Di Malaysia, penambahan
syarat-syarat ‘optional’ semasa menandatangani kontrak perkahwinan dikenali
sebagai takliq. Berikut beberapa artikel mengenai takliq dan aplikasinya di
Malaysia ini.
Artikel 1
Taklik -
`Pelindung' Wanita Elak Teraniaya
Oleh
Utusan Online - Noor Azmah Ibrahim
Antara
perkara pertama yang dilakukan oleh seseorang apabila membeli kereta baru ialah
mendapatkan premium atau polisi insuran. Jika ia bukan satu kewajipan
sekalipun, pasti ramai yang memilih untuk membelinya sebagai perlindungan
sekiranya berlaku kemalangan atau kecurian.
Malangnya,
apabila membicarakan tentang perkahwinan, jarang yang beringat untuk mengambil
langkah berjaga-jaga bagi melindungi diri, anak-anak atau perkahwinan itu
sendiri. Kesilapan pertama mungkin kerana kurang teliti memilih pasangan hidup
apabila pertimbangan dibuat berdasarkan cinta dan paras rupa semata-mata.
Namun
kesilapan yang lebih besar ialah apabila tidak berusaha mengambil langkah
berjaga-jaga dengan memanfaatkan taklik yang sedia ada. Sedangkan perkahwinan
adalah satu keputusan besar yang bukan sahaja melibatkan kehidupan dan masa
depan diri sendiri, tetapi juga generasi akan datang.
Pengarah
Eksekutif Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar berkata, kebanyakan negeri
mempunyai taklik atau syarat-syarat yang dipersetujui bersama di dalam
perkahwinan.
Selain
lafaz yang sedia ada, pasangan juga boleh menambah syarat-syarat lain
bergantung kepada perbincangan dan kata sepakat yang dicapai. Katanya, Seksyen
22 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 membenarkan
penambahan dalam taklik dalam pedaftaran perkahwinan.
"Taklik
jika dimanfaatkan sepenuhnya akan dapat melindungi diri daripada teraniaya
disebabkan suami mengamalkan poligami atau sebagainya.
"Secara
teori, ia juga boleh diubah dalam tempoh perkahwinan berlangsung mengikut
kehendak pasangan. Mungkin sudah tiba masa kita mengujinya dari segi
pelaksanaan pula,'' katanya pada Bengkel Hak-hak dan Kedudukan Wanita Dalam
Islam Untuk Wartawan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun
kata Zainah, amalan tersebut bukan sahaja tidak biasa dilakukan, malah ramai
yang masih belum mengetahui tentang kelonggaran tersebut.Lebih malang, terdapat
juga di kalangan wanita yang tidak langsung menyedari kewujudan taklik didalam
perkahwinan.
"Saya
pernah bertembung dengan insiden di Perlis yang mana hanya apabila melihat
surat nikah wanita-wanita yang lebih berumur, barulah golongan muda menyedari
mereka tidak mempunyai taklik.
"Jika
ada kesedaran tentang kelebihan taklik sekalipun, kebanyakannya teragak-agak
untuk bertanya tentang syarat-syarat lain yang boleh dimasukkan kerana bimbang
mencabar kepercayaan suami,''katanya.
Akibatnya,
wanita sendiri yang rugi kerana melepaskan peluang yang ada untuk melindungi
hak semasa dan selepas perkahwinan. Lebih-lebih lagi apabila berlaku pengabaian
yang mana mereka sukar untuk menuntut hak kerana tidak terikat dengan
sebarang perjanjian.
Ini berbeza dengan wanita-wanita di beberapa negara
Islam seperti Iran, Syria, Jordan, Maghribi dan Mesir menggunakan taklik untuk
menghalang poligami tanpa keizinan.
Ia
dilakukan dengan persetujuan suami untuk tidak berkahwin lain sepanjang tempoh
perkahwinan dengan isteri pertama.
"Negara-negara
tersebut mengamalkan undang-undang bahawa suami yang bersetuju dengan kontrak
perkahwinan tidak akan berkahwin dengan perempuan lain sepanjang perkahwinan
dengan isteri pertama dan dia terikat dengan syarat-syarat tersebut.
"Rakyat
negara-negara tersebut juga tahu bahawa mereka boleh berbuat demikian. Jadi
ramai pasangan yang memasukkan syarat-syarat ini dalam kontrak perkahwinan atau
taklik,'' jelasnya.
Sehubungan itu, pihaknya berpendapat bahawa Malaysia juga
patut meletakkan syarat-syarat tersebut sebagai tambahan kepada taklik yang
sedia ada bagi melindungi kaum wanita. Dalam masa yang sama, pasangan juga
diberi pilihan untuk mengekalkan atau menghapuskannya.
Begitu juga pengetahuan tentang taklik yang mana
pihak-pihak berkenaan perlu menyebarluaskan perkara tersebut melalui kursus perkahwinan,
seminar dan sebagainya. Ini untuk
membolehkan wanita bukan sahaja peka terhadap tanggungjawab di dalam
perkahwinan, tetapi juga tindakan yang boleh diambil untuk menjamin kebajikan
diri jika timbul sebarang masalah.
