Tuesday 7 April 2015

Bab 14.5.5 : Sampel Kontrak 2 (Malaysia)

Di Malaysia, penambahan syarat-syarat ‘optional’ semasa menandatangani kontrak perkahwinan dikenali sebagai takliq. Berikut beberapa artikel mengenai takliq dan aplikasinya di Malaysia ini.



Artikel 1

Taklik - `Pelindung' Wanita Elak Teraniaya
Oleh Utusan Online - Noor Azmah Ibrahim

Antara perkara pertama yang dilakukan oleh seseorang apabila membeli kereta baru ialah mendapatkan premium atau polisi insuran. Jika ia bukan satu kewajipan sekalipun, pasti ramai yang memilih untuk membelinya sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian.

Malangnya, apabila membicarakan tentang perkahwinan, jarang yang beringat untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi diri, anak-anak atau perkahwinan itu sendiri. Kesilapan pertama mungkin kerana kurang teliti memilih pasangan hidup apabila pertimbangan dibuat berdasarkan cinta dan paras rupa semata-mata.

Namun kesilapan yang lebih besar ialah apabila tidak berusaha mengambil langkah berjaga-jaga dengan memanfaatkan taklik yang sedia ada. Sedangkan perkahwinan adalah satu keputusan besar yang bukan sahaja melibatkan kehidupan dan masa depan diri sendiri, tetapi juga generasi akan datang.

Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar berkata, kebanyakan negeri mempunyai taklik atau syarat-syarat yang dipersetujui bersama di dalam perkahwinan.

Selain lafaz yang sedia ada, pasangan juga boleh menambah syarat-syarat lain bergantung kepada perbincangan dan kata sepakat yang dicapai. Katanya, Seksyen 22 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 membenarkan penambahan dalam taklik dalam pedaftaran perkahwinan.

"Taklik jika dimanfaatkan sepenuhnya akan dapat melindungi diri daripada teraniaya disebabkan suami mengamalkan poligami atau sebagainya.

"Secara teori, ia juga boleh diubah dalam tempoh perkahwinan berlangsung mengikut kehendak pasangan. Mungkin sudah tiba masa kita mengujinya dari segi pelaksanaan pula,'' katanya pada Bengkel Hak-hak dan Kedudukan Wanita Dalam Islam Untuk Wartawan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Zainah, amalan tersebut bukan sahaja tidak biasa dilakukan, malah ramai yang masih belum mengetahui tentang kelonggaran tersebut.Lebih malang, terdapat juga di kalangan wanita yang tidak langsung menyedari kewujudan taklik didalam perkahwinan.

"Saya pernah bertembung dengan insiden di Perlis yang mana hanya apabila melihat surat nikah wanita-wanita yang lebih berumur, barulah golongan muda menyedari mereka tidak mempunyai taklik.

"Jika ada kesedaran tentang kelebihan taklik sekalipun, kebanyakannya teragak-agak untuk bertanya tentang syarat-syarat lain yang boleh dimasukkan kerana bimbang mencabar kepercayaan suami,''katanya.

Akibatnya, wanita sendiri yang rugi kerana melepaskan peluang yang ada untuk melindungi hak semasa dan selepas perkahwinan. Lebih-lebih lagi apabila berlaku pengabaian yang mana mereka sukar untuk menuntut hak kerana tidak terikat dengan sebarang perjanjian.

Ini berbeza dengan wanita-wanita di beberapa negara Islam seperti Iran, Syria, Jordan, Maghribi dan Mesir menggunakan taklik untuk menghalang poligami tanpa keizinan.

Ia dilakukan dengan persetujuan suami untuk tidak berkahwin lain sepanjang tempoh perkahwinan dengan isteri pertama.

"Negara-negara tersebut mengamalkan undang-undang bahawa suami yang bersetuju dengan kontrak perkahwinan tidak akan berkahwin dengan perempuan lain sepanjang perkahwinan dengan isteri pertama dan dia terikat dengan syarat-syarat tersebut.

"Rakyat negara-negara tersebut juga tahu bahawa mereka boleh berbuat demikian. Jadi ramai pasangan yang memasukkan syarat-syarat ini dalam kontrak perkahwinan atau taklik,'' jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya berpendapat bahawa Malaysia juga patut meletakkan syarat-syarat tersebut sebagai tambahan kepada taklik yang sedia ada bagi melindungi kaum wanita. Dalam masa yang sama, pasangan juga diberi pilihan untuk mengekalkan atau menghapuskannya.

Begitu juga pengetahuan tentang taklik yang mana pihak-pihak berkenaan perlu menyebarluaskan perkara tersebut melalui kursus perkahwinan, seminar dan sebagainya. Ini untuk membolehkan wanita bukan sahaja peka terhadap tanggungjawab di dalam perkahwinan, tetapi juga tindakan yang boleh diambil untuk menjamin kebajikan diri jika timbul sebarang masalah.

Sementara itu, taklik ialah pembubaran perkahwinan yang berlaku apabila suami atau isteri melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama.

Ia bertujuan untuk melindungi hak-hak isteri untuk kebaikan mereka agar tidak teraniaya.
Kebiasaannya, taklik yang sering berlaku ialah taklik yang diucapkan oleh pihak suami selepas akad nikah berkaitan dengan pengabaian nafkah seperti yang terdapat di dalam surat akuan nikah.

