.

Wanita di rumah biasanya dilihat sebagai golongan kelas kedua yang bertanggungjawab memberi khidmat kepada orang lain. Pandangan yang sama ini dikongsi oleh ramai orang. Sebahagian orang secara terbuka meluahkannyadan sebahagiannya tidak, walaupun mereka miliki kepercayaan yang sama di dalam hati mereka. Ini adalah benar-benar bertentangan dengan apa yang Islam telah sebutkan.

Saya telah berulang kali mengutip kata-kata dari hadis termasyur ini:

"Wanita adalah ibarat bunga. Mereka bukan hamba." [Nahjul Balaghah, Surat 31].




Perkataan Arab "ghahraman" berarti pekerja atau hamba kepada seseorang.Hadis itu menyatakan bahawa kita tidak seharusnya menganggap kaum wanita itu sebagai hamba-hamba di rumah, yang hanya harus melaksanakan kerja-kerja rumah. Bukan begitu.

Nah, perhatikan bahawa, ini adalah salah satu dari beberapa perkara tentang wanita : yaitu isu menghormati pekerjaan wanita di rumah. Mereka tidak berkewajiban untuk melakukan kerja-kerja rumah (seperti memasak, mencuci dll) dan kerja mereka boleh dibeli. Yakni, mereka boleh menerima wang dari pekerjaan tersebut.

Ini adalah perkara-perkara yang wujud dalam Islam dan dalam fiqh Islam. Sebahagian orang menekankan sebahagian aspek (fiqh) dan melupakan sebagiannya yang lain.

Pada pandangan saya, salah satu isu utama - adalah isu rumah (yang memberikan kedamaian) dan keluarga. Perkara asas kepada isu ini adalah keselamatan wanita dalam persekitaran keluarga, Dan peluang-peluang dalam persekitaran keluarga serta pengurusan rumah tangga mereka adalah untuk memupuk bakat-bakat mereka. Tiada apa yang harus menghalang mereka dari menuntut ilmu, membaca, mempelajari dan menulis. Tentu sekali ini adalah berkaitan dengan para wanita yang berminat dengan perkara-perkara seperti itu."

Islam melihat lelaki dan wanita sebagai manusia.Tidak terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita dari aspek kemanusiaan, kedudukan spiritual, dan kebanyakan bakat intelektual dan saintifik yang mereka miliki.Tetapi mereka miliki dua acuan yang berbeza. Satu acuan dibentuk untuk suatu tugasan tertentu dan satu acuan lain dibentuk untuk tugasan lainnya.

Terdapat sebahagian pekerjaan yang tidak sesuai dengan kejadian wanita. Oleh itu, kaum wanita tidak seharusnya mengejar pekerjaan-pekerjaan seperti itu.Sebahagian orang mahu mencipta kegemparan dengan berkata terdapat diskriminasi (berat sebelah) terhadap wanita di universiti, pendidikan dan lain-lain. Diskriminasi adalah buruk hanya apabila ia bertentangan dengan keadilan.

Bayangkan dalam satu pasukan bola sepak, anda memberitahu seorang pemain untuk bermain bahagian serang, dan satu pemain lagi anda beritahu untuk bermain bahagian pertahanan dan satu lagi menjaga gol. Nah, ini adalah diskriminasi. Jika seorang pemain yang tugasnya bahagian pertahanan, bermain di bahagian serang, pasti pasukannya akan kalah. Jika bahagian hadapan disuruh bermain sebagai penjaga gol - yang mana merupakan satu tugas yang dia tidak tahu bagaimana melaksanakannya -, maka pasukannya pasti akan kalah.

Ini adalah diskriminasi, tetapi ia adalah berasaskan keadilan. Dalam keadaan seperti itu, anda mengamanahkan tugasan yang berbeza kepada individu-individu.

Oleh itu, kita harus menilai bidang pengajian apakah yang sesuai buat kaum wanita dengan memberikan perhatian kepada misi-misi agung yang telah dikhususkan buat mereka. Kita harus menyediakan platform untuk wanita mempelajari bidang seperti itu (bidang yang membantu mereka mencapai misi mulia mereka)

Kita tidak harus memaksa mereka mempelajari bidang-bidang tertentu hanya kerana keputusan mereka dalam peperiksaan.

Bidang-bidang seperti itu bukan sahaja tidak bersesuaian dengan sifat semula jadi wanita bahkan misi-misi agung mereka (yaitu mendidik, mengasuh dan mencorak generasi cemerlang akan datang). Selain itu, pekerjaan yang diberikan kepada mereka mengikut bidang pengajian mereka mungkin tidak bersesuaian dengan kejadian (fizikal) mereka.

Pada pendapat saya, perkara-perkara ini harus mendapat perhatian apabila timbul isu mengenai pengambilan wanita bekerja

Ringkasnya, hakikat bahawa kaum wanita tidak boleh melakukan semua pekerjaan yang kaum lelaki lakukan tidak harus dianggap sebagai satu kehinaan atau satu kecacatan. Bukan begitu. Hanya perkara-perkara yang tidak bersesuaian dengan sifat semula jadi (yang dianugerah) Tuhan sahaja, adalah perkara buruk.