Sementara
itu, taklik ialah pembubaran perkahwinan yang berlaku apabila suami atau isteri
melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama.
Ia
bertujuan untuk melindungi hak-hak isteri untuk kebaikan mereka agar tidak
teraniaya.
Kebiasaannya,
taklik yang sering berlaku ialah taklik yang diucapkan oleh pihak suami selepas
akad nikah berkaitan dengan pengabaian nafkah seperti yang terdapat di dalam
surat akuan nikah.
Lafaz
taklik tersebut berbunyi;
"Saya
mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya selama empat bulan Hijrah
berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya
tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hal ia
taatkan saya, atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya,
kemudian dia mengadu kepada mahkamah syariah dan apabila sabit aduannya di
mahkamah syariah, dan ia memberi kepada mahkamah syariah yang menerima bagi
pihak saya satu ringgit, maka pada ketika itu tertalaklah ia secara talak
khuluk''.
Ada
beberapa negeri yang meletakkan taklik tambahan iaitu sekiranya suami merujuk
isterinya tanpa persetujuan pihak isteri maka jatuh satu talak.
Malah,
ada negeri yang tidak meletakkan tebus talak untuk memperoleh taklik seperti
yang berlaku di Wilayah Persekutuan.43
Artikel 2
Jika
kita ingatkan majlis pernikahan yang diadakan sekarang, sebaik sahaja suami
menerima nikahnya daripada wali atau wakil wali, imam akan membacakan doa
kesyukuran. Selesai doa, imam akan meminta pengantin lelaki membaca taklik dan
didengar oleh pengantin perempuan dan disaksikan oleh semua orang.
Antara
lain isi kandungan taklik ialah jika suami meninggalkan isterinya empat bulan
berturut-turut tanpa nafkah zahir dan batin atau jika suami lazim menyakiti
isterinya dan jika dalam mana-mana keadaan isteri tadi membuat aduan ke
Mahkamah Syariah dan Mahkamah mengesahkan aduan tersebut, maka isteri tertalak
dengan talak satu.
Selepas
membaca, kedua pasangan pengantin yang telah sah menjadi suami isteri
menandatangani surat taklik tersebut. Taklik diletakkan di belakang surat nikah
supaya pasangan tahu bahawa lafaz taklik itu termaktub secara bertulis supaya
mereka tidak terlupa. Ini kerana taklik akan menjadi sah dengan berlakunya
keadaan yang disebutkan dan isteri membuat aduan.
Taklik formal ini diwujudkan di semua negeri. Jika
diamati, tujuan utama
ialah untuk mengelak isteri daripada digantung tak bertali atau ditinggal
langsung.
Dahulu
kita biasa dengar suami meninggalkan isterinya tanpa sebab dan khabar berita.
Isteri tidak membuat aduan kepada sesiapa, malah meneruskan kehidupan bersama
anak dengan tabah. Ada masanya sehingga meninggal dunia, isteri tidak pernah
meminta cerai dan berdosanya seorang suami yang menyiksa isterinya sebegitu
rupa.
Rujuk
surah an-Nisa ayat 19 dan al-Talaq ayat 1, jika diamati kedua-dua ayat Quran
ini, suami yang diberi kuasa talak hendaklah menggunakannya dengan
tanggungjawab dan kebijaksanaan. Meninggalkan isteri begitu sahaja tanpa nafkah
sedangkan nafkah isteri itu wajib ke atas suami, tentulah suami menanggung dosa
di atas kesengsaraan isteri dan anak-anak.
Daripada
mengumpul dosa tanpa sedar, alangkah baiknya suami menyelesaikan masalah rumah
tangganya dengan menghadapinya, sama ada dengan ke mahkamah syariah atau
mencari pendamai atau kaunselor yang boleh memperbaiki keadaan.44
Artikel 3
Apakah
taklik?
Taklik
adalah syarat-syarat yang boleh ditetapkan antara pasangan suami isteri setelah
mencapai satu persetujuan. Mengikut seksyen 2 Akta Undang-undang Keluarga Islam
(Wilayah Persekutuan) 1984, taklik bermaksud lafaz perjanjian yang dibuat oleh
suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan akta ini.
Adakah
kerajaan sudah menetapkan satu surat taklik yang standard?
Sememangnya
pihak kerajaan telah menetapkan satu surat perakuan taklik yang standard dan
diguna pakai oleh setiap negeri. Taklik standard adalah seperti berikut: Saya
mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah
berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya
tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hal ia
taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya,
kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, yang menerima bagi pihak saya satu
ringgit maka pada ketika itu bertalak ia dengan talak khulâ. Bagaimanapun,
taklik ini mungkin berbeza dari satu negeri ke negeri yang lain.
Adakah kita boleh menambah taklik yang
sudah disediakan oleh kerajaan ini?
Seksyen
22 Akta memperuntukkan tentang pendaftaran taklik lain dalam Pendaftaran
Perkahwinan. Taklik lain inilah yang dimaksudkan dengan taklik tambahan. Akta
juga tidak menyebut apakah syarat-syarat yang boleh ditambah tetapi hendaklah
tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Apakah
syarat-syarat yang boleh dikatakan tidak bertentangan dengan hukum syarak?
