Monday 30 March 2015

Bab 2 : Semasa dalam Kandungan




Peranan ibu

Apabila seseorang wanita itu mengandung, maka di situ bermulalah pengaruh seorang ibu terhadap anak di dalam kandungannya. Psikologi serta emosi ibu yang mengandung mempengaruhi psikologi dan keadaan anak yang bakal dilahirkan. Begitu juga amalan-amalan dan pemakanan yang diambil juga memberikan pengaruh kepada anak. Seandainya ibu mengandung sering merasa cemas, tidak tenteram, yang mana mengakibatkan ketidakstabilan kepada emosi dan psikologinya, maka pengaruh negatif akan memberi kesan kepada anak yang dikandungnya.

Oleh itu, ibu yang mengandung disarankan berhati-hati bukan saja dari segi pemakanan (yang pastinya harus datang dari sumber rezeki yang halal) bahkan menjaga soal halal haram dalam segala tindakannya. Mendengar dan melihat perkara-perkara yang baik seperti membacakan ayat-ayat suci Al-Quran akan memberikan impak yang positif pada anak dalam kandungan. Kajian menunjukkan bahawa apa yang sering didengar ibu mengandung akan terakam kemas di dalam kotak memori anaknya. Andai si ibu suka mendengarkan musik, maka tidak mustahil anak yang dikandungnya turut meminati perkara yang sama. Maka di sini kita dapat lihat betapa besarnya pengaruh seorang ibu kepada anak sejak dalam kandungan lagi.

Amalan yang digalakkan dilakukan oleh wanita semasa mengandung boleh dirujuk dalam mana-mana buku khusus tentang itu. Aplikasi android “Islam Toolkit” yang boleh dimuat turun melalui telefon pintar turut mengandungi perkongsian amalan ibu mengandung dari bulan pertama hingga bulan kesembilan secara terperinci. Ini termasuk membaca surah Al-Quran tertentu, pengambilan makanan tertentu, galakan solat di awal waktu, cuba untuk sentiasa dalam keadaan berwudu dan lain-lain.

Semoga Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepada semua wanita mengandung untuk cuba melaksanakan amalan-amalan ini, mudah-mudahan aspek spiritual, fizikal dan psikologi anak lebih terjamin dengan amalan-amalan yang disarankan Islam ini.


Peranan ayah


Wanita yang mengandung tidak mungkin mencapai kestabilan emosi dan psikologinya kecuali dengan bantuan dan kerjasama dari ahli keluarga terutama suaminya. Kehadiran suami di sisinya sangat bermakna lebih-lebih lagi apabila kata-kata semangat dan pujukan sering dihadiahkan kepada isteri ketika mana dia sedang melalui fasa-fasa mengandung yang penuh dengan cabaran.  Rasa mual, muntah tanpa henti, sukar tidur malam, sakit kepala, demam dan macam-macam lagi simptom yang mungkin dialami wanita yang sedang mengandung.

Selain dari seorang ayah itu bertanggungjawab untuk menyediakan pemakanan dari sumber rezeki yang halal kepada isterinya, dia juga harus berusaha untuk memastikan emosi dan psikologi isterinya dalam keadaan stabil. Memujuknya bukan dengan menggunakan kata-kata kasar, dan bersabar mendengar keluh resah dari sang ibu yang sedang mengalami perubahan luar biasa dalam tubuhnya.“Ketenangan dan keseimbangan mental sang ibu sangat mempengaruhi keselamatan janin semasa dalam kandungan juga keselamatan anak di masa menyusui.”

Iya, hanya sang suami saja yang boleh memberikan ketenangan kepada isterinya. Andai suami terpaksa berjauhan dengan isteri, berikan dia kata-kata semangat dan doa agar terus tabah. Membacakan untuknya ayat-ayat Quran buat menenangkan hatinya dan berusaha pulang untuk melawat dan melihat keadaan isteri. Seorang wanita itu menjadi lebih sensitif terutama ketika dia hamil, dan sangat memerlukan kasih sayang, rasa simpati dan perhatian yang lebih dari pasangan hidupnya.

Memang benar seorang wanita itu apabila dia mengandung, maka beberapa ketidakselesaan akan dirasakannya, namun segala ini tidak sia-sia dan Islam menyatakan bahawa terdapat ganjaran yang besar buat wanita yang mengandung.

Imam Ja'far as-Sadiq berkata:

"Setiap kali seorang wanita mengandung, sepanjang tempoh dia mengandung, dia mempunyai status yang sama seperti orang yang berpuasa, orang yang pada malam harinya beribadat, dan orang yang berjihad di jalan Allah dengan nyawa dan hartanya. Dan apabila wanita ini melahirkan anaknya, Allah akan mengurniakan ganjaran yang sangat banyak di mana tiada sesiapapun yang tahu batasan ganjaran tersebut kerana besarnya ganjaran itu. Dan pabila wanita ini menyusukan anaknya, untuk setiap susuan itu, Allah akan mengganjarinya dengan pahala seperti melepaskan seorang hamba dari keturunan 'Ismail, dan apabila tempoh menyusukan anak telah tamat, salah seorang dari malaikat Allah yang hebat akan menepuk sebelahnya sambil berkata: "Mulakanlah berbuat amal, sesungguhnya Allah telah mengampunkan kesemua dosa kecilmu"

Dan bagi lelaki yang bertungkus-lumus bekerja mencari rezeki yang halal:-

Imam Muhammad al-Baqir berkata :-

“Dia yang (berusaha bekerja) mencari rezeki di dunia ini agar tidak bergantung dengan orang lain dalam memenuhi keperluannya, dan untuk memberi nafkah kepada ahli keluarganya, serta untuk menghulurkan kasih sayang buat jiran-jirannya, maka dia akan bertemu Allah, Yang Maha Kuasa pada Hari Pengadilan dengan wajah yang bercahaya seperti bulan penuh,”

Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang tidur pada malam harinya kerana penat bekerja mencari rezeki yang halal, maka dosa-dosanya diampunkan Allah SWT,”

Sumber : Pendidikan Anak Menurut Ajaran Islam (m/s12)

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.