1. Penyusuan bayi dapat menyelamatkan
nyawa semasa bencana melanda.
Susu ibu
bukan sahaja mengandungi nutrisi lengkap untuk bayi, ia juga mengandungi
antibodi yang dapat melidungi bayi dari jangkitan kuman dan penyakit. Semasa
bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan sebagainya – kita terdedah dengan
ancaman penyakit berjangkit seperti kolera, demam kepialu, cirit-birit dan
sebagainya akibat persekitaran yang kotor, air yang tercemar dengan kumbahan
dan bangkai haiwan.
Kanak-kanak
dan bayi terutamanya adalah golongan yang mudah diserang oleh penyakit dalam
keadaan begini. Makanan yang paling selamat
bagi bayi adalah susu ibu. Oleh itu – amat digalakkan untuk para ibu
untuk meneruskan penyusuan di kala menghadapi bencana alam.
2. Tekanan dan kelaparan tidak menjejaskan
kualiti dan jumlah susu ibu yang dihasilkan.
Kebanyakan
ibu risau tidak dapat meneruskan penyusuan semasa bencana akibat tertekan
dengan persekitaran serta mereka sendiri berfikir yang keadaan ibu yang lapar
tidak mampu menghasilkan susu untuk bayi. Ini tidak benar sama sekali. Susu ibu
dihasilkan dengan menggunakan stor simpanan di dalam badan ibu. Nutrisi yang
dikandung dalam susu ibu tidak terjejas walaupun si ibu dalam keadaan
kebuluran. Yang penting, si ibu perlu
diberikan sokongan moral dan emosi untuk teruskan menyusu anak mereka.
Kepada
tenaga bantuan bencana alam, adalah penting untuk memastikan ibu-ibu yang
menyusu mendapat ruang yang lebih privasi untuk memudahkan ibu menyusu dengan
aman. Berikan keutamaan bekalan makanan untuk si ibu yang menyusu supaya mereka
lebih bertenaga untuk meneruskan penyusuan dan menjaga keperluan bayi mereka.
Jika jumlah susu badan berkurangan, galakkan ibu untuk menyusu lebih kerap –
setiap 2 jam sekali atau 8-12 kali dalam sehari
3. Bayi yang kurang sihat lebih memerlukan
susu badan
Kanak-kanak
dan bayi 5 kali lebih mudah meninggal dunia, mengalami dehidrasi melampau
akibat diserang penyakit berjangkit khasnya diarrhea (cirit-birit). Bayi yang
menyusu badan mempunyai kurang risiko untuk mengalami cirit-birit. Bagi bayi
yang telah diserangkan penyakit, teruskan penyusuan bayi kerana susu ibu
mengandungi faktor imun dan nutrien yang dapat membantu melawan penyakit. Malah
susu ibu mengandungi kandungan air yang tinggi dan mampu mengurangkan risiko
dehidrasi. Air kosong, teh, air garam atau ‘electrolyte solutions’ bukan lah
alternatif yang sama baik jika dibandingkan dengan susu ibu.
4. Bagi ibu yang tidak pernah menyusukan badan –
mereka boleh memulakan semula penyusuan.
Untuk
ibu yang tidak pernah menyusu, mungkin mereka beranggapan adalah mustahil untuk
mereka memulakan penyusuan semula khususnya semasa keadaan yang tertekan
seperti bencana alam. Namun, tiada yang mustahil dalam hidup ini. Proses untuk
memulakan penyusuan bayi dinamakan relaktasi. Ada banyak cara dan teknik yang
boleh digunakan untuk memperkenalkan bayi kembali kepada penyusuan badan.
5. Susu formula boleh membahayakan bayi
khususnya yang berusia kurang dari 6 bulan
Keadaan
persekitaran yang kotor dan tiada bekalan air bersih atau kemudahan memasak
boleh menyebabkan kesukaran untuk menyediakan susu formula yang selamat. Jika
si ibu perlu memberi susu tepung formula untuk bayi atau anak mereka,
diingatkan untuk HANYA menggunakan air bersih yang telah dididih
sekurang-kurangnya 1 minit lebih pada suhu tinggi. Ini untuk memastikan kuman
dalam air mati dan tidak membawa mudarat.
Bekas
susu yang digunakan juga perlu dibasuh dengan air bersih dan dinyahkuman dengan
seeloknya. Bagi ibu yang menyusu badan secara langsung, langkah keselamatan ini
tidak diperlukan kerana susu badan sudah dalam keadaan steril.
6. Penyusuan bayi memudahkan si ibu
Bagi ibu
yang menyusu badan – adalah mudah untuk mereka menyusu di mana-mana mereka
berada. Malah, mereka boleh menggunakan kain gendong untuk membantu mereka
menyusu ‘on-the-go’ di tempat awam ataupun keadaan bergerak sekalipun.
Juga,
mereka tidak memerlukan alatan tambahan seperti alat sterilisasi, botol susu,
bekas air masak dan sebagainya untuk menyediakan susu mereka kerana susu badan
sudah tersedia untuk digunakan. Ini memudahkan si ibu untuk bergerak
menyelamatkan diri tanpa dibebankan untuk membawa bekalan susu tepung dan
alatan tambahan untuk menyusu.
7. Penyusuan bayi dapat menenangkan bayi dan
ibu:
Semasa
menyusu – hormon oksitosin dirembeskan. Hormon ini berupaya untuk menenangkan
emosi ibu yang tertekan akibat menghadapi bencana. Bayi yang menyusu juga
senang ditenangkan kerana semasa menyusu, si bayi berada di dalam dakapan erat
ibu. Keadaan ini menggalakkan rasa selamat dan aman bagi si bayi.
8. Penyusuan bayi membantu regulasi suhu badan
bayi:
Semasa
bencana, bayi terdedah dengan hawa sejuk dan panas persekitaran. Penyusuan bayi
dapat melaraskan suhu bayi melalui mekanisma termoregulator yang diaktifkankan
oleh dakapan kulit ibu ke kulit bayi secara langsung. Dengan cara ini kita
dapat melindungi bayi dari kesan ‘hypothermia’ (kejatuhan suhu badan).
Sumber:
Subscribe
Percuma : Tips Penyusuan Bayi - http://www.nuhalittleshop.com/ebook-percuma-survival-di-awal-penyusuan/
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.