Antara
contoh syarat-syarat yang dibenarkan dalam hukum syarak ialah:-
- suami
tidak boleh paksa isteri berhenti kerja sesudah berkahwin,
- suami
tidak boleh mendera emosi isteri,
- suami
tidak boleh berpoligami tanpa keizinan isteri sedia ada dan
- suami
memberi kuasa kepada isteri untuk menceraikannya.
Adakah
dengan terlanggarnya syarat-syarat tersebut, maka penceraian terus berlaku?
Penceraian
tidaklah berlaku secara automatik. Isteri hendaklah mengadu kepada mahkamah
syariah. Apabila sudah terbukti bahawa adanya syarat-syarat yang telah
dipersetujui dan satu pihak telah melanggarnya, maka mahkamah akan memutuskan
penceraian taklik ini.
Bolehkah
pasangan yang sudah berkahwin menambah taklik mereka?
Sudah
tentu boleh. Tidak ada halangan masa untuk menambah taklik dari segi hukum
syarak mahupun undang-undang. Asalkan pasangan suami isteri telah bersetuju,
maka ia boleh dilakukan.
Apakah
prosedur untuk membuat tambahan kepada taklik yang sudah ada ini?
Satu
dokumen yang mengandungi syarat-syarat taklik hendaklah di bawa ke Pejabat
agama yang berdekatan untuk didaftarkan di bahagian Pendaftaran Pernikahan dan
Penceraian.
Suami
kemudiannya hendaklah melafazkan taklik tambahan ini di hadapan Pendaftar dan
isteri, disaksikan oleh dua orang saksi. Suami, isteri dan saksi-saksi
kemudiannya menandatangani surat perakuan taklik tambahan sebagai tanda
mengesahkan perjanjian tersebut.45
Artikel 4
KITA
sering mendengar seorang isteri mengadu dia digantung tidak bertali. Kisah
penderitaan seorang wanita yang digantung tidak bertali sering dipaparkan di
dalam khabar mahupun melalui drama dan pementasan. Namun apakah sebenarnya,
gantung tidak bertali?
Ia
adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh suami dengan meninggalkan isteri dan
anak-anaknya tanpa memberi sebab dan tanpa memberitahu di mana dia berada.
Dalam
bahasa undang-undang, gantung tak bertali adalah tinggal langsung. Di bawah
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, tinggal langsung
tidak ditakrifkan tetapi adalah satu kesalahan. Ini dapat dilihat dalam seksyen
127, yang berbunyi: “Jika seseorang telah diperintahkan oleh mahkamah supaya
hidup bersama semula dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak
mematuhi perintah itu maka dia telah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah
dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan
atau kedua-duanya denda dan penjara itu."
Dalam
peruntukan ini, seorang isteri telah pun membuat aduan kepada mahkamah yang
suaminya telah tidak pulang ke rumah atau telah meninggalkannya untuk tempoh
tertentu dan mahkamah telah mengeluarkan perintah memerintahkan suami tersebut
untuk hidup semula dengan isterinya, dan jika suami tersebut enggan berbuat
demikian, maka jika isteri ini memaklumkan kepada mahkamah mengenai keengganan
suami tersebut, maka suami boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM1,000
atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Jika
dilihat daripada peruntukan ini, meninggalkan isteri begitu sahaja adalah suatu
kesalahan namun jika isteri tidak membuat aduan dan mendapatkan perintah, maka
tiada apa yang boleh dibuat oleh mahkamah.
Jika aduan dibuat dan mahkamah mengeluar perintah, suami
yang ingkar boleh dikenakan hukuman. Namun hukuman tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah isteri
yang ditinggalkan langsung ini.
Kebiasaannya
dalam kes tinggal langsung, suami mungkin meninggalkan isteri selepas berkahwin
beberapa lama dan telah mempunyai anak. Ada kes suami meninggalkan rumah kerana
pergaduhan, sama ada dengan isteri atau keluarga isteri. Isteri pula tidak cuba
mencari suami kerana masih marah dan ada juga kerana dilarang keluarga.
Apabila
suami telah tidak pulang sebulan dua atau apabila wang simpanan mula menipis
atau apabila makanan telah tiada, baru isteri mula merasa resah dan gelisah.
Jika isteri bekerja, kerisauan itu mungkin tidak sama dengan isteri yang tidak
bekerja tetapi tetap risau dan gusar.
Bagi
yang bekerja, kerisauan tertumpu kepada bayaran bulanan sewa atau pinjaman
rumah, bayaran kereta (jika semua itu dibayar oleh suami sebelum ini) dan bagi
yang tidak bekerja ialah di mana ia hendak mencari wang untuk membeli makanan
dan menghantar anak ke sekolah.
Tinggal
langsung
Ada kes
isteri yang ditinggalkan langsung terpaksa balik ke rumah ibu bapa sendiri
setelah ditinggalkan suami kerana tidak ada duit untuk membayar sewa. Ada juga
rumah yang dilelong bank kerana suami tidak membayar pinjaman dan isteri tidak
cukup wang untuk membayarnya. Akhirnya isteri terpaksa berpindah bersama
anak-anak.