Lafaz taklik tersebut berbunyi;

"Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hal ia taatkan saya, atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian dia mengadu kepada mahkamah syariah dan apabila sabit aduannya di mahkamah syariah, dan ia memberi kepada mahkamah syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit, maka pada ketika itu tertalaklah ia secara talak khuluk''.

Ada beberapa negeri yang meletakkan taklik tambahan iaitu sekiranya suami merujuk isterinya tanpa persetujuan pihak isteri maka jatuh satu talak.

Malah, ada negeri yang tidak meletakkan tebus talak untuk memperoleh taklik seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan.43


Artikel 2

Jika kita ingatkan majlis pernikahan yang diadakan sekarang, sebaik sahaja suami menerima nikahnya daripada wali atau wakil wali, imam akan membacakan doa kesyukuran. Selesai doa, imam akan meminta pengantin lelaki membaca taklik dan didengar oleh pengantin perempuan dan disaksikan oleh semua orang.

Antara lain isi kandungan taklik ialah jika suami meninggalkan isterinya empat bulan berturut-turut tanpa nafkah zahir dan batin atau jika suami lazim menyakiti isterinya dan jika dalam mana-mana keadaan isteri tadi membuat aduan ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah mengesahkan aduan tersebut, maka isteri tertalak dengan talak satu.
Selepas membaca, kedua pasangan pengantin yang telah sah menjadi suami isteri menandatangani surat taklik tersebut. Taklik diletakkan di belakang surat nikah supaya pasangan tahu bahawa lafaz taklik itu termaktub secara bertulis supaya mereka tidak terlupa. Ini kerana taklik akan menjadi sah dengan berlakunya keadaan yang disebutkan dan isteri membuat aduan.

Taklik formal ini diwujudkan di semua negeri. Jika diamati, tujuan utama ialah untuk mengelak isteri daripada digantung tak bertali atau ditinggal langsung.

Dahulu kita biasa dengar suami meninggalkan isterinya tanpa sebab dan khabar berita. Isteri tidak membuat aduan kepada sesiapa, malah meneruskan kehidupan bersama anak dengan tabah. Ada masanya sehingga meninggal dunia, isteri tidak pernah meminta cerai dan berdosanya seorang suami yang menyiksa isterinya sebegitu rupa.

Rujuk surah an-Nisa ayat 19 dan al-Talaq ayat 1, jika diamati kedua-dua ayat Quran ini, suami yang diberi kuasa talak hendaklah menggunakannya dengan tanggungjawab dan kebijaksanaan. Meninggalkan isteri begitu sahaja tanpa nafkah sedangkan nafkah isteri itu wajib ke atas suami, tentulah suami menanggung dosa di atas kesengsaraan isteri dan anak-anak.

Daripada mengumpul dosa tanpa sedar, alangkah baiknya suami menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan menghadapinya, sama ada dengan ke mahkamah syariah atau mencari pendamai atau kaunselor yang boleh memperbaiki keadaan.44

Artikel 3

Apakah taklik?

Taklik adalah syarat-syarat yang boleh ditetapkan antara pasangan suami isteri setelah mencapai satu persetujuan. Mengikut seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, taklik bermaksud lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan akta ini.

Adakah kerajaan sudah menetapkan satu surat taklik yang standard?

Sememangnya pihak kerajaan telah menetapkan satu surat perakuan taklik yang standard dan diguna pakai oleh setiap negeri. Taklik standard adalah seperti berikut: Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu bertalak ia dengan talak khulâ. Bagaimanapun, taklik ini mungkin berbeza dari satu negeri ke negeri yang lain.

Adakah kita boleh menambah taklik yang sudah disediakan oleh kerajaan ini?

Seksyen 22 Akta memperuntukkan tentang pendaftaran taklik lain dalam Pendaftaran Perkahwinan. Taklik lain inilah yang dimaksudkan dengan taklik tambahan. Akta juga tidak menyebut apakah syarat-syarat yang boleh ditambah tetapi hendaklah tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Apakah syarat-syarat yang boleh dikatakan tidak bertentangan dengan hukum syarak?

Antara contoh syarat-syarat yang dibenarkan dalam hukum syarak ialah:-
- suami tidak boleh paksa isteri berhenti kerja sesudah berkahwin,
- suami tidak boleh mendera emosi isteri,
- suami tidak boleh berpoligami tanpa keizinan isteri sedia ada dan
- suami memberi kuasa kepada isteri untuk menceraikannya.

Adakah dengan terlanggarnya syarat-syarat tersebut, maka penceraian terus berlaku?

Penceraian tidaklah berlaku secara automatik. Isteri hendaklah mengadu kepada mahkamah syariah. Apabila sudah terbukti bahawa adanya syarat-syarat yang telah dipersetujui dan satu pihak telah melanggarnya, maka mahkamah akan memutuskan penceraian taklik ini.

Bolehkah pasangan yang sudah berkahwin menambah taklik mereka?

Sudah tentu boleh. Tidak ada halangan masa untuk menambah taklik dari segi hukum syarak mahupun undang-undang. Asalkan pasangan suami isteri telah bersetuju, maka ia boleh dilakukan.

Apakah prosedur untuk membuat tambahan kepada taklik yang sudah ada ini?

