Monday 30 March 2015

Bab 3.2 : Perhatian Terhadap Susu Ibu



Susu ibu merupakan makanan utama bagi bayi yang baru lahir. Bukan sahaja kerana ia bersesuaian dengan tubuh dan sistem dalaman bayi, bahkan kajian menunjukkan bayi yang menerima susu ibu akan memiliki psikologi yang lebih aman dan tenang kerana dia merasakan kehangatan kasih sayang dari ibunya. Justeru itu dalam aspek ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian:-

1.      Keadaan emosi dan psikologi si ibu yang menyusu bayinya: Harus dalam keadaan tenang dan stabil. Ahlul Bait menekankan pentingnya suami isteri menjalin hubungan baik penuh kasih sayang sesama mereka, sedaya upayanya menjauhi perkara yang boleh menjejas emosi kedua mereka kerana ia memberi kesan terus kepada jiwa anak yang menyusu.

Professor Louis Cablan menegaskan, “Anak yang mendapat curahan kasih sayang yang cukup dari ibu pada tahun pertama dan kedua akan selalu merasa aman. Dia tidak akan merasa gelisah atau takut dan mudah menyesuaikan diri saat mencecah usia 3-4 tahun. Anak yang merasa aman memiliki kestabilan mental dan mudah bergaul dengan siapa saja dan bergabung dengan anak-anak seusianya.”

2.      Pemakanan ibu yang menyusu: Harus mengandungi nutrien yang mencukupi dan seimbang kerana kuantiti dan kualiti susu bergantung pada makanan ibu. Antara makanan yang bagus untuk ibu menyusu adalah kurma, madu, telur, susu dan buah-buahan.  Nutrien yang mencukupi sangat penting bagi pertumbuhan fizikal dan psikologikal anak.

3.      Jika si ibu tidak dapat menyusukan anaknya (atas sebab sakit misalnya) : Maka disarankan untuk mendapatkan ibu susuan yang solehah, atau jika ini tidak mungkin mendapatkan ibu susuan bukan Islam dengan syarat dia tidak meminum minuman keras atau apa saja yang membahayakan kesihatan anak.

Allama Tabatabai dalam Tafsir al-Mizan ada menjelaskan lanjut mengenai penyusuan anak, beliau berkata :- (Merujuk ayat 2:233)

“Ini adalah cabang kepada hak-hak si ibu dan pengelakkan mudarat kepada mana-mana pihak. Pengasuhan dan penyusuan anak bukanlah satu kewajiban bagi si ibu; ia adalah haknya dan dia boleh mengetepikan haknya jika dia mahu. Oleh itu tidak ada masalah sama sekali seandainya ibu bapa dengan persetujuan bersama menyapih anak sebelum cukup dua tahun. Begitu juga si ayah boleh mendapatkan ibu susuan bagi anak itu, jika si ibu memulangkan anak itu padanya dan enggan menyusukannya; atau jika si ibu jatuh sakit atau tidak cukup susunya atau sebab-sebab lain. Tetapi adalah wajib ke atas si ayah untuk memberikan ibu susuan itu haknya (bayaran) tanpa melanggar mana-mana haknya, sebagaimana yang difirmankan Allah: “dan jika kamu berkehendak mendapatkan ibu susuan buat anakmu, maka tidak ada salahnya bagi kamu selagi kamu serahkan (upah) dengan cara yang sepatutnya.”

Sumber
-Pendidikan Anak Menurut Ajaran Islam (m/s 43)

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.