Oleh
kerana pendapatan keluarga menjadi berkurangan dalam kes isteri yang bekerja,
maka isteri perlu mengubah cara hidup bersama anak-anak seperti berpindah ke
rumah yang lebih kecil di mana sewanya lebih rendah, tidak menghantar anak ke
tuisyen, anak berhenti menikmati kemewahan seperti kelas renang, kelas muzik
dan sebagainya dan berhenti memakan makanan yang mahal yang biasa dibeli ketika
ayah ada bersama.
Perubahan
kehidupan ini sering menjejaskan emosi anak dan ada masanya jika tidak dipantau
dengan baik akan timbul rasa kebencian yang sukar dibendung dan dipulihkan.
Kesukaran ini akan lebih teruk lagi bagi isteri yang tidak bekerja dan bilangan
anak yang agak ramai.
Ada yang
malu untuk pulang ke rumah keluarga kerana keluarga juga bukan orang yang
senang, maka biasanya ibu ini akan membawa anak-anak ke tempat lain. Dia mula
mencari kerja dan jika dia ada kepandaian seperti memasak dan menjahit, dia
mungkin akan menjalankan perniagaan sendiri.
Hari ini
anak-anak kita kurang berminat dalam hal-hal memasak dan menjahit. Jadi apabila
berlaku sesuatu kepada suami, mereka terpaksa mencari pekerjaan seperti kerja
di kilang. Kerana anak yang ramai, mereka tidak mungkin boleh menjadi pembantu
rumah. Isteri-isteri yang ditinggal langsung ini adalah kategori isteri yang
jahil ilmu atau jika dia berilmu, dia lebih suka menyerah kepada takdir.
Sebenarnya,
jika isteri ditinggal langsung oleh suami tanpa sebab dan khabar berita lebih
dari empat bulan berturut-turut, isteri telah layak memohon taklik. Ini
diperuntukkan dalam seksyen 50 yang berbunyi:
“(1)
Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian
menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin,
memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah
berlaku.
(2)
Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan
mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu
adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan
perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada
Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan."
Cerai
taklik
Untuk
mendapat cerai taklik, pasangan mesti telah membuat janji atau ikrar di mana
suami melafaz taklik selepas majlis akad nikah. Tujuan taklik adalah untuk
menyelamatkan isteri yang “digantung tak bertali" daripada terus hidup
dalam ketidaktentuan. Untuk membolehkan isteri memohon taklik, suami mesti
telah melafaz taklik selepas majlis akad nikah dan isteri mesti telah mendengar
taklik yang telah dilafazkan itu.
Takliq
perceraian bersyarat
Dan
suami jika telah melafaz syarat dan apabila isteri melanggar syarat, maka
taklik berkuatkuasa. Selain daripada taklik, mangsa tinggal langsung boleh juga
memohon fasakh untuk bercerai kerana ditinggal langsung oleh pasangannya.
Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh diperuntukkan dalam
seksyen 53 di mana ada banyak alasan untuk memohon fasakh, namun yang paling
relevan adalah seksyen 53 (1) yang berbunyi,
“Seseorang
perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut
Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan
perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang
berikut, iaitu;
(a) bahawa tempat di mana beradanya
suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari satu tahun;
……"
Jika
dilihat daripada peruntukan taklik dan fasakh maka kemungkinan seorang isteri
menderita kerana ditinggal langsung untuk sekian lamanya adalah tipis.
Undang-undang keluarga Islam membuat peruntukan-peruntukkan yang jelas dalam
hal ini untuk memastikan isteri tidak ditinggalkan begitu sahaja.50
Artikel 5
Soalan:
Saya
sudah baca beberapa kali di dalam ruangan ini bahawa saya boleh menambah takliq
yang bakal suami akan lafazkan semasa akad nikah kelak. Saya dan tunang saya
telah berbincang tentang perkara ini dan Alhamdulillah, Tunang saya bersetuju
dengan tambahan syarat yang mahu saya masukkan. Bukan saya tak percayakan dia,
tapi saya mahu juga nak lindung hak saya.
Ramai
rakan saya kata bahawa tak bagus ingatkan cerai semasa nak kahwin tapi saya
rasa tak salah kalau saya cuba buat perkara yang baik. Bukan saya nak ingat
cerai. Masalah saya ialah semasa saya hadiri kursus perkahwinan, saya ada tanya
macamana nak buat perjanjian takliq ini. Ustaz itu kata tak payah dan tak perlu
buat.
Bila
saya tanya kawan-kawan, tak ada seorang pun tahu bagaimana. Saya tak mampu nak
jumpa peguam. Boleh tak SIS beritahu bagaimana nak buat takliq tambahan itu?