Satu dokumen yang mengandungi syarat-syarat taklik hendaklah di bawa ke Pejabat agama yang berdekatan untuk didaftarkan di bahagian Pendaftaran Pernikahan dan Penceraian.

Suami kemudiannya hendaklah melafazkan taklik tambahan ini di hadapan Pendaftar dan isteri, disaksikan oleh dua orang saksi. Suami, isteri dan saksi-saksi kemudiannya menandatangani surat perakuan taklik tambahan sebagai tanda mengesahkan perjanjian tersebut.45

Artikel 4


KITA sering mendengar seorang isteri mengadu dia digantung tidak bertali. Kisah penderitaan seorang wanita yang digantung tidak bertali sering dipaparkan di dalam khabar mahupun melalui drama dan pementasan. Namun apakah sebenarnya, gantung tidak bertali?

Ia adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh suami dengan meninggalkan isteri dan anak-anaknya tanpa memberi sebab dan tanpa memberitahu di mana dia berada.

Dalam bahasa undang-undang, gantung tak bertali adalah tinggal langsung. Di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, tinggal langsung tidak ditakrifkan tetapi adalah satu kesalahan. Ini dapat dilihat dalam seksyen 127, yang berbunyi: “Jika seseorang telah diperintahkan oleh mahkamah supaya hidup bersama semula dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia telah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu."

Dalam peruntukan ini, seorang isteri telah pun membuat aduan kepada mahkamah yang suaminya telah tidak pulang ke rumah atau telah meninggalkannya untuk tempoh tertentu dan mahkamah telah mengeluarkan perintah memerintahkan suami tersebut untuk hidup semula dengan isterinya, dan jika suami tersebut enggan berbuat demikian, maka jika isteri ini memaklumkan kepada mahkamah mengenai keengganan suami tersebut, maka suami boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Jika dilihat daripada peruntukan ini, meninggalkan isteri begitu sahaja adalah suatu kesalahan namun jika isteri tidak membuat aduan dan mendapatkan perintah, maka tiada apa yang boleh dibuat oleh mahkamah.

Jika aduan dibuat dan mahkamah mengeluar perintah, suami yang ingkar boleh dikenakan hukuman. Namun hukuman tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah isteri yang ditinggalkan langsung ini.

Kebiasaannya dalam kes tinggal langsung, suami mungkin meninggalkan isteri selepas berkahwin beberapa lama dan telah mempunyai anak. Ada kes suami meninggalkan rumah kerana pergaduhan, sama ada dengan isteri atau keluarga isteri. Isteri pula tidak cuba mencari suami kerana masih marah dan ada juga kerana dilarang keluarga.

Apabila suami telah tidak pulang sebulan dua atau apabila wang simpanan mula menipis atau apabila makanan telah tiada, baru isteri mula merasa resah dan gelisah. Jika isteri bekerja, kerisauan itu mungkin tidak sama dengan isteri yang tidak bekerja tetapi tetap risau dan gusar.

Bagi yang bekerja, kerisauan tertumpu kepada bayaran bulanan sewa atau pinjaman rumah, bayaran kereta (jika semua itu dibayar oleh suami sebelum ini) dan bagi yang tidak bekerja ialah di mana ia hendak mencari wang untuk membeli makanan dan menghantar anak ke sekolah.

Tinggal langsung

Ada kes isteri yang ditinggalkan langsung terpaksa balik ke rumah ibu bapa sendiri setelah ditinggalkan suami kerana tidak ada duit untuk membayar sewa. Ada juga rumah yang dilelong bank kerana suami tidak membayar pinjaman dan isteri tidak cukup wang untuk membayarnya. Akhirnya isteri terpaksa berpindah bersama anak-anak.

Oleh kerana pendapatan keluarga menjadi berkurangan dalam kes isteri yang bekerja, maka isteri perlu mengubah cara hidup bersama anak-anak seperti berpindah ke rumah yang lebih kecil di mana sewanya lebih rendah, tidak menghantar anak ke tuisyen, anak berhenti menikmati kemewahan seperti kelas renang, kelas muzik dan sebagainya dan berhenti memakan makanan yang mahal yang biasa dibeli ketika ayah ada bersama.

Perubahan kehidupan ini sering menjejaskan emosi anak dan ada masanya jika tidak dipantau dengan baik akan timbul rasa kebencian yang sukar dibendung dan dipulihkan. Kesukaran ini akan lebih teruk lagi bagi isteri yang tidak bekerja dan bilangan anak yang agak ramai.

Ada yang malu untuk pulang ke rumah keluarga kerana keluarga juga bukan orang yang senang, maka biasanya ibu ini akan membawa anak-anak ke tempat lain. Dia mula mencari kerja dan jika dia ada kepandaian seperti memasak dan menjahit, dia mungkin akan menjalankan perniagaan sendiri.

Hari ini anak-anak kita kurang berminat dalam hal-hal memasak dan menjahit. Jadi apabila berlaku sesuatu kepada suami, mereka terpaksa mencari pekerjaan seperti kerja di kilang. Kerana anak yang ramai, mereka tidak mungkin boleh menjadi pembantu rumah. Isteri-isteri yang ditinggal langsung ini adalah kategori isteri yang jahil ilmu atau jika dia berilmu, dia lebih suka menyerah kepada takdir.

