Sebelum
kita menyambung lanjut perbincangan mengenai psikologi dan kaedah mendidik anak
dalam pelbagai isu, mari kita perhatikan terlebih dahulu tulisan
dari Allamah Sayyid Sa’eed Akhtar Rizvi dalam bukunya yang bertajuk
“Kehidupan Keluarga Islam”. Tulisan beliau ini merupakan ringkasan tentang
hak-hak anak dan tiga fasa yang dilaluinya, serta garis panduan yang diberikan
Ahlul Bait kepada para ibu bapa untuk mengasuh anak dalam setiap fasa tersebut.
Status
dan Hak-Hak Anak
Allah
SWT telah menjadikan hati ibu bapa sebagai sumber kasih sayang bagi anak-anak
mereka. Kasih sayang terhadap anak telah "ditetapkan" oleh Allah
dalam sifat semulajadi keibubapaan itu sendiri. Adalah normal bagi
ibu bapa untuk menyayangi anaknya; adalah tidak normal bagi ibu bapa tidak
menyayangi anaknya. Ini merupakan peraturan semula jadi dan juga peraturan
agama.
Islam
telah memberikan beberapa garis panduan yang menarik kepada ibu bapa bagi
mengasuh anak-anak mereka - sejak dari lahir anak itu hingga umurnya 21 -
dengan cara didikan Islam yang betul.
Rasulullah SAW
(sallallahu alahi wa aalihi wassalam) bersabda
kepada Imam Ali as :
"Wahai
Ali, terdapat banyak hak anak-anak yang
wajib ke atas ibu bapanya sebagaimana banyaknya hak ibu bapa yang wajib ke atas
anaknya.
Beberapa Hak-Hak Asas
Hak
anak-anak ke atas ibu bapanya boleh diringkaskan di bawah enam perkara berikut.
i) HAK UNTUK HIDUP: Tiada ibu bapa yang berhak untuk menggugurkan anak atau
membunuhnya selepas lahir atas apa-apa sebab sekalipun. Al- Quran mengecam
keras orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana takutkan kemiskinan.
Allah berfirman:
"Jangan
membunuh anakmu kerana (takut akan) kemiskinan - Kami akan memberi rezeki
kepadamu dan kepada mereka (6:152)
Rasulullah
SAW bersabda, "Sesiapa yang menahan diri dari mendirikan rumah tangga
kerana takutkan kemiskinan, dia sesungguhnya telah berfikir buruk terhadap
Tuhan."
ii) HAK UNTUK BERASAL DARI SEBUAH KELUARGA: Tiada ibu bapa yang boleh menafikan anaknya, atau
menafikan anak itu dari nama keluarga.
iii) HAK UNTUK DIBERIKAN NAMA YANG BAIK : Imam Ali as berkata, "Kebaikan pertama ibu bapa
terhadap anaknya adalah memberikan dia nama yang baik. Oleh itu, anda harus
menamakan anak anda dengan nama yang baik." Kanak-kanak mendengar namanya
(dipanggil) siang dan malam; maka adalah wajar untuk kita percaya bahawa,
maksud di sebalik nama secara tidak sedar akan menguatkan ciri-ciri yang
dimaksudkan dari nama tersebut. Apa yang ingin ditekankan di sini adalah nama mempunyai kesan psikologi ke atas
diri seseorang itu.
Nama
yang tidak elok, memberikan satu lagi kesan buruk. Setiap kali nama itu
dipanggil, orang tersebut akan merasa malu dan nama itu akan menjadi sumber
gangguan yang berterusan kepada dirinya, yang seterusnya memberi kesan kepada
perspektifnya terhadap masyarakat.
Rasulullah
SAW selalu menekankan aspek ini begitu banyak sekali sehingga Imam as-Sadiq
mengatakan, "Rasulullah SAW sering menukar nama-nama orang dan tempat yang
tidak elok.
iv) HAK MENDAPAT NAFKAH: Adalah hak anak untuk disediakan keperluan hidupnya oleh
ibu bapa; makanan, pakaian, tempat berlindung, perabot, dan apa sahaja yang
biasa diperlukan manusia untuk menjalani kehidupan terhormat.
v) HAK MENDAPAT PENDIDIKAN ASAS: Adalah hak anak untuk mendapat pendidikan asas sekular
mahupun agama.
vi) HAK DIBESARKAN CARA ISLAM: Adalah hak anak untuk dibesarkan dalam persekitaran rumah
yang bersifat Islami.
Tiga Fasa Kehidupan Kanak-Kanak
Islam
telah membahagikan asuhan anak-anak kepada tiga tahap dari lahir hingga umurnya
21. Pembahagian ini adalah berdasarkan hadis berikut oleh Rasulullah SAW:
"Anak
adalah tuan selama 7 tahun (yang pertama); seorang hamba selama 7 tahun (yang
kedua) dan seorang penasihat selama 7 tahun (seterusnya); oleh itu jika dia
membesar dengan karakter yang baik dalam tempoh 21 tahun, maka ia baik dan
bagus; jika tidak biarkan dia sendiri kerana anda telah dilepaskan
tanggungjawab anda di hadapan Allah SWT."
Hadis
yang sama juga telah dijelaskan oleh Imam Ja'far as-Sadiq sebagai berikut:
"Biarkan
anak anda bermain hingga umurnya 7 tahun, dan memastikan dia dengan anda (untuk
pendidikan dan latihan) selama tujuh tahun lagi; kemudian jika dia berjaya
(ianya baik dan bagus), jika tidak, tiada kebaikan baginya."
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.