Dewi
Abadi,
Kuala
Lumpur
Jawapan:
Tahniah
atas perkahwinan yang bakal saudari lalui kelak. Sememangnya ramai yang salah
anggap terhadap tujuan takliq tambahan diadakan bagi pasangan yang mahu
bernikah. Ia bukanlah satu cara bagi pasangan untuk merancang perceraian tetapi
adalah satu cara bagi menyelamatkan perkahwinan. Ini adalah kerana bakal
suami-isteri tersebut akan duduk berbincang mengenai alam dan bentuk
perkahwinan yang akan mereka tempuhi kelak.
Takliq
tambahan sememangnya dibenarkan oleh Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah
Persekutuan) 1984, di bawah Seksyen 22. Saudari boleh mendraf perjanjian
tersebut dan kemudian berbincang dengan bakal suami mengenai draf bagi
mendapatkan persetujuannya. Ini agar semasa lafaz takliq kelak tidak timbul
salah-faham. Pasangan boleh meletakkan apa-apa syarat tetapi ia haruslah
dipersetujui oleh suami kerana dia harus melafazkannya.
Disini,
kami sertakan satu draf perjanjian takliq tambahan sebagai contoh. Saudari
boleh menuruti atau meletakkan syarat-syarat lain. Pastikan saudari mendapatkan
saksi yang berkenaan.
CONTOH
PERJANJIAN TAKLIQ
Perjanjian
ini dibuat pada _____________(Isikan tarikh perkahwinan) antara No Kad
Pengenalan_______________(selepas ini digelar sebagai Suami) bagi satu pihak
dan ___________________. No Kad Pengenalan (selepas ini digelar Isteri) bagi
pihak lain.
Walhal:-
1. Suami
dan Isteri telah bersetuju untuk berkahwin dan mengijab kabulkan nikah pada:
_______________________
2. Suami
dan Isteri telah bersetuju bahawa hak dan tanggungjawab mereka sebagai suami
isteri hendaklah tertakluk kepada syarat dan Takliq seperti dinyatakan di bawah
ini.
3.
Perjanjian dan takliq yang dinyatakan di bawah ini adalah tambahan kepada
perakuan nikah dan hendaklah menjadi syarat penting dalam ijab kabul dan
pernikahan Suami dan Isteri.
Maka,
kedua-dua Suami dan Isteri dengan ini bersetuju seperti berikut:-
1.
Saya,____________________(isikan nama suami) dengan ini melafaz dan berikrar
seperti berikut:-
(a)
Manakala saya merujuk akan Isteri saya tanpa redhanya,
(b) Manakala saya menggunakan
kekerasan atau kezaliman dengan memukul atau mendera Isteri samada secara
fizikal, mental atau emosi,
(c)
Manakala saya menyekat atau menahan Isteri bekerja atau menyambung
pengajiannya, atau keluar dari rumah samada untuk bekerja atau, menyambung
pengajiannya,
(d)
Manakala saya berkahwin sekali lagi dengan mana-mana pihak lain semasa
perkahwinan saya dengan Isteri tanpa redhanya,
(e)
Manakala saya menyekat atau menahan Isteri dari keluar rumah untuk menziarah
keluarga,
(f)
(Sila isikan apa-apa syarat yang telah dipersetujui)
maka
mengadulah Isteri kepada mana-mana Hakim Syariah dan bersabit pengaduannya pada
sisi Hakim Syariah itu, maka pada ketika itu tertalaklah Isteri dengan satu
talak.
Dengan
ini Suami mengaku bahawa saya telah melafazkan syarat dan TAKLIQ di atas dengan
disaksikan oleh saksi-saksi yang juga menurunkan nama & tandatangan mereka
di bawah ini di dalam kehadiran saya dan kehadiran saksi-saksi tersebut
serentak.
Dengan
ini Isteri mengaku bahawa Suami telah melafazkan syarat dan TAKLIQ di atas
dengan disaksikan oleh saksi-saksi yang juga menurunkan tandatangan
mereka di bawah ini.
Suami Isteri
_____________________________ ________________________________
Nama: Nama:
No.
K/P: No.
K/P:
Disahkan
oleh saksi-saksi yang mengesahkan bahawa Suami telah melafazkan syarat dan
TAKLIQ di atas dalam kehadiran kami berdua serentak:
Saksi
1 Saksi
2
_________________________________ ___________________________________
Nama: Nama:
No. K/P
: No.
K/P:
Sumber :
Panel Peguam Sisters In Islam51
Artikel 6
Soalan:
Saya
akan berkahwin tidak lama lagi. Tunang saya ada terbaca bahawa bakal mempelai
boleh membuat ta'liq tambahan yang boleh memuatkan lebih banyak syarat
berbanding ta'liq biasa. Dia berniat membuat ta'liq tersebut agar kami jelas
akan tanggungjawab masing-masing dalam perkahwinan ini di samping melindungi
hak saya sebagai isteri. Saya bersetuju dengan cadangannya. Masalahnya, kami
tidak pasti akan cara membuat ta'liq ini. Selain itu, bolehkah syarat ta'liq
ditambah selepas perkahwinan berlangsung?
Hayati
Musa & Munir Mohammed,
Wilayah
Persekutuan Labuan
Jawapan:
Akta
Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang terpakai
kepada anda berdua sememangnya ada memperuntukkan bahawa bakal mempelai boleh
menetapkan ta'liq lain di samping ta'liq yang sedia ada dalam surat perakuan
nikah.