Sebenarnya, jika isteri ditinggal langsung oleh suami tanpa sebab dan khabar berita lebih dari empat bulan berturut-turut, isteri telah layak memohon taklik. Ini diperuntukkan dalam seksyen 50 yang berbunyi:

“(1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan."


Cerai taklik

Untuk mendapat cerai taklik, pasangan mesti telah membuat janji atau ikrar di mana suami melafaz taklik selepas majlis akad nikah. Tujuan taklik adalah untuk menyelamatkan isteri yang “digantung tak bertali" daripada terus hidup dalam ketidaktentuan. Untuk membolehkan isteri memohon taklik, suami mesti telah melafaz taklik selepas majlis akad nikah dan isteri mesti telah mendengar taklik yang telah dilafazkan itu.



Takliq perceraian bersyarat

Dan suami jika telah melafaz syarat dan apabila isteri melanggar syarat, maka taklik berkuatkuasa. Selain daripada taklik, mangsa tinggal langsung boleh juga memohon fasakh untuk bercerai kerana ditinggal langsung oleh pasangannya. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh diperuntukkan dalam seksyen 53 di mana ada banyak alasan untuk memohon fasakh, namun yang paling relevan adalah seksyen 53 (1) yang berbunyi,

“Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu;

(a)    bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari satu tahun; ……"

Jika dilihat daripada peruntukan taklik dan fasakh maka kemungkinan seorang isteri menderita kerana ditinggal langsung untuk sekian lamanya adalah tipis. Undang-undang keluarga Islam membuat peruntukan-peruntukkan yang jelas dalam hal ini untuk memastikan isteri tidak ditinggalkan begitu sahaja.50

Artikel 5


Soalan:

Saya sudah baca beberapa kali di dalam ruangan ini bahawa saya boleh menambah takliq yang bakal suami akan lafazkan semasa akad nikah kelak. Saya dan tunang saya telah berbincang tentang perkara ini dan Alhamdulillah, Tunang saya bersetuju dengan tambahan syarat yang mahu saya masukkan. Bukan saya tak percayakan dia, tapi saya mahu juga nak lindung hak saya.

Ramai rakan saya kata bahawa tak bagus ingatkan cerai semasa nak kahwin tapi saya rasa tak salah kalau saya cuba buat perkara yang baik. Bukan saya nak ingat cerai. Masalah saya ialah semasa saya hadiri kursus perkahwinan, saya ada tanya macamana nak buat perjanjian takliq ini. Ustaz itu kata tak payah dan tak perlu buat.

Bila saya tanya kawan-kawan, tak ada seorang pun tahu bagaimana. Saya tak mampu nak jumpa peguam. Boleh tak SIS beritahu bagaimana nak buat takliq tambahan itu?

Dewi Abadi,
Kuala Lumpur


Jawapan:

Tahniah atas perkahwinan yang bakal saudari lalui kelak. Sememangnya ramai yang salah anggap terhadap tujuan takliq tambahan diadakan bagi pasangan yang mahu bernikah. Ia bukanlah satu cara bagi pasangan untuk merancang perceraian tetapi adalah satu cara bagi menyelamatkan perkahwinan. Ini adalah kerana bakal suami-isteri tersebut akan duduk berbincang mengenai alam dan bentuk perkahwinan yang akan mereka tempuhi kelak.

Takliq tambahan sememangnya dibenarkan oleh Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, di bawah Seksyen 22. Saudari boleh mendraf perjanjian tersebut dan kemudian berbincang dengan bakal suami mengenai draf bagi mendapatkan persetujuannya. Ini agar semasa lafaz takliq kelak tidak timbul salah-faham. Pasangan boleh meletakkan apa-apa syarat tetapi ia haruslah dipersetujui oleh suami kerana dia harus melafazkannya.

Disini, kami sertakan satu draf perjanjian takliq tambahan sebagai contoh. Saudari boleh menuruti atau meletakkan syarat-syarat lain. Pastikan saudari mendapatkan saksi yang berkenaan.

CONTOH PERJANJIAN TAKLIQ

Perjanjian ini dibuat pada _____________(Isikan tarikh perkahwinan) antara No Kad Pengenalan_______________(selepas ini digelar sebagai Suami) bagi satu pihak dan ___________________. No Kad Pengenalan (selepas ini digelar Isteri) bagi pihak lain.

Walhal:-

1. Suami dan Isteri telah bersetuju untuk berkahwin dan mengijab kabulkan nikah pada: _______________________

2. Suami dan Isteri telah bersetuju bahawa hak dan tanggungjawab mereka sebagai suami isteri hendaklah tertakluk kepada syarat dan Takliq seperti dinyatakan di bawah ini.

3. Perjanjian dan takliq yang dinyatakan di bawah ini adalah tambahan kepada perakuan nikah dan hendaklah menjadi syarat penting dalam ijab kabul dan pernikahan Suami dan Isteri.