Isu wanita adalah sebuah isu yang penting. Orang-orang yang terbaik untuk membuat tindakan susulan dan menyelesaikan isu ini adalah kaum wanita itu sendiri.

Salam dan semoga rahmat Allah mencucuri anda semua.23"




Imam Ali Khamenei:-
Pemimpin Agung Bertemu dengan para Wanita Elit (11 Mei 2013)


"Kita tidak boleh sama sekali bersikap pasif dalam menghadapi wacana (idea-idea pemikiran) Barat. Sebaliknya, kita harus mengetengahkan wacana Islam berkenaan dengan isu wanita, dengan berani dan bersemangat."

"Mengapa harus kita bersikap pasif bila berhadapan dengan wacana Barat mengenai isu wanita sedangkan Islam memiliki idea-idea dan pemikiran yang lebih sempurna dan meyakinkan dalam isu ini,"

Beliau mengulang, "Barat sedang mencari cara untuk membuatkan wanita melakukan kerja-kerja yang sesuai dgn fizikal dan intelektual lelaki, dan mahu menggambarkan seolah itu adalah satu bentuk kelebihan dan kehormatan bagi wanita."

Ayatullah Khamenei berkata bahawa adalah tidak salah untuk seorang wanita dibiarkan memegang jawatan eksekutif,

"Yang salah adalah untuk merasa bangga apabila terdapat sejumlah besar wanita dalam posisi eksekutif, kerana ini selari dengan wacana Barat."

Pemimpin Tertingi Revolusi Iran itu mengulang : "Apa yang harus menjadikan kita merasa bangga adalah apabila terdapat ramai wanita yang mujahid dan yang intelektual yang terlibat aktif dalam arena kebudayaan dan politik,"

Ayatullah Khamenei berkata, "Semua ahli keluarga harus sentiasa berkelakuan hormat terhadap para wanita. Persekitaran dalam keluarga haruslah mewujudkan satu suasana di mana anak-anak mencium tangan ibu mereka. "

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam menambah, "Jika budaya menghormati kaum wanita itu dapat diterapkan dengan kukuh dlm kehidupan, maka banyak masalah dalam masyarakat kita akan selesai dan kaum wanita tidak akan ditindas."





Imam Ali Khamenei :-

"Kehebatan Zainab al Kubra (sa) tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana peristiwa besar yang lain dalam sejarah. Ia hanya boleh dibandingkan dengan peristiwa Ashura itu sendiri dan pastinya, kedua peristiwa ini, melengkapi satu sama lain."

Petikan : Ucapan Pertemuan Rahbar dengan Komander Basij (20/11/2013)

____________________________________________________________________________________________

Sayyid Moustafa Qazwini

Fatma: Apakah pandangan Islam mengenai kedudukan dan tanggungjawab wanita dalam masyarakat?

Sayyid: “Wanita dicipta untuk menjadi sebahagian dari masyarakat. Wanita adalah untuk membantu dalam memastikan moral, memelihara keselamatan dan memastikan kesejahteraan generasi akan datang, dan untuk menjadi ibu. Wanita dicipta untuk menjadi ibu dan pendidik kepada anak-anak, serta beberapa peranan penting yang lain.

Dalam zaman kita, sebahagian wanita telah hilang rasa bangganya dalam menjadi ibu. Kehormatan, kemuliaan, dan kekaguman dalam menjadi ibu telah gugur. Sebahagian memandang status ‘ibu’ atau ‘suri rumah’ sebagai sesuatu yang merendahkan martabatnya. Tidak ada yang memalukan atau hina dalam menjadi suri rumah atau ibu. Tidak ada yang tidak kena dengan menyayangi dan memelihara keluarga.

Sebaliknya, ibu adalah asas yang paling penting di mana anak-anak bergantung. Para ibu adalah pendidik bagi anak-anak; mereka adalah guru kepada anak-anak. Anak-anak memandang tinggi ibu mereka, mengaguminya, belajar dari ibunya, mewarisi karakternya, akhlak indahnya, dan kasih sayangnya. Menjadi ibu adalah sesuatu yang indah, berharga dan penting. Ia adalah sebuah pengembaraan yang panjang dan sukar untuk menjadi seorang ibu yang setia.

Walau bagaimanapun, kepentingan bapa tidak boleh dipandang ringan. Peranan seorang bapa sangat sangat penting kepada kesejahteraan keluarga dan ketiadaannya akan mencipta pelbagai kesukaran. Namun, ketiadaan seorang ibu boleh menjadi bencana bagi keluarga. Ibu adalah ikatan yang memastikan kesatuan keluarga.

Ibu adalah pembina masyarakat. Merekalah yang membesarkan pemimpin-pemimpin hebat, para saintis, doktor, suami, isteri, bapa dan ibu. Seorang ibu boleh merubah keseluruhan masyarakat dengan mengasuh seorang anak. Anak ini boleh merubah keseluruhan negara. Secara dasarnya, ibu menulis sejarah24.”


Sumber:
24. A New Perspective : Women of Islam oleh Sayyid Moustafa Qazwini http://www.al-islam.org/wii-persp-edt2/


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.