Terima
kasih kerana mengemukakan soalan ini - kami gembira apabila mendapati ada
pasangan yang bukan sahaja celik ta'liq dan mengerti akan pentingnya membuat
ta'liq yang terperinci sebelum berkahwin , malah mahu pula membuat ta'liq
tambahan demi kebaikan pasangan masing-masing.
Ta'liq
tambahan dikarang mengikut syarat yang dipersetujui oleh anda berdua, sebagai
contohnya, bahawa tunang anda tidak boleh berpoligami; ini merupakan syarat
ta'liq yang secara amnya diterimapakai di Negara-Negara Timur Tengah, India dan
Pakistan.
Ta'liq
dibuat untuk melindungi hak suami dan isteri di samping menggariskan perkara
yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh perkahwinan demi
memastikan wujudnya persefahaman antara kedua belah pihak. Atas sebab ini,
adalah penting untuk memastikan anda berdua berpuasa hati dengan draf ta'liq
yang telah ditulis. Pindalah ia jika ada bahagian yang tidak dipersetujui, baik
tentang syarat yang dimasukkan mahupun penggunaan perkataan atau olahan ayat.
Sesudah
ta'liq tersebut siap, bawa sesalinan semasa akad nikah supaya ia boleh
didaftarkan dalam Daftar Perkahwinan menurut Seksyen 22 akta yang sama.
Prosedur untuk mendaftar ta'liq tambahan sama dengan ta'liq biasa. Apabila
ta'liq itu dicatatkan di dalam Daftar Perkahwinan, ia kena diakusaksi oleh anda
berdua, wali dan juga dua orang saksi. Kemudian, catatan ta'liq itu hendaklah
ditandatangani oleh Pendaftar Perkahwinan.
Kini,
ta'liq tambahan anda berdua dikira sudah berkuatkuasa dan segala syarat yang
terkandung di dalamnya perlulah dituruti.
Tiada
halangan dari segi undang-undang syariah mahupun hukum agama bagi pasangan yang
ingin menambah syarat ta'liq selagi perkahwinan itu masih wujud. Dengan kata
lain, syarat ta'liq boleh ditambah pada bila-bila masa selepas perkahwinan
berlangsung. Untuk pengetahuan anda berdua, ta'liq yang ditambah selepas
berkahwin sama efeknya dengan ta'liq yang dilafazkan oleh suami semasa
bernikah.
Mudah
sahaja menambah ta'liq selepas berkahwin. Mula-mula, draflah ta'liq yang ingin
ditambah dan pastikan anda berdua bersetuju akan kandungannya. Selepas itu,
dapatkan dua orang saksi; mereka tidak semestinya saksi yang sama dengan saksi
bagi ta'liq yang asal. Seterusnya, suami anda perlu melafaz ta'liq itu dan
lafazannya mesti didengar dengan jelas oleh anda dan saksi-saksi tadi. Pastikan
yang suami anda membaca ta'liq tersebut mengikut draf yang telah anda berdua
persetujui. Kemudian, anda berdua serta saksi-saksi perlu menandatangani ta'liq
itu.
Akhir
sekali, simpanlah ta'liq yang telah ditandatangani di tempat yang selamat. Ini
amat penting kerana anda perlu membawa ta'liq itu bersama apabila membuat
pengesahan di mahkamah bagi perceraian ta'liq sekiranya anda atau bakal suami
anda melanggar syarat di bawah ta'liq itu.
Sumber :
Panel Peguam Sisters In Islam.
Artikel 7
Lafaz
Taklik Mengikut Negeri
Lafaz
taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan
oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak
dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya,
suami sendiri atau orang lain. Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia
sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini akan dicatatkan sekali dalam
Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.
1) Terengganu
“Saya
dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan
dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak
putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan
ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu kepada kadi dan tatkala
sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah
isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”
2) Kelantan
“Bahawa
adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan
isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa
atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa
yang tersebut pada hal ia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya
atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama 4 bulan atau lebih atau (nama
isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan
oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan
tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah
pula satu talak lagi.”
3) Kedah
Lafaz
talak taklik yang baru di Kedah berbunyi:
“Adalah
saya (nama suami) dengan ini bertaklik, jika :
(1) Saya
tidak berma'syarah yang ma'ruf dengan isteri saya (nama Isteri) sama ada saya
meninggalkan dia dengan segaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan
paksaan selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih atau;
(2) saya
atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan
berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana
mahkamah syariah atau:
(3) saya
melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau lain-lain
darar syarie terhadapnya, dan apabila dia mengadu kepada khadi atau hakim
syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau hakim syarie dan ia memberi kepada
khadi atau hakim syarie bagi pihak saya sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau
senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia (nama Isteri) dengan
satu talak khuluq.”
4) Perak
1)
Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan
isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada
mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak
isteriku itu dengan satu talak.
2) Jika
ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada
mana-mana kadi syariah dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka
mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya
ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas
isteriku itu.
3)
Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka
tertalaklah ia satu talak pula.”