Maka, kedua-dua Suami dan Isteri dengan ini bersetuju seperti berikut:-

1. Saya,____________________(isikan nama suami) dengan ini melafaz dan berikrar seperti berikut:-

(a) Manakala saya merujuk akan Isteri saya tanpa redhanya,

(b)    Manakala saya menggunakan kekerasan atau kezaliman dengan memukul atau mendera Isteri samada secara fizikal, mental atau emosi,

(c) Manakala saya menyekat atau menahan Isteri bekerja atau menyambung pengajiannya, atau keluar dari rumah samada untuk bekerja atau, menyambung pengajiannya,

(d) Manakala saya berkahwin sekali lagi dengan mana-mana pihak lain semasa perkahwinan saya dengan Isteri tanpa redhanya,

(e) Manakala saya menyekat atau menahan Isteri dari keluar rumah untuk menziarah keluarga,

(f) (Sila isikan apa-apa syarat yang telah dipersetujui)

maka mengadulah Isteri kepada mana-mana Hakim Syariah dan bersabit pengaduannya pada sisi Hakim Syariah itu, maka pada ketika itu tertalaklah Isteri dengan satu talak.

Dengan ini Suami mengaku bahawa saya telah melafazkan syarat dan TAKLIQ di atas dengan disaksikan oleh saksi-saksi yang juga menurunkan nama & tandatangan mereka di bawah ini di dalam kehadiran saya dan kehadiran saksi-saksi tersebut serentak.

Dengan ini Isteri mengaku bahawa Suami telah melafazkan syarat dan TAKLIQ di atas dengan disaksikan  oleh saksi-saksi yang juga menurunkan tandatangan mereka di bawah ini.

Suami                                                                                      Isteri


_____________________________                                                   ________________________________
Nama:                                                                                     Nama:
No. K/P:                                                                                  No. K/P:


Disahkan oleh saksi-saksi yang mengesahkan bahawa Suami telah melafazkan syarat dan TAKLIQ di atas dalam kehadiran kami berdua serentak:


Saksi 1                                                                                                Saksi 2


_________________________________                                               ___________________________________
Nama:                                                                                     Nama:
No. K/P :                                                                                 No. K/P:


Sumber : Panel Peguam Sisters In Islam51


Artikel 6

Soalan:

Saya akan berkahwin tidak lama lagi. Tunang saya ada terbaca bahawa bakal mempelai boleh membuat ta'liq tambahan yang boleh memuatkan lebih banyak syarat berbanding ta'liq biasa. Dia berniat membuat ta'liq tersebut agar kami jelas akan tanggungjawab masing-masing dalam perkahwinan ini di samping melindungi hak saya sebagai isteri. Saya bersetuju dengan cadangannya. Masalahnya, kami tidak pasti akan cara membuat ta'liq ini. Selain itu, bolehkah syarat ta'liq ditambah selepas perkahwinan berlangsung?

Hayati Musa & Munir Mohammed,
Wilayah Persekutuan Labuan

Jawapan:

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang terpakai kepada anda berdua sememangnya ada memperuntukkan bahawa bakal mempelai boleh menetapkan ta'liq lain di samping ta'liq yang sedia ada dalam surat perakuan nikah.

Terima kasih kerana mengemukakan soalan ini - kami gembira apabila mendapati ada pasangan yang bukan sahaja celik ta'liq dan mengerti akan pentingnya membuat ta'liq yang terperinci sebelum berkahwin , malah mahu pula membuat ta'liq tambahan demi kebaikan pasangan masing-masing.

Ta'liq tambahan dikarang mengikut syarat yang dipersetujui oleh anda berdua, sebagai contohnya, bahawa tunang anda tidak boleh berpoligami; ini merupakan syarat ta'liq yang secara amnya diterimapakai di Negara-Negara Timur Tengah, India dan Pakistan.

Ta'liq dibuat untuk melindungi hak suami dan isteri di samping menggariskan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh perkahwinan demi memastikan wujudnya persefahaman antara kedua belah pihak. Atas sebab ini, adalah penting untuk memastikan anda berdua berpuasa hati dengan draf ta'liq yang telah ditulis. Pindalah ia jika ada bahagian yang tidak dipersetujui, baik tentang syarat yang dimasukkan mahupun penggunaan perkataan atau olahan ayat.

Sesudah ta'liq tersebut siap, bawa sesalinan semasa akad nikah supaya ia boleh didaftarkan dalam Daftar Perkahwinan menurut Seksyen 22 akta yang sama. Prosedur untuk mendaftar ta'liq tambahan sama dengan ta'liq biasa. Apabila ta'liq itu dicatatkan di dalam Daftar Perkahwinan, ia kena diakusaksi oleh anda berdua, wali dan juga dua orang saksi. Kemudian, catatan ta'liq itu hendaklah ditandatangani oleh Pendaftar Perkahwinan.

Kini, ta'liq tambahan anda berdua dikira sudah berkuatkuasa dan segala syarat yang terkandung di dalamnya perlulah dituruti.

Tiada halangan dari segi undang-undang syariah mahupun hukum agama bagi pasangan yang ingin menambah syarat ta'liq selagi perkahwinan itu masih wujud. Dengan kata lain, syarat ta'liq boleh ditambah pada bila-bila masa selepas perkahwinan berlangsung. Untuk pengetahuan anda berdua, ta'liq yang ditambah selepas berkahwin sama efeknya dengan ta'liq yang dilafazkan oleh suami semasa bernikah.

Mudah sahaja menambah ta'liq selepas berkahwin. Mula-mula, draflah ta'liq yang ingin ditambah dan pastikan anda berdua bersetuju akan kandungannya. Selepas itu, dapatkan dua orang saksi; mereka tidak semestinya saksi yang sama dengan saksi bagi ta'liq yang asal. Seterusnya, suami anda perlu melafaz ta'liq itu dan lafazannya mesti didengar dengan jelas oleh anda dan saksi-saksi tadi. Pastikan yang suami anda membaca ta'liq tersebut mengikut draf yang telah anda berdua persetujui. Kemudian, anda berdua serta saksi-saksi perlu menandatangani ta'liq itu.

Akhir sekali, simpanlah ta'liq yang telah ditandatangani di tempat yang selamat. Ini amat penting kerana anda perlu membawa ta'liq itu bersama apabila membuat pengesahan di mahkamah bagi perceraian ta'liq sekiranya anda atau bakal suami anda melanggar syarat di bawah ta'liq itu.

Sumber : Panel Peguam Sisters In Islam.


Artikel 7

Lafaz Taklik Mengikut Negeri


Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain. Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini akan dicatatkan sekali dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.

1)     Terengganu

“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”

2)     Kelantan

“Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal ia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama 4 bulan atau lebih atau (nama isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi.”

3)     Kedah

Lafaz talak taklik yang baru di Kedah berbunyi:

“Adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik, jika :

(1) Saya tidak berma'syarah yang ma'ruf dengan isteri saya (nama Isteri) sama ada saya meninggalkan dia dengan segaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih atau;

(2) saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah atau:

(3) saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau lain-lain darar syarie terhadapnya, dan apabila dia mengadu kepada khadi atau hakim syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau hakim syarie dan ia memberi kepada khadi atau hakim syarie bagi pihak saya sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia (nama Isteri) dengan satu talak khuluq.”


4)     Perak

1) Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak.

2) Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana kadi syariah dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu.

3) Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.”


5)     Selangor

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”

6)     Johor

“Manakala saya tinggalkan isteri saya.....(nama isteri).....selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya, kemudian ia mengadu atau wakilnya mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduannya di sisi kadi atau mahkamah syariah dan ia atau wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya $1.00 maka ketika itu tertalaklah ia dengan satu ‘talak khulu’, atau saya ghaib daripada isteri saya yang tersebut selama satu tahun atau lebih, jika ia atau wakilnya mengadu kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya manakala bersabit aduannya, nescaya tertalaklah ia satu talak, demikian lafaz taklik saya52.”




Artikel 8


Soalan:

SAYA telah bertunang dan akan berkahwin pada bulan Julai 2003. Kami merasakan bahawa kami perlu melangkah ke alam perkahwinan dengan mata yang terbuka dan perlu mengetahui akan tanggungjawab masing-masing.

Pasangan saya bersetuju dengan saranan saya untuk melakukan taklik tambahan sebagai satu cara melindungi saya. Bagaimanapun, kami tidak mengetahui cara dan bagaimana melakukan taklik tersebut.

Intan
Kuala Lumpur


Jawapan:

Perjanjian yang dibuat sebelum perkahwinan adalah dibenarkan dalam Islam. Ianya bertujuan menjamin hak dan kepentingan pihak isteri sekiranya beliau diceraikan. Di dalam Islam, suami hendaklah berbuat baik kepada isteri kerana sebaik-baik di kalangan umat Islam ialah mereka yang berbuat baik kepada isteri.

Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang amat diredai Allah dan digalakkan oleh Allah kerana perkahwinan itu memberi banyak hikmah dan ketenangan kepada lelaki dan wanita. Allah menciptakan manusia berpasangan dan suami dan isteri itu boleh hidup dalam keadaan mawaddah dan rahmah sekiranya perkahwinan itu bahagia dan berlandaskan kepada syariat dan tuntutan Islam.

Namun demikian, seorang wanita boleh membuat perjanjian sebelum perkahwinan dengan perkara tertentu demi menjamin hak beliau dengan lebih terperinci. Di dalam terma Islam ianya disebut akad taklik di mana syarat-syarat tertentu diberikan oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki sekiranya ingin berkahwin dan ianya akan mengikat kedua belah pihak.

Sekiranya perjanjian atau syarat itu dimungkiri atau dilanggar, maka pihak yang menuntut boleh menuntut di Mahkamah Syariah terhadap pihak yang melanggar terma perjanjian. Dengan erti kata lain, isteri akan berhak mendapat cerai dalam keadaan tertentu sekiranya suami melanggar syarat yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak itu dalam perjanjian perkahwinan. Ianya juga dikenali sebagai Tafwid Al' Talak.

Perjanjian ini boleh dikuatkuasakan di Mahkamah kerana perjanjian itu mengikat di antara pihak-pihak yang bertikai. Perjanjian tersebut juga mestilah disetemkan dan disaksikan oleh saksi-saksi yang adil dan boleh dipercayai.

Suami dan isteri boleh membuat perjanjian berdasarkan firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa ayat yang bermaksud: Dan jika seorang wanita khuatir akan nusus (atau sikap tidak acuh) dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka), walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kami bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusus), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui yang kamu kerjakan.