5) Selangor
“Saya
mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan
hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau
wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal
ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya,
kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi
mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi
pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak
khuluk.”
6) Johor
“Manakala
saya tinggalkan isteri saya.....(nama isteri).....selama 4 bulan hijrah
berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya
tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan
saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau
kehormatannya atau harta bendanya, kemudian ia mengadu atau wakilnya mengadu
kepada kadi dan manakala sabit aduannya di sisi kadi atau mahkamah syariah dan
ia atau wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya $1.00 maka ketika itu
tertalaklah ia dengan satu ‘talak khulu’, atau saya ghaib daripada isteri saya
yang tersebut selama satu tahun atau lebih, jika ia atau wakilnya mengadu
kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya manakala bersabit
aduannya, nescaya tertalaklah ia satu talak, demikian lafaz taklik saya52.”
Artikel 8
Soalan:
SAYA
telah bertunang dan akan berkahwin pada bulan Julai 2003. Kami merasakan bahawa
kami perlu melangkah ke alam perkahwinan dengan mata yang terbuka dan perlu
mengetahui akan tanggungjawab masing-masing.
Pasangan
saya bersetuju dengan saranan saya untuk melakukan taklik tambahan sebagai satu
cara melindungi saya. Bagaimanapun, kami tidak mengetahui cara dan bagaimana
melakukan taklik tersebut.
Intan
Kuala
Lumpur
Jawapan:
Perjanjian
yang dibuat sebelum perkahwinan adalah dibenarkan dalam Islam. Ianya bertujuan
menjamin hak dan kepentingan pihak isteri sekiranya beliau diceraikan. Di dalam
Islam, suami hendaklah berbuat baik kepada isteri kerana sebaik-baik di
kalangan umat Islam ialah mereka yang berbuat baik kepada isteri.
Perkahwinan
adalah satu ikatan suci yang amat diredai Allah dan digalakkan oleh Allah
kerana perkahwinan itu memberi banyak hikmah dan ketenangan kepada lelaki dan
wanita. Allah menciptakan manusia berpasangan dan suami dan isteri itu boleh
hidup dalam keadaan mawaddah dan rahmah sekiranya perkahwinan itu bahagia dan
berlandaskan kepada syariat dan tuntutan Islam.
Namun
demikian, seorang wanita boleh membuat perjanjian sebelum perkahwinan dengan
perkara tertentu demi menjamin hak beliau dengan lebih terperinci. Di dalam
terma Islam ianya disebut akad taklik di mana syarat-syarat tertentu diberikan
oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki sekiranya ingin berkahwin dan ianya
akan mengikat kedua belah pihak.
Sekiranya
perjanjian atau syarat itu dimungkiri atau dilanggar, maka pihak yang menuntut
boleh menuntut di Mahkamah Syariah terhadap pihak yang melanggar terma
perjanjian. Dengan erti kata lain, isteri akan berhak mendapat cerai dalam
keadaan tertentu sekiranya suami melanggar syarat yang telah dipersetujui oleh
pihak-pihak itu dalam perjanjian perkahwinan. Ianya juga dikenali sebagai
Tafwid Al' Talak.
Perjanjian
ini boleh dikuatkuasakan di Mahkamah kerana perjanjian itu mengikat di antara
pihak-pihak yang bertikai. Perjanjian tersebut juga mestilah disetemkan dan
disaksikan oleh saksi-saksi yang adil dan boleh dipercayai.
Suami
dan isteri boleh membuat perjanjian berdasarkan firman Allah Taala di dalam
Surah al-Nisa ayat yang bermaksud: Dan jika seorang wanita khuatir akan nusus
(atau sikap tidak acuh) dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya
mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik
(bagi mereka), walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kami
bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusus), maka
sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui yang kamu kerjakan.
Uqbah
bin Amir (r.a) meriwayatkan Rasulullah sebagai bersabda: Syarat yang paling
patut dipenuhi oleh isterimu ialah menjadikan persetubuhan (dengan isterimu)
halal (untukmu) - (Sahih Muslim, Kitab Nikah Hadis 3302 Sunan Abu Dawud, Kitab
An-Nikah Hadis 2134)
Ulasan
Ahmad Hassan Sunan Abu Dawud ini: Syarat yang dikenakan oleh pihak isteri
semasa perkahwinan atau janji seorang lelaki beri sebelum perkahwinan mestilah
dipatuhi. Misalnya, seorang perempuan berkahwin dengan syarat bahawa suaminya
tidak akan membawanya pergi dari tempat di mana dia hendak tinggal. Suami itu
hendaklah mematuhi syarat ini.
Di sisi
undang-undang, dia tidak boleh membawa isterinya dari kawasan di mana perempuan
itu tinggal. Suami itu hanya boleh berbuat demikian dengan persetujuan
isterinya. Harus diingat bahawa syarat yang dikenakan pada masa perkahwinan itu
hendaklah sesuatu yang sah seperti mas kahwin, nafkah dan cara hidup yang baik.
Jika
terdapat janji dan syarat bahawa pihak isteri mempunyai kuasa untuk menceraikan
dirinya sendiri maka isteri dikira mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,
sekiranya pihak suami tidak memenuhi janji dan syarat dan janji tersebut
mengikat kepada pihak-pihak dalam perkahwinan.
Taklik
di Malaysia hanya terhad kepada beberapa syarat dan janji seperti yang terdapat
dalam Surat Perakuan Nikah pengantin seperti berikut :
a. Suami
tidak memberi nafkah sebanyak 4 bulan berturut-turut atau lebih.
b. Suami
meninggalkan isteri
c. Suami
mencedera dan menyakiti isteri
Peruntukan
dalam Undang-Undang di Malaysia seperti Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa perempuan yang
bersuami berhak mendapat perceraian sekiranya sabit syarat-syarat taklik ke
atas beliau.
Begitu
juga peruntukan di dalam Seksyen 21 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Kelantan 1983. Namun yang demikian, Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga
Islam WP 1984 menyatakan bahwa Pendaftar hendaklah mencatatkan taklik yang
telah ditetapkan atau butir-butir taklik lain yang dikira sesuai dan munasabah
olehnya bagi membantu hak-hak beliau terpelihara dan terjamin dan penganiayaan
terhadap mereka dapat dikurangkan dan beliau berhak mendapat cerai taklik jika
ianya dimungkiri.
Oleh
yang demikian, perjanjian yang dibuat oleh seseorang perempuan sebelum
berkahwin dibolehkan dalam Islam kerana Islam itu sendiri menjamin hak dan
kepentingan wanita Islam daripada dianiaya oleh suami sendiri.
Islam
juga tidak mahu seseorang wanita itu tidak terbela nasib diri dan anak-anaknya
selepas beliau diceraikan. Di antara butir-butir perjanjian yang boleh dibuat
oleh seorang wanita sebelum perkahwinan ialah berkaitan dengan:
a) Hak Harta
i.
Berapakah nafkah yang akan diberikan selepas bercerai - Bahagian IV
Undang-Undang Keluarga Islam WP 1984 dari Seksyen 59-80 memberi
peruntukan-peruntukan mengenai nafkah isteri dengan jelas dan terperinci.
ii. Hak
berkenaan dengan harta sepencarian - Seksyen 58 Akta Undang-Undang Keluarga
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memberi kuasa kepada Mahkamah untuk
membuat perintah berkenaan dengan harta sepencarian yang mana ianya adalah
hasil usaha sama di antara pihak-pihak yang bertikai supaya ia dapat
dibahagikan atau harta itu dijual supaya hasil daripada penjualan dapat
dibahagi antara mereka.
b) Mas Kahwin dan Pemberian
Seksyen
21 Akta yang sama memastikan hak wanita terhadap perkahwinan serta
pemberian-pemberian dicatat dengan lebih teratur agar ianya dapat dipastikan
dengan tepat jika ianya dibayar atau dijelaskan. Jika belum maka senanglah
untuk dibuat tuntutan jika berlaku kemungkiran atau pertikaian catatan-catatan
tersebut.
Seksyen
57 diperuntukan sebagai pengukuhan kepada seksyen 21 terdahulu.
c) Poligami
Seksyen
23 memperuntukan secara jelas dan terperinci bahawa seorang lelaki yang ingin
berkahwin dengan perempuan lain harus mendapat persetujuan bertulis daripada
Hakim Syarie dan beliau harus memenuhi beberapa syarat untuk mendapatkan
kebenaran berpoligami.
Antaranya
beliau harus menyatakan alasan-alasan beliau untuk berkahwin lagi. Butir-butir
komitmen dan kewajipan beliau serta izin atau kebenaran daripada isteri yang
terdahulu. Ini kerana Mahkamah akan memanggil pihak isteri untuk menanyakan
pandangan dan persetujuan beliau berkenaan dengan perkara ini dan pengakuan
isteri mengenai kemampuan suami untuk berlaku adil. Walaupun Islam membenarkan
poligami Mahkamah menetapkan undang-undang yang sedemikian bagi menjamin hak
isteri daripada diperlakukan oleh suami dengan sewenang-wenangnya.
Oleh itu
bakal isteri boleh membuat perjanjian sekiranya selepas perkahwinan suami ingin
berkahwin lain, beberapa syarat tentang harta, kewajipan, masa giliran dan
lain-lain boleh dimasukkan dalam perjanjian tersebut.
d) Hadanah dan Nafkah Anak-Anak
Para
isteri boleh menetapkan dalam perjanjian mereka bahawa sekiranya mereka akan
diceraikan secara talak maka hak-hak mengenai penjagaan anak -anak dan nafkah
mereka haruslah dinyatakan dan diperincikan terlebih dahulu.
e) Tebus Talak atau Khuluk
Seksyen
49 memberi peluang kepada isteri untuk menebus talak diri mereka sekiranya
suami tidak mahu mentalakkan mereka dengan rela. Oleh yang demikian, isteri
boleh meletakkan perkara ini di dalam perjanjian sebelum perkahwinan bahawa
beliau boleh menebus diri mereka untuk bercerai sekiranya suami enggan
menceraikan mereka53.
Sumber:-