Uqbah bin Amir (r.a) meriwayatkan Rasulullah sebagai bersabda: Syarat yang paling patut dipenuhi oleh isterimu ialah menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu) - (Sahih Muslim, Kitab Nikah Hadis 3302 Sunan Abu Dawud, Kitab An-Nikah Hadis 2134)

Ulasan Ahmad Hassan Sunan Abu Dawud ini: Syarat yang dikenakan oleh pihak isteri semasa perkahwinan atau janji seorang lelaki beri sebelum perkahwinan mestilah dipatuhi. Misalnya, seorang perempuan berkahwin dengan syarat bahawa suaminya tidak akan membawanya pergi dari tempat di mana dia hendak tinggal. Suami itu hendaklah mematuhi syarat ini.

Di sisi undang-undang, dia tidak boleh membawa isterinya dari kawasan di mana perempuan itu tinggal. Suami itu hanya boleh berbuat demikian dengan persetujuan isterinya. Harus diingat bahawa syarat yang dikenakan pada masa perkahwinan itu hendaklah sesuatu yang sah seperti mas kahwin, nafkah dan cara hidup yang baik.

Jika terdapat janji dan syarat bahawa pihak isteri mempunyai kuasa untuk menceraikan dirinya sendiri maka isteri dikira mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, sekiranya pihak suami tidak memenuhi janji dan syarat dan janji tersebut mengikat kepada pihak-pihak dalam perkahwinan.

Taklik di Malaysia hanya terhad kepada beberapa syarat dan janji seperti yang terdapat dalam Surat Perakuan Nikah pengantin seperti berikut :

a. Suami tidak memberi nafkah sebanyak 4 bulan berturut-turut atau lebih.
b. Suami meninggalkan isteri
c. Suami mencedera dan menyakiti isteri

Peruntukan dalam Undang-Undang di Malaysia seperti Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa perempuan yang bersuami berhak mendapat perceraian sekiranya sabit syarat-syarat taklik ke atas beliau.

Begitu juga peruntukan di dalam Seksyen 21 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 1983. Namun yang demikian, Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam WP 1984 menyatakan bahwa Pendaftar hendaklah mencatatkan taklik yang telah ditetapkan atau butir-butir taklik lain yang dikira sesuai dan munasabah olehnya bagi membantu hak-hak beliau terpelihara dan terjamin dan penganiayaan terhadap mereka dapat dikurangkan dan beliau berhak mendapat cerai taklik jika ianya dimungkiri.

Oleh yang demikian, perjanjian yang dibuat oleh seseorang perempuan sebelum berkahwin dibolehkan dalam Islam kerana Islam itu sendiri menjamin hak dan kepentingan wanita Islam daripada dianiaya oleh suami sendiri.

Islam juga tidak mahu seseorang wanita itu tidak terbela nasib diri dan anak-anaknya selepas beliau diceraikan. Di antara butir-butir perjanjian yang boleh dibuat oleh seorang wanita sebelum perkahwinan ialah berkaitan dengan:

a)     Hak Harta

i. Berapakah nafkah yang akan diberikan selepas bercerai - Bahagian IV Undang-Undang Keluarga Islam WP 1984 dari Seksyen 59-80 memberi peruntukan-peruntukan mengenai nafkah isteri dengan jelas dan terperinci.

ii. Hak berkenaan dengan harta sepencarian - Seksyen 58 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membuat perintah berkenaan dengan harta sepencarian yang mana ianya adalah hasil usaha sama di antara pihak-pihak yang bertikai supaya ia dapat dibahagikan atau harta itu dijual supaya hasil daripada penjualan dapat dibahagi antara mereka.


b)     Mas Kahwin dan Pemberian

Seksyen 21 Akta yang sama memastikan hak wanita terhadap perkahwinan serta pemberian-pemberian dicatat dengan lebih teratur agar ianya dapat dipastikan dengan tepat jika ianya dibayar atau dijelaskan. Jika belum maka senanglah untuk dibuat tuntutan jika berlaku kemungkiran atau pertikaian catatan-catatan tersebut.

Seksyen 57 diperuntukan sebagai pengukuhan kepada seksyen 21 terdahulu.


c)      Poligami

Seksyen 23 memperuntukan secara jelas dan terperinci bahawa seorang lelaki yang ingin berkahwin dengan perempuan lain harus mendapat persetujuan bertulis daripada Hakim Syarie dan beliau harus memenuhi beberapa syarat untuk mendapatkan kebenaran berpoligami.

Antaranya beliau harus menyatakan alasan-alasan beliau untuk berkahwin lagi. Butir-butir komitmen dan kewajipan beliau serta izin atau kebenaran daripada isteri yang terdahulu. Ini kerana Mahkamah akan memanggil pihak isteri untuk menanyakan pandangan dan persetujuan beliau berkenaan dengan perkara ini dan pengakuan isteri mengenai kemampuan suami untuk berlaku adil. Walaupun Islam membenarkan poligami Mahkamah menetapkan undang-undang yang sedemikian bagi menjamin hak isteri daripada diperlakukan oleh suami dengan sewenang-wenangnya.

Oleh itu bakal isteri boleh membuat perjanjian sekiranya selepas perkahwinan suami ingin berkahwin lain, beberapa syarat tentang harta, kewajipan, masa giliran dan lain-lain boleh dimasukkan dalam perjanjian tersebut.


d)     Hadanah dan Nafkah Anak-Anak

Para isteri boleh menetapkan dalam perjanjian mereka bahawa sekiranya mereka akan diceraikan secara talak maka hak-hak mengenai penjagaan anak -anak dan nafkah mereka haruslah dinyatakan dan diperincikan terlebih dahulu.

e)     Tebus Talak atau Khuluk

Seksyen 49 memberi peluang kepada isteri untuk menebus talak diri mereka sekiranya suami tidak mahu mentalakkan mereka dengan rela. Oleh yang demikian, isteri boleh meletakkan perkara ini di dalam perjanjian sebelum perkahwinan bahawa beliau boleh menebus diri mereka untuk bercerai sekiranya suami enggan menceraikan mereka53.

Sumber:-

Monday 6 April 2015

Bab 14.5.4 : Sampel Kontrak 1 (Sheikh Jehad Ismail - Australia)


Kini kita perhatikan beberapa contoh kontrak perkahwinan bersyarat:-
   
e)    Sampel Kontrak 1 (Sheikh Jehad Ismail – Australia):-

Dengan Nama Allah
Kontrak Perkahwinan bagi Mereka yang Berkenaan :-

Dengan kontrak ni kami, Encik……………………………………………………………………… …………dan Cik…………………………………………………………………….dengan rela hati bersetuju dengan syarat-syarat berikut dengan nama Allah.  Perlu diambil perhatian bahawa mulai saat ini Encik……………………………………………………………… …………….akan dikenali sebagai suami dan Cik………………………………………………….. …………….akan dikenali sebagai isteri di sisi Allah Subhanahu Wa Taala.


1.      Di bawah undang-undang Islam, suami mestilah tidak menganiaya isterinya sama ada secara fizikal atau lisan, begitu juga sebaliknya.

2.      Semua pekerjaan hendaklah dikongsi sama rata antara suami dan isteri dalam rumahtangga.

3.      Suami tidak dibenarkan untuk menghina, menjerit, menyumpah atau membuat tuduhan kesalahan palsu ke atas isterinya, begitu juga sebaliknya

4.      Suami tidak dibenarkan meminum arak pada bila-bila masa, begitu juga sebaliknya, di bawah undang-undang Islam.

5.      Suami tidak boleh menggunakan apa jua dadah narkotik, yang mana boleh memberi kesan kepada kesihatan tubuh dan mental, begitu juga sebaliknya.

6.      Suami tidak boleh mengizinkan tubuh isterinya disentuh lelaki lain atau di tempat pekerjaan contoh: demi mendapatkan wang atau kedudukan.

7.      Isteri harus menghormati, bersifat rendah diri serta menjadikan isi rumah aman dan selesa untuk suami, begitu juga sebaliknya.

8.      Suami dan isteri tidak boleh dipisahkan/berpisah melebihi dari 6 bulan kecuali atas persetujuan bersama.

9.      Negara tempat tinggal mestilah dipersetujui bersama antara suami isteri.

10.  Semua yang dibawa atau dibeli oleh isteri haruslah menjadi milik asetnya dan akan sentiasa menjadi miliknya walaupun jika perpisahan berlaku. Semua pemberian hadiah yang diterima oleh suami atau isteri adalah milik si penerima dan tidak perlu dipulangkan walaupun perceraian berlaku. Apa-apa pertikaian undang-undang atau perkara-perkara lain harus diselesaikan di Mahkamah Keluarga di Australia.

11.  Suami tidak dibenarkan untuk berkahwin dengan mana-mana perempuan secara daim atau mut'ah tanpa persetujuan isterinya.

12.  Suami dan isteri menerima Islam sebagai agama mereka dan akan mematuhi semua tugas-tugas di bawah undang-undang Islam untuk menghormati, dan menjaga satu sama lain begitu juga masa depan anak-anak di masa susah, senang, sakit dan sihat untuk mengekalkan kontrak ini.

13.  Suami bersetuju untuk menyediakan makanan, tempat tinggal dan keselesaan untuk isteri dan keluarga.

14.  Suami bersetuju untuk memberi hadiah ( sebagai mahar) kepada isterinya untuk perkahwinan :

(Contoh : Separuh dari mahar diberikan pada waktu aqad nikah dan separuh lagi selepas perkahwinan disempurnakan – melalui hubungan intim suami isteri)

------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------
------------------------------------------------------------------------------


Jika mana-mana peraturan dalam kontrak perkahwinan ini dilanggar oleh mana-mana pihak, sama ada oleh Encik……………………………………………………………. ……………………………dan Cik……………………………………………………………….. dalam apa jua keadaan maka mana-mana pihak memiliki hak  untuk bercerai di sisi Islam tanpa apa-apa komplikasi undang-undang oleh Pihak Berkuasa Islam. Pampasan maksimum dari mana-mana pihak tidak boleh melebihi jumlah yang telah dinyatakan dalam klausa 14.

Lima belas syarat di atas ditulis dan dipersetujui pada …………………………………… …………………………..di negeri ………….. di Australia pada …………………………………………………………………. ……………….oleh suami dan isteri dengan kehadiran :



Pihak berkuasa Islam:

……………………………………

Tanda Tangan Suami

………………………………..

Tanda Tangan Isteri

………………………………..


Saksi Pertama

……………………………

Saksi Kedua

……………………………..

Semoga Allah memberkati kedua-dua pihak.

Nota: “Syarat-syarat ini adalah berdasarkan kepada syarat-syarat sama yang dirumuskan oleh pihak berkuasa agama di Iran.” –Sheikh Jehad